Tuesday, January 7, 2014

Pantun Sangka-sangka....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Jom sama-sama kita berpantun......^^

Julur mempelam berkait daun,
Daun nangka rendah di batang;
Ku hulur salam bait berpantun,
Pantun Sangka-sangka sudah datang.

Terang benderang sangkar dibuka,
Naik merbuk menyambar tali;
Orang sekarang gemar bersangka,
Baik buruk kembar sekali.

Tegap rangka tulang berusia,
Lebar selangka di kanan bahu;
Sikap bersangka menghalang manusia,
Gemar bersangka manakan tahu.

Terbuka butang baju berbulu,
Satin indah terbuka koyak;
Bersangka datang selalu melulu,
Rajin beribadah disangka riak.

Sesah pahat di segi bata,
Mengah memahat dahan mempalas;
Usah melihat membabi buta,
Tengah berehat disangkakan malas.

Sampai senja di dalam sampan;
Muka garang PakNdak menangguk;
Pakai kemeja hensem dan tampan,
Disangka orang hendak menunjuk.

Rambai jeruk sibuah mangga,
Bukan sembarang masin bergula;
Pakaian buruk begitulah juga,
Disangkakan orang miskin pula.

Tamar dan cuka saranan Sunnah,
Sapukan minyak jika mustajab;
Gemar bersangka kenan fitnah,
Makan banyak disangka pelahap.

Lalu camar tingkap dibuka,
Hutan bukit ada sederet;
Terlalu gemar sikap bersangka,
Makan sedikit disangka diet.

Kalau harum nangka dipetik,
Nangka ditanam buahnya busuk;
Kalau senyum disangkanya mengejek,
Bermuka masam disangkalah merajuk.

Kuah rendang buka ketupat,
Rendang ayam berkuah kari;
Tengah berbincang disangka mengumpat,
Orang pendiam dikatalah menyendiri.

Lalu camar kudup terbuka,
Dihalau nyonya burungnya merbuk;
Selalu gemar hidup bersangka,
Kalau bertanya disangkanya penyibuk.

Kerisek lada masakan tauhu,
Menanti lada makan berjeruk;
Asyik bersangka manakan tahu,
Pasti ada kebaikan tersorok.

Kuntum markisa pesona merekah,
Asam gelugor dimakan rusa;
Senyum sentiasa kerana sedekah.
Yang masam luhur mengenangkan dosa.

Dayang bertocang membeli ketupat,
Anyam sendiri rajin dan mahir;
Yang berbincang memberi pendapat,
Berdiam diri mungkin berzikir.

Petik cendawan makan berlada,
Makan tauhu lebih masaknya;
Cantik menawan bukan penggoda,
Manakan tahu bersih wataknya.

Peria petola belengas pangkalnya,
Nangka si nyonya makin menjadi;
Ceria pula cerdas akalnya,
Suka bertanya perihatin berbudi.

Kalau mentimun retak dipetik,
Campurlah halba dengan hiasan;
Kalau pantun tidaklah cantik,
Tegurlah hamba dengan keikhlasan.

Pohon rimba rimbun bertapis,
Pacat dan sela melekap daun;
Pantun hamba daun yang nipis,
Cacat dan cela harap diampun.




Justeru itu.....

Sesuatu perkara yang kita lihat jangan suka sangka-sangka kerana...sikap sangka-sangka akan memusnahkan jiwa.....kerap sangka-sangka mengundang padah dan buruk akibatnya.... oleh itu jangan terlalu bersangka-sangka dengan orang kerana mungkin sangkaan kita salah dan disebalik sangka-sangka itu mungkin terkandung 1001 kebaikan.

Jauhilah sikap sangka-sangka...hidup pun akan lancar dan bahagia selalu... ^^



"يأيها الذين ءامنوا اجتنبوا كثيرا من الظن إن بعض الظن إثم.."
"Wahai orang2 yg beriman jauhilah kamu semua kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.."
(AlHujurat:12)




p/s Ilham bersangka-sangka adalah dari sumber Facebook adik Ummi dan Ummi olahkan menjadi bentuk pantun versi Ummi yang tersendiri, jangan maghah naaa.... ^^



Kalam berpena....
UmmiAin

2 comments:

  1. Salam Ummi...Semoga sihat sentiasa :)

    Gembira balik amat membara,
    Seraya gelak wajah berseri,
    Bersangka baik setiap perkara,
    Supaya tidak menyesal diri...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam BM, lamanya Ummi tunggu dalam syahdu..alhamdulillah, hampir nak merajuk....he2

      Nangka dibungkus sedap dirasa,
      Papaya masak dibawa pulang;
      Bersangka bagus setiap masa,
      Supaya tidak berjiwa walang.

      TQ BM ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^