Wednesday, November 6, 2013

Pantun Dalam Awal Muharram......Ma'al Hijrah



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Jom kita berpantun ya... ^^

Andang api tidak berlampu,
Malam terhukum petir berdentum;
Dipandang sepi lihat tak mampu,
Assalamu'alaikum secangkir kuntum.

Keli terkapar berminggu-minggu,
Menimbun busuk tenggelam jeram;
Kembali menghampar pantun berlagu,
Pantun sesejuk Dalam Muharram.

Pangkal jeram berkabut pagi,
Mendayung perahu mengharap sampai;
Awal Muharram disebut lagi,
Lembayung baru menyingkap tirai.

Kapal karam bersimpul tali,
Carilah benua terasa penat;
Awal Muharram muncul kembali,
Marilah semua berpuasa sunat.

Tilan gelama menimbun merah;
Merah sebelah melukah ke tanah,
Bulan pertama di Tahun Hijrah,
Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah.

Pesona Muharram kalau dikenang,
Tentu kenangan menempah sejarah;
Makna diharamkan atau dipantang,
Iaitu peperangan dan tumpah darah.

Lawa kerinting berambut basah,
Tengkolok bergulung dipakai Sultan;
Peristiwa penting tersebut kisah,
Elok direnung sampai pengetahuan.

Naluri bergema diri dibasuh,
Terbuku pasrah menadah syukur;
Hari pertama dan hari kesepuluh,
Berlaku sejarah sudah tersohor.

Berulam-ulaman si buah tamar,
Makan mengkelan bercicah kicap;
Satu Muharram di zaman Khalifah Umar,
Kiraan bulan sudah ditetap.

Berminyak sudah tubuh diparam,
Ditebuk kaca mesti sakitan;
Banyak kisah sepuluh Muharram,
Elok dibaca melalui rujukan..

Bancuh garam sebuku basah,
Kari kedera tulang bersaringan;
Sepuluh Muharram berlaku kisah,
Hari Asyura gemilang perjuangan.

Buluh ditanam berpaut dahan,
Lebat mempelam tiada bergalah;
Sepuluh Muharram disebut AlQuran,
Taubat Nabi Adam kepada Allah.

Tumbuh mempelam menepis bidara,
Kelubi berbaris rapat ke kunyit;
Sepuluh Muharram tertulis perkara,
Nabi Idris diangkat ke langit.

Buluh ditanam selisih pinang,
Merah bara jangan disentuh;
Sepuluh Muharram masih dikenang,
Sejarah bahtera di zaman Nabi Nuh.

Disuruh menanam sibuah kelubi,
Tempat berpagar kelubi bermusim;
Sepuluh Muharram alkisah Nabi,
Selamat dibakar Nabi Ibrahim.

Rentap jerat bertimbun kelah,
Jelawat merah dicelah kelisa
Kitab Taurat diperturun Allah,
Kitab berdakwah Nabi Allah Musa.

Muka berpeluh membaham cabai,
Kerutup pedas kari kedera;
Ketika sepuluh Muharram sampai,
Nabi Yusuf bebas dari penjara.

Tepi kukup lebat kesidang,
Batu bergoyang tiada teralih;
Nabi Yaakub dapat memandang,
Allah Itu Penyayang dan Maha Pemulih.

Tumbuhlah beri berbelit-belit,
Kelubi sayup masihkan bergalah;
Sembuhlah dari penyakit kulit,
Nabi Ayub dipulihkan Allah.

Mekarlah mulus berbuah sebelah,
Berhari merebut rambutan segugus,
Keluarlah Nabi Yunus Nabi Allah,
Dari perut si ikanlah paus.

Tumbuh mempelam berbuah lusa,
Rambutan berbuah dahanlah tua;
Sepuluh Muharram kisah nabi Musa,
Lautan Merah belahan dua.

Cucuh sekam berpisah berlumut,
Embun menyerlah padi basahan;
Sepuluh Muharram kisah Nabi Daud,
Diampun Allah dari kesalahan.

Basah halaman buluh tenggelam,
Dahan terbelah tepian pagar;
Kisah Nabi Sulaiman sepuluh Muharram,
Dikurniakan Allah kerajaan besar.

Guruh menderam kelam di hutan,
Ngeri bergema membuta malam;
Sepuluh Muharram dalam ingatan,
Hari pertama Allah mencipta alam.

Mencari kuini tumbuh terendam,
Mencari delima di kebun Pak Mat;
Hari ini sepuluh Muharram,
Hari pertama diperturunkan rahmat.

Mentari menyuluh malam yang kelam,
Seri purnama awan imbauan;
Hari kesepuluh dalam Muharram,
Hari pertama hujan diturunkan.

Beras hangus dimakan kelah,
Kelah marinya jatuh di jeram;
Arasy' dan Luh Mahfuz dijadikan Allah,
Inilah harinya sepuluh Muharram.

Ikat kail mata sebilah,
Jari melepuh bertampal param;
Malaikat Jibrail dicipta Allah,
Hari kesepuluh awal Muharram.

