Friday, November 28, 2014

Pantun Santapan Nurani...



Assalamu’alaikum wrwb..




Jom Kita Berpantun...


Bercantum dua tanam serumpun,
Memagar petunia naik sikantan;
Serangkum doa di dalam pantun,
Agar dikurnia terbaik kesihatan..

Kelopak seri jambangan petunia,
Petikkan nanti seroja sekali;
Tidak mensyukuri kesenangan dunia,
Akan pasti diambilNYA kembali..

Tinggi sudah sirumpun serai,
Ke tempat sana mencari maman;
Pagi yang indah turun berenyai,
Rahmat pesona dari Ar Rahman..

Di gigi tasik biduk bertambat,
Mentari pesona angin berhembus;
Selagi berdetik tawadduk dan taubat,
Hari bermakna semakin bagus...

Suburlah seri persada taman,
Menyula lepas mentari pagi;
Syukurlah diri kepada Ar Rahman,
Berhela nafas sehari lagi...

Menyula mentari berbayang daik,
Celahi pinggirnya rentangan gua;
Bermula hari dengan niat yang baik,
Sudahi akhirnya dengan berdoa..

Di taman kekwa menguntum indah,
Wangi redup bersulam melati;
Iman dan taqwa seharum mawaddah,
Terangi hidup ke alam pasti..

Tangan bertasbih menanti zikir,
Naik melangkah sembahyang di musollah;
Makanan berlebih ditakuti membazir,
Baik disedekah kepada yang susah..

Persada purnama naiklah seri,
Merbah berbunyi celah perahu;
Daripada terima baiklah beri,
Sedekah sembunyi Allah Yang Tahu

Berselera makan bersila alas,
Disaji bubur silalah nanti;
Dikira kebaikan pahala berbalas,
Janji Al Ghafuur sudahlah pasti..

Tangkai berbunga bijian bercambah,
Menyula merah si lada besar;
Andai diduga dengan musibah,
Rela pasrah Qada dan Qadar..

Tasik diredah menyongsong biduk,
Cantuk nelayan malam meniti;
Cantik mahmudah langsung tawadduk,
Untuk penentuan di alam pasti..

Bertemu puteri anggun melawa,
Bangga sendiri meluah madah;
PadaMu Ya Barii kumohon doa,
Semoga diberi penyudah terindah..

Nangka cempedak buah mengalah,
Pusalan menyerlah buah berati;
Derhaka sianak murkalah Allah,
Balasan Allah sudahlah pasti..

Pakaian purdah berona ungu,
Sidara muda muslimah lawa;
Alunan qasidah pesona lagu,
Suara ayahanda menjamah jiwa..

Berselera makan bersila alas,
Disaji bubur silalah nanti;
Dikira kebaikan pahala berbalas,
Janji Al Ghafuur sudahlah pasti...

Berhenti nelayan di kelam titian,
Mega selisih renyai ke tanah;
Kepastian dalam penantian,
Semoga kasih sampai ke Jannah..

Kelopak seri jambangan petunia,
Petikkan nanti seroja sekali;
Tidak mensyukuri kesenangan dunia,
Akan pasti diambilNYA kembali..

Gerimis sudah merintik hawa,
Sepi cuaca lautan murungi;
Semanis mawaddah secantik taqwa,
Lengkapi neraca amalan diimbangi..

Melata ikan tempiasan paya,
Sepat di muara melayang ke pangkal;
Harta kecantikan perhiasan dunia,
Bersifat sementara tiada yang kekal..

Gerimis rintik merah basahi,
Mulalah gerimis pulau bermendung;
Manis dan cantik anugerah Ilahi,
Lebihlah manis kalau selindung..

Menghala pantai sisi berpinggir,
Arus menelan limbungan titi;
Pabila sampai destinasi akhir,
Putus amalan hubungan terhenti..

Angsa sendeng celahan pasu,
Di sarang bertelur sepuluh biji;
Puasa benteng penahan nafsu,
Terang mabrur penyuluh uji..

Bersaji puan berganda hidangan,
Dilewat malam beralih Jumaat;
Puji-pujian kepada Junjungan,
Berselawat salam beroleh syafaat..

Senduduk diredah tanah berongga,
Bersirat titi terlebih juntaian;
Tawadduk ibadah Sunnah dijaga,
Di Akhirat pasti beroleh kepujian..

