Monday, October 14, 2013

Pantun Labbaik Allahumma Labbaik.....



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Labbaik Allahumma Labbaik.....
Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah.

Labbaika la syarika laka labbaik....
Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu.

Inna al hamda wa an ni’mata laka wa al mulka la syarika laka......
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada bagiMu sekutu.



Papan setimbun dibasuh dicantum,
Diketam sampai membina rumah;
Ucapan nun jauh assalamu'alaikum,
Salam ku lambai Baitullah Al Mukarramah;

Bijian delima ditelan gajah,
Tertelan sudah biji sebeban;
Lambaian bergema bulan Zulhijjah,
Bulan 'ibadah haji dan korban.




 Ulama tasawwuf sedang melangkah,
Bawa Al Quran ke madrasah mengaji;
Sama berwukuf di Padang 'Arafah,
Kemuncak kesempurnaan 'ibadah haji.

Pelepah tumbuh kedondong basah,
Rapat laluan bertanam serawa;
'Arafah sungguh terkandung kisah,
Tempat pertemuan Adam dan Hawa.

Terasa penat mencari kepah,
Busa berarus membelah alun,
Berembun perahu setimbun kupang;
Berpuasa sunat Hari 'Arafah,
Dosa terhapus Allah Pengampun,
Setahun lalu dan setahun mendatang.

Al Quran jua mengadang onar,
Sehingga terbuka pelangi nurani;
Gambaran semua di Padang Mahsyar.
Syurga dan Neraka berbagi penghuni.

Masih di masjid sambil berfikir,
Segera berazan di tepi kolah;
Tasbih tahmid tahlil dan takbir,
Suara laungan memuji Allah.



Sudah bermaaf berusia kehidupan,
Maaf diikat hati tak dendam;
'Ibadah tawaf rahsia tersimpan,
Tawaf malaikat dan Nabi Adam a.s

Skaf dipakai tinggi sebelah,
Tembus pakaian siap ditongkah;
Tawaf 'ibadah mengelilingi Baitullah,
Terhapus keburukan setiap langkah.



Mempelam tua berbiji merah,
Mencari keladi di kebun Pak Shuib;
Dalam kedua haji dan umrah,
Sa'ie menjadi rukun yang wajib 

Diberi tidak dimakan berlebih,
Sedulang betik mengapa di bawah;
Berlari anak tiadakan letih,
Berulang alik Safa dan Marwah.




Sayur umbut disaji sudah,
Masih mencari sebungkus laksa;
Bercukur rambut Haji dan Umrah,
Membersih diri menghapus dosa.



Suara tekukur juga merpati,
Merebut buah tinggi segalah;
Gembira bersyukur lega di hati,
Dijemput Allah pergi Baitullah.


Taiyyub berniat sambil menggenggam,
Kesampaian jua bertemu Baitullah;
Sayup melihat Masjidil Haram,
Lambaian jiwa tetamu Allah..


Kerang dituba sudah sebeban,
Pelata di bubu melenting lepas;
Sekarang tiba 'ibadah korban,
Unta lembu kambing dan kibas.

Kelat bemban rasa tak tahan,
Tapai bahulu jemu dimakan;
Fadhilat korban masa penyembelihan,
Sehelai bulu satu kebaikan.

Rendah reban di tepi mukim,
Paya di hutan bertiti lebar;
'Ibadah korban Nabi Ibrahim,
Supaya ingatan menjadi iktibar.


Dah sedia berbaris dan berkawat untuk berkorban.....

Serendah ucapan seindah pengorbanan.....


Sebenarnya agar sukar juga bagi Ummi untuk mengarang pantun ini namun kerana commitment yang jitu Ummi cuba habiskan masa berhari suntuk untuk mencari fakta dan info sampaikan berlaku kesalahan teknikal, dan Ummi mohon maaf ya, kepada pembaca yang Ummi sayangi, silalah klik url Ummi yang terdahulu,...bertajuk 'IBADAH HAJI LAMBAIAN KA'ABAH... ^^



Untuk sahabat semua....


Sayang keranji berwarna merah,
Tua dan tawar kecut merekah,
Sayang Haji dan juga Umrah,
Doa agar dijemput ke Mekah,

Kalau lada dimayang sebelah,
Urap mentimun si ulam nangka;
Kalau ada info yang salah,
Harap terampun genggam dibuka.

Andai termampu kerjakan segera,
Rebutlah peluang dosa terampun.
Sampai berlalu nukilan bicara,
Serautlah ruang masa berpantun.




Sampai jumpa lagi ya, insyaAllah, ucapan Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidil Adha kepada sahabta-sahabat sekelian dan kepada bakal-bakal Haji, selamat menunaikan 'ibadah Haji dan Umrah.semoga anda sentiasa di dalam limpahan cahaya kasih sayang Allah SWT......aminn....

p/s  Jom kita berpantun ya... ^^


Kalam berpena....

UmmiAin

7 comments:

  1. nice entry...semoga kita menjadi Tetamu Allah suatu hari nanti..Selamat hari raya aidiladha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq.....insyaAllah andai disertakan niat ikhlas seorang hamba, Allah itu Maha Mendengar dan Tidak Berkira.

      Selamat Hari Raya 'Aidil Adha juga ya... ^^

      Delete
  2. Salam Aidil Adha Ummi, moga satu hari nanti kita semua dapat sampai ke sana. In sya allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malam muda pungguk memilin,
      Menanti bertemu purnama menyerlah;
      Salam 'Aidil Adha untuk Cik Lynn,
      Menjadi tetamu bersama InsyaAllah.

      Delete
  3. Salam bersambut kanan kiri,
    Beraya korban beraya haji;
    Jauh di ufuk berduyun pergi,
    Mahu menyambut seruan Illahi.

    ReplyDelete
  4. Salam Aidiladha dari kami berdua, ummi :)

    ReplyDelete
  5. Subhanallah, indahnya pantun nukilan kak Ummi ni.. Terkesam betul baca pantun2 kak Ummi.. Teruskan mengekalkan warisan pujangga kita kak.. =)
    ZON PERMAISURI CHOMEL

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^