Buluh berkatam bawa bertongkat,
Terasa tongkat sedikit lekit;
Kesepuluh Muharram peristiwa hebat,
Nabi Isa diangkat ke langit.

Pangkal pohon pasir bertimbun,
Ada sawa berembun hujan;
Awal tahun dan akhir tahun,
Dibaca doa mohon kesejahteraan.

Dalam payah mewakaf tempat,
Bangga dan pasrah telus berehsan;
Segenggam hidayah insaf dan taubat,
Semoga berhijrah berterus-terusan.

Telunjuk jari tersua ketam,
Kepitnya tinggi menanti belahan;
Ku pujuk sendiri jiwa yang dalam,
Sakit ku pergi hati tak tahan.

Pohon bumi dedalu tinggi,
Pohon rimbunan terasa terang;
Mohon Ummi berlalu pergi,
Mohon ampunan bahasa terkurang.

Cantik cantik puteri Kartini,
Berselendang sutera sulam labuci;
Petik petiklah jari di sini...
Pandang gumbira dalam tak benci.


p/s  Selamat Menyambut Ma'al Hijrah Tahun 1435H dari Ummi kepada semua rakan-rakan Muslimin dan Muslimat...semoga penghijrahan kita membawa sejuta kebaikan dalam naluri keinsafan dan kepastian......amin.




Kalam berpena...
UmmiAin

22 comments:

  1. Replies
    1. Wassalm Shakira sayang.. ^^

      Pelam mangkal merah bidara,
      Merah dicari putik dah mati;
      Salam Ma'al Hijrah buat Shakira,
      Berhijrah diri cantik di hati....

      Delete
  2. Replies
    1. Terbuai malam malam yang merah,
      Merah lada terasa pedas;
      Wa'alaikmsalam salam berhijrah,
      Farah Wahida sentiasa ilkhlas.... ^__^

      Delete
  3. Replies
    1. Berbalam-balam kabut nan merah,
      Rapat mega di depan mentari;
      Salam bersalam menyambut hijrah,
      Taubat Nasuha keinsafan diri.

      Tq Nasuha, nama yang cantik.....^^

      Delete
  4. Salam Maal Hijrah Ummi... :)

    Bukan haru menerima kalah
    Kenapa hebat tanpa sepakat,
    Tahun baru menjelma sudah,
    Semoga sihat didalam berkat...

    Malaram bukan mahu disekat,
    Takutkan kearah tidak siuman,
    Muharam bulan penuh berkat,
    Tercatat sejarah buat pedoman...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ma'al Hijrah buat BM juga... ^^,

      Rimbun duku merah dan lebat,
      Sarat ara pangkalnya rendah;
      Tahun baru berhijrah bertaubat,
      Sihat sejahtera beramal 'ibadah.

      Bawal bergaram dibasuh basah,
      Merah kelubi masam di luaran;
      Awal Muharram penuh berkisah,
      Sejarah Nabi dalam Al Quran.

      Terimakasih BM.... ^^

      Delete
  5. As salam kak ummi
    Salam ma'al hijrah utk kak ummi sefamili.
    Moga2 tahun ni lebih baik dari tahun sebelumnya...ameen

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Hafiz...ameen, terimakasih.

      Pangkal ditarah delima tanami,
      Bertarah mata tiada yang lurus;
      Ma'al Hijrah bersama mera'i,
      Berhijrah kita kepada yang bagus.

      Delete
  6. Replies
    1. Diketam sebelah dipahat disiat,
      Tangga di taman tangga berbatu;
      Alhamdulillah sihat wal'afiat,
      Semoga EnKarman juga begitu.

      Terimakasih...ya ^^

      Delete
  7. ya salam maal hijrah..semoga amalan berpantun berterusan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Turun kenari merpati dan tempua,
      Turun ke nesan belas berangan;
      Pantun dari hati dan jiwa,
      Pantun warisan dilepas jangan.

      Delete
  8. kena pantun gak nih:

    ari ini hari jumaat,
    jom pegi solat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pantun jangan tak pantun...Ummi lagi suka... ^^

      Hari ini hari Jumaat,
      Tuant-tuan semua cepat-cepat...

      Delete
  9. Awal tahun awal Muharram,
    Karang pantun siang malam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak kira berpantun siang dan malam,
      Suara melantun pena dan kalam.... ^__^

      Delete
  10. salam maal hijrah.. =)

    nak pantun idea tak mai..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Direntap diterjah kuntum serawa,
      Mula kerumun geram si nuri;
      Menatap wajah tersenyum lawa,
      Bila berpantun ilham mesti mari.

      Delete
  11. Salam maal hijrah kak ummi, maaf lambat singgah, tak terlewat lagi kan..semoga tahun ini jadi lebih bermakna dan berjaya untuk kita semua

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Maal Hijrah buat memmetlenggeng juga ya....semoga beroleh rezeki dan ketabahan dalam mengharungi hidumu...amin... ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^