Wednesday, February 11, 2015

Pantun Bimbing..



Assalamu’alaikum wrwb..






Jom Kita Berpantun...

Berkeliaran gelama merempuh laut;
Sebelah tebing terumbing sampan;
Ajaran agama teguh berpaut,
In sya Allah TERBIMBING kehidupan...

Tumbuh melata di tebing redup.
Bertebaran derdap meredah laluan;
Penyuluh serta PEMBIMBING hidup,
Al Quran kitab seindah panduan..

Makan belimbing bawa seguni,
Setangkai jatuh melekat lima;
Akan TERBIMBING jiwa nurani,
Seandai utuh tongkat agama...

Berangan muda masak secerpa,
Pucuk maman celahi kudup;
BIMBINGAN ayahanda tidak kulupa,
Untuk pedoman tempuhi hidup..

Sumbing senyum bertamu jiran,
Terserlah tampan pandai melawa;
TERBIMBING dengan ilmu Al Quran,
Barulah kehidupan menggapai taqwa..

Angsa terkedek ke pagar tebing,
Mandi di muara berenang-renang,
Jasa pendidik pelajar TERMBIMBING,
Sendi negara pasti dikenang..

Jambangan seri sibunga dahlia,
Secerpa jambangan indah senada;
BIMBINGAN diberi sehingga berjaya,
Dilupa jangan ayah dan bonda..

Kelubi lebat tumbuh menyerlah,
Di tebing paya tumbuhnya ulam;
Nabi Muhammad pesuruh Allah,
MEMBIMBING manusia seluruhnya alam.

Balau di tebing tempiasan hari,
Arus jejak laju melanda;
Kalau MEMBIMBING insan jauhari,
Harus banyak ilmu didada.

Di tepi beranda makan berangan,
Sangkar kedidi jangan dijolok;
Generasi muda perlukan BIMBINGAN,
Agar menjadi insan yang elok..

Tebing beronak duri kerikil,
Sungai beralur terapung umbut;
BIMBINGLAH anak sedari kecil,
Bagai melentur rebung yang lembut.

Tumbuh melata di tebing redup.
Bertebaran derdap meredah laluan;
Penyuluh serta PEMBIMBING hidup,
Al Quran kitab seindah panduan..

Renangan gelama tepilah beting,
Ikan berenang terjerat mati;
BIMBINGAN agama amatlah penting,
Akan tenang di Akhirat nanti..

Jambangan seri sibunga dahlia, 
Secerpa jambangan indah senada; 
BIMBINGAN diberi sehingga berjaya, 
Dilupa jangan ayah dan bunda.. 

Tinggi gayat kedondong sedahan,
Terbang nuri ke tepian kolah;
Selagi hayat dikandung badan,
BIMBINGLAH diri ke jalan Allah. 

Masak belimbing jangan berlama,
Simpan keladi bijian sebutil;
Anak DIBIMBING dengan agama,
Harapan menjadi insan yang kamil.

Tebinglah tinggi sampan berarus,
Ikan gelama melentik di sampan;
BIMBINGLAH diri ke jalan lurus,
Perkasakan agama cantik kehidupan..






Kalam berpena...
UmmiAin