Thursday, October 31, 2013

Pantun Senyap...Sunyi Dan Sepi.......



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Pelam bidara batangnya rapuh,
Patah sedahan tua dan hangus;
Salam semesra ku pandang jauh,
Mudah-mudahan semua bagus,
Kalau lebat kelopak kesidang,
Tanam subur di hujung muara;
Kalau sahabat tidak ku pandang,
Salam ku tabur terapung udara.

Turun ketitir turun berlima,
Lima bersayap sembunyi tepi;
Pantun ku ukir pantun bernama,
 Bernama Senyap Sunyi dan Sepi.



Menanti malam senja berlabuh,
Keseorangan diri di malam sepi;
Hati di dalam teruja sungguh,
Angan puteri di dalam mimpi.



Malam gelap terangnya cimni,
Andang berabu tiada berguna;
Dalam mengharap hanya di sini,
Pandang syahdu tiada pesona.


Hajat berdua turun ke kebun,
Di dalam gelap sembunyi api;
Munajat doa memohon ampun,
Dimalam senyap sunyi dan sepi.

Kelicap sembunyi di tepi kolam,
Kedidi merah di bongkah batu;
Senyap sunyi sepinya alam,
Menjadi lumrah Allah Penentu.

Bersiang salad bawang dan kunyit,
Nasi berampai tinggal secangkir;
Berliang lahad ber'ruang' sempit,
Destinasi sampai kekal berakhir.

Tanam tembuni berasap api,
 Hajat berlutut dipusara tua;
 Malam sunyi senyap dan sepi,
Bersolat tahajjud suara berdoa.

Termimpi-mimpi luka di dagu,
Hari meninggi hendak ke kali;
Sunyi sepi jejaka menunggu,
Puteri pergi tidak kembali.

Tampi lada menampi sagu,
Sagu medak bersapu-sapuan;
Sepi bonda sepi menunggu,
Menunggu anak pulang pangkuan.

Bunyi kecapi menari lagu,
Lagu giyomi semuanya suka,
Sunyi sepi isteri menunggu,
Menunggu suami hanya seketika.

Putih tulang pasir di lutut,
Jatuh tersujud celahan kolam;
Tasbih dibilang zikir disebut,
Sungguhlah tahajjud belahan malam.

Luka di jari dimakan api,
Tercucuh jari habis terkena;
Ketika diri sunyi dan sepi,
Jauhkan dari iblis durjana.

Tabir alam pohon beringin,
Beringin tinggi melentuk gelap;
Akhir kalam ku mohon izin,
Izin ku pergi untuk sekejap.

Cuaca sedu embun berderai,
Pantai kelodak tempias titi;
Dibaca merdu pantun berhelai,
Pandai ku tidak ikhlas di hati.

Rimbun pulasan tadah sepeti;
Merebut-rebut turun si beruk;
Mohon kemaafan serendah hati,
Takut-takut pantun ku buruk.



p/s  Jom kita berpantun, tambahkan koleksi tingkatkan warisan budaya warisan terindah....Ummi pasti kembali insyaAllah.... ^^,


Kalam berpena......
UmmiAin

Tuesday, October 29, 2013

Pantun Teristimewa Dia Yang Ku Sayang... ^^



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Berendam kuntum hari basahan,
Teratai terendam kekwa terapung;
Assalamualaikum dari kejauhan,
Ku sampai salam berhawa kampung,

Bendang berlopak pianggang di tangan,
Pagar tua mana tegaknya;
Dipandang tidak dipegang jangan,
Khabar semua bagaimana agaknya.

Disambar mercun dekat halaman,
Mercun terkena bibir dan dagu;
Selembar pantun buat rangkuman,
Pantun nostalgia berair lagu.

Turun memburu menyambar rendah,
Tempua terbang melayang-layang;
Pantun baru terhampar sudah,
Teristimewa Dia Yang Ku Sayang.

Salam bahagia senyum teramat manis dari Ummi.....^^, agak lama juga Ummi tidak melembarkan pantun, Alhamdulillah baru kini Ummi berpeluang untuk bertemu dengan para pembaca dan sahabat-sahabat Ummi tersayang....apa khabar semuanya, harap semuanya sihat-sihat wal'afiat dan ceria-ceria selalu hendaknya....amin.

