Wednesday, November 27, 2013

Pantun Rabu Yang Hilang....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Istimewa dari Ummi buat sekelian sahabat yang jauh di mata tetap di jiwa ^^,.....Rabu Yang Hilang




Berabu lalang padi kekeringan,
Kekeringan malinja dimakan siput;
Rabu Yang Hilang menjadi kenangan,
Kenangan manja tidakkan luput.



Menghala tempua masih melayang,
Kepak basah berkilau sayap;
Tatkala berdua berkasih sayang,
Tidak berpisah walau sekejap.



Jumaat berzikir lima harakat,
Sampai basah badan berpeluh;
Saat terakhir sama berdekat,
Bagai berpisah tiadakan jauh.



Ikat pandan petai dibawa, 
Walau sedikit ada berguna;
Melekat badan berangkai nyawa,
Walau sakit tiada ke mana.



Redah rimba ada sang kera,
Menjejak rotan berbulan-bulan;
Sudah ku cuba tiada selera,
Dedak ku makan tidak tertelan.



Sayang gajah terkena duri,
Tiada sempat meluru ke bendang;
Terbayang wajah di sana mencari,
Tiada kelibat dapat ku pandang..



Kalau terkoyak kuntum kesidang,
Tanam melati di celah pasu;
Walau riak tersenyum pandang,
Dalam hati dapatkah tahu.



Berapi-api jangan disua,
Cimni terang dibawa tangan;
 Termimpi-mimpi kenangan berdua,
Kini seorang tiada pasangan.



Berangan tinggi menjadi tuanku,
Sejengkallah jalan diusung pulang;
Pasangan pergi mati dan kaku,
Tinggallah badan menanggung walang.



Pasir jalan kelodak biasa,
Pasak telus di luar telaga;
Air di telan tidak terasa,
Tekak haus biar dahaga.



Padi disesah hancur terbenam,
Mencari pinang disengat belalang;
Mandi tak basah tidur tak terpejam,
Diri terkenang semangat pun hilang.



Ruas tebu tidak berbatang,
Telunjuk jari menanam rotan;
Puas menunggu si dia tak datang,
Merajuk diri dalam kesejukan.



Berzikir-zikir mengharap rahmat,
Rajin ke surau berhari-hari;
Terfikir-fikir setiap saat,
Ingin merantau membawa diri.


Mati puyu dibaham cencaru,
Siakap putih dikerja haruan;
Hati sayu bersulam terharu,
Mengharap kasih bermanja tuan.



Rumah di paya berakit-rakit,
Pandan berasap mengkudu lebat;
Lemah daya semakin sakit,
Badan mengharap rindu terubat.



Hentak lesung lada cik puan,
Gelang patah terkena gigi;
Teratak kosong tiada bertuan,
Akhirnya hilang entah ke mana pergi.

Berlari-lari kerbau betina,
Berani helang meratah tali;
Berhari ku cari dikau ke mana,
Kini hilang mungkinkah kembali... :'(

Melayang awan dipuput angin,
Berpasir putih pantai nan lawa;
Sayang haiwan diurut bermain,
Secangkir kasih sampai ke jiwa.





Kalam berpena...

UmmiAin

Monday, November 25, 2013

Pantun Pada Yang Bernama......Wanita



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ








Sejambak kuntuman mawar putih buat kaum hawa.... ^^




Istimewa buat tatapan sahabat pembaca sekelian, assalamu'alaikum.......lama tidak ku pandang, rindu-rindu ya....^^,
Rindu Hatiku Tidak Terkira.....kali ini Ummi garapkan cebisan nama yang diambil dari lagu dan dipantunkan olahan Ummi sendiri......khusus untuk wanita gorgeous di luar sana....
sebenarnya banyak nama-nama yang terdapat harini, ada yang digabungkan antara dua..... 

Hari ini Ummi cetuskan pantun Pada Yang Bernama....Wanita, tetapi yang paling penting hendaklah nama yang elok dan maknanya pun hendaklah cantik.....ada beberapa nama yang Ummi pantunkan tapi bukan mengikut maknanya..... hanya sekadar karang-karangan dan nukilan Ummi berdasarkan lagu-lagu nostalgia era dulu-dulu...mai kita petik nama-nama yang ada....ya... ^^,

Nantikan kemunculan nukilan terbaru kesinambungannya......tunggu.