Hutan bersangkar pohonlah sunyi,
Tumbuhnya sebelah tanah berpasir;
Perbuatan mungkar usah sembunyi,
Sesungguhnya Allah Adalah Al Basir..

Berpaut selasih di tangkai tua,
Liat mayang diikatlah tali;
Bertaut kasih serangkai doa,
Buat orang yang telah kembali...

Belida menyapa di celah daik,
Titi perkasa berlaga lautan;
Kepada ibubapa berbuatlah baik,
Berbakti berjasa syurga kedapatan..

Kerabu kelapa nangka dan peria,
Ulaman bercampur selera berbagai;
Ibu dan bapa jika dianiaya,
Hukuman Al Ghafur segera dan tunai..

Relas pulasan buahnya elok,
Markisa dicari mula kepenatan;
Belas ehsan sesama makhluk,
Dosa dipagari pahala kedapatan..

Menjala sepat di kaki bukit,
Bengkaklah jari amat berbisa;
Tatkala mendapat rezeki sedikit,
Hendaklah mensyukuri nikmat Yang Esa..

Budak sekolah menyagat buah,
Cepat dimakan di perdu kelapa;
Anak solehah amat bertuah,
Dapat mengimamkan ibu bapa..

Azan Asar suara memanggil,
Jalan meniti ratih si fakir;
Jangan perbesar perkara kecil,
Tenangkan hati bertasbih berzikir..

Saku berlubang benangan reput,
Peniti dicantum di kain kasa;
Berlaku sumbang jangan diikut,
Pasti terhukum semakin dosa...

Celahan bata merimbun kunyit,
Sedang membesar siubi temili;
Kesalahan nyata walaupun sedikit,
Di Padang Mahsyar pasti diadili..

Batik basahan menanti kering,
Rona menitis ke dalam pasir;
Detik perpisahan pasti seiring,
Kerana tertulis di kalam takdir..

Redup meniti persada basah,
Bunga daffodil tunduk sewaktu;
Sehidup semati tiada berpisah,
Hanya Al Jalil Yang Maha Penentu..

Senja menggalah mega bertamu,
Persada bayang Dhuha selisih;
Sengaja Allah menduga kamu,
Petanda Dia Yang Maha Pengasih..

Naik ke pagar jangan ke dahan;
Makan bidara di perdu lama;
Sebaik terdengar laungan azan,
Tunaikan segera fardhu yang lima...

Menghala selat biduk berlaga,
Ikan melantun cepat membusuk;
Tatkala bersolat tawadduk dijaga,
Lakukan rukun tepat dan khusyuk...

Jari menyulam tentunya lama,
Indah berkelip tekadnya baldu;
Sehari semalam waktunya lima,
Sudah kewajipan solatnya fardhu..

Alu renangi likuan daik,
Meniti celahi batuan kukup;
Perlu teladani kelakuan terbaik,
Pasti peroleh kerahmatan hidup...

Rawan angkasa seribu kelopak,
Air menitis kelopak membesar;
Dugaan dirasa sedu dan sebak,
Takdir tertulis Qada’ dan Qadar..

Meniti liku mencari gamat,
Patah sehala terbelah perahu;
Pasti BERLAKU Hari Kiamat,
Entah bila Allah Yang Tahu...

Pandai mengarang hiasan indah,
Kamelia mekar kelopak berbiku;
Andai terang landasan mawaddah,
Nescaya mungkar tidak BERLAKU...

Secangkir halia harum dijemur,
Pegaga dicari di celah daik;
Lahir ke dunia bercantum umur,
Semoga diakhiri penyudah terbaik..

Mencari musollah untuk bertamu,
Tegar demi bersembahyang Asar;
Ya Barii berikanlah petunjukMu,
Agar kami di jalan yang benar..



Sampai jumpa lagi in shaa Allah..Ummi sentiasa menrindui rakan-rakan sekelian terutama yang selalu berpantun di blog Ummi...salam kasih sayang buat anda semua.... ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

Monday, November 24, 2014

Pantun Merantau Si Anak Rantau...



Assalamu’alaikum wrwb..






Jom Kita Berpantun...


Mengimbau awan hari benderang,
Bertamu siang redupnya angkasa;
Di perantauan negeri orang,
Selalu terbayang sayupnya desa...

