Tuesday, October 29, 2013

Pantun Teristimewa Dia Yang Ku Sayang... ^^



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Berendam kuntum hari basahan,
Teratai terendam kekwa terapung;
Assalamualaikum dari kejauhan,
Ku sampai salam berhawa kampung,

Bendang berlopak pianggang di tangan,
Pagar tua mana tegaknya;
Dipandang tidak dipegang jangan,
Khabar semua bagaimana agaknya.

Disambar mercun dekat halaman,
Mercun terkena bibir dan dagu;
Selembar pantun buat rangkuman,
Pantun nostalgia berair lagu.

Turun memburu menyambar rendah,
Tempua terbang melayang-layang;
Pantun baru terhampar sudah,
Teristimewa Dia Yang Ku Sayang.

Salam bahagia senyum teramat manis dari Ummi.....^^, agak lama juga Ummi tidak melembarkan pantun, Alhamdulillah baru kini Ummi berpeluang untuk bertemu dengan para pembaca dan sahabat-sahabat Ummi tersayang....apa khabar semuanya, harap semuanya sihat-sihat wal'afiat dan ceria-ceria selalu hendaknya....amin.

Sebenarnya Ummi baru sahaja kembali dari kampung halaman nun jauh di utara sana untuk bertemu bonda di kejauhan untuk melepaskan kerinduan yang bertakuk di pohon hati....sekarang rindu Ummi terubat sudah....tetapi kerinduan untuk berpantun meluap-luap di dalam jiwa....sekembalinya Ummi ke arena pena, dapatlah Ummi rangkumkan topik bertajuk Teristimewa Dia Yang Ku Sayang khusus buat sahabat-sahabat pembaca.... sepertimana yang Ummi pernah nukilkan pantun yang sinonim dengan yang ini iaitu di segmen yang dianjurkan oleh dear P.C.L yang baru lalu...peminat no satu tu tetapi pantun kali ini punya kelainan iaitu tentang orang-orang yang paling Ummi sayang......anda pun begitu juga kan.... ^^,

Baiklah....satu...dua...tiga....jom kita berpantun .... ^^,



My beloved ones.......

Kasih selengan sebantal....


Bawah papan letak peniti,
Berat kelikir beralas bangku;
Wajah tersimpan di kotak hati,
Ibarat terukir di atas batu.

Bumi putih berangkai jerebu,
Irama jerung mencekau tempua;
Suami ku kasih termeterai kalbu,
Bersama mengharung walau apa jua.

Ruas buluh menahan delima,
Putih kekabu jatuh ke tanah;
Tunas tumbuh tiadakan sama,
Kasih Ibu seteguh Al Jannah.

Melantun pauh di mata lebah,
Mata berpusing di tepi laman;
Ibu nun jauh wanita tabah,
Pencinta kucing menjadi teman.

Pelangi menjelma berwarna tujuh,
Melayang merbah disedut Bermuda;
Selagi bersama badan dan roh,
Sayang Ayah berpuput tiada.

Goyah mempalas digoyang puput,
Segar putat menghala laluan;
Ayah tegas penyayang dan lembut,
Gemar mencatat segala perlakuan.

Petik kemboja seberang tanjung,
Mawar serumpun tilayah bumi,
Si Adik manja pengarang jantung,
Penawar racun Ayah dan Ummi.

Bunga tumbuh bersirat putik,
Bunga padi tidak terlekat;
Doa bersungguh buat si Adik,
Semoga menjadi anak yang taat.

Tengah menanam pandan di bumi,
Sarang tergantung dekat mengkudu;
Abangngah faham perasaan Ummi,
Pengarang jantung tempat mengadu.

Tempua melayang menggenggam bunga,
Kera meragut pulasan segar;
Jiwa penyayang pendiam orangnya,
Bersuara lembut insan penyabar.

 Nangka diperam berbau harum,
Bidara mangkal bawa ke pasar;
Jejaka hensem selalu tersenyum (Abanglong)
Bersuara Jamal berjiwa besar.

Gulung sauh kapal belayar,
Perahu lalu sarat tenggiri,
Berlaga kemudi Selat Panama;
Abanglong jauh tinggal khabar,
Mahu selalu ingatkan diri,
Jaga peribadi solat yang lima.

Pasti Cik Gayah berkunjung ke kelab,
Bersepatu slop menunjuk-nunjuk;
Pengganti Ayah bertanggung jawab,
Abangku Ayob tempat merujuk.

Berus remos si rambut karan,
Turun ke mata selak pandangan;
Amos Amyos disebut gelaran,
Anggun jelita kakak kesayangan.

Cuaca Isnin bergema sinaran,
Cantik pelangi di pagi berawan;
Abu Anissa Ibnu Nin nama samaran,
Adik ku ini tinggi pengetahuan.

Mengkelan taucu mengkelan selera,
Betik berbuah susah dipegang;
Panggilan Ucu panggilan semesra,
Adikku Rudziah tak pernah berenggang.

Berdesing nyamuk menyambar isi,
Termakan abu sampai tercucuh;
Kucing ku gemuk digelar Messi,
Wakilkan ibu sebagai pengasuh.

Mentari petang langit melawa,
Mentari merajah bertemu awan;
Memori datang mencuit jiwa,
Memori menerjah hatiku rawan.

Senyum makrifat jejaka berselepang,
Tampil ranggi rambut di dahi,
Jemu bersila rebah di paha;
Belum sempat mata memandang,
 Nabil 'pergi' dijemput Ilahi,
Ibu merela abah meredha.