Jom kita berpantun .....yang mana satu anda ya....




Bertanam selasih bercantum kuntum,
Dedalu mati merimbun pauh;
Salam kasih Assalamu'alaikum,
Selalu di hati walaupun jauh.

Silau andang pelita berlampu,
 Malam kabur guruh berdentum;
 Walau pandang mata tak mampu,
 Salam ku hulur bersulam senyum.

Purnama indah penapis cahaya,
Menitis kota menjelma awan;
Nama Zuraidah gadis Indonesia,
Gadis jelita tahun lima puluhan.

Merata pukat tumpat muara,
Selisih arus mengah belukang;
Cinta tersekat akibat angkara,
Kasih putus di tengah simpang.

Kelapa buta tumbuhnya layu,
Di laluan paya jalannya lecah;
Rupa jelita sungguhlah ayu,
Perawan kaya namanya Azizah.

Minta ketumbar bercampur kuaci,
Selasih melekat jatuh di camca;
Cinta berkobar subur dan suci,
Kasih bertambat si pengayuh beca.

Api berlapis berpuput sudah,
Kayu bermata berakar hangus;
Termimpi gadis disebut Hamidah,
Ayu jelita segar dan mulus.

Karat kapak belum diasah,
Lusuh papan kerana jerami;
Ibarat kelopak kuntum yang basah,
Menyentuh perasaan teruna Raimi.

Gema qasidah di hujung kampung,
Kini Pak Mawi bersuara marhaban;
Nama terindah penghubung jantung,
Nuraini Dewi dara pingitan.

Suria meniti hari menjelma,
Subuh mendayu azan disambut;
Cahaya Matahati bererti nama,
Sungguh ayu sopan dan lembut.

Laksana kejora di inderaloka,
Kejora terapung menuju cahaya;
Suzana dara idaman jejaka,
Si dara kampung berbaju kebaya.

Muara berselut plata mati,
Berpinar redup ke mana sampan;
Azura lembut bercinta sejati,
Sinar hidup siteruna tampan.

Lemah senja syahdu berlalu,
Kenari riang bersama balam;
Salmah dipuja dirindu selalu,
Dari siang menjelma malam.

 Teguh bahtera melayang sauh,
Tidakkan tenggelam dibadai ombak;
Aduh Saleha cinta yang jauh,
Takkan padam bagai ternampak.

Buta penglihatan mengapa dibaca,
Sejengkal cahaya diguna penunjuk;
Disangka intan rupanya kaca,
Ditinggal Saleha teruna merajuk.

Lada disukat sekati sekati,
Tiada kobis kantan pun boleh;
Pemuda terpikat budi pekerti,
Siti Haida pujaan Pop Yeh Yeh.

Mana bermula iris dipetik,
Kelopak seri indah bertaut;
Rohana pula gadis dan cantik,
Gerak geri lemah dan lembut.

Meredah Aedes Denggi terkena,
Air lama berlopak tangga;
Poniah gadis India digilai teruna,
Akhirnya kecewa tidak terduga.

Daun lada menutuplah putik,
Bercantum tanda si lada api;
Che Ainon Janda Muda cukuplah cantik,
Senyum menggoda termimpi-mimpi.

Ikan pirahna mati beribu,
Dimakan merbah bawa melayang;
Intan Liyana cahaya hati ibu,
Kebanggaan abah semua sayang.

Di Subuh indah Pak Haji berazan,
Bersolat fardhu janganlah lupa;
Sungguh Faridah menjadi pujaan,
Berhajat dituju angan berjumpa.

Rasa selera menjamah ulaman,
Hirup pengat ubi terlebih;
Aisya Humaira muslimah beriman,
Peniup semangat suami yang soleh.

Berseri purnama sebaya kejora,
Bercantum mentari ternampak tinggi;
Diri umpama cahaya lentera,
Seharum kasturi semerbak setanggi.

Tumbuh kekabu berdahan mati,
Kalaulah dedalu tumbuh bertangga;
Sungguh ibu belahan hati,
Beliaulah ratu penyuluh Syurga.


