Saturday, July 12, 2014

Pantun Detik...





Bersemi putik buah mengkudu,
Persada bijian lebat sepohon,
Bertanam pandan menyua tirus;
Ummi TERDETIK membawa rindu,
Kepada sekelian sahabat kumohon,
Salam Ramadhan doa sekudus..

Bersiap cantik abaya Arab,
Sangat lawa berhijab kelabu;
Setiap DETIK saya mengharap,
Semangat jiwa meresap kalbu..

Ketumbar diracik siulam papaya,
Menghiris buah dikukus nanti;
Khabar TERDETIK di alam maya,
Semanis ukhwah sekudus hati...

Petik kekwa kelopak bersusun,
Tetapi jangan tepian rimba;
TERDETIK di jiwa hendak berpantun,
Di blog ruangan impian hamba..

Merimbun sirih bertemu urat,
Rapat dedaun dipetik pagi;
Walaupun jerih seribu kudrat,
Dapat berpantun SEDETIK lagi..

Merintik langit di Pulau Kapas,
Sebu pohon tegak meranti;
DETIK seminit jika terlepas,
Seribu tahun tidak ternanti..

Petik manggis masak secerpa,
Padi melambai menyusul petang; 
DETIK manis tidak kulupa,
Menjadi mempelai bersanggul lintang..

Melentik dahan sibuah rambutan,
Buah tua kering di pangkal;
DETIK perpisahan sudah suratan,
Hanyalah doa pengiring amal..

Rintik-rintik hujan di muara,
Arus tepian makinlah naik;
DETIK-DETIK kemerdekaan negara,
Pencetus impian ke arah baik..

Berenang selam siitik serati,
Berenang ke batu bermandi manda;
Terkenang silam TERDETIK dihati,
Terkenang sewaktu di sisi ayahanda..

Batik Jawa dari seberang,
Dipakai mandi biarkan basah;
DETIK bersua suami seorang,
Termeterai abadi takkan berpisah;

Batik basah diampailah rendah,
Ampai sebatu tiang bertali;
DETIK berpisah sampailah sudah,
Sampai waktu terluang kembali....


In shaa Allah..dengan izin Allah pasti bersua lagi in the next episode......salam sayang sedikit kasih buat anda semua..... ^^



Kalam berpena...
UmmiAin

1 comment:

  1. Assalamualaikum,
    Salam Lebaran buat Ummi sekeluarga. Semoga Syawal ini disambut dengan gembira bersama insan2 tersayang. Mohon ampun dan maaf jika ada salah dan silap sepanjang perkenalan.
    Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin... :)

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^