Tuesday, April 8, 2014

Pantun Jiwa MH370...

 
Bismillahirrahman nirrahim.....


Pelam harum dimakan Dara,
Dara beradap menumbuk lesung;
Assalamu'alaikum pembukaan bicara,
Bicara mengharap untuk MH370...

Tilan dicekau sebelah denai,
Tiak di bendang mengusung padi;
Persoalan melangkau belumlah terurai,
Hendak kupandang MH370 bernadi..

Kolah surau di lorong sisi,
Lorong sisi sarangnya tempua;
Pulanglah dikau si burung besi,
Burung besi membawa nyawa..

Landai teratak perahu deli,
Ikan melata entah bernyawa;
Andai tidak mahu kembali,
Kirimkan berita sepatah dua..

Santai terserlah diri empunya,
Sering ke surau cuma berDhuha;
Andai Allah Mengunci TakdirNya,
Ku iring dikau bersama reha..

Petunia dikarang bersulam lima,
Keliling sangkar telah dililit;
Dunia sekarang di dalam dilema,
Paling sukar palinglah sulit..

Bunga angsana mulus basahi,
Berwarna merah di dahan tua;
Semoga terlena di Firdaus Ilahi,
Redha pasrah belahan jiwa..

Setangkai kuini dijamu Tengku,
Merekah nyata tidak termakan;
Andai ini ujianMU Ya Tuhanku,
Siapakah kita berhak persoalkan..

Tidur siintan berpaut bonda,
Basah di pipi meminta dibelai;
Lekas sebak jangan tangisi;
Di koridor Selatan Laut persada,
Usah ketepi airmata berjurai,
Sederas ombak menelan isi..



Jiwa hamba...

 Rintihanlah bersemi jiwa membelah,
Terumbang di mata pertikainya hala;
Angin dan cahaya tiadakah peduli,
Walaupun seluruh Selatan dikesan arah;
Kasihanilah kami semua Ya Allah,
Bimbang berita sampainya bila,
Mungkin bahagia akankah kembali,
Ataupun keruh lautan tangisan darah...


Sampai jumpa lagi, salam kasih sayang berderai selasih buat semua sahabat-sahabat Ummi......i'll be back...in shaa Allah... ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

9 comments:

  1. Replies
    1. Hendak ke rimba sampai ke kebun,
      Sampai kepada laluan gua;
      Tidak hamba pandai berpantun,
      Andai tiada tuan semua..

      Delete
  2. Replies
    1. Dalam sebulan masuk GAPENA,
      Bangga hasrat harus ditampung;
      Salam perkenalan untuk Safina,
      Semoga erat terus berkunjung.. ^^,

      Delete
  3. ummi kami....
    tolong la saya karang pantun jual....

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^