Begitulah antara nama-nama yang terdapat dalam lagu di sekitar era lima puluhan, enam puluhan dan sebenarnya banyak lagi nama-nama yang terlalu banyak untuk Ummi sebutkan di sini....nama Ummi sendiri bermaksud Cahaya Matahati....setiap kali nama terpanggil adalah dari mulut arwah ayahanda Ummi yang telah tiada.....masih terngiang-ngiang di telinga....

Baiklah semua pembaca sekelian, nantikan episod kesinambungan dari Ummi dalam masa terdekat ini ya....salam sayang sepintas lalu segenggam selasih bukan dedalu......
sampai jumpa lagi ya, insyaAllah.... ^^,



Merimbun lebat rambai seberang,
Turun mengandar dahan delima;
Ampun berjabat andai terkurang,
Pantun sekadar gubahan lama.

Kelopak melati berwarna biru,
Madu dihisap Rajawali tinggi;
Hendak berhenti masa cemburu,
Rindu mengharap kembali lagi.

Pusara lama tenggelam turun,
Kerana waktu belahan cuaca;
Antara nama di dalam pantun,
Mana satu pilihan pembaca...^^,






Kalam berpena...
UmmiAin

Wednesday, November 20, 2013

Pantun Rabu Tak Terucap....


....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Ummi bersama anak sulung sedang menikmati
keindahan alam senja ciptaan Tuhan Rabbul Jalil
di malam Rabu lepas yang tak terucap di Ampang park..
Photographer :  Adik yang manja...^^


Jom kita berpantun.....dengan Ummi..sambil mendengar lagu Bang Mad Daud kita sambil menggoyang kepala tapi jangan over naa... ^^,



Abu menjulang berasap gua,
Kelam terbakar langit menangis;
Rabu berulang mengungkap peristiwa,
Bersulam hambar pahit dan manis.

Gembala lembu berangan teman,
Bukit besar tumbuh beringin;
Bermula Rabu dengan senyuman,
Kulit bergetar di Subuh dingin.

Di petang sebu mentari tumpat,
Kuntum gardenia kembang si tanjung,
Datang Rabu hari keempat,
Bercantum usia di ambang penghujung.

Mengapa abu medak berasap,
Dekat senja masa memahat;
Mengapa Rabu tidak terucap,
Penat bekerja terpaksa berehat.

Kelapa rendah di tepi pongsu,
Rendang duku tumbuh di muara;
Mengapa lidah menjadi bisu,
Sedang Rabu penuh suara.

Lembut dicicah ulam sayuran,
Petua ibu mesti belajar;
Tersebutlah kisah dalam Al Quran,
Peristiwa Rabu menjadi iktibar.

Mencari bubu mencari kelah,
Turun menyelam di malam sepi;
Hari Rabu na'as dari Allah,
Qarun dibenam ke dalam bumi.

Pisah kerabu satu persatu,
Dedaun ulam purut diperah;
Kisah Rabu Allah Penentu,
Fir'aun tenggelam di Laut Merah.

Tenguk darah mulalah kepala,
Terasalah kecut ditikam-tikam;
Nyamuk diarah Allah Ta'ala,
Binasalah Namrudz Raja yang kejam.

Pintu dipalam terbelah patah,
Gunalah lekas ragum diputar;
Batu merejam Allah perintah,
Binasalah Luth As kaum yang engkar.

Muara besar terlekat kail,
Candat terasa terkena kelisa;
Bersuara halilintar Malaikat Jibrail,
Syidad bin Aad binasa kerana berdosa.

Mencari kekabu basah berhujan,
Belum dapat beringin digoncang;
Di hari Rabu kisah Al Quran,
Binasalah Kaum Aad dek angin yang kencang.

Labu bertangkai tua dan kuning,
Puteri bermain ciku dan mangga;
Rabu disampai peristiwa penting,
Hari yang lain pun begitu juga.

Serkap basah sarang-sarangan,
Suami berkebun di petak serawa;
Berangkap kisah kurang-kurangan,
Ummi berpantun tidaklah lawa.