Pegang arang kalau terjatuh,
Nampak bara terkena tangan;
Dagang orang merantau jauh,
Sanak saudara dilupa jangan...

Tumbuh pauh semarak pohon,
Rimbun memaku dedalu lekat;
Sungguh jauh jarak bertahun,
Namun kampungku terlalu dekat...

Mula redup pulau seberang,
Basah limbung di pagi hari;
Bila hidup dirantau orang
Usah sombong meninggi diri..

Berterbangan nuri sampai ke pulau,
Di ceruk daik arus tampani;
Keseorangan diri sebagai perantau,
Buruk dan baik harus teladani..

Muara tertampan pauh terapung,
Ikan tenggiri menyentil batu;
Cara kehidupan jauh di kampung
Sesuaikan diri mengambil waktu..

Kain kebaya Serilah Mersing,
Kebaya dijemur panasan mentari;
Lain budaya di negara asing,
Budaya Timur pakaian diri..

Kematu dahan banyak kerengga,
Pohon selangit lebat mengkudu;
Waktu berjauhan jarak keluarga,
Telefon bimbit pengubat rindu.

Liar di jerat ikan betutu,
Joran dibaling sampai muara;
Biar ibarat yatim piatu,
Jiran keliling bagai saudara..

Merimbun pauh kenari berpusing,
Jangan kerengga lalu bertabur;
Sungguhpun jauh di negeri asing,
Hubungan keluarga tetapkan subur

Masih bersarang puyuh di perdu,
Rendah pauh lebah hurungi,
Kasih di seberang jauh merindu,
Sudah jauh bertambah lagi...

Cucuh pelita berserdak sumbu,
Dipegang jangan api bertiupan
Sungguh di mata nampak dikalbu,
Dagang berbulan dihati tersimpan..

Tumbuh markisa semarak pohon,
Rimbun memaku dedalu lekat;
Sungguh terasa jarak bertahun,
Namun kampungku terlalu dekat...

Meranjau paya temoleh keli,
Ranjau di jerat sejengkal ikannya;
Merantau di dunia boleh kembali,
Rantau akhirat kekal selamanya...

Gagau haruan tersengat jari,
Dipegang cuba orang yang kuat;
Perantau tuan sangat bistari,
Dagang hamba kurang berdakwat..

Kalau memantau siburung kenari,
Melayang ke mana naik ke dahan;
Mematuk lada lelah bernyawa;
Di rantau atau negeri sendiri,
Yang mana satu terbaik pilihan,
Tepuk dada tanyalah jiwa.....




Kalam berpena...
UmmiAin

Wednesday, November 19, 2014

Pantun Nostalgia Kampungku....


Assalamu’alaikum wrwb..






Jom Kita Berpantun...


Rendah pauh masak tercampak,
Memaku redup di langit syahdu;
Sudahlah jauh tidak kunampak,
Kampungku sayup menggamit rindu..

Indah persada bidara seribu,
Ke bumbung menghala jangan digait;
Di Kedah ada saudara dan ibu,
Kampung bermula kenangan mencuit...

Sekata merekah semarak basah,
Ke pohon bidara turun ketilang;
Sejuta langkah jarak berpisah,
Nun di Utara memohon pulang...

Tentu menggigil kalau berenang,
Mengah siangsa meredah kuala;
Diwaktu kecil di Pulau Pinang,
Menjengah dewasa ke Kedah pula...

Tembok dibina di limbung tua,
Kelami titi menghalang tambun;
Lubok Cina kampung mertua,
Suami bercuti pulang berkebun...

Biduk keliling menunggu pengkalan,
Pantai melimpah berombak ngeri;
Duduk menggiling di batu senggalan,
Cabai dan rempah dimasak kari..

Bersulam dedalu litupi merata,
Kuini memaku bersarang tebuan;
Malam dahulu berapi pelita,
Kini kampungku terang kilauan..

Cucuh sumbu berasap pelita,
Lalu belalang hinggap di jari; 
Sungguh ibu mengharap kita,
Selalu pulang setiap hari...

Serati tunggal terapung di air,
Sarat perahu siikan belida;
Bercuti penggal di kampung kulahir,
Hasrat mahu dimanjakan nenda....

Nampak ikan tepian arus,
Berputarlah arus menyelam patin;
Hendak dimakan bijian gajus,
Bakarnya terhangus di dalam tin...

