Saturday, April 26, 2014

Pantun Segera....



Bismillahirrahman nirrahim....




Assalamu'alaikum buat sahabat yang Ummi rindui selalu......baru kini dapat bertemu dek kerana kesuntukan waktu, namun pantun tetap dihati dan jiwaku.....alhamdulillah dapat kembali lagi kerana rindu...diharapkan semoga sahabat sekelian beroleh kesihatan yang padu selalu....aamiin..

Seperti yang telah lepas, pantun kali ini juga berlainan tema tapi berlainan makna jika diimbuhkan....kita berpantun dengan perkataan SEGERA, SEGERAKAN, SEGERALAH, DISEGERAKAN dll....

Jangan malu dan segan wahai rakan-rakan baru dan lama dan mantan....macam-macam....jom kita berpantun sekali lalu......ya...


Rambai lebat kelami dahan,
Memaku pusara merentang gua;
Duhai sahabat Ummi tertahan,
Daku SEGERA datang bersua..

Ulam mengkudu selera tambatan,
Mentimun dihiris denganlah kentang;
Salam syahdu SEGERA kusampaikan,
Pantun secebis SEGERALAH datang..

Bumi tertambat bayangnya senja,
Meruntun hujan bertemu awan;
Ummi terlambat bukannya sengaja,
Pantun KUSEGERAKAN untukmu tuan...

Tarik joran ikan sedepa,
Muara berkelodak terasalah mengah;
Sebaik kedengaran azan menyapa,
BERSEGERALAH anak usah berlengah..

Ikan belanak taruhan bubu,
Hendak menjala menanti tunda;
DISEGERAKAN anak suruhan ibu,
Kelak pahala pasti berganda.

Muara bukan sebarang muara,
Menghala daik berpisah hulu;
SEGERA bukan sebarang SEGERA,
Segala yang baik hendaklah selalu....

Dara Pasai menyala pelita,
Bonda merendam kain basahan;
SEGERA selesai segala sengketa,
Tiada dendam angin permusuhan..

Sebelah muara arus deruan,
Diwaktu berangin mengutip lokan;
Hendaklah BERSEGERA urus kematian,
Fardhu Ain wajib DISEGERAKAN...

Makan rendang dibubuh kelapa,
Anggunlah dara sambil menyenduk;
Azan kumandang Subuh menyapa,
Bangunlah SEGERA mengambil wudhuk..

Kalau mentari merentang bukit,
Semarhalah tinggi cahayanya kendur;
Kalau diri datang penyakit,
SEGERALAH pergi berjumpa doktor..

Senduduk tumbuh di dahan rendang,
Mulalah lebat sibunga markisa;
Beduk ditabuh azan kumandang,
BERSEGERALAH umat berbuka puasa..

Sebungkus lada dimayang direndam,
Cendawan sebesen dibelah dimakan;
Khusus kepada anda yang peminjam,
Bayaran PTPTN wajiblah DISEGERAKAN...

Enau berdiri menghalang markisa,
Buah ternyata melentuk lebat;
Kalau diri bergalang dosa,
BERSEGERALAH kita untuk bertaubat..

Nangka berbuah bertindan bangku,
Lentuklah dahan dibantu papan;
Jika tersalah tingkah dan laku,
Eloklah SEGERAKAN bermaaf-maafan..



Samapi di sini dahulu buat kali ini hingga dilain episod dan tema, Ummi memohon berundur diri untuk mencari ilham dan idea yang lain pula...terasa rindu semakin membelit disanubari, namun Ummi ambil kesempatan untuk memohon maaf jika ada sebarang silap dan kata sewaktu berpantun....dan atas kelewatan Ummi mengemaskini teratak Ummi yang kian sepi ini.....salam sayang teramat dalam buat anda sekelian dengan iringan doa semoga anda semua ceria dan sentiasa sihat wal'afiat....



Kalau bersilih awan membiru,
Menyapa bayangan persada bumi;
Kalau beroleh kawan yang baru,
Dilupa jangan kepada Ummi....




Kalam berpena...
UmmiAin

1 comment:

  1. dah lama tak makan mi segera
    hehe

    Botol budu botol cuka,
    Masuk waktu solat segera.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^