Berpisah badan terlalu angkuh,
Allah Ta'ala sampaikan hukum;
Kisah Al Quran mahu dibubuh,
Rujuklah sila sebagai maklum.


Buat anda sahabat sekelian yang Ummi hormati.....hari Rabu hari terindah kita nikmati semoga kita sentiasa perkara yang baik kita jadikan contoh yang harus diikuti......salam sayang berderai selasih
semanis nescafe buat semua...sampai jumpa lagi di lain episod.....insyaAllah.. ^^,

p/s  Terimakasih curahan hujan bagai diberiNYA semalam buat kita dan khusus kepada rakan-rakan pembaca yang sudi singgah berpantun .....ya  ^^


Kalam berpena...

UmmiAin

Monday, November 18, 2013

Pantun Senyum Oh Senyuman....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Salam bahagia kembali lagi Ummi menemui sekelian pemantun yang bijak-bijak belaka...kali ini kita berpantun sambil mendengar lagu rancak nostalgia, bukan beralih arah ya, Bang Ramlee tetap nombor satu di hati.........

Baiklah....ukirkanlah senyuman bersama-sama dengan bermulanya hari dan tatkala terjaga dari tidur ya sambil membaca doa dan bersyukur..........insyaAllah minda pun akan tenang dan ceria untuk melakukan setiap perkara.....leganya hati Ummi kerana dapat mengirimkan entri baru yang dah tersimpan lama khusus buat rakan-rakan semua ya  ^___^

Jom kita berpantun..



Renung dan senyum...

Senyum dalam keterpaksaan... 


Anggun teratai dibawa apung,
Kuntum kuntuman anggun berani;
Pantun berangkai berhawa kampung,
Senyum Oh Senyuman pantun terkini.

Kesidang anggun lili mengharum,
Kelopak berseri bersulam madu;
Ku pandang pantun kembali senyum,
Berkocak memori di dalam rindu.

Merah kuntuman kelopak bersegi,
Dedap merekah terkulai-kulai;
Murah senyuman tidakkan rugi,
Dianggap sedekah tiada ternilai.




Buah saga di anting-anting,
Warna idaman merah bersegi;
Tuah harga tiada terbanding,
Pesona senyuman beroleh rezeki.

Perah rendaman titis bertabur,
Ampai pakaian di tiang kelikir;
Murah senyuman manis bertutur,
Ramai kawan riang dan hampir.

Ditala gajah teriak berdentum,
Beruklah mati tumbang melayang;
Pabila wajah beriak senyum,
Sejuklah hati abang pun sayang.

Cantik menguntum sepanjang-panjang,
Makinkah kesidang berputik satu;
Asyik tersenyum memanjang-manjang,
Mungkinkah udang si sebalik batu.

Hujan berdentum berkuat-kuat,
Dentum tempias tenggelamkan perahu;
Jangan senyum yang dibuat-buat,
Senyum yang ikhlas orangkan tahu.

Daun selom ulam sayuran,
Kelapa kerisik udang geragau;
Kalaupun senyum dalam keterpaksaan,
Mengapa terusik bila bergurau.

Rendang kari berbaulah harum,
Kuah disenduk sudah berserdak;
Pandang isteri tentulah tersenyum,
Wajah sejuk indah berbedak.

Ditetas dicantum sulaman saprah,
Mula berkedut hiasan benang;
Seutas senyum senyuman murah,
Pahala diraut ehsan dikenang.


Cek malu la nak senyum....hi2

Bahulu harum cukuplah suka,
Bersila sopan menyenduk ladu;
Malu senyum menutup muka,
Bila berdepan tunduk terkedu.

Pintu sendeng bercantum gangsa,
Diguna spana bertangkai runcing;
Menantu bersanding senyum terpaksa,
Kerana mentua misai melenting.

Bercantum ruas si batang tebu,
Buluh betong pacak telaga;
Senyum ikhlas memandang ibu,
Sungguh menolong anak ke Syurga.

Segenggam beras sebungkus nasi,
Makan belum meja bergoyang;
Dalam tugas harus kolaborasi,
Majikan senyum pekerja sayang.

Teman berzikir di malam curahan,
Sudah tarannum harakat Bayati;
Senyuman terukir dalam kepayahan,
Mudah tersenyum melekat di hati.

