Saturday, July 12, 2014

Pantun Detik...





Bersemi putik buah mengkudu,
Persada bijian lebat sepohon,
Bertanam pandan menyua tirus;
Ummi TERDETIK membawa rindu,
Kepada sekelian sahabat kumohon,
Salam Ramadhan doa sekudus..

Bersiap cantik abaya Arab,
Sangat lawa berhijab kelabu;
Setiap DETIK saya mengharap,
Semangat jiwa meresap kalbu..

Ketumbar diracik siulam papaya,
Menghiris buah dikukus nanti;
Khabar TERDETIK di alam maya,
Semanis ukhwah sekudus hati...

Petik kekwa kelopak bersusun,
Tetapi jangan tepian rimba;
TERDETIK di jiwa hendak berpantun,
Di blog ruangan impian hamba..

Merimbun sirih bertemu urat,
Rapat dedaun dipetik pagi;
Walaupun jerih seribu kudrat,
Dapat berpantun SEDETIK lagi..

Merintik langit di Pulau Kapas,
Sebu pohon tegak meranti;
DETIK seminit jika terlepas,
Seribu tahun tidak ternanti..

Petik manggis masak secerpa,
Padi melambai menyusul petang; 
DETIK manis tidak kulupa,
Menjadi mempelai bersanggul lintang..

Melentik dahan sibuah rambutan,
Buah tua kering di pangkal;
DETIK perpisahan sudah suratan,
Hanyalah doa pengiring amal..

Rintik-rintik hujan di muara,
Arus tepian makinlah naik;
DETIK-DETIK kemerdekaan negara,
Pencetus impian ke arah baik..

Berenang selam siitik serati,
Berenang ke batu bermandi manda;
Terkenang silam TERDETIK dihati,
Terkenang sewaktu di sisi ayahanda..

Batik Jawa dari seberang,
Dipakai mandi biarkan basah;
DETIK bersua suami seorang,
Termeterai abadi takkan berpisah;

Batik basah diampailah rendah,
Ampai sebatu tiang bertali;
DETIK berpisah sampailah sudah,
Sampai waktu terluang kembali....


In shaa Allah..dengan izin Allah pasti bersua lagi in the next episode......salam sayang sedikit kasih buat anda semua..... ^^



Kalam berpena...
UmmiAin

Tuesday, July 8, 2014

Pantun Dapat...







Merimbun sirih bertemu urat,
Rapat dedaun dipetik pagi;
Walaupun jerih seribu kudrat,
DAPAT berpantun sedetik lagi..


As salam...khusus buat sahabat Ummi yang dirindui.....dengan iringan doa semoga kalian sihat dan sentiasa diberkati di bulan mulia bulab Ramadhan ini....aamiin.....kali ini pantun RAPAT yang berkait rapat dengan kehidupan kita sehari-hari.....dengan senyuman lebar hingga ke telinga Ummi rangkumkan pantun RAPAT buat semua ya.... jom kita berpantun sila...oo...sila..


Relas pulasan buahnya elok,
Markisa dicari hala ke hutan;
Belas ehsan sesama makhluk,
Dosa dipagari pahala KEDAPATAN..

Menjala sepat di kaki bukit,
Bengkaklah jari amat berbisa;
Tatkala MENDAPAT rezeki  sedikit,
Hendaklah mensyukuri nikmat Yang Esa..

Masak ketereh selebat buah,
Cepat dimakan di perdu kelapa;
Anak yang soleh amat bertuah,
DAPAT mengimamkan ibu bapa..

Mengimbau rapat awan membiru,
Persada cahaya menyapa bayangan;
Kalau MENDAPAT kawan yang baru,
Kepada saya dilupa jangan..

Melentik ikan di hulu cangkat,
Ikan mati sepat dan tamban;
Detik dirasakan terlalu singkat,
Segera berbakti DAPAT kebaikan..

Cepat jalannya di simpang laluan,
Laluan gelap pacat menyula,
Bidara melantun di perdunya kelapa;
DAPAT kiranya tuan dan puan,
Maafkan silap dan cacat cela,
Bicara pantun sekadarnya rupa...


Sekian sahaja dari Ummi...diharap teman sekelian sudi berpantun di blog Ummi....teruskan dengan pantun anda ya... ^^



Kalam berpena..
UmmiAin

Wednesday, July 2, 2014

Pantun Jiwa Hamba Puasa Keempat..





Assalamualaikum dipagi Rabu yang sunyi...kini kudatang bersama PANTUN JIWA RAMADHAN PUASA KEEMPAT khusus buat sahabat Ummi sekelian yang disayangi dan diingati....


Kasa berlipat bertindan kelambu,
Nipis kasa berbalut sulam;
PUASA KEEMPAT belahan Rabu,
Secebis rasa seraut salam.. 

Baki remah diberi makan,
Angsa makan berebut-rebut;
Miliki hikmah dan keutamaan,
Puasa dijanjikan Allah Syurga Khuld..

Ikan di kuala di pancang sebulan,
Arus sayangnya meredah jeram;
Janjikan pahala sepanjang amalan,
Bertadarrus siangnya hinggalah malam..


Wallahualam..


..yang tidur sepenuh kelopak mata, makan seluas mulut, tertawa selebar bibir, dan menggunakan waktu untuk bermain dan kesia-siaan, mustahil termasuk orang-orang yang menang {Hasan Al-Banna}


Kalam berpena...
UmmiAin

Tuesday, July 1, 2014

Pantun Jiwa Hamba Puasa Ketiga...





Assalam...ini pula pantun jiwa hamba PUASA KETIGA buat tatapan sahabat sekelian...kesinambungan dari entri yang baru lepas....ringkas sahaja dan Ummi harapkan sahabat sekelian singgah berpantun....sila oo sila.. ^^,



Angkasa berbintang dimalam syahdu,
Malam bermanja terasa lega; 
Selasa kudatang salam merindu, 
Salam teruja puasa ketiga.. 

Rambai dipetik dirembat helang,
Bertahan juga angin perkasa; 
Melambai detik cepat berulang, 
Ramadhan ketiga muslimin berpuasa.. 

Menjamah sirih helaian satu, 
Namun terasa kelat dilidah; 
Hikmah diperoleh bahagian tertentu, 
Diampun dosa solat beribadah.. 


Wallahualam..


Kalam berpena..
UmmiAin