Wednesday, November 19, 2014

Pantun Nostalgia Kampungku....


Assalamu’alaikum wrwb..






Jom Kita Berpantun...


Rendah pauh masak tercampak,
Memaku redup di langit syahdu;
Sudahlah jauh tidak kunampak,
Kampungku sayup menggamit rindu..

Indah persada bidara seribu,
Ke bumbung menghala jangan digait;
Di Kedah ada saudara dan ibu,
Kampung bermula kenangan mencuit...

Sekata merekah semarak basah,
Ke pohon bidara turun ketilang;
Sejuta langkah jarak berpisah,
Nun di Utara memohon pulang...

Tentu menggigil kalau berenang,
Mengah siangsa meredah kuala;
Diwaktu kecil di Pulau Pinang,
Menjengah dewasa ke Kedah pula...

Tembok dibina di limbung tua,
Kelami titi menghalang tambun;
Lubok Cina kampung mertua,
Suami bercuti pulang berkebun...

Biduk keliling menunggu pengkalan,
Pantai melimpah berombak ngeri;
Duduk menggiling di batu senggalan,
Cabai dan rempah dimasak kari..

Bersulam dedalu litupi merata,
Kuini memaku bersarang tebuan;
Malam dahulu berapi pelita,
Kini kampungku terang kilauan..

Cucuh sumbu berasap pelita,
Lalu belalang hinggap di jari; 
Sungguh ibu mengharap kita,
Selalu pulang setiap hari...

Serati tunggal terapung di air,
Sarat perahu siikan belida;
Bercuti penggal di kampung kulahir,
Hasrat mahu dimanjakan nenda....

Nampak ikan tepian arus,
Berputarlah arus menyelam patin;
Hendak dimakan bijian gajus,
Bakarnya terhangus di dalam tin...

Tenuk mengerling undan terkedek,
Ingin meranggut pintunya reban;
Duduk keliling kakak dan adik,
Main selambut batunya seremban...

Sambungnya roda dipaku kasar, 
Tali rafia diikatkan silang;
Kampungnya nenda di Labu Besar,
Kembali nostalgia ingatan berulang...

Padi sebeban malukut segantang,
Dijaga tidak kedidi cantukkan...
Mandi berkemban takut dipandang
Telaga terletak di tepi hutan..

Sekati bawang sebalang tepung,
Cuma ada sebiji kelapa;
Cuti terluang pulang ke kampung,
Bersama ayahanda menaiki vespa...

Bidara diusung ke pasar Deli,
Mengandar tebu sekejap berjualan;
Udara di kampung segar sekali,
Di bandar sebu asap di jalan..

Reput perigi tenggelam busut,
Terapung serati bercanda berani; 
Rumput tinggi bersulam temucut,
Kampung seperti tiada penghuni...

Tumbuh keriang bersendi dahan,
Dahan gayat berdiri tangga;
Sungguh riang bermandi basahan,
Hujan sereyat pergi telaga..

Cangkat di air boleh berenang,
Ikan menghala peria terapung;
Tempat lahir masih kukenang,
Inikan pula nostalgia kampung..

Pakai cheongsam bunga bertampung,
Kebaya lama terhiris benang;
Berbagai macam cerita kampung,
Nostalgia lama manis dikenang...




Kalam berpena....
UmmiAin

1 comment:

  1. Tengkujuh tiba sejuk terasa,
    Mentari tiada mahu berjemur;
    Kampung mama sebelah utara,
    Kampung saya di pantai timur.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^