Cantum cantuman kelapa bali,
Jangan menghala ke pohon sena;
Senyum senyuman mengapa dibeli,
Jangan pula beradun makna...

Limau basah masam di kulit,
Cantum delima berbuah tepi;
Walau susah di dalam sulit,
Senyum umpama sebuah terapi.

Harum bauan cempedak muda,
Papaya masak sudahlah masam;
Senyum tuan hendaklah berpada,
Supaya tidak disalah faham.


Senyuman di sebalik tangisan....



Ombak seberang bercantum dua,
Karam kemudi bergoyang perahu;
Ternampak orang senyum ketawa,
Di dalam hati Allah Yang Tahu.

Pohon rimba pohon nan jarang,
Rimba lama kelam saujana;
Pantun hamba pantun nan kurang,
Hamba cuma berkalam pena.

Mencari longan lencun berpeluh,
Pohon berdahan berakar sasa;
Jejari tangan bersusun sepuluh,
Mohon ampunkan terkasar bahasa.

Masak delima isinya rapat,
Dimakan tempua satu persatu;
Hendak berlama tapi tak dapat,
Harapkan bersua di lain waktu..

Ikan haruan disergah keli,
Toman menepis rebah tenggiri;
Andaikan tuan singgah membeli,
Senyuman manis bertambah seri.





Cukup-cukup sudah...sampai di sini saja dulu ya..... ( lirik lagu Nirwana Band )....insyaAllah di lain waktu dan ketika, salam sayang selasih melekat.....salam terapung di angin lalu buat sahabat-sahabat yang Ummi ingati selalu.....jangan lupa berpantun dalam senyuman.... ^^


Kalam berpena....

UmmiAin

Wednesday, November 13, 2013

Pantun Bergambar Diam Kasih Kehidupan....




....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ



Salam manis...kali ini Ummi berpantun hanyalah sewaktu khusus di hari Rabu....
Gambar diambil semalam ihsan Adik....anak manja Ummi.... ^^ 




Lentuk nangka terbelah satu,
Tangga beronak berlapik pelepah;
Jengok mereka di celah pintu,
Bertiga beranak di bilik sampah.

Basah sabut paku bergoyang,
Lampu jelaga tanda dicucuh;
Usah takut anakku sayang,
Ibu menjaga daripada musuh.

Pesona tinggi berdahan basah,
Basah hujan tidak menimpa;
Ke mana pergi takkan berpisah,
Berpisah tuan tidak mengapa.




Berbukit-bukit berdahan-dahan,
Kereta terlanggar kuari di hutan;
Sedikit-sedikit perlahan-lahan,
Kita keluar mencari makan.

Putar lagu pesona P.Ramlee,
Lagu lama warisan nostalgia;
Sabar menunggu kerana mangli,
Menunggu cuma ehsan manusia.




Merah dibasuh tali tembuni,
Makinlah pula pasrah bertasbih;
Sesudah Subuh hati berani,
Mungkinkah manusia bermurah kasih.

Debunga lalang selisih petunia,
Selisih cendawan kembang pegaga;
Di dunia bergalang kasih manusia,
Kasihkan haiwan berlapang Syurga.


Bonda Ummi bersama kucing kesayanagn beliau... ^^

Goyang belanak si umang-umang,
Goyang haruan jangan dicuba;
Sayang anak ditimang-timang,
Sayang haiwan diriba-riba.



Salam kasih harmoni selasih takkan berkembang tanpa berair......sampai jumpa lagi dari Ummi.... ^^



Kalam berpena....

UmmiAin

Saturday, November 9, 2013

Pantun Hancur Badan DiKandung Tanah....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Malam berdentum kelibat bulan,
Berkaca nimbus mega membungkus;
Assalamu'alaikum sahabat taulan,
Doa tulus semoga bagus.

Zohor diazan senandung Sunnah,
Rahmat ayat bersulam tarannum;
Hancur Badan Dikandung Tanah,
Tamat riwayat dalam terhukum.

Tekukur undan burung Cik Minah,
Menanti siitik berenang ke hulu:
Hancur Badan Dikandung Tanah,
Pekerti cantik dikenang selalu.

