Sunday, January 19, 2014

Pantun Harap...



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Salam merindu yang teramat sangat dan salam semesra-mesranya dari Ummi buat teman-teman yang Ummi rindukan selalu.....semoga sahabat sekelian sentiasa di dalam cahaya kasih sayang Allah setiap detik.....amin

Pada episod pantun kali ini Ummi lampirkan tema ringkas tetapi padat dan bercabang-cabang.....
Kepada sahabat pemantun dan silent reader, silalah berpantun mengikut stail anda tersendiri mengikut tema HARAP, boleh di rangkai menjadi perkataan berimbuhan seperti MENGHARAP, HARAP-HARAP, DIHARAPKAN, HARAPAN dan seterusnya ya....

Menurut pakar pantun, di dalam merangkap pantun yang berdasarkan tema yang specific, kita boleh merungkai perkataan dengan menambahkan imbuhan lalu menjadi makna yang pelbagai, apa kata kita cuba ya......kali ini Ummi membawa sedikit kelainan....

Ummi pasti ada pemantun-pemantun di luar sana yang jauhari dan bestari yang pandai mengarang pantun.....teruskan cabaran ini dengan memerah minda anda....ya....

Baiklah semua, jangan malas-malas dan segan-segan, malu apatah lagi....jom kita berpantun.... ^^




Tuala melayang disambar unggun,
Rumpun berasap suami bakarkan,
Bermula dilayang selembar pantun;
Pantun HARAP Ummi lembarkan.

Jangan dicampur paku dan kapas,
Bunyi berderap tidakkan sama;
Tangan dihulur salam ku lepas,
Menanti MENGHARAP akan bersama.

Buaya seberang kerap selisih,
Laluan ke mana si ikan selangat;
Saya seorang MENGHARAP kasih,
Tuan di sana entahkan ingat.

Kebaya lama kalau dipinda,
Serap bauan basah dan sejuk;
Saya cuma bergurau senda,
HARAP tuan usah merajuk.

Sampan goyah melambung tinggi,
Menyula taufan selisih pelepah;
HARAPAN ayah menggunung tinggi,
Rela berkorban kasih tertumpah.

Keliling paya di tepi telaga,
Papan berpagar rentangkan teduh;
Saling percaya resepi rumahtangga,
HARAPAN agar dipanjangkan jodoh.

HARAPkan cawan lama di mulut,
Mulut teriak nyaring berbunyi;
HARAPkan kawan umpama selimut,
Selimut koyak gunting sembunyi.

Batang delima sokongan kelapa,
Tangkai mempelam pagarnya titi;
Hutang lama HARAP tak lupa,
Pandai pinjam bayarnya mesti.

Pagar papan ada terbelah,
Turun tempua hinggap di situ;
Sandar HARAPAN kepada Allah,
Sepohon doa setiap waktu.

Sirap kelapa ada papaya,
Kelapa muda isi pun nipis;
DiHARAP apa kepada saya,
Rupa tiada budi pun setitis.

Jerang air ada berhalia,
Lama berasap alasnya arang;
 Orang fakir tiada berdaya,
Cuma mengHARAP belasnya orang.

HARAPkan bumi menjadi sejuk,
Rupanya bumi tidak bersuhu;
HARAPkan suami menjadi pemujuk,
Mengapa suami buat tak tahu.

Kedut seribu benang berpisah,
Sulaman siap bercantum tali;
Disudut kalbu mengenang kisah,
Teman diHARAP belum kembali.

Pantai besar sasa bahtera,
Kerap basah hasil dapati;
Andai terkasar bahasa bicara,
HARAP usah berkecil hati.

Kalau ada batu dibuang,
Berderap-derap gua yang tinggi;
Kalau ada waktu terluang,
HARAP-HARAP bersua lagi.


Sebenarnya ada banyak lagi pantun yang boleh kita karang mengikut tema yang Ummi berikan, namun cukuplah buat setakat ini......Ummi pasti akan gembira seandainya anda memberi komen dengan cara berpantun....cuba ya....komen anda semua pencetus semangat Ummi untuk terus berkarya.....

