Tuesday, May 12, 2015

Pantun Sayang...



Assalamu’alaikum wrwb..





Jom Kita Berpantun...

Haruan melantun terapung kayu,
Renangilah tuka dilengah-lengahkan;
Tuan berpantun sinambung Melayu,
SAYANGLAH jika tidak diketengahkan

Silau angkasa selisih bayang,
Cahaya meniti kelihatan saujana;
Kalau sentiasa berkasih SAYANG,
Bahagia pasti akan terbina..

Kalau awan selisih bayang,
Bayang seolah jelaga tanjung: 
Kalau tuan berkasih SAYANG,
SAYANG biarlah hingga penghujung..

Bergoyang akarnya selasih merata,
Selasih tumbuh direlas merpati;
SAYANG sebenarnya kasih dan cinta,
Kasih bersungguh seikhlas hati..

Bertamu lelayang bertalu-talu,
Kedidi di langit kerling penyengat;
Budimu SAYANG tiada kuperlu,
Budi sekelumit paling diingat..

Saat merpati menyapa kundang,
Riangnya terbang canda beraksi;
Teringat dihati tanpa memandang,
SAYANGNYA abang tiada di sisi...

Masih berbayang merah di dahi,
Mula bentan perlu dibedah;
Kasih SAYANG anugerah Ilahi,
Bila dikenangkan terlalu indah..

Merekah papaya genggam dibawa,
Kalau tangan tiada bergoyang;
Alangkah bahagia di dalam jiwa,
Bergurau dengan bonda TERSAYANG..

Pohon delima tepilah perigi,
Hinggap balam melayang-layang;
Bertahun lama berpisah pergi,
Tetap mendalam SAYANG DISAYANG..

Riang merpati memakan ceri,
Hinggap bertelur satu persatu;
SAYANG seperti saudara sendiri,
Tetap dihulur bantu membantu..

Tumbuh lempoyang akar selerak,
Lada peria imbau-imbauan;
Sungguh SAYANG mekar semarak,
Kepada dia yang di perantauan...

Di kebun orang mengandar kelapa,
Merbah melayang hinggap di bahu;
Walaupun kurang sekadar rupa,
Bertambah SAYANG tetaplah mahu..

Bawang dimayang kerabu pauh,
Sesudu lada sesenduk kelapa;
SAYANG DISAYANG ibu yang jauh,
Rindu nanda untuk berjumpa..

Tuan berangan diwaktu senja,
Sehingga mulai selisih bayang;
Haiwan KESAYANGAN tentu dimanja,
Dijaga dibelai kasih dan SAYANG..

Menyiang kelah ikan dibersih,
Dilumur garam dan asam jawa;
SAYANG adalah titisan kasih,
Subur bersiram di dalam jiwa..

Berbayang pelangi lawa di air,
Redup celahi merata paya;
SAYANG MENYAYANGI jiwa dan zahir,
Hidup dilimpahi cahaya bahagia..

Tinggi kemangi bertindan selasih,
Bercambah dahlia embunan basah;
Selagi mewangi SAYANG dan kasih,
Bertambah usia masakan berpisah..

Petik pinang muda semayang,
Pohon rendah sebelah perigi;
Asyik terkenang ayahanda TERSAYANG,
Bertahun sudah berpisah pergi..

Ikan haruan sisih serampang,
Ikan belanak renang-renangan;
SAYANGKAN haiwan kasih menumpang,
SAYANGKAN anak diabai jangan..

Rona senada mulus mewangi,
Tepian redup melata petunia;
Ayahanda bonda harus DISAYANGI,
Permulaan hidup kita di dunia..

Pucuk saderi makan berulang,
Dimayang-mayang ketumbar sekati;
Esok hari nandakan pulang,
Bonda TERSAYANG sabar menanti..

Selasih seribu di dalam cawan,
Di rendam bertaut tiadakan lepas;
Kasih ibu bersulam rawan,
Sedalam laut lagikan deras...

Itik bersarang ia seekor,
Sudah siang bertapa di dahan;
Asyik berperang manusia takbur,
Hilangkah SAYANG tanpa kasihan..




P/S Buat sahabat Ummi tersayang...anda semua di dalam hatiku...jangan lupa pantun naa...."",


Kalam berpena...
UmmiAin

No comments:

Post a Comment

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^