Tuesday, March 25, 2014

Pantun Ingat....




....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Assalamu'alaikum salam merindu di angin terapung khusus buat sahabat-sahabat yang telah agak lama Ummi tinggalkan.....betapa sendu, rindu dan terharu di hati ini kerana baru kini dapat bersua dengan sahabat-sahabat tersayang terutama pemantun-pemantun setia Ummi.....banyak benar peristiwa yang telah berlaku dalam tempuh tiada di pandangan mata......hanya kesabaran dalam kepiluan meratah hati perlahan-lahan...namun pantun juga yang menjadi terapi hati....baiklah tanpa berlengah dan membuang masa..... SEINGAT Ummi agak sebulan lebih juga Ummi tiada berpantun di teratak kesayangan ku ini.....

Kini dalam tema INGAT, mari kita garapkan perkataan dengan menambahkan imbuhan seperti INGATAN, PERINGATAN, INGATLAH dan sebagainya yang maknanya pun berbeza-beza......

Jom kita berpantun bersama Ummi ya....



Kelam lautan mentari berlalu,
Kelam samudera deru meninggi;
Salam INGATAN dari dahulu,
Salam mesra bau mewangi..

Kelapa rebah biji terbelah,
Tiada santan kelapanya tua;
Ditimpa musibah diuji Allah,
Tanda PERINGATAN kepada semua.

Menjamah ulam kobis memutih,
Perangat ikan bercampur rasa;
Di tengah malam menangis sedih,
TERINGAT badan berlumur dosa...

Hangat keringat berteman senja,
Jangan bermalam di tasik sebu;
TERINGAT-INGAT zaman remaja,
Kenangan lama mengusik kalbu..

Hangat samudera sauh terapung,
Selisih kapal rentap kemudi;
TERINGAT saudara jauh di kampung,
Kasih bergumpal tetap semadi..

Simbah tuba jerami bertabur,
Ikan berenang mati di kolah;
Musibah dicuba kami bersyukur,
Hatikan tenang MENGINGATI Allah..

Keliling titi menjelma ikan,
Berpisah renang di celah bantu;
Saling MENGINGATI sesama rakan,
Susah senang selalulah bantu.

Lokan dicari siputnya kenyal,
Lada dan halia belah persatu;
INGATKAN diri dijemputnya ajal.
Muda berusia Allah Penentu.

Sebelah pekan redah membeli,
Nasi kandar di kedai India;
Telah DIINGATKAN sudah berkali,
Topi kaledar dipakai sedia...

Keringat hangat dilap tuala,
Tuala warna biru berkotak;
BERINGAT-INGAT setiap bermula,
Bila terkena baru tersentak..

Belah tebu bawa dikendong,
Ranting berangan mati beronak,
INGATLAH ibu yang tua di kampung,
Kucing kesayangan pengganti anak..

Keladi dilengat tentu termasin,
 Dicampur santan gula terkurang;
 Budi sekepuk waktu kelmarin,
 Subur DIINGAT hingga sekarang....

Awan tersasar purnama dingin,
 Lautan dengus rentap kemudi;
 Kawan membesar sama bermain,
 INGATAN kudus tetap semadi....

Tulang gigitan dimakan baja,
Sedikit dibawa ke hulu titi;
Hilang INGATAN bukan sengaja,
Sakit jiwa yang perlu diubati...

Kelam lautan perkasa ombak,
Lebat curahan menghapus keringat;
Dalam INGATAN sentiasa ternampak,
Sahabat sekelian pencetus semangat.

Malam meniti pesona angkasa, 
Dingin angkasa bertamu gegaran;
Kalam berhenti kerana masa,
Di lain masa bertemu siaran....



Izinkan Ummi berundur dahulu buat seketika namun ku akan tetap kembali lagi dengan rangkapan pantun berlainan tema....insyaAllah....
Ummi harap sahabat sekelian sudilah datang ke sini kerana Ummi telah kembali.....ya....

Salam sayang selasih berderai.......buat semua... ^^,




Kalam berpena...
UmmiAin

4 comments:

  1. As salam kak ummi...ape khabar yer? Harap2 sihat sentiasa.

    Ingatan ikhlas tandanya cinta
    Tanda kasih sesama kita
    Hilang di mata lumrah dunia
    Di hati kekal abadi selamanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Hafiz,,. alhamdulillah sihat... :)

      Gelang permata delima kisar,
      Gelang Rusia berbatu karat;
      HILANG di mata cuma sebentar,
      HILANG di dunia menuju akhirat...

      Delete
  2. Melakar pantun teringat Cik Ummi,
    Betapa lama tiada khabar
    Ingatan kasih kian bersemi,
    Merapat ukhwah bergilis khabar,

    ReplyDelete
  3. Hangat meranti pohonnya rendah,
    Setangkai rambutan kuat memaku;
    TERINGAT Cik Siti pantunnya indah,
    Sebagai INGATAN ku buat buku...

    Tq Siti. ^^,

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^