Thursday, December 25, 2014

Pantun Asing....



Assalamu’alaikum wrwb..



Jom Kita Berpantun...


Fajar menyingsing hari meruntun,
Dunia meruntun berhujan bumi;
Sukar DIASING diri dan pantun,
Kerana pantun pujaan Ummi..

Singsing lengan pakaian basah,
Kolahnya simen cembul di air;
DIASING jangan insan yang susah,
Doanya diamin makbul Ya Muqtadir..

Keruh berpusing paya berombak,
Di arus deras mara berani;
Pengaruh ASING budaya lepak,
Harus dibenteras segera tangani..

Terbangan nuri berpusing-pusing,
Sayup berlalu mencari tuan;
Jangan diri merasa TERASING,
Hidup perlu menjadi ilmuwan..

Redup menyingsing renyap berkabut,
Mengapa seberang rawan melanda;
Hidup TERASING bagai malukut,
Rupa kurang menawan tiada..

Basah kuyup menyingsing lengan,
Mengangkat batu sehabis daya;
Usah hidup BERASING-ASINGAN,
Muafakat bersatu harmonis budaya..

Ikan naik dibuat jeruk,
Ikan di paya rasanya berat;
ASINGKAN baik dari yang buruk,
Akan bahagia dunia akhirat..

Diranduk jangan onak dan duri,
Rumpun selasih kantan bersirat;
Duduk BERASINGAN anak dan isteri,
Namun kasih berpautan erat...

Punai siulan ternampak kundang,
Di liku barat suara berdesing;
Andai taulan tidak memandang,
Teratakku ibarat pusara TERASING... ^^,


Sampai sini dulu rangkapan rindu buat anda semua semoga sentiasa di dalam kasih sayang Allah SWT....aamiin....salam sayang dan kasih dari Ummi.....till next episode...^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

1 comment:

  1. Assalamu'alaikum, Ummi

    Lara Sepetang gadang tak gadang,
    Langsing sungai amarah muara,
    Kelibatnya tupai usah geruni;
    Bicara tentang pandang tak pandang,
    Terasing di manalah daerah pusara,
    Saatnya sampai malah dihuni!

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^