Tuesday, December 3, 2013

Pantun Cermin Ilahi 3.....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Gerimisnya malam kelam terhukum,
Bumi gelap menyalahi mega;
Manisnya salam Assalamu'alaikum,
Ummi berangkap Cermin Ilahi 3.

  Tegak nyiur pengkalan sampan,
Cahaya idaman kemudi tebing;
Nampak bersiur jalan kehidupan,
Gaya pengalaman jadi pengiring.

Mentari ruang membelah angkasa,
Selat berkilau batu berbaki;
Digari wang seolah berkuasa,
Solat berkalau membeku rezeki.

Pulau terapung tebingnya sempit,
Redup berawan perahu hanyut;
Kalau berbohong jadinya sakit,
Hidup tak karuan mahunya takut.

 Rona di air pecahan tujuh,
Umpama perangkap air berkaca; 
Pesona zikir belahan Subuh,
Irama sedap zikir dibaca.

Kepulan mega sungguhlah terang,
Bagai berdoa tunduk menghala;
Bekalan Syurga teduhlah orang,
Sampai tua memupuk pahala.

 Gunung ganang tepi berpinggir,
Pinggir pantai batu bertambak;
Renung terkenang memori hampir,
Hampir berderai dadaku sebak.

Sungai tenang nampaknya biru,
Pesona senja tidaklah hangat;
Pandai dan senang usaha baru,
Kerana bekerja melimpah keringat.

Suasana basah mulalah bergenang,
Kabus nampak hanya sejengkal;
Kembarnya susah adalah senang,
Harus banyak usaha dan tawakkal.

Kelam cuaca rajuk mentari,
Undan melayang menuju lautan;
 Kalam dibaca tawaduk dicari,
Quran disayang ilmu kedapatan.

Pohon kedondong tutupan cahaya;
Terasa air sungainya menirus;
Mohon berlindung taksubkan DIA,
Dosa mengalir bagainya arus.

Kembar kelapa di tengah selat,
Kembar mendung adalah petir;
Dicabar alpa lengah bersolat,
Benar dan bohong disalah tafsir.

Silau kelam mendung ternyata,
Sehangat cahaya sepi dan syahdu;
Walau disulam rundung derita,
Mengingat DIA menjadi pandu.

Laut mencangkuk cahaya terkepung,
Arus lautan terbelah dua;
Maut menunduk sedia memasung,
Putus amalan tinggallah doa.

Tasik kuning perahu mudik,
Tanjung tua menimbun kabut;
Detik berpusing mahu berbalik,
Di hujung nyawa nafas pun semput.

Asap berkepung menyesah awan,
Awan tinggi bertindan garang;
Sikap sombong berpisah kawan,
Kawan pergi badan seorang.

Teguh dan tegar papan diluncur,
Orang bergaya di lohong deru;
Menempuh sukar kehidupan luhur,
Terang cahaya menampung lalu.

Lentera timur tenggelam petang,
Cahayanya indah bagai dilukis;
Bicara ku hulur salam ditatang,
Hanya bermadah kadar secebis.




Kalam berpena...
UmmiAin

16 comments:

  1. Salam Ummi,

    Bukan mudah meredah malam,
    Terhenti permainan dalam kegelapan,
    Begitu indah suasananya alam,
    Menjadi cerminan sebuah kehidupan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam sahabat yang seorang...
      Baru kini dapat memandang...

      Kerana cantum saprah terbelah,
      Berat jambangan menghias tarpan;
      Suasana kagum anugerah Allah,
      Ibarat cerminan bias kehidupan....

      Tq BM.. ^^

      Delete
  2. Bertudung labuh pergi pekan,
    Membeli ikan sayur petola;
    Indah sungguh alam ciptaan,
    Tanda Kebesaran Yang Esa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kembang sudah bungaan lili,
      Bungaan rafflesia tiada beranting;
      Memang terindah ciptaan Ilahi,
      Ciptaan Dia tiada terbanding.

      Terimakasih Cikgu....Ummi sentiasa menunggu.. ^^

      Delete
    2. Bila Si Tuah marahkan Si Jebat,
      Hairan sahaja Kasturi dan Lekir;
      Ciptaan Allah segalanya hebat,
      Untuk hamba yang mahu berfikir.

      Delete
    3. Masak kundang mengapa lebat,
      Kerana ditanam sayang cik nyonya;
      Sejenak memandang mengapa hebat,
      Kerana alam Allah Yang Punya.

      Allah...Allah...terimakasih Cikgu Teh... ^^

      Delete
    4. Tujuh gunung sembilan lautan,
      Utara selatan timur dan barat;
      Syukur pada segala pemberian,
      Semoga bahagia dunia akhirat.

      Delete
    5. Gugur durian selisihnya dahan,
      Bunga gardenia tangkai berbirat;
      Syukur pemberian kasihnya TUHAN,
      Doa di dunia sampai di akhirat...

      Terimakasih daun keladi... ^^

      Delete
  3. indahnya bait2 pntun karangan ummi... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih banyak Maria.....pantun sekadar biasa ja...karangan malam... ^^

      Delete
  4. Mmg bagus kak ummi letak gambar alam semulajadi ... sungguh menenangkan jiwa.dan raga..

    Indah suasana di waktu senja
    matahari terbenam dgn gayanya..
    Melihat awan jauh disana
    Membuat hatiku tenang sentiasa...


    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih daun keladi buat Hairul kerana memuji... ^^

      Indah tercipta terangnya malam,
      Kemudi lautan gelap dunia;
      Sudah ternyata tenangnya alam,
      Menjadi pujaan setiap manusia...

      TQ Hairul kerana tak lupa singgah ke teratak apung kak Ummi.... ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^