Wednesday, January 1, 2014

Pantun Tahun Baru...



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Jom Kita Berpantun...


Terlekat banir pepohon tinggi,
Mendayung perahu menolak rumpai;
Saat berakhir setahun pergi,
Lembayung baru menyelak tirai.

Sedondon biru indah dipakai,
Cantik dan ranggi Puteri Santubong;
Tahun baru sudah mengintai,
Detik pergi memori bersambung.

Alun menderu membungkam ombak,
Tenggelam pulau pecah berdentum;
Tahun baru azam dirombak,
Azam yang lampau tunaikah belum.

Hilir pantai bawal menghala,
Embun pagi pecah di batu;
Akhir sampai awal bermula,
Setahun lagi masihkah tentu.

Tasik biru muara menderu,
Pukat meniti obor gergasi;
Detik baru perkara baru,
Tingkat kualiti subur prestasi.

Banir pohon mangkal serumpun,
Jejak gua gamat kelawar;
Diakhir tahun diawal tahun,
Merafak doa rahmat penawar.

Lembut berangan tumbuhnya subur,
Subur lepas sirih bergagang;
Sambut dengan penuh bersyukur,
Syukur nafas masih berpegang.

Bangku biru kayu gaharu,
Ketar tangan duduk bersama;
Buku baru baju pun baru,
Belajar jangan di takuk lama.

Kalau menjala hanya cencaru,
Sayang gelama mati terapung;
Walau segala nampaknya baru,
Yang lama tetap menjadi sanjung.

Adun tairu tertelan-telan,
Perah kelapa belah bergoyang;
Tahun baru dua belas bulan,
Anugerah masa Allah Penyayang.

Rasa melayang riang rerama,
Segar kudup kelopaknya tirus;
Perkasa sembahyang tiang agama,
Agar hidup tidak menjurus.

Rendang lokan masak belukang,
Kari berkunyit bendinya genting;
Pandang depan tidak ke belakang,
Memori pahit menjadi benteng.

Pusara laman bolos digembur,
Tulang belulang dingin dijamah;
Negara aman telus dan makmur,
Remaja dijulang pemangkin ummah.

Pakai tiara manik berlian,
Tersebutlah puteri rajin tadarrus;
Andai bicara mengusikmu tuan,
Jemputlah beri komen yang telus.

Berasap-asap jerami bertali,
Sekam padi bawa jaringan;
Harap-harap Ummi kembali,
Ku genggam budi di dalam tangan.




Buat teman dan rakan bloggers samada yang suka berpantun dan vice versa atau silent readers, selamat meyambut Tahun Baru 2014 dari Ummi sekeluarga semoga di tahun baru ini kita saling kunjung mengunjung, lebihkan senyum, utuh persahabatan yang terjalin walau di mata tiada namun di hati tetap bagai air yang jernih mengalir tiada putus-putus.......perkasa kualiti entri dan cantikkan diri dengan iman dan ilmu.....agar hidup bahagia dunia dan akhirat......amin

Salam kasih mesra sampai jumpa lagi dengan entri yang lebih constructive dan rajin-rajin berpantun....ya... jangan marah naaa.... ^^





Perlahan-lahan turun memburu,
Bekal dijamah tebu segelas;
Ahlan Wasahlan tahun yang baru,
Ma'asalamah dua ribu tiga belas.



Kalam berpena....
UmmiAin

17 comments:

  1. Selamat tahun baru,moga ianya lebih baik..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat Tahun Baru buat anda juga... ^^

      Delete
  2. salam tahun baru ummi.. salam kasih salam ukhwah =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tanam selasih di kebun gaharu,
      Buah dipilin delima yang tua;
      Salam kasih ditahun baru,
      Ukhuwah terjalin sama berdoa... ^^

      Delete
  3. selamat tahun baru 2014 kak.. semoga success selalu.. :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat tahun baru buat Aiza juga ya....success juga buat mu.. ^^

      Delete
  4. Selamat datang tahun baru,
    Selamat jalan tahun lama;
    Riang pantun di dalam lagu,
    Moga berkat penuh bahagia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rimbun pangkal padi bergoyang,
      Padi dikutip sekam sekati;
      Pantun sentimental menjadi riang,
      Mesti positif di dalam hati.

      Delete
  5. Ummi, selamat Tahun Baharu. Moga lebih banyak karya yang dihasilkan. Bagaimana dengan manuskrip? Sudah siap ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya....Selamat Tahun Baru buat Cikgu Helmi dari Ummi...sedang dalam plan...Ummi kini berkira-kira untuk mengemukakan soalan kepada Cikgu tentang cara-cara mengolah manuskrip...harap Cikgu sudi membantu.

      Delete
    2. Ummi, saya akan bantu sedaya apa yang saya tahu. Pernahkah Ummi membaca koleksi pantun Pak Nazel, terbitan ITBM. Saya rasa, buku ini boleh dijadikan panduan dalam penyusunan manuskrip.

      Boleh rujuk link buku ini di sini:
      http://www.itbm.com.my/catalogue/buku/pantun_pak_nazel_101_perkara/

      Jika ada soalan boleh bertanya saya lagi.

      Delete
    3. Ya Cikgu...Ummi biasa juga mendengar nama Pak Nazel tapi Ummi belum pernah lagi membaca pantun beliau....
      Terimakasih tak terkira kerana bantuan Cikgu memberikan link beliau, insyaAllah Ummi akan buka website beliau dan membaca pantunnya....
      Terimaksih banyak Cikgu Helmi, Ummi sangat berbesar hati.... ^^

      Delete
    4. Buat pengetahuan Cikgu, bila Ummi bertanya kepada anak perempuan Ummi ternyata beliau telah terlebih dahulu mengenali Pak Nazel kerana pernah membaca novel beliau... bertajuk Ayahku Rindu Ummiku Sayang, kebetulan pula ada dalam koleksi anak Ummi ^^,....namun buku pantun beliau rasa-rasanya Ummi kena buat survey dulu...hasrat Ummi memang untuk menjadikan pantun Ummi sebuah manuskript.....harap Cikgu dapat membantu Ummi supaya dapat Ummi meneruskan hasrat Ummi nanti.... terimakasih ya Cikgu... ^^

      Delete
  6. Salam Ummi,
    Salam 2014...Semoga tahun ini lebih baik dari sebelumnya :)

    Jangan haru juga hiba,
    Tawa ria bergema suasana,
    Tahun Baru sudah tiba,
    Bawa ceria bersama bahagia...

    ReplyDelete
  7. selamat tahun baru belum lambat lagi kan

    moga ceria bahagia gembira

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat Tahun Baru buat Sudais semoga segala perkara menjadi lebih baik buat kita semua....amin.. ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^