Selasih melayang di angin lembah,
Kudup melati berputik satu;
Kasih sayang makin bercambah,
Hidup mati dipetik waktu.

Selinap sawa mati si kancil,
Terjuntai sawa di dahan ciku;
Setiap nyawa pasti diambil,
Bercerai nyawa badankan kaku.

Kuat berjalan cekal Pak Tua,
Pak Tua berbaju terendam basah;
Berbuat amalan bekal dibawa,
Bawa menuju ke alam barzah.

Lurus jalan pangkal selisih,
Jalan kedua di tepi balai;
Putus amalan tinggallah kasih,
Amalan dan doa menjadi perisai.

Lecur pandan kedondong musnah,
Lalang kering di tengah kulat;
Hancur Badan Dikandung Tanah,
Darah dan daging dimamah ulat.

Putih merbah bersua hud-hud,
Murai menunggu di tangkai serawa;
Kasih bercambah diusia lanjut,
Sampai waktu bercerai nyawa.

Berpuput laut tenggelam sudah,
Gempur lautan mendung seranah;
Dijemput maut ke alam barzah,
Hancur Badan Dikandung Tanah.

Basah malukut berketul selut,
Pengkalan daik kerikil muara;
Usah takut Sakratul maut,
Amalan baik diambil kira.

Berkenan pula si puteri Musa,
Hasrat teruna sudahlah tentu;
Kanan pahala di kiri dosa,
Berat yang mana Allah yang tentu.

Terang angkasa guruh bernyawa,
Berduyun kenari meredah titi;
Terkurang bahasa tersentuh jiwa,
Bersusun jari serendah hati.

Tangkai cimni jerami keliling,
Asap-asapkan api berunggun;
Sampai di sini Ummi berpaling,
Harap-harapkan mimpi berpantun.



p/s  Selamat bersua kembali dan assalamu'alaikum...^^,



Kalam berpena....

UmmiAin

Wednesday, November 6, 2013

Pantun Dalam Awal Muharram......Ma'al Hijrah



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ





Jom kita berpantun ya... ^^

Andang api tidak berlampu,
Malam terhukum petir berdentum;
Dipandang sepi lihat tak mampu,
Assalamu'alaikum secangkir kuntum.

Keli terkapar berminggu-minggu,
Menimbun busuk tenggelam jeram;
Kembali menghampar pantun berlagu,
Pantun sesejuk Dalam Muharram.

Pangkal jeram berkabut pagi,
Mendayung perahu mengharap sampai;
Awal Muharram disebut lagi,
Lembayung baru menyingkap tirai.

Kapal karam bersimpul tali,
Carilah benua terasa penat;
Awal Muharram muncul kembali,
Marilah semua berpuasa sunat.

Tilan gelama menimbun merah;
Merah sebelah melukah ke tanah,
Bulan pertama di Tahun Hijrah,
Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah.

Pesona Muharram kalau dikenang,
Tentu kenangan menempah sejarah;
Makna diharamkan atau dipantang,
Iaitu peperangan dan tumpah darah.

Lawa kerinting berambut basah,
Tengkolok bergulung dipakai Sultan;
Peristiwa penting tersebut kisah,
Elok direnung sampai pengetahuan.

Naluri bergema diri dibasuh,
Terbuku pasrah menadah syukur;
Hari pertama dan hari kesepuluh,
Berlaku sejarah sudah tersohor.

Berulam-ulaman si buah tamar,
Makan mengkelan bercicah kicap;
Satu Muharram di zaman Khalifah Umar,
Kiraan bulan sudah ditetap.

Berminyak sudah tubuh diparam,
Ditebuk kaca mesti sakitan;
Banyak kisah sepuluh Muharram,
Elok dibaca melalui rujukan..

Bancuh garam sebuku basah,
Kari kedera tulang bersaringan;
Sepuluh Muharram berlaku kisah,
Hari Asyura gemilang perjuangan.

Buluh ditanam berpaut dahan,
Lebat mempelam tiada bergalah;
Sepuluh Muharram disebut AlQuran,
Taubat Nabi Adam kepada Allah.

