Wednesday, December 18, 2013

Pantun Suami.....




....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Dalam muara sambar berudu,
Tangkap siput berembun bumi;
Salam mesra kembar merindu,
Rangkap disebut Pantun Suami.

Salam semesra-mesranya dari Ummi buat sahabat-sahabatku sekelian...yang jauh di mata tapi sentiasa dekat di hati ini terutama rakan-rakan pemantun yang bijak pandai yang sentiasa singgah dan berpantun dalam kotak komen setiap kali ada posting baru....terimakasih Ummi bagaikan air bertali arus di tasik bening..... ^^,

Sebelum Ummi terus dengan sekajang pantun, terlebih dahulu Ummi nak ucapkan SELAMAT HARI ULANGTAHUN kelahiran buat suami Ummi tercinta iaitu pada hari ini 18hb Disember....dengan pepohon doa yang merimbun subur di telapak tangan semoga beliau sentiasa beroleh kesihatan yang terbaik dan sentiasa dimurahkan rezeki.....amin....he's my everything....



Tatang jambangan bunga selasih,
Kelopak basah keringkan nanti;
Sepasang tangan mendoa kasih,
Takkan berpisah melainkan mati.

Ya Allah...tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.......^^


Pantun khusus untuk suami Ummi tercinta....

Dekat dan hampir Ummi bercerita,
Masih berpaut diminda basah;
Selamat Hari Lahir suami tercinta,
Kasih bertaut tiada berpisah.

Bersama tangani diri dan jasad,
Saksi peristiwa dikir riwayat;
Umpama tembuni dan tali pusat,
Serasi sejiwa keakhir hayat.

Semakin tua sejambak kenangan;
Bangga terasa subur terpahat;
Diamin doa di telapak tangan,
Semoga sentiasa berumur sihat....amiin



Sekarang...jom kita berpantun......ya ^^

Jerami bukan sembarang jerami,
Jerami boleh menjadi kompos;
Suami bukan sembarang suami,
Suami soleh kemudi bagus.

Bumi berat curahan turun,
Curahan lebat telaga keruh;
Suami ibarat dahan pepohon,
Dahan tempat keluarga berteduh.

Kolah bercantum meruap-ruap,
Bumi terbelah merenggang tanah;
Telah terhukum bertanggungjawab,
Suami adalah pemegang amanah.

Jerami lebih di tepi rumah,
Bakar segera kautkan ia;
Suami soleh isteri muslimah,
Layar bahtera lautan bahagia.

Berapi daik berkabut-kabut,
Batu belahan pasangan dua;
Suami terbaik disebut-sebut,
Menantu pilihan kesayangan mertua.

Melara bumi kelabu mendung,
Bergoyang batu mendak di hulu;
Antara suami dan ibu kandung,
Yang mana satu hendak didahulu.

Tulip tumbuh tiada bersemi,
Mulus lawa kuntum markisa;
Wajib patuh kepada suami,
Nusyuz membawa terhukum dosa.

Sari direndam dicantum jangan,
Jemur kasa basahan mandi;
Suami disalam bercium tangan,
Gugur dosa celahan sendi.

Letih kami tak henti-henti,
Kami di taman mencari kambing;
Pilih suami berhati-hati,
Suami beriman jadi pembimbing.

Limau kedangsa empunya siapa,
Pangkal bergoyang memulas nyiur;
Walau bangsa tak kiranya apa,
Asal penyayang ikhlas dan jujur.

Bagai perkasa subur si tunjang,
Masih menanti kejap berpaut;
Sampai masa umur tak panjang,
Kasih di hati tetap bertaut.

Jerami bersawang di celah bendang,
Sayang angin menongkah padi;
Suami berwang mungkinkah pandang,
Yang miskin pula kayakah budi.

Pantai beralun terang di kanan,
Turun sampan mencari salmon;
Andai pantun kurang berkenan,
Mohon kemaafan jari bersusun.

Rumpai sasa makin berhampas,
Ikan keli bermain selut;
Andai masa mengizin lepas,
Akan kembali dilain episod......

