Wednesday, December 10, 2014

Pantun Perbidalan Nukilan Pak Engku...



Assalamu’alaikum wrwb..





Kali ini Ummi membawa sahabat sekelian meneliti pantun yang sangat indah hasil nukilan sahabat FB Ummi iaitu Pak Engku yang sangat dikagumi oleh rakan-rakan di dalam Grup Laman Luahan Rakan Dan Pesara yang sangat popular yang mana grup ini membawa konsep memertabatkan pantun warisan budaya pusaka moyang......

Pantun Perbidalan yang dipaparkan ini adalah diambil dari slot CORAT CORET PAK ENGKU....


Corat Coret Pak Engku..
Pantun Perbidalan...

RAMBUTAN KESIP DIMAKAN BONDA,
KULIT DICAMPAK KE RUMPUN SEPETANG,
BERSAMA SERAPAT TUMBUH MELATA;
KALAU DAH NASIB DI DIRI TIADA,
REZEKI SECUPAK TAK JADI SEGANTANG,
SEJENGKAL TAK DAPAT JADI SEHASTA.

Perbidalan: 1) Kalau secupak tidak boleh jadi segantang.
 2) Yang sejengkal tiada dapat jadi sehasta.
 Maksudnya: 1) Sesuatu yang sudah ditentukan, tidak boleh diubah lagi.
 2) Kalau nasib sudah tidak baik betapa diusahakan tentu
 tidak akan berjaya.
 Erti perkataan: Kesip - tidak berbiji atau terlalukecil bijinya (bkn buah-buahan).
 Sepetang - sejenis tumbuhan (pokok memanjat).
 Serapat - sejenis tumbuhan (pokok renek).

SERBUK KUNYIT IAKAN DILUMUR,
 DI MINYAK PANAS IKAN DIGORENG;
 MESKI KE LANGIT AKAN MENJEMUR,
 KOK HARI TAK PANAS TAK JUGA KERING.

Perbidalan: Meski ke langit akan menjemur, kalau hari tak panas
 tak juga kering.
 Maksudnya: Kalau nasib tak baik bagaimanapun usaha tidak akan
 beruntung lagi.

EMAS SEBUNGKAL BELI DI KOTA,
 MAHAL SEAKAN TAWAR TAK DAPAT;
 CAKAP SEJENGKAL DIBAWA SEHASTA,
 TIADA KEBAIKAN YANG AKAN DIDAPAT.

Perbidalan: Cakap sejengkal dibawa sehasta.
 Maksudnya; Perkara yang kecil diperbesar-besarkan.

 JAUH SANGAT JALAN KE MANA,
 DARI SEGAMAT KE PEKAN LABIS;
 BERINGAT-INGAT SEBELUM KENA,
 BERJIMAT-JIMAT SEBELUM HABIS.

 Perbidalan: Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.
 Maksudnya: Harus beringat-ingat sebelum terlambat.

POKOK BERANGAN DI TEPI LERENG,
 REBAH KE BARAT RIBUT MEMUKUL;
 KALAU RINGAN SAMA DIJINJING,
 JIKA BERAT SAMA DIPIKUL.

Perbidalan: Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
 Maksudnya: Tolong menolong antara satu sama lain (baik dalam
 kesenangan mahupun dalam kesusahan).

 BURUNG MERBAH DI POHON SENJUANG,
 KE POKOK GETI TERBANG SINGGAH;
 GAJAH SAMA GAJAH BILA BERJUANG,
 PELANDUK YANG MATI DI TENGAH-TENGAH.

Perbidalan: Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
 Maksudnya: Kalau orang besar-besar berselisih, rakyat juga
 yang mendapat susah.

PANTAI BERBENCAH MENCARI KEPAH,
 TAMPAK BANGAU DI TEMPAT LECAH;
 HATI GAJAH SAMA DILAPAH,
 HATI TUNGAU SAMA DICICAH.

Perbidalan: Hati gajah sama dilapah, hati tungau (kuman) sama dicecah.
 Maksudnya: Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung
 sedikit sama-sama mendapat sedikit.

