Saturday, April 26, 2014

Pantun Segera....



Bismillahirrahman nirrahim....




Assalamu'alaikum buat sahabat yang Ummi rindui selalu......baru kini dapat bertemu dek kerana kesuntukan waktu, namun pantun tetap dihati dan jiwaku.....alhamdulillah dapat kembali lagi kerana rindu...diharapkan semoga sahabat sekelian beroleh kesihatan yang padu selalu....aamiin..

Seperti yang telah lepas, pantun kali ini juga berlainan tema tapi berlainan makna jika diimbuhkan....kita berpantun dengan perkataan SEGERA, SEGERAKAN, SEGERALAH, DISEGERAKAN dll....

Jangan malu dan segan wahai rakan-rakan baru dan lama dan mantan....macam-macam....jom kita berpantun sekali lalu......ya...


Rambai lebat kelami dahan,
Memaku pusara merentang gua;
Duhai sahabat Ummi tertahan,
Daku SEGERA datang bersua..

Ulam mengkudu selera tambatan,
Mentimun dihiris denganlah kentang;
Salam syahdu SEGERA kusampaikan,
Pantun secebis SEGERALAH datang..

Bumi tertambat bayangnya senja,
Meruntun hujan bertemu awan;
Ummi terlambat bukannya sengaja,
Pantun KUSEGERAKAN untukmu tuan...

Tarik joran ikan sedepa,
Muara berkelodak terasalah mengah;
Sebaik kedengaran azan menyapa,
BERSEGERALAH anak usah berlengah..

Ikan belanak taruhan bubu,
Hendak menjala menanti tunda;
DISEGERAKAN anak suruhan ibu,
Kelak pahala pasti berganda.

Muara bukan sebarang muara,
Menghala daik berpisah hulu;
SEGERA bukan sebarang SEGERA,
Segala yang baik hendaklah selalu....

Dara Pasai menyala pelita,
Bonda merendam kain basahan;
SEGERA selesai segala sengketa,
Tiada dendam angin permusuhan..

Sebelah muara arus deruan,
Diwaktu berangin mengutip lokan;
Hendaklah BERSEGERA urus kematian,
Fardhu Ain wajib DISEGERAKAN...

Makan rendang dibubuh kelapa,
Anggunlah dara sambil menyenduk;
Azan kumandang Subuh menyapa,
Bangunlah SEGERA mengambil wudhuk..

Kalau mentari merentang bukit,
Semarhalah tinggi cahayanya kendur;
Kalau diri datang penyakit,
SEGERALAH pergi berjumpa doktor..

Senduduk tumbuh di dahan rendang,
Mulalah lebat sibunga markisa;
Beduk ditabuh azan kumandang,
BERSEGERALAH umat berbuka puasa..

Sebungkus lada dimayang direndam,
Cendawan sebesen dibelah dimakan;
Khusus kepada anda yang peminjam,
Bayaran PTPTN wajiblah DISEGERAKAN...

Enau berdiri menghalang markisa,
Buah ternyata melentuk lebat;
Kalau diri bergalang dosa,
BERSEGERALAH kita untuk bertaubat..

Nangka berbuah bertindan bangku,
Lentuklah dahan dibantu papan;
Jika tersalah tingkah dan laku,
Eloklah SEGERAKAN bermaaf-maafan..



Samapi di sini dahulu buat kali ini hingga dilain episod dan tema, Ummi memohon berundur diri untuk mencari ilham dan idea yang lain pula...terasa rindu semakin membelit disanubari, namun Ummi ambil kesempatan untuk memohon maaf jika ada sebarang silap dan kata sewaktu berpantun....dan atas kelewatan Ummi mengemaskini teratak Ummi yang kian sepi ini.....salam sayang teramat dalam buat anda sekelian dengan iringan doa semoga anda semua ceria dan sentiasa sihat wal'afiat....



Kalau bersilih awan membiru,
Menyapa bayangan persada bumi;
Kalau beroleh kawan yang baru,
Dilupa jangan kepada Ummi....




Kalam berpena...
UmmiAin

Tuesday, April 8, 2014

Pantun Jiwa MH370...

 
Bismillahirrahman nirrahim.....


Pelam harum dimakan Dara,
Dara beradap menumbuk lesung;
Assalamu'alaikum pembukaan bicara,
Bicara mengharap untuk MH370...

Tilan dicekau sebelah denai,
Tiak di bendang mengusung padi;
Persoalan melangkau belumlah terurai,
Hendak kupandang MH370 bernadi..

Kolah surau di lorong sisi,
Lorong sisi sarangnya tempua;
Pulanglah dikau si burung besi,
Burung besi membawa nyawa..

Landai teratak perahu deli,
Ikan melata entah bernyawa;
Andai tidak mahu kembali,
Kirimkan berita sepatah dua..

Santai terserlah diri empunya,
Sering ke surau cuma berDhuha;
Andai Allah Mengunci TakdirNya,
Ku iring dikau bersama reha..