Tenuk mengerling undan terkedek,
Ingin meranggut pintunya reban;
Duduk keliling kakak dan adik,
Main selambut batunya seremban...

Sambungnya roda dipaku kasar, 
Tali rafia diikatkan silang;
Kampungnya nenda di Labu Besar,
Kembali nostalgia ingatan berulang...

Padi sebeban malukut segantang,
Dijaga tidak kedidi cantukkan...
Mandi berkemban takut dipandang
Telaga terletak di tepi hutan..

Sekati bawang sebalang tepung,
Cuma ada sebiji kelapa;
Cuti terluang pulang ke kampung,
Bersama ayahanda menaiki vespa...

Bidara diusung ke pasar Deli,
Mengandar tebu sekejap berjualan;
Udara di kampung segar sekali,
Di bandar sebu asap di jalan..

Reput perigi tenggelam busut,
Terapung serati bercanda berani; 
Rumput tinggi bersulam temucut,
Kampung seperti tiada penghuni...

Tumbuh keriang bersendi dahan,
Dahan gayat berdiri tangga;
Sungguh riang bermandi basahan,
Hujan sereyat pergi telaga..

Cangkat di air boleh berenang,
Ikan menghala peria terapung;
Tempat lahir masih kukenang,
Inikan pula nostalgia kampung..

Pakai cheongsam bunga bertampung,
Kebaya lama terhiris benang;
Berbagai macam cerita kampung,
Nostalgia lama manis dikenang...




Kalam berpena....
UmmiAin

Tuesday, November 4, 2014

Pantun Lakunya Apa....




Assalamu’alaikum wrwb..





Buat sahabat sekelian yang Ummi rindui....didoakan semoga semuanya di dalam keceriaan dan sentiasa dalam kasih sayang Ar Rahman Ar Rahim.....ha...sekarang dah bertukar ke header terbaru.....bagaiaman pendapat anda semua.....terimalah serangkap pantun istimewa dari Ummi.....^^,

Pesona lagu Purnama Merindu,
Penonton melambai berlampu terang;
Berona ungu bersama syahdu,
Pantun serangkai bertumpu seorang..



Jom Kita Berpantun...


Ikan tenggiri sebesarnya paha,
Pukat lautan tepi laluan;
LAKUKAN sendiri sabar berusaha,
Tingkat kekuatan selagi berkemampuan...

Saku berlubang lebar dan koyak,
Bonda cepat menyulam peniti;
PELAKU sumbang pencemar khalayak,
Tiada tempat dalam komuniti..

Pandai mengarang hiasan indah,
Kamelia mekar kelopak berbiku;
Andai terang landasan mawaddah,
Nescaya mungkar tidak BERLAKU...

Alu renangi likuan daik,
Meniti celahi batuan kukup;
Perlu teladani KELAKUAN terbaik,
Pasti peroleh kerahmatan hidup...

Menghala selat biduk berlaga,
Ikan melantun cepat membusuk;
Tatkala bersolat tawadduk dijaga,
LAKUKAN rukun tepat dan khusyuk...

Beras malukut bawa dijerang,
Cendawan kembang berbaki kunyit;
Deras kutakut dunia sekarang,
PERLAKUAN sumbang menjadi penyakit...

Mengguna paku memalam pelana,
Jangan di jari berasa kematu;
Fenomena BERLAKU di alam buana,
Ya Rahman Al Bari Maha Penentu..

Meniti liku mencari gamat,
Patah sehala terbelah perahu;
Pasti BERLAKU Hari Kiamat,
Entah bila Allah Yang Tahu...

Saku berlubang benangan reput,
Peniti dicantum di kain kasa;
BERLAKU sumbang jangan diikut,
Pasti terhukum semakin dosa...

Liku bukan sebarang liku,
Likuan daik kemudi redah;
LAKU bukan sebarang LAKU,
KELAKUAN baik budi terindah..

Menggalah duku jaja di pasar
Buahan merimbun persada imbauan;
Tersalah LAKU bicara tersasar,
Kemaafan kumohon kepada tuan..

Sampai di sini dahulu Ummi berpantun ya...in shaa Allah di lain episode Ummi pasti kembali lagi semoga anda semua ceria dan gembira berpantun...sambil-sambil tu berpantunlah serangkap dua.... ^^
Assalamualaikum..


Kalam berpena....
UmmiAin