Mayang kecil masak separuh,
Tingginya buah di pangkal tua;
Sayang Nabil anak ku asuh,
Perginya Arwah tinggal semua.

Sirih pegaga bersusun sepuluh,
Sirih rangup berkedut seribu;
Kasih keluarga walaupun jauh,
Kasih termaktub di sudut qolbu.

Sarang angsa beralas kiambang,
Redah merpati ke pohon rimbun;
Sebarang bahasa berkias sumbang,
Serendah hati ku mohon ampun.

Atas batu itik menggigil,
Todak mati celah-celahan;
Menggalas waktu detik memanggil,
Hendak berhenti tertahan-tahan.




Dalam kehidupan ini, banyak yang Ummi sayang , tak ketinggalan para sahabat yang peramah dan budiman yang sudi hadir di sini berpantun bersama Ummi...terimakasih kalungan bunga ribuan selasih buat anda semua.....marilah kita sedekahkan Al Fatihah kepada Arwah anak asuhan Ummi iaitu Mohd Nabil bin Mohd Azam yang baru sahaja pulang ke Rahmatullah di waktu usia yang muda kerana Allah lebih sayangkan beliau.iaitu pada hari Jumaat yang lepas 25hb Oktober 2013 bersamaan 20 Zulhijjah 1434....Al Fatihah...



Serkup tupai kuini bergoyang ,
Jatuh debunga setandan pinang;
Tempuh dunia tabah dan tenang.

Suami menanti selasih subur,
Membelah kelapa bulat dan tua;
Demi meniti kasih yang luhur,
Janganlah lupa solat dan doa.

Kukup rendah bumi meruntun,
Cuaca membelah mentari pagi;
Cukup sudah Ummi berpantun,
InsyaAllah ku kembali lagi.





Kalam berpena......

UmmiAin

15 comments:

  1. Singgah ke sini berhulur salam
    Membaca entri penuh teruja
    Sungguh indah setiap kalam
    Dihadam sepenuh rasa bangga

    Seronok berpantun sesama kita
    Tradisi lama yang kian hilang
    Salam ziarah daripada saya
    Moga budaya sentiasa dijulang

    Saya tidak pandai berpantun
    Sekadar tulis sesedap rasa
    Mohon belajar dengan santun
    Budaya ini budaya bangsa

    Seronok pula berbalas pantun. Hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tomboi tingkap habislah hangus,
      Hanya terkena bingkai yang turun;
      Amboi, rangkapnya tiga sekaligus,
      Rupanya wana pandai berpantun.

      Buaya bergoyang mencekau beruk,
      Sampainya pagi genggamnya kini;
      Budaya moyang kalau dipupuk,
      Bernilai tinggi fahamnya seni.

      Angsana tumbuh pantai seberang,
      Ributlah turun terlalu berani;
      Wana sungguh pandai mengarang,
      Jemputlah berpantun selalu di sini.

      Delete
    2. Terimakasih wana....
      agaknya wan zakaria + hamiza = wanariahamiza

      hehehe.....

      Delete
  2. semoga anak asuhan kak ummi ditempatkan di kalangan org yg beriman.. atuk saya pun baru je meninggal. pagi tadi dah selesaikan jenazahnya..

    Menanam budi di dalam taman
    Mekar wangi di taman hati
    budi baik diingati teman
    disayangi teman sampai ke mati...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih Hairul atas doa mu, kak Ummi doakan semoga roh allahyarham atuk Hairul dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan tergolong bersama para Mukminin.....amin, sabar ye adik akak.

      Kemudi daik di malam hari,
      Bawal mati di pantai Tuaran;
      Budi yang baik dalam memori,
      Kekal di hati bagai ukiran....

      Terimakasih datang kemari...^^

      Delete
  3. Geram abang sulam budu
    Kelam bayang cerah pagi
    Salam sayang salam rindu
    Malam datang singgah sini

    anak2 Ummi semua lelaki ya.. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tanam mengkudu delima tua,
      Delima putih melekat bumi;
      Salam merindu lama bersua,
      Terimakasih ingat Ummi....

      p/s Anak-anak Ummi yang sulung dan tengah adalah lelaki, yang bongsu perempuan, Si Adik... ^^

      Delete
  4. Pandai Ummi berpantun. Seronok baca pantun-pantun yang tertulis di sini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq Lynn sayang, pujian Lynn terlalu tinggi, buat Umm malu...apapun, tq sekali lg kerana sudi singgahke blog Ummi ya ^^

      Delete
  5. Tujuan hidup bukan makan
    Cuma makan untuk hidup
    apapun ia suatu didikan
    buat nasihat si hati redup

    tanam sagu dekat batu
    pecah batu di timpa palu
    jangan malu jangan begitu
    ikhlas buat dirimu selalu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nangka digoyang bergoyang mempalas,
      Rangkai melati berasap api;
      Jika sayang sayang yang ikhlas,
      Sampai mati tetap abadi.

      Delete
  6. Sayang-sayang buah kepayang,
    Disimpan semua di dalam raga;
    Kita sayang Allah pun sayang,
    Semoga berjumpa lagi di syurga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Awan kelam kehitaman sudah,
      Naik tangga terlihat muka;
      Ketentuan dalam genggaman Allah,
      Baik ke syurga jahat ke neraka.

      Delete
  7. Daun pandan harum menawan
    Daun serai sedap baunya
    Pantun K.Ummi sungguh menawan
    Indah bahasa, tutur bicara

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kebun Cina ada memerang,
      Serkap angka habis sarangnya;
      Pantun Lina tiada yang kurang,
      Sedap bahasa semanis orangnya...tq Lina syg ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^