Wednesday, August 27, 2014

Pantun Indah...


Assalamu’alaikum wrwb..





Mai kita pantun... ^^,


Gerimis pengkalan gegaran angkasa,
Turun rendah si cenderawasih;
Secebis nukilan hamparan rasa,
Pantun TERINDAH berkendong kasih...

Angin meredah bertemu awan,
Muara cetek banyaklah kayu;
Semakin INDAH wajahmu puan,
Bicara cantik menambah ayu..

Tinggi sudah rumpun di lurah,
Ke tempat sana mencari ulaman;
Pagi yang INDAH turun mencurah.
Rahmat pesona dari Ar Rahman..

Jelaga cimni berderap sumbu,
Cahaya benderang sudah dijangka;
Warga kini mantap dan mampu,
Karya dikarang INDAH-INDAH belaka...

Seruntun berakar menjejak huma,
Akarnya diredah siikan puyu;
Pantun mekar semenjak lama,
Pusaka TERINDAH warisan Melayu...

Bersari labuh biru berona,
Bunga terselit di sebelah tepi;
Menghampiri Subuh baru terlena,
Semoga diulit SEINDAH mimpi....

Pohon cendana di bendang terang, 
Dahan meniti membelah alur;
Sungguhpun hina dipandang orang,
KEINDAHAN hati Allah Yang Ukur...

Rendah bukan sebarang rendah,
Rendah nyiur banyaklah guna;
INDAH bukan sebarang INDAH,
INDAH bertutur tambah pesona...

Jangan meredah batu kerikil,
Nanti disengat siikan pari;
Kenangan TERINDAH sewaktu kecil,
Pasti kuingat dalam memori..

Sudah tumbuh bidara dan durian,
Tepian beranda melentuk semambu;
INDAH sungguh bicara tuan,
Pujian kanda menusuk kalbu.....

Kalau bidara di seberang pagar,
Buah beribu melayang bertalu;
Walau suara jarang kudengar,
Wajah INDAHmu terbayang selalu...

Melata rendah keladi mangkal,
Di sebelah beranda tumbuhlah subur;
Cinta TERINDAH abadi dan kekal,
Adalah pada Allah AlGhafur...

Makan salak di depan dusun,
Reban kayu basah berhujan ; 
PERINDAHKAN akhlak bersopan santun,
Peradaban Melayu usah ketepi 

Makan buah terasa kelat,
Kudup peria kedondong tua; 
PERINDAHKAN ibadah perkasa solat,
Bahagia hidup ke hujung nyawa..

Makan mempelam duduk di busut,
Disengat lipan terbaring penat;
PERINDAHKAN malam bersolat tahajjud,
Sehangat kewajipan seiring sunat..

Meredah sawah haruan mengerling,
Di tepi beting berpagar goyah;
INDAH ukhwah kawan sekeliling,
Sepi hening bertukar meriah..

Padi ditadah hampa dan kosong,
 Relas di tangan bawa di nyiru;
 Budi TERINDAH betapa diusung,
 Dibalas dengan jiwa terharu...



P/s Jangan lupa berpantun walaupun Ummi kurang ber'blog-walking' disebabkan sibuk dengan urusan...salam kasih sayang di angin rindu semoga kalian semua di dalam kasih sayang Allah SWT selalu...aamiinn sampai kembali lagi in shaa Allah.. ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

Monday, August 25, 2014

Pantun Tunai...




Assalamu’alaikum wrwb..




Jom kita berpantun...sila.... ^^,

Di sebelah taman tumbang meranti,
Sedahan keranji melentuk rombun;
Usahlah teman bimbang dihati,
KuTUNAIKAN janji untuk berpantun..

Buahan rambai merimbun amat,
Merekah lebat sampai ke perigi;
Berpuasa Ramadhan sudahpun tamat,
Mungkinkah dapat kuTUNAI lagi...
  
Ikan kelah di tepian bubu,
Membubu linang dipagi gelap;
TUNAIKANLAH permintaan ibu,
Ibu mengenang lagi mengharap...
  
Kerabu kelapa nangka dan peria,
Ulaman bercampur selera berbagai;
Ibu dan bapa jika dianiaya,
Hukuman Al Ghafur segera dan TUNAI..

Naik ke pagar jangan ke dahan;
Makan bidara di perdu lama;
Sebaik terdengar laungan azan,
TUNAIKAN segera fardhu yang lima...

Makan keranji dengan siisteri,
Dibuatnya jeruk terasa pandan;
TUNAIKAN janji jangan mungkiri,
Padahnya buruk binasa badan...

Kuat jeriji di pinggirlah hulu,
Selut kelodak sampai ke titi;
Berbuat janji fikirlah dahulu,
Takut tidak TERTUNAI nanti...

