Monday, August 25, 2014

Pantun Tunai...




Assalamu’alaikum wrwb..




Jom kita berpantun...sila.... ^^,

Di sebelah taman tumbang meranti,
Sedahan keranji melentuk rombun;
Usahlah teman bimbang dihati,
KuTUNAIKAN janji untuk berpantun..

Buahan rambai merimbun amat,
Merekah lebat sampai ke perigi;
Berpuasa Ramadhan sudahpun tamat,
Mungkinkah dapat kuTUNAI lagi...
  
Ikan kelah di tepian bubu,
Membubu linang dipagi gelap;
TUNAIKANLAH permintaan ibu,
Ibu mengenang lagi mengharap...
  
Kerabu kelapa nangka dan peria,
Ulaman bercampur selera berbagai;
Ibu dan bapa jika dianiaya,
Hukuman Al Ghafur segera dan TUNAI..

Naik ke pagar jangan ke dahan;
Makan bidara di perdu lama;
Sebaik terdengar laungan azan,
TUNAIKAN segera fardhu yang lima...

Makan keranji dengan siisteri,
Dibuatnya jeruk terasa pandan;
TUNAIKAN janji jangan mungkiri,
Padahnya buruk binasa badan...

Kuat jeriji di pinggirlah hulu,
Selut kelodak sampai ke titi;
Berbuat janji fikirlah dahulu,
Takut tidak TERTUNAI nanti...

Berat kuini bertangkai rendah,
Semalu terang di tepi gua;
Hasrat kini TERTUNAI sudah,
Dahulu seorang kini berdua..





Kalam berpena...
UmmiAin

2 comments:

  1. selamat pagiii, saya memang kagum dengan kebolehan ummi berpantun...

    ReplyDelete
  2. lama tak singgah di sini..masih menarik pantun ummi tu

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^