Petunia dikarang bersulam lima,
Keliling sangkar telah dililit;
Dunia sekarang di dalam dilema,
Paling sukar palinglah sulit..

Bunga angsana mulus basahi,
Berwarna merah di dahan tua;
Semoga terlena di Firdaus Ilahi,
Redha pasrah belahan jiwa..

Setangkai kuini dijamu Tengku,
Merekah nyata tidak termakan;
Andai ini ujianMU Ya Tuhanku,
Siapakah kita berhak persoalkan..

Tidur siintan berpaut bonda,
Basah di pipi meminta dibelai;
Lekas sebak jangan tangisi;
Di koridor Selatan Laut persada,
Usah ketepi airmata berjurai,
Sederas ombak menelan isi..



Jiwa hamba...

 Rintihanlah bersemi jiwa membelah,
Terumbang di mata pertikainya hala;
Angin dan cahaya tiadakah peduli,
Walaupun seluruh Selatan dikesan arah;
Kasihanilah kami semua Ya Allah,
Bimbang berita sampainya bila,
Mungkin bahagia akankah kembali,
Ataupun keruh lautan tangisan darah...


Sampai jumpa lagi, salam kasih sayang berderai selasih buat semua sahabat-sahabat Ummi......i'll be back...in shaa Allah... ^^,



Kalam berpena...
UmmiAin

Sunday, April 6, 2014

Pantun Puas....


BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM..





Masihkah ada rindu...hehe

Assalamu'alaikum secangkir selasih buat sahabat-sahabatku sekelian yang tersayang terutama pemantun-pemantun yang datang memberi pantun terutama sahabat Ummi Bin Muhamad, Cikgu Teh Ramuan dan ramai lagi pemantun-pemantun hebat yang sering datang ke teratak Ummi yang sepi ini.....

Doa agar semuanya di dalam kerahmatan Allah SWT....aamiin...Ummi sudah agak lama tidak menampilkan pantun dan sekarang rindu semakin menjalar kembali di sanubari lantas jari jemari terus menari.....

Seperti tema yang lepas, Ummi menampilkan tema PUAS dengan imbuhan yang merungkaikan berbagai maksud misalnya PUASKAN, KEPUASAN, SEPUAS-PUAS, dan sebagainya....agar senang untuk mengolah pantun, namun harapan Ummi janganlah ada sebarang ungkapan yang berbaur sumbang dan menyimpang dari tema dan konsep asal blog ini yang mementingkan KEINDAHAN, KEIKHLASAN, HARMONI, MAHAKARYA dan PENYAMPAIAN BERKESAN....selain dari itu Ummi tak benarkan sama sekali....harap faham demi kepentingan perasaan semua...

Oklah, mari kita teruskan berpantun, jangan malu dan segan, kalau segan sorokkan muka yang cun dan tampan tu....hehe....serius, jom kita berpantun....




Serumpun lengkuas tumbuh di parit,
Melebar daun bertemu laluan;
Pantun PUAS utuh tercoret,
Selembar pantun untukmu tuan..

Lebat mengkudu pepohon tinggi,
Galah beruas dicuba sahaja;
Tempat mengadu bertahun  pergi,
Belumlah PUAS hamba bermanja...

Sawah meluas suburnya padi,
Padi setangkai masak secupak;
Sudah PUAS ku taburnya budi,
Budi serangkai tidak ternampak...

Galah beruas ditemu lagi,
Bertemu cuma dahan yang genting;
Janganlah PUAS berilmu tinggi,
Ilmu agama lagikan penting.

Rebah cemara dahan melentur,
Buah direlas bolehlah capai;
Tambah selera belacan dicampur,
Lagilah PUAS ditambah cabai...

 Nisan redup bunga angsana,
Bersirat pegaga tepian pangkal;
KEPUASAN hidup di dunia fana,
Di akhirat juga abadi dan kekal..

Basah tempias lautan redup,
Lautan berkabut sepi benua;
Usah BERPUAS kenikmatan hidup,
Kenikmatan disebut daki dunia..

Sampan dibawa masuk ke hulu,
Gerimis hari setempias-tempiasnya;
Harapan kecewa menusuk pilu,
Menangis diri SEPUAS-PUASNYA..

Beruas tebu merimbun batang,
Entah bersarang itik dan denak,
PUAS siibu walaupun berpantang,
Berpatah arang mendidik si anak..

Sawah meluas merata kebun,
Keringat berganda padi bertanam;
Usah BERPUAS harta menimbun,
Ingat kepada budi segenggam..

Berwakaf kawasan sebelah kebun,
Tanah sejengkal pulau berbukit;
Maaf kupohonkan tersalah pantun,
Tak pernah kusangkal walau sedikit..

Seruntun bumi akarnya jarang,
Tegap batang tidaklah tinggi;
Pantun Ummi lembarnya kurang,
Harap datang sambunglah lagi,


Sehingga ketemu lagi, salam sayang selasih lagi....buat anda semua.....jangan serik untuk datang berpantun di blog Ummi......ya... ^^

Kalam berpena....
UmmiAin