Pak Mat hendak mencari gamat,
Gamat setimbun busuk di muara;
Tamat tidak ku beri tamat,
Tamat berpantun untuk sementara.....


Tertahan-tahan untuk Ummi berundur pergi namun pasti ada mentari esok.... salam kasih mesra salam sayang segantang beras tiada terkira semoga kita akan bertemu lagi dalam masa terdekat.....insyaAllah, kepada sahabat-sahabat Ummi, jemput berpantun di kotak komen ya.... ^^


Kelopak renungan...

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (QS. An-Nisa: 34)




Kalam berpena....
UmmiAin

13 comments:

  1. Salam Ummi... Selamat ulangtahun buat suami, semoga panjang umur, murah rezeki, sihat dan diberkati. Kekal bahagia bersama hingga ke syurga...

    Paling hebat menjadi suami,
    Berbangga ceria berteman sentiasa,
    Saling hormat dan memahami,
    Rumahtangga bahagia aman sentosa,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam BM.....^^

      Delima Acheh memaku huma,
      Dahan tua tumbuh melambai;
      Terimakasih ikhlas ku terima,
      Ucapan doa mu sungguh bernilai.

      Terimakasih atas doamu BM... ^^

      Delete
  2. As salam kak Ummi,

    Salam singgah di sini
    Nak baca pantun buat suami

    Tahniah buat yang bernama suami kak Ummi
    Moga panjang umur murah rezeki sentiasa diberkati

    Tiada yang penting selain saling mempercayai
    Toleransi jujur penawar rumahtangga, betulkan Kak Ummi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Hafiz...^^

      Muara kelodak tenggelam titi,
      Tapis padi merentang saprah;
      Gembira bertapak di dalam hati,
      Hafiz sudi datang ziarah.

      Cenderawasih di awan tinggi,
      Menyapu angin di bumi kelam;
      Terimakasih haruman setanggi,
      Doamu diamin kak Ummi genggam.

      Berpaling buaya melihat plata,
      Aksi kelupur berapi gays;
      Saling percaya memahat cinta,
      Toleransi jujur resepi bahagia.

      Terimaksih Hafiz... ^^

      Delete
  3. assalamualaikum ummi..selamat ulangtahun buat suami ummi. moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah..kekal bahagia hingga ke syurga =)





    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalsikumsalam KakNahku sayang...

      Ameen, terimaksih atas dos kak Nah, semoga kak Nah juga bahagia di samping famili tercinta...ameen.. ^^

      Delete
  4. suami tiada sisi mudah rasa rindu...oh suami ada isteri saling perlukan ya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jerami hangus menjadi bara,
      Bara nyala andang seludang;
      Suami bagus isteri gembira,
      Gembira bila abang memandang..... ^^

      Delete
  5. Salam kak ummi

    Enak dan berisi sekali pantunnya

    Walaupun terlmbat..saya nak ucapkan selamat ulangtahun kelahiran buat suami kak ummi...moga sukses dunia akhirat..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Cikgu....^^,

      Ameen...terimakasih kerana at last datang juga ke blog Kak Ummi, Kak Ummi sangat teruja
      dan berbanyak terimakasih atas doa Cikgu yang sungguh berharga buat Kak Ummi dan suami... ^^

      Delete
  6. Salam ziarah Kak Ummi. Lama sangat saya tak bertandang ke sini. Maaf ya. Hari ni saya ziarah santai sahaja. Insyaallah, ada masa, saya beli pantun-pantun Kak Ummi yang dah lama dijual tu.

    Hehe. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pelam dibeli berpeti-peti,
      Bersama peti arang setimba;
      Salam kembali senangnya hati,
      Lama menanti sekarang dah tiba...

      Kak Ummi tunggu dengan sabarnya.... Tq Wan ^^

      Delete
  7. Adanya suami adalah isteri,
    Hidup bersama Sunnah Nabi;
    Sedia berjanji sehidup semati,
    Saling berharap rahmat Illahi.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^