Wednesday, November 13, 2013

Pantun Bergambar Diam Kasih Kehidupan....




....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Salam manis...kali ini Ummi berpantun hanyalah sewaktu khusus di hari Rabu....
Gambar diambil semalam ihsan Adik....anak manja Ummi.... ^^ 




Lentuk nangka terbelah satu,
Tangga beronak berlapik pelepah;
Jengok mereka di celah pintu,
Bertiga beranak di bilik sampah.

Basah sabut paku bergoyang,
Lampu jelaga tanda dicucuh;
Usah takut anakku sayang,
Ibu menjaga daripada musuh.

Pesona tinggi berdahan basah,
Basah hujan tidak menimpa;
Ke mana pergi takkan berpisah,
Berpisah tuan tidak mengapa.




Berbukit-bukit berdahan-dahan,
Kereta terlanggar kuari di hutan;
Sedikit-sedikit perlahan-lahan,
Kita keluar mencari makan.

Putar lagu pesona P.Ramlee,
Lagu lama warisan nostalgia;
Sabar menunggu kerana mangli,
Menunggu cuma ehsan manusia.




Merah dibasuh tali tembuni,
Makinlah pula pasrah bertasbih;
Sesudah Subuh hati berani,
Mungkinkah manusia bermurah kasih.

Debunga lalang selisih petunia,
Selisih cendawan kembang pegaga;
Di dunia bergalang kasih manusia,
Kasihkan haiwan berlapang Syurga.


Bonda Ummi bersama kucing kesayanagn beliau... ^^

Goyang belanak si umang-umang,
Goyang haruan jangan dicuba;
Sayang anak ditimang-timang,
Sayang haiwan diriba-riba.



Salam kasih harmoni selasih takkan berkembang tanpa berair......sampai jumpa lagi dari Ummi.... ^^



Kalam berpena....

UmmiAin

16 comments:

  1. Nangka masak di atas tangga
    Tangga bercorak bunga melati
    Comel sungguh kucing bertiga
    Menjenguk keluar berhati-hati.

    Tercucuk duri bunga ros merah
    Darah terpercik deras dicuci
    Kasihkan haiwan sifat mahmudah
    Contohi sunnah para nabi

    Berjalan-jalan seorang diri
    Singgah sebentar di pinggir pekan
    Jangan pula kera disusui
    Anak di rumah kelaparan.

    Buah delima dibuat niaga
    Riba jangan cuba diamalkan
    Kasih ibu membawa ke syurga
    Kasih ayah tiada tandingan

    Kak Ummi, comelnya kucing tu. Menyorok tersipu-sipu malu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Moyang mengomel berdesing telinga,
      Sampai Subuh jelik menantu;
      Memang comel kucing bertiga,
      Mengintai musuh di balik pintu.

      Selasih puan dimakan labi,
      Merekah pulasan tangkai yang mula;
      Kasih haiwan contohkan Nabi,
      Sedekah ehsan sampai pahala.

      Pusara kuat di pangkal sena,
      Pusara naik menghala banjaran;
      Perkara dibuat asal sederhana,
      Perkara yang baik pahala ganjaran.

      Selasih seribu kembang seraga,
      Selasih berkuah kering ditelan;
      Kasih ibu di ambang Syurga,
      Kasih ayah seiring jalan.

      Wahh....pandai berpantun rupanya dia, terimakasih Wan kerana sudi singgah sambil berpantun di blog kak Ummi....wajib dijadikan koleksi peribadi.... ^^

      Delete
  2. salam manis semanis madu.. =)

    comel2 je die ngintai dicelah pintu..


    ReplyDelete
    Replies
    1. Pelam manis tangkai selasih,
      Selasih pekat di dalam gelas;
      Salam manis sampailah kasih,
      Kasih melekat genggam tak lepas....

      Takut kat Adik tuu..... :D

      Delete
  3. Kucing bukan sebarang kucing,
    Kucing belang bercampur putih,
    Saling bukan sebarang saling,
    Saling menyayang bertaut kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Loceng bukan sebarang loceng,
      Loceng dibawa sampai ke gereja;
      Kucing bukan sebarang kucing,
      Haiwan istimewa pandai bermanja.

      Terimakasih Cikgu Teh... ^^

      Delete
  4. Salam ummi!!! Lama tak jenguk blog ummi.. Maaf.. Nak tahu? Aritu saya pergi temsya pantun serumpun..bila lihat makcik-makcik dari Indonesia berpantun SPONTAN!!1 Kagum dibuatnya..Laju sgt! hehe..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Fikri....Ummi pun rindu dengan pantun Cikgu Fikri... ^^

      Fikri menang dakk....mesti meriah pantun memantun...^^

      Baju bukan sebarang baju,
      Baju chiffon bertitik-titik;
      Laju bukan sebarang laju,
      Laju berpantun nada pun cantik.

      Delete
  5. salam kak ummi.. kucing2 tu tgh mengendap apa tu.. mengendap ikan ke...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Petai ditanam pesona tinggi,
      Pelam tersembul sebiji manis;
      Waalaikumsalam ke mana pergi,
      Tenggelam timbul di pagi Khamis.

      Kucing tu tengah mengendap anak kak Ummi...hehe

      Delete
    2. nak join kucing2 tu mengendap anak2 kak ummi.. boleh.. heee

      Delete
    3. Anak Kak Ummi tengah ambil gambar kucing-kucing tu.. ^^

      Sedap bukan sebarang sedap,
      Lembut roti sedap masaknya;
      Hendap jangan sebarang hendap,
      Takut nanti terhendap mak nya...hehehe

      Gurau ja ya Hairul....pagi-pagi...anyway tq singgah blog kak Ummi....datang lagi ya... ^^

      Delete
  6. Comel sungguh gelagat kucing mengintai disebaik pintu tu...

    Ketika hamil sering berpegangan,
    Diatas beranda beraduan enak,
    Kucing comel menjadi kesayangan,
    Meneman Bonda kerinduan anak...

    Salam buat Bonda ya... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang Ummi sentiasa perhatikan kucing 3 beranak ni....kesian...

      Ambil kendi di taman haiwan,
      Katak bertalu menyanyi hujan;
      Si Comel jadi peneman setia,
      Sejak dahulu kini terperasan.

      InsyaAllah...terimakasih... ^^

      Delete
  7. salam alahai comel kucing tu balik pintu..diam jga sebab blog meragam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wslm Suri...memang comel....kena buat post mortem tu...tq ya Suri.. ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^