Berat kuini bertangkai rendah,
Semalu terang di tepi gua;
Hasrat kini TERTUNAI sudah,
Dahulu seorang kini berdua..





Kalam berpena...
UmmiAin

Thursday, August 21, 2014

Pantun Jiwa Hamba MH17...



BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM...
ASSALAMU’ALAIKUM......




Berkabut hasad mengapa bermula,
Berusung jenazah diulit peristiwa,
Mereka kembali dalam burung besi,
Berlalu sepurnama minggu ke bulan,
Diterjah igauan takkan terpadam,
Ketahui jiwa merobek calar,
Belas dikendung bukan secebis,
Termeterai peristiwa di zahir keras,
Kelam perasaan tafakur tragis,
Dirabak insiden mimpi yang ngeri,
Genting menyua rebah merajuk,
Walaupun harapannya jelaga hangus;
Bersambut jasad tanpa berhela,
Segunung ta’ziah berselit doa,
Tega di hati di balik sabar,
Meluap nadi impian musnahnya,
Hakiki dijamah rasa percaya;
Ketika famili disulam murung berpaksi,
Terlalu lama menunggu tertelan,
Wajah kepiluan seakan dendam,
Dihantui peristiwa rengek menular,
MH17 dirundung badan menangis,
Berkecai jiwa mengalir deras,
Dalam keterpaksaan akur tertulis,
Redha pasrah rela terima,
Sebak perasaan bersemi di diri,
Meranting taqwa tabah memujuk,
Dihimpun rohnya di Syurga Firdaus,
Bersama Mukminin dan Solihin,
Semoga dirahmati Al Khaliq Al Jabbar,
Disetiap trajidi ujian musibahNYA,
Miliki hikmah dan rahsia DIA...

Sama-samalah kita membaca ayat-ayat suci Al Quranul Kareem dan menyedekahkan Surah Al Faatihah buat mereka-mereka yang terlah kembali ke Rahmatullah......



Kalam berpena....
UmmiAin

Sunday, August 10, 2014

Pantun Kemaafan Hari Lembaran...


Assalamualaikum duhai sahabat Ummi sekelian yang sangat dirindui namun jauh di lubok hati anda sekelian tetap dalam ingatan Ummi.... baru kali ini Ummi dapat berpantun di teratak sepi kesayangan, diharap semuanya sihat-sihat belaka terutama pemantun-pemantun yang sentiasa datang berkunjung.... ^^,

Mari kita segera berpantun sementara Syawal masih ada....

Kalau pepohon tiada beburung,
Di batu setimbun berjuntai sawa;
Walau bertahun dosa terkurung,
Di pintu ampun terlerai jua...

Pohon kuini berdahan sasa,
Reputlah jua semakin hampir;
Mohon ampuni kesalahan dosa,
Lembutlah jiwa batin dan zahir..

Ikan kelah siikan jelawat,
Beluga di joran sudahpun mati;
Maafkanlah kesilapan terbuat,
Semoga Lebaran terhimpun erti..

Ulu suasa tangkai sebelah,
Belah haruan perut disimpan;
Malu terasa ada tersalah,
Sudilah tuan seraut kemaafan.

Pohon merimbun bersulam berangan,
Berteduh angsa di dahan selari;
Memohon ampun menggenggam tangan,
Luruhlah dosa celahan jari...

Telah tumbang sepohon ara,
Menampan laluan rapatlah semalu;
Andailah sumbang alun bicara,
Kemaafan tuan amatlah PERLU...

Berangan menjulur dedaun rimbun,
Tanam di lurah basah terendam;
Tangan dihulur ampun dipohon,
Dendam amarah usah dipendam...

Ombak bengis pantai menuju,
Alirnya ngeri merentap sampan;
Kelopak tangis berderai laju,
Kerdilnya diri mengharap kemaafan..

Gerimis lautan membasuh pantai,
Alun melata tiada perlahan;
Manis ikatan meluruh badai,
Ampun dipinta kepadaMU TUHAN...

Bersarang rendah di paya rumpun,
Di dahan tinggi bertenggek merpati,
Di pangkal balak bijian tanjung,
Kelulut bernyawa disimbah gerimis;

Terang sudah cahaya ampun,
Ramadhan pergi mengelek erti,
Syawal menyelak kian menghujung,
Membalut jiwa bertambah manis...


Sekian dahulu buat kali ini, Ummi terpaksa mengundur diri sehingga bertemu di episod yang lain pula... in shaa Allah...salam sayang teramat rindu dikejauhan mata memandang.....


Salam Lebaran Syawal yang kian sampai ke penghujung.... ^^,

Kalam berpena...
UmmiAin