Monday, January 20, 2014

Pantun Tegur...



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Assalamu'alaikum secangkir madu menggalas rindu..... padamu tuan puan, sahabat-sahabat yang Ummi hormati lagi disayangi, yang sangat rajin datang singgah dan sentiasa tidak jemu-jemu datang berpantun di pondok Ummi yang sederhana ini terutama En Bin Muhammad dan Cikgu Teh..... pantun mereka ini sungguh indah dan cantik, sentiasa terbuku dalam kamus microsoft Ummi...........

Baiklah.....Ummi garapkan pantun berimbuhan bertemakan TEGUR.....seperti yang Ummi jelaskan dalam entri yang lepas, kali ini mari kita mengarang pantun bertemakan TEGUR dan menambahkan imbuhan menjadi DITEGUR, MENEGUR, TEGURAN dan sebagainya ya....

Jom kita berpantun bersama.......



Pelam terjulur pelam yang harum,
Daun bertabur belum bersapu;
Salam ku hulur bersulam senyum,
Pantun TEGUR senyum tersipu.... ^__^

Kecur gelugur lama di dahan,
Sarat buah menyembah bumi;
TEGUR-MENEGUR sesama insan,
Erat ukhwah tambah bersemi.

Tadah anggur delima dan kundang,
Kelapa pandan jejak ke muara;
Sudah ku TEGUR lama ku pandang,
Mengapa tuan tidak bersuara.

Ringan sarang telurnya kurang,
Melingkar senduk di bawah aras;
Jangan sebarang MENEGURnya orang,
Kembar pelanduk wajah seiras.

Kalau sauh menampung haluan,
Haluan ke timur dimalam sepi;
Walau jauh ku teropong tuan,
Tuan ku TEGUR di dalam mimpi.

Ringan sarang telurnya kurang,
Melingkar senduk di bawah aras;
Jangan sebarang MENEGURnya orang,
Kembar pelanduk wajah seiras.

Joran dan bubu masih diuji,
Di tempat keruh ada belanak;
TEGURAN ibu seputih salji,
Dapat membasuh dosa si anak.

Serlah melati putih melawa,
Seri subur jambangan seranting;
Bukalah hati jernih dijiwa,
Diri DITEGUR jangan melenting.

Gelugor merah lecur sebelah,
Diangkut sepeti ke hujung desa;
DITEGUR marah tak TEGUR salah,
Takut nanti menanggung dosa.

Joran dan bubu menanti sambar,
Rumbia tua terlekat berat;
TEGURAN ibu mesti didengar,
Bahagia dunia selamat di akhirat.

Joran dan bubu masih diuji,
Di tempat keruh ada belanak;
TEGURAN ibu seputih salji,
Dapat membasuh dosa si anak.

Bersilau terang bumi berunggun,
Asap menghambur api membalas;
Kalau terkurang Ummi berpantun,
Harap DITEGUR hati yang ikhlas.


Sampai di sini dahulu Ummi menemui tuan puan dan sahabat pemantun.....insyaAllah di lain masa dan ketika dengan tema yang lain pula........salam sayang sedikit-sedikit namun di hati tetap terjahit..... ^^


Sekali bumi melipat awan,
Takkan redup Lautan Mati;
Sekali Ummi mendapat kawan,
Akan termaktub disudut hati.

Sekali suami menghala kebun,
Bersepatu Jepun tumitnya melecet;
Sekali Ummi mula berpantun,
Akan ku pantun hingga bercicit...hehe




Kalam berpena...
UmmiAin

4 comments:

  1. Hehe. Macam terkena pada saya pula pantun-pantun ni.

    Jarang sudah datang bertapa,
    Membeli pantun karangan kak Ummi,
    Bukan tak nak menegur sapa,
    Cuma sibuk membelit diri.

    Hehe. Tegur menegur amalan mulia. :)

    ReplyDelete
  2. Haha.....Yaka....apapun Wan, ni cuma pantun yang keluar dari hati kak Ummi...... ^__^

    Remang bumi kenari berlagu,
    Berlagu rawan di batang gelugur;
    Memang kak Ummi berhari menunggu,
    Menunggu Wan datang MENEGUR...

    Terimakasih ya Wan.....datang lagi singgah berpantun, kak Ummi suka... ^^

    ReplyDelete
  3. Pagi subuh makan telur,
    Dua biji untuk seorang;
    Biar jauh tetap bertegur,
    Ada rezeki kita datang.

    ReplyDelete
  4. Assalam Ummi .. salam hujung minggu. dtg menegur ummi kerana rindu menggamit.. =)

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^