KERUNG-KERUNG SUDAH DIKUNYIT,
 IKAN KIA-KIA DI ATAS JERANGAN;
 MEMBADAI BURUNG ATAS LANGIT,
 MERENDAH DIA DIHARAP JANGAN.

 Perbidalan: Membadai burung atas langit, merendah diharap jangan.
 Maksudnya: Janganlah mengharap-harap benda yang susah didapati.

MANA MEMBADAI BURUNG PERLING,
 HALUAN TERSASAR KE TANJUNG KELING;
 HATI BAGAI BALING-BALING,
 DUDUK BERKISAR TEGAK BERPALING.

Perbidalan: 1) Hati bagai baling-baling.
 2) Duduk berkisar tegak berpaling.
 Maksudnya: 1) Fikiran atau pendirian yang tidak tetap.
 2) Mungkir janji atau tidak menepati cakap.

TANAH BERLOLOK TUMBUH NYATUH,
 BERSELA-SELA POKOK BELUNTAS;
 YANG DIJOLOK TIADA JATUH,
 PENJOLOK PULA TINGGAL DI ATAS.

Perbidalan: Yang dijolok tiada jatuh, penjolok tinggal di atas.
 Maksudnya: Keuntungan yang diharap-harapkan tidak didapat, sedankan
 modal atau alat untuk mendapatnya hilang juga.

SEKIAN. TAMMATUL AL KALAM.


************

Sumber dari Pak Engku seorang pemantun karyawan yang luas pengetahuan bahasanya yang sangat Ummi kagumi yang di'copypaste'kan dari slot CORAT CORET PAK ENGKU di laman sosial (Facebook) dengan seizin beliau...terima kasih Alhamdulillah, buat rujukan kita semua ya...Ummi pun masih belajar..
Jom kita baca... ^^,


Selamat berpantun...
UmmiAin

6 comments:

  1. Saya Kalau Pantun merapu boleh la sikit... Tapi Kalau macam kat atas ni saya memang tewaslah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dear En Weschairs

      Mencari seruntun tepian kolah,
      Pepat peria di kayu tunggul;
      Mari berpantun jangan mengalah,
      Mertabat budaya Melayu unggul..

      Tq sudi datang kemari ^^,

      Delete
  2. Assalamualaikum Ummi,
    syukur alhamdulillah terjumpa blog yang sangat cantik dihiasi dengan pantun, puisi warisan nenek moyang kita. Saya tak pandai berpantun, Untuk memulakan perkenalan ini saya tuliskan pantun (bukan hak saya) tapi saya cukup suka sehingga saya ingat setiap patah perkataannya:
    Hendak daun diberi daun,
    dalam daun ada bidara,
    hendak pantun diberi pantun,
    dalam pantun ada bicara..... follower 158.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Amie....terima kasih kerana sudi datang ziarah blog kak Ummi..alhamdulillah....

      Rendah seruntun melata jarak,
      Tanam buah pulasan seribu;
      Sudah berpantun kita berborak,
      Salam ukhwah hiasan kalbu... ^^,

      Delete
  3. Assalamu'alaikum,

    Ayam belanda tekukur kelicap,
    Meramu lada tumbuh di bumi,
    Serata tanah kerabat dituntun;
    Bahagia ayahanda syukur diucap,
    Ketemu anakanda Amie dan Ummi,
    Mentahta wasilah memertabat pantun.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Ayahanda Temuk yang peri budiman....terima kasih anakanda Ummi ucapkan kerana sudi datang berpantun di teratak yang tak sepertinya......sudah agak lama Ayahanda ditunggui....

      Tumbuh papaya meniti bumi,
      Bercanda nyamuk berhimpun di batang,
      Jangan hampir penyengat berdengung,
      Meniti helang memagut kayu;
      Sungguh bahagia dihati Ummi,
      Ayahanda Temuk sudahpun datang,
      Dengan secangkir semangat dijunjung,
      Pasti kujulang disebut Melayu...

      Tq Ayahanda... ^^,

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^