Monday, February 24, 2014

Pantun Datang...



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Salam merindu semesra alam, salam ku sampai buat teman-teman, apakah gerangan sudah dilupakan... atau rajuk yang berpanjangan...Ummi muncul ketika masa terlalu cemburu dan kesibukan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi buat keluarga tercinta yang baharu sahaja kehilangan  tiga orang tersayang dalam keluarga sebelah suami......semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh mereka-mereka yang telah pergi.....aamiin...

Sebelum diteruskan, doa Ummi semoga sekelian sahabat sentiasa di dalam limpahan kasih sayang Alah SWT.....aamiin....sudah agak berminggu juga Ummi tidak muncul mengemaskinikan teratak Ummi buat seketika....namun hati dan jiwa adalah 100% kecintaan ku kepada pantun...baiklah... ^^

Sepertimana tema Ummi yang telah lalu, Ummi garapkan tema DATANG yang mana boleh ditokok tambah imbuhan menjadi PENDATANG, MENDATANG, DATANGI, DATANGKAN,  KEDATANGAN dan sebagainya yang relevan..... makna ataupun maksud yang berlainan..... 

Seterusnya Ummi mengharapkan kunjungan dari rakan-rakan setia Ummi kerana tanpa anda siapalah Ummi, dan setiap komen dan pantun anda adalah pencetus semangat Ummi untuk terus berkarya......Alhamdulillah... ^^

Sekarang terimalah selembar pantun dariku yang sekadarnya....




Tenggelam muara gelemat petang,
Kabut di awan mula meruntun;
Salam semesra selamat DATANG,
Jemput tuan sila berpantun ...

Tuba gelama medak di muara,
Terang petang disangka meruntun;
Hamba lama tidak bermesra,
Sekarang DATANG membuka pantun.

Terbuka renda tertanggal butang,
Kebaya Cik Siti butang selari;
Jika tiada aral melintang,
Saya pasti DATANG kemari.

Harum temili gula sesudu,
Makan tumpi dan pisang embun;
Sebelum kembali bermula rindu,
Izinkan Ummi DATANG berpantun..

Kontang bumi membias toman,
Lalang kering menyelak gua;
DATANG Ummi berhias senyuman,
Pulang beriring gelak ketawa.

Sejadah dibentang hendak sembahyang,
Dibentang siapa tepi beringin;
Sudah DATANG sebak dan sayang,
DATANG menyapa disepi Isnin..

Menyula merah pelangi lawa,
Semarhalah ufuk seakan kembar;
Pabila amarah MENDATANGI jiwa,
Segeralah berwudhuk banyakkan istighfar.

Jala diguna merentang laut,
Ikan menyambar sekoyan kelah;
Bala bencana DATANG berpaut,
Banyakkan bersabar ujian Allah.

Berseri bintang hanya setempat,
Gemerlap cantik bersulam lawa;
Hari MENDATANG perginya cepat,
Setiap detik merakam peristiwa.

Purnama indah menjejak pungguk,
Syahdu mula terbahagi dua;
Lama sudah tidak menangguk,
Rindu pula MENDATANGI jiwa..

Kelah dimakan jenahak sasa,
Di batang pancing sirip melekit;
Telah disarankan pihak berkuasa,
PENDATANG asing wajib berpermit...

Bentangkan sireh bertindan selayang,
Urat setara berhelai daun;
DIDATANGKAN kasih cinta dan sayang,
Erat antara termeterai susun..

Jangan awan cuba mencurah,
Titi di hulu akan tenggelam;
KEDATANGAN tuan hamba berserah,
Hati dahulu bukan semalam....hehe


Harapan Ummi agar sahabat-sahabat pemantun teruskan tampil dengan pantun tersendiri....sekadarnya tidak mengapa......ya...Sampai di sini dahulu Ummi bermohon pergi, insyaAllah di lain masa dan detik Ummi pasti akan kembali lagi menemui tuan puan semua ya... ^^
Salam sayang teramat kasih buat semua para sahabat Ummi yang budiman....teruskan berpantun... ^^




Kalam berpena....
UmmiAin

3 comments:

  1. Assalamualaikum, Ummi lama juga saya tidak bertandang ke sini. Bagaimana dengan projek penulisan? Apa perkembangannya?

    P/S: Buku saya kumpulan cerpen remaja: Tetamu Istimewa terbitan ITBM telah pun terbit. Jika Ummi berminat boleh pesan terus dengan saya. Stoknya masih ada. Maklumat lanjut boleh rujuk entri statik di blog saya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. apa khabar kak ummi, mak mertua pilihan 1 malaysia.. semoga sihat ya... ..

    Datang Hamba Datang Berhajat
    Membawa sireh dan daun ketupat
    Menjemput kak umi bersolat hajat
    Berdoa Memohon MH370 selamat
    ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Disambar naik ke tepi kolah,
      Berderu siput meredah huma;
      Khabar baik Alhamdulillah,
      Baru disebut sudah menjelma..

      Melata hama bulat pepijat,
      Kayu cemara bersambung tali;
      Kita bersama bersolat hajat,
      Merayu segera MH370 kembali....

      Tq Hairul nantu pilihan no one... :)

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^