Sebenarnya Ummi baru sahaja kembali dari kampung halaman nun jauh di utara sana untuk bertemu bonda di kejauhan untuk melepaskan kerinduan yang bertakuk di pohon hati....sekarang rindu Ummi terubat sudah....tetapi kerinduan untuk berpantun meluap-luap di dalam jiwa....sekembalinya Ummi ke arena pena, dapatlah Ummi rangkumkan topik bertajuk Teristimewa Dia Yang Ku Sayang khusus buat sahabat-sahabat pembaca.... sepertimana yang Ummi pernah nukilkan pantun yang sinonim dengan yang ini iaitu di segmen yang dianjurkan oleh dear P.C.L yang baru lalu...peminat no satu tu tetapi pantun kali ini punya kelainan iaitu tentang orang-orang yang paling Ummi sayang......anda pun begitu juga kan.... ^^,

Baiklah....satu...dua...tiga....jom kita berpantun .... ^^,



My beloved ones.......

Kasih selengan sebantal....


Bawah papan letak peniti,
Berat kelikir beralas bangku;
Wajah tersimpan di kotak hati,
Ibarat terukir di atas batu.

Bumi putih berangkai jerebu,
Irama jerung mencekau tempua;
Suami ku kasih termeterai kalbu,
Bersama mengharung walau apa jua.

Ruas buluh menahan delima,
Putih kekabu jatuh ke tanah;
Tunas tumbuh tiadakan sama,
Kasih Ibu seteguh Al Jannah.

Melantun pauh di mata lebah,
Mata berpusing di tepi laman;
Ibu nun jauh wanita tabah,
Pencinta kucing menjadi teman.

Pelangi menjelma berwarna tujuh,
Melayang merbah disedut Bermuda;
Selagi bersama badan dan roh,
Sayang Ayah berpuput tiada.

Goyah mempalas digoyang puput,
Segar putat menghala laluan;
Ayah tegas penyayang dan lembut,
Gemar mencatat segala perlakuan.

Petik kemboja seberang tanjung,
Mawar serumpun tilayah bumi,
Si Adik manja pengarang jantung,
Penawar racun Ayah dan Ummi.

Bunga tumbuh bersirat putik,
Bunga padi tidak terlekat;
Doa bersungguh buat si Adik,
Semoga menjadi anak yang taat.

Tengah menanam pandan di bumi,
Sarang tergantung dekat mengkudu;
Abangngah faham perasaan Ummi,
Pengarang jantung tempat mengadu.

Tempua melayang menggenggam bunga,
Kera meragut pulasan segar;
Jiwa penyayang pendiam orangnya,
Bersuara lembut insan penyabar.

 Nangka diperam berbau harum,
Bidara mangkal bawa ke pasar;
Jejaka hensem selalu tersenyum (Abanglong)
Bersuara Jamal berjiwa besar.

Gulung sauh kapal belayar,
Perahu lalu sarat tenggiri,
Berlaga kemudi Selat Panama;
Abanglong jauh tinggal khabar,
Mahu selalu ingatkan diri,
Jaga peribadi solat yang lima.

Pasti Cik Gayah berkunjung ke kelab,
Bersepatu slop menunjuk-nunjuk;
Pengganti Ayah bertanggung jawab,
Abangku Ayob tempat merujuk.

Berus remos si rambut karan,
Turun ke mata selak pandangan;
Amos Amyos disebut gelaran,
Anggun jelita kakak kesayangan.

Cuaca Isnin bergema sinaran,
Cantik pelangi di pagi berawan;
Abu Anissa Ibnu Nin nama samaran,
Adik ku ini tinggi pengetahuan.

Mengkelan taucu mengkelan selera,
Betik berbuah susah dipegang;
Panggilan Ucu panggilan semesra,
Adikku Rudziah tak pernah berenggang.

Berdesing nyamuk menyambar isi,
Termakan abu sampai tercucuh;
Kucing