Sampai di sini dahulu semoga kita berjumpa lagi dalam masa yang terdekat ini...insyaAllah....
Salam kasih berkembar rindu dari Ummi buat anda sekelian....... ^^



 Merendam sekerap getah yang lama,
Sekerap ditatang melantun-lantun;
Dalam MENGHARAP sepatah tema,
DIHARAP tuan datang berpantun.



Kalam berpena.....
UmmiAin

17 comments:

  1. Assalamualaikum ummi. wahh sedapnya pantun harap ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Sheila, TQ sbb puji Ummi, biasa je... ^^

      Delete
    2. Setuju tu. Nak2 ada lagu lama2...seronok juga ada layan lagu =)

      Delete
  2. Farah kagum dengan kebolehan akak berpantun...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Merah sebiji masak mengkudu,
      Delima Acheh di hujung hutan;
      Farah memuji kak Ummi terkedu,
      Terimakasih sekalung intan....

      Datanglah lagi ya Farah... ^^

      Delete
  3. Apa dibuat tebu sebatang,
    Rasanya manis seperti gula;
    Apa diharap pantun dikarang,
    Pantun aku tiada indahnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Runtun seminggu tumbangnya daik,
      Kerap berasap membelah hulu;
      Pantun Cikgu memangnya terbaik,
      HARAP-HARAP datang selalu.

      Terimakasih Cikgu Teh... ^^

      Delete
  4. Replies
    1. Pantai dalam debu bersarap,
      Bakar tanah abu dicari;
      Waalaikumsalam daku mengharap,
      Agar kaknah selalu kemari.... :)

      Delete
  5. Salam Ummi...Apa khabar?

    Harapkan panas hingga kepetang,
    Rupa-rupanya hujan ditengahari,
    Harapkan pagar menjadi penghalang,
    Rupanya pegar yang makan padi...

    Buat giomi jangan malu,
    Teman berbahasa riang bertemu
    Harap Ummi ceria selalu,
    Aman sentosa bahagia hidupmu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam BM...sihat alhamdulillahirrabbil'alamin... ^^

      Nangka bersirap segar terasa,
      Segar terasa sajinya bancuh;
      Andai MENGHARAP pagar yang tua,
      Pagar yang tua janjinya roboh.

      Rangka berderap tepi pusara,
      Derap kaku kejung dipalu;
      Jika MENGHARAP Ummi gembira,
      HARAP temanku berkunjung selalu.

      Tq BM ya... ^^

      Delete
  6. Ada serumpun tebu dikerat,
    Harap-harap ada manisnya;
    Ada pantun memberi nasihat,
    Harap-harap ada hikmahnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Arang sepapan dibelah sekali,
      Dinyala-nyala api seunggun;
      Orang HARAPAN telah kembali,
      Sila oo sila kemari berpantun.....

      Delete
  7. Salam ziarah kak Umi. Lama tak berkunjung.

    Pada jeti diikat sampan
    sampan diukir bunga melati
    Dari dulu diletak harapan
    pada Tuhan yang setia menanti.

    Kalam indah meniti bibir
    membina senyum mengukir tawa
    harapan itu bukan di bibir
    harapan itu dengan usaha.

    Buka blog kak Ummi petang ni, dengar lagu retro. Uh la la. Klasiknya! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam Wan....kak Ummi kedatangan Wan...bagus pantun Wan... ^^

      Lelah merpati kerana mencuba,
      Tentu cubanya di rentang pagar;
      Allah menanti masanya tiba,
      Bertemu hambaNYA di Padang Mahsyar...

      Paha ayam pangkalnya beku,
      Perap ramuan makan bersantai;
      Usaha dan azam cekal nawaitu,
      Harap impian akan tercapai.

      Terimakasih Wan....^^

      Delete
  8. Mengharap pada yg tak pasti
    Memang bikin gundah di hati
    Jom mengharap pada yang pasti
    Itulah dia Redha Ilahi
    Kerna janjiNYA 100% pasti ditepati

    Terima kasih kak ummi berkongsi pantun ni...best!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berderap papan selisihkan paku,
      Pakukan pula sati jeriji;
      Mengharap harapan masihkan berlaku,
      Inikan pula seribu janji...

      Sama-sama Hafiz....^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^