Sunday, August 10, 2014

Pantun Kemaafan Hari Lembaran...


Assalamualaikum duhai sahabat Ummi sekelian yang sangat dirindui namun jauh di lubok hati anda sekelian tetap dalam ingatan Ummi.... baru kali ini Ummi dapat berpantun di teratak sepi kesayangan, diharap semuanya sihat-sihat belaka terutama pemantun-pemantun yang sentiasa datang berkunjung.... ^^,

Mari kita segera berpantun sementara Syawal masih ada....

Kalau pepohon tiada beburung,
Di batu setimbun berjuntai sawa;
Walau bertahun dosa terkurung,
Di pintu ampun terlerai jua...

Pohon kuini berdahan sasa,
Reputlah jua semakin hampir;
Mohon ampuni kesalahan dosa,
Lembutlah jiwa batin dan zahir..

Ikan kelah siikan jelawat,
Beluga di joran sudahpun mati;
Maafkanlah kesilapan terbuat,
Semoga Lebaran terhimpun erti..

Ulu suasa tangkai sebelah,
Belah haruan perut disimpan;
Malu terasa ada tersalah,
Sudilah tuan seraut kemaafan.

Pohon merimbun bersulam berangan,
Berteduh angsa di dahan selari;
Memohon ampun menggenggam tangan,
Luruhlah dosa celahan jari...

Telah tumbang sepohon ara,
Menampan laluan rapatlah semalu;
Andailah sumbang alun bicara,
Kemaafan tuan amatlah PERLU...

Berangan menjulur dedaun rimbun,
Tanam di lurah basah terendam;
Tangan dihulur ampun dipohon,
Dendam amarah usah dipendam...

Ombak bengis pantai menuju,
Alirnya ngeri merentap sampan;
Kelopak tangis berderai laju,
Kerdilnya diri mengharap kemaafan..

Gerimis lautan membasuh pantai,
Alun melata tiada perlahan;
Manis ikatan meluruh badai,
Ampun dipinta kepadaMU TUHAN...

Bersarang rendah di paya rumpun,
Di dahan tinggi bertenggek merpati,
Di pangkal balak bijian tanjung,
Kelulut bernyawa disimbah gerimis;

Terang sudah cahaya ampun,
Ramadhan pergi mengelek erti,
Syawal menyelak kian menghujung,
Membalut jiwa bertambah manis...


Sekian dahulu buat kali ini, Ummi terpaksa mengundur diri sehingga bertemu di episod yang lain pula... in shaa Allah...salam sayang teramat rindu dikejauhan mata memandang.....


Salam Lebaran Syawal yang kian sampai ke penghujung.... ^^,

Kalam berpena...
UmmiAin

No comments:

Post a Comment

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^