Friday, January 9, 2015

Pantun Rebut...



Assalamu’alaikum wrwb...





Selamat bertemu kembali sahabat-sahabat Ummi yang sangat dirindui terutama relaksminda.blogspot.com, Cikgu TehRamuan.com pemantun tersohor...^^, dan juga semua sahabat pemantun Ummi...apa khabar orang di sana.... ^^,


Jom Kita Berpantun..


Terbakar hutan nyata terleka,
Jangan jelaga sipadi bunting;
Kerana PEREBUTAN harta pusaka,
Hubungan keluarga menjadi genting..

Sabut kelapa bersihnya arang,
Entah bila arang melekat;
DIREBUT apa kasihnya arang,
Entah pula orang terpikat..

Lekang bidara buah terbuka,
Bidara seraga di tepi hutan;
Sekangkang kera tanah pusaka,
Antara keluarga jadi REBUTAN..

Reputlah dahan kulat di dalam,
Menghala rebah buah terapung;
REBUTLAH kelebihan bersolat malam,
Pahala bertambah ‘ibadah ditampung..

Terang cahaya gerimisnya tiada,
Berpuput angkasa tepi lautan;
Orang berusia manisnya ada,
Lembut bahasa jadi REBUTAN...

Bertapa siput merata paya,
Siikan sepat menyua titi;
Apa DIREBUT harta dunia,
Tiadakan dapat dibawa mati..

Lentuk Umbut bertenggek kuang,
Rimba serentang angin meruntun;
Untuk MEREBUT deti k terluang,
Hamba datang ingin berpantun..

Terbakar hutan nyata terleka,
Jangan jelaga keladi bunting;
Tegar PEREBUTAN harta pusaka,
Hubungan keluarga menjadi genting..

Meniti daik berangin senja,
Tentu beralih kemudi lautan;
Pekerti baik rajin bekerja,
Menantu soleh jadi REBUTAN..

Sarang merbuk di pohon nangka,
Sangkar tinggi reput dan rosak;
Sekarang sibuk berpantun seloka,
Sebentar lagi BEREBUT memasak..

Rautlah kerawang merah berenda,
Pesona kerrawang satin bertekad;
REBUTLAH peluang menziarah bonda,
Kerana peluang semakin singkat..

Tanah gambut selasihnya jarang,
Selasih di taman bertindan pangkal;
Usah DIREBUT kasihnya orang,
Kasih Ya Rahman lagikan kekal...

Ruang berkabut dipagi Rabu,
Bersirat mega segalah tinggi;
Peluang DIREBUT selagi mampu,
Akhirat juga perlulah imbangi..



Sampai jumpa lagi di episod yang baru...dan harap sudi-sudikanlah datang berpantun di teratak Ummi yang usang ini......ya, salam kasih sedalam ingatan dari Ummi... ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

2 comments:

  1. Gulai nangka dimasak kawah,
    Sayang tercampur si buah rokan,
    Rebutlah menjalin ikatan ukhwah,
    Semoga bertambahlah sahabat dan rakan,

    p/s: Sungguh lama tidak singgah sini

    ReplyDelete
    Replies
    1. To Dear Siti...

      Masakan umbut terasa bawang,
      Pucuk cemperai masak berkuah;
      Akan kurebut masa terluang,
      Untuk memeterai segak ukhwah..

      p/s: tq ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^