Wednesday, November 27, 2013

Pantun Rabu Yang Hilang....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Istimewa dari Ummi buat sekelian sahabat yang jauh di mata tetap di jiwa ^^,.....Rabu Yang Hilang




Berabu lalang padi kekeringan,
Kekeringan malinja dimakan siput;
Rabu Yang Hilang menjadi kenangan,
Kenangan manja tidakkan luput.



Menghala tempua masih melayang,
Kepak basah berkilau sayap;
Tatkala berdua berkasih sayang,
Tidak berpisah walau sekejap.



Jumaat berzikir lima harakat,
Sampai basah badan berpeluh;
Saat terakhir sama berdekat,
Bagai berpisah tiadakan jauh.



Ikat pandan petai dibawa, 
Walau sedikit ada berguna;
Melekat badan berangkai nyawa,
Walau sakit tiada ke mana.



Redah rimba ada sang kera,
Menjejak rotan berbulan-bulan;
Sudah ku cuba tiada selera,
Dedak ku makan tidak tertelan.



Sayang gajah terkena duri,
Tiada sempat meluru ke bendang;
Terbayang wajah di sana mencari,
Tiada kelibat dapat ku pandang..



Kalau terkoyak kuntum kesidang,
Tanam melati di celah pasu;
Walau riak tersenyum pandang,
Dalam hati dapatkah tahu.



Berapi-api jangan disua,
Cimni terang dibawa tangan;
 Termimpi-mimpi kenangan berdua,
Kini seorang tiada pasangan.



Berangan tinggi menjadi tuanku,
Sejengkallah jalan diusung pulang;
Pasangan pergi mati dan kaku,
Tinggallah badan menanggung walang.



Pasir jalan kelodak biasa,
Pasak telus di luar telaga;
Air di telan tidak terasa,
Tekak haus biar dahaga.



Padi disesah hancur terbenam,
Mencari pinang disengat belalang;
Mandi tak basah tidur tak terpejam,
Diri terkenang semangat pun hilang.



Ruas tebu tidak berbatang,
Telunjuk jari menanam rotan;
Puas menunggu si dia tak datang,
Merajuk diri dalam kesejukan.



Berzikir-zikir mengharap rahmat,
Rajin ke surau berhari-hari;
Terfikir-fikir setiap saat,
Ingin merantau membawa diri.


Mati puyu dibaham cencaru,
Siakap putih dikerja haruan;
Hati sayu bersulam terharu,
Mengharap kasih bermanja tuan.



Rumah di paya berakit-rakit,
Pandan berasap mengkudu lebat;
Lemah daya semakin sakit,
Badan mengharap rindu terubat.



Hentak lesung lada cik puan,
Gelang patah terkena gigi;
Teratak kosong tiada bertuan,
Akhirnya hilang entah ke mana pergi.

Berlari-lari kerbau betina,
Berani helang meratah tali;
Berhari ku cari dikau ke mana,
Kini hilang mungkinkah kembali... :'(

Melayang awan dipuput angin,
Berpasir putih pantai nan lawa;
Sayang haiwan diurut bermain,
Secangkir kasih sampai ke jiwa.





Kalam berpena...

UmmiAin

10 comments:

  1. Mesti hemster Ummi dah hilang ni. Kesian dia. Harap-harap tak ada kucing kat rumah Ummi. Cari cepat, comel dan gebu hemster tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yela Lynn, hamster Ummi dah berapa hari hilang cari berhari-hari tapi tak jumpa....memang Ummi tak bela kucing tapi kat luar rumah banyak ekor pulak tu....sedih Ummi dibuatnya....setiap hari dik urut kepalanya....tapi sekarang tinggal sangkar je.....;(

      Delete
  2. Tanam padi tumbuhnya lalang,
    Ditanam tebu tumbuh keladi;
    Dia yang pergi usah dikenang,
    Cari yang baru buat pengganti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selasih tinggi patah dahannya,
      Cempedak manggis pesona rimba;
      Kasih pergi entah ke mana,
      Hendak menangis kerana hiba.

      Delete
  3. mungkin mencari ia yang hilang,
    mungkin kembali mungkinkah tidak,
    Wahai Cik Ummi janganlah walang,
    Carilah ia berputus tidak.

    siggah sini lagi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rendah berseri selasih berselang,
      Dahan menyusup di bawah titi;
      Sudah ku cari kasih yang hilang,
      Entahkan hidup entahkan mati.

      Terimakasih Siti... ^^

      Delete
  4. Corak bunga cantik serinya
    Dicetak oleh mesin kilang
    Pantun ummi sayu bunyinya
    Kisah si kecil yang kini hilang

    Di sini sunyi suasana hambar
    Ramai yang sibuk pergi kuliah
    Saya seronok melihat gambar
    Nampak mesra dan banyak takah

    Terhiris pisau terasa pedih
    Darah mengalir merah warnanya
    Janganlah kak Ummi terlalu bersedih
    Pasti kelak ada jalannya.

    Cantik-cantik bunga melati
    Cantik juga bunga kantan
    Si kecil comel kawan sejati
    Kenang sentiasa dalam ingatan.

    Masam rasa sebotol cuka
    Baru dibeli di kedai Wak Sani
    Saya juga hilang seketika
    Sekarang kembali ziarah di sini

    Kain dijahit berhati-hati
    Agar hasilnya elok belaka
    Moga kak Ummi tabahkan hati
    Sentiasa senyum, penawar duka.

    Salam kak Ummi. Sedihnya Kak Ummi hilang hamster. Dah la comel. :'(

    Saya dah kembali ke kolej. Masa berblog akan menjadi terhad. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Wan....

      Tumbuh mengkudu memaku kayu,
      Ribun daunan melambai subur;
      Sungguh terkedu hatiku sayu,
      Pantun Wan bagai penghibur.

      Selamat kembali ke kolej....kalau Wan free datanglah singgah ke blog kak Ummi sambil berpantun.....kak Ummi suka dengan pantun Wan...

      Terimakasih sangat-sangat.... ^^

      Delete
  5. Masak lemang di dalam dulang
    Lemak berlekuk berbelang-belang
    Memang sudah suratan alam
    Semua makhluk dipanggilNYA pulang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pautan pelam cantuman dahan,
      Capai langsat bergalah tinggi;
      Suratan alam hukuman Tuhan,
      Sampai saat dibawalah pergi..

      Terimakasih Kak Ani sayang.. ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^