Tumbuh mempelam menepis bidara,
Kelubi berbaris rapat ke kunyit;
Sepuluh Muharram tertulis perkara,
Nabi Idris diangkat ke langit.

Buluh ditanam selisih pinang,
Merah bara jangan disentuh;
Sepuluh Muharram masih dikenang,
Sejarah bahtera di zaman Nabi Nuh.

Disuruh menanam sibuah kelubi,
Tempat berpagar kelubi bermusim;
Sepuluh Muharram alkisah Nabi,
Selamat dibakar Nabi Ibrahim.

Rentap jerat bertimbun kelah,
Jelawat merah dicelah kelisa
Kitab Taurat diperturun Allah,
Kitab berdakwah Nabi Allah Musa.

Muka berpeluh membaham cabai,
Kerutup pedas kari kedera;
Ketika sepuluh Muharram sampai,
Nabi Yusuf bebas dari penjara.

Tepi kukup lebat kesidang,
Batu bergoyang tiada teralih;
Nabi Yaakub dapat memandang,
Allah Itu Penyayang dan Maha Pemulih.

Tumbuhlah beri berbelit-belit,
Kelubi sayup masihkan bergalah;
Sembuhlah dari penyakit kulit,
Nabi Ayub dipulihkan Allah.

Mekarlah mulus berbuah sebelah,
Berhari merebut rambutan segugus,
Keluarlah Nabi Yunus Nabi Allah,
Dari perut si ikanlah paus.

Tumbuh mempelam berbuah lusa,
Rambutan berbuah dahanlah tua;
Sepuluh Muharram kisah nabi Musa,
Lautan Merah belahan dua.

Cucuh sekam berpisah berlumut,
Embun menyerlah padi basahan;
Sepuluh Muharram kisah Nabi Daud,
Diampun Allah dari kesalahan.

Basah halaman buluh tenggelam,
Dahan terbelah tepian pagar;
Kisah Nabi Sulaiman sepuluh Muharram,
Dikurniakan Allah kerajaan besar.

Guruh menderam kelam di hutan,
Ngeri bergema membuta malam;
Sepuluh Muharram dalam ingatan,
Hari pertama Allah mencipta alam.

Mencari kuini tumbuh terendam,
Mencari delima di kebun Pak Mat;
Hari ini sepuluh Muharram,
Hari pertama diperturunkan rahmat.

Mentari menyuluh malam yang kelam,
Seri purnama awan imbauan;
Hari kesepuluh dalam Muharram,
Hari pertama hujan diturunkan.

Beras hangus dimakan kelah,
Kelah marinya jatuh di jeram;
Arasy' dan Luh Mahfuz dijadikan Allah,
Inilah harinya sepuluh Muharram.

Ikat kail mata sebilah,
Jari melepuh bertampal param;
Malaikat Jibrail dicipta Allah,
Hari kesepuluh awal Muharram.

Buluh berkatam bawa bertongkat,
Terasa tongkat sedikit lekit;
Kesepuluh Muharram peristiwa hebat,
Nabi Isa diangkat ke langit.

Pangkal pohon pasir bertimbun,
Ada sawa berembun hujan;
Awal tahun dan akhir tahun,
Dibaca doa mohon kesejahteraan.

Dalam payah mewakaf tempat,
Bangga dan pasrah telus berehsan;
Segenggam hidayah insaf dan taubat,
Semoga berhijrah berterus-terusan.

Telunjuk jari tersua ketam,
Kepitnya tinggi menanti belahan;
Ku pujuk sendiri jiwa yang dalam,
Sakit ku pergi hati tak tahan.

Pohon bumi dedalu tinggi,
Pohon rimbunan terasa terang;
Mohon Ummi berlalu pergi,
Mohon ampunan bahasa terkurang.

Cantik cantik puteri Kartini,
Berselendang sutera sulam labuci;
Petik petiklah jari di sini...
Pandang gumbira dalam tak benci.


p/s  Selamat Menyambut Ma'al Hijrah Tahun 1435H dari Ummi kepada semua rakan-rakan Muslimin dan Muslimat...semoga penghijrahan kita membawa sejuta kebaikan dalam naluri keinsafan dan kepastian......amin.




Kalam berpena...
UmmiAin