Thursday, December 26, 2013

Pantun Isteri....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Jerami padi mendap di kolam,
Kolam semarak kuntum selasih;
Ummi dan suami mengucap salam,
Salam merafak senyum berkasih.







Buat rakan-rakan yang disayangi, Ummi berpantun kesinambungan dari Pantun Suami...diharap rakan-rakan Ummi sekelian suka dan gembira.....dan sudi berpantun dengan Ummi...
Apakata kita ubah selera hawa telinga dan mood ke lagu joget pula, baru meriah dan gembira....

Jom kita berpantun...



Selom petola mentimun durian,
Ulam urap bercampur selasih;
Sebelum ku mula pantun ku tuan,
Salam ku ucap sekapur sireh.

Embun bersemi kuntum pun basah,
Rumput mula berembun hari;
Pantun Suami bercantum kisah,
Tersebut pula Pantun Isteri.

Terletak di ubun gemerlap tiara,
Ubun puteri Si Gunung Ledang;
Rentak pantun rangkap bicara,
Pantun Isteri direnung dipandang.

Cari padi di semak jerami,
Keranji berderai jatuh ke tanah;
Isteri menjadi hak suami,
Janji termeterai teguh amanah.

Limau ditanam di tepi  rumbia,
Lebat tumbuh sibuah laici;
Kalau menggenggam janji bahagia,
Taat dan patuh itulah kunci.

Beringin kelat bidara berbuah,
Biji rambai melayang ke bumi;
Rajin bersolat pelihara maruah,
Mengaji pandai disayang suami.

Pasangan berseri sedondon mempelai,
Tersipu bangga berkerosang rumia;
Tangan siisteri menghayun buai,
Mampu juga menggoncang dunia.

Dari Inderagiri kami ke Delhi,
Mencari muara di Sungai Ganga;
Isteri dihargai suami dipatuhi,
Layari bahtera ke pantai Syurga.

Kerat pegaga atas senggalan,
Tempurung meletup jari terkena;
'Aurat dijaga batas pergaulan,
Bertudung litup isteri sempurna.

Tampil berseri purnama kejora,
Si puteri duduk menjirus bunga;
Bebel siisteri cuma sementara,
Sehari suntuk mengurus rumahtangga.

Jerami sebukit berhari jelaga,
Gas berkepul meruap-ruap;
Suami sakit isteri menjaga,
Tugas dipikul bertanggungjawab.

Terbungkang plata siap terendam,
Ikan belanak di joran Pak Busu;
Bersengkang mata setiap malam,
Menjagakan anak kelaparan susu.

Guri basah akan dijemur,
Muara mendap kerikil terapung;
Isteri solehah tiadakan sufur,
Pelihara adab tampil bertudung.

Tampan Kasturi tampan bergolok,
Gaya berani ramah dan bangga;
Kewajipan isteri menyimpan elok,
Rahsia suami dan rumahtangga.

Gagau berudu rentap belida,
Rumpai berduri bercantum tiga;
Walau bermadu tetap meredha,
Bagai kasturi mengharum di Syurga.

Kalau tampuk hangus jelaga,
Turun kelapa tempat berpasir;
Walau sibuk mengurus rumahtangga,
Namun tak alpa solat dan zikir.

Petunia seri berbunga subur,
Meniti bumi melentuk jambangan;
Mulia si isteri menjaga tutur,
Hormati suami tunduk pandangan.

Parang pendek membelah kelapa,
Pangkal hulu ikatkan jerami;
Kurang cantik tidaklah mengapa,
Asal selalu taatkan suami.

Rapat lori menghentam premis,
Premis menghala tepi laut;
Dapat isteri yang hitam manis,
Manis pula budi disebut.

Mencari ketapang celahnya perdu,
Kami menggali keladi dan cendawan;
Isteri tempang suaranya merdu,
Suami mithali jadi tertawan.

Kalau ketupat dimayang dahulu,
Masaklah rendang ayam selasih;
Kalau mendapat isteri yang malu,
Hendaklah pandang bersulam kasih;

Indah tersisip Pak Menteri lawa,
Tanjak sulaman benang bertemu;
Sudah nasib beristeri tua,
Banyak pengalaman tenang berilmu.

Irama kenari selingan suaranya,
Tupai menjelma melayang ke ranting;
Terima isteri dengan seadanya,
Pandai agama itu yang penting.

Kami mencari pelaling di ulu,
Kerang putih dalam jerami;
Suami isteri saling memerlu,
Terkurang terlebih faham memahami.



Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam.Bersabda :Apabila seorang Wanita Menunaikan Sholat 5 waktu,Berpuasa di Bulan Puasa,Taat kepada Suaminya Niscaya dia masuk Syurga Tuhan-nya (HR.Ahmad :1664)


Andai diturun sarang serindit,
Sayap melecur terbujur mati;
Andai pantun terkurang sedikit,
Harap ditegur sejujur hati.

Muazzin berjubah di Subuh sampai,
Asyik memandang birunya pagi;
Izin menyembah melabuh tirai,
Detik sedang cemburu lagi.

Bercantum paku di pohon tinggi,
Sebelah laluan duri dipapan;
Sebelum daku memohon pergi,
Sudilah tuan memberi kemaafan.

Timun berherba hendak diratah,
Timun sejuk dimakan jua;
Pantun hamba budak yang mentah,
Pantun untuk hiburkan semua.



P/s Kalau ada yang terkurang atau terlebih....mohon kemaafan seribu selasih....jemput berpantun sambil mendengar lagu-lagu joget irama asli.......sampai jumpa lagi dinext episode......insyaAllah, salam kasih mesra dari Ummi buat anda semua.....



Kalam berpena...
UmmiAin

6 comments:

  1. Salam dilarut malam...

    Pantun suami pantun isteri
    Anggun Ummi wajahpun berseri.... :)

    Tali perangkap guna jerami,
    Pandai berkuda harapkan pedati,
    Isteri pelengkap bagi suami,
    Andai tiada sebelah badan mati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikum salam terlambat menjawab salam... ^^

      Dari tingkap pergi ke bumi,
      Tangkai serawa disambar undan;
      Isteri pelengkap bagi suami,
      Bagai nyawa berkembar badan.

      Tq BM.. ^^

      Delete
  2. Suami isteri hidup berdua,
    Dilengkap pula cahaya mata;
    Penuh kasih hormat dan cinta,
    Dari dunia sampai ke syurga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kelat sirih membungkus kapur,
      Tepi berlipat tiga genggaman;
      Hormat kasih tulus dan subur,
      Menjadi jejambat Syurga idaman... ^^

      Delete
  3. Salam berpantun,

    Bunga mawar dahan berduri,
    Buat hiasan dalam taman,
    Isteri solehah ibarat bidadari,
    Penyejuk hati penambah iman.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kembali....

      Hari indah di taman melati,
      Haruman melati bauan jiwa;
      Isteri solehah idaman hati,
      Rangkuman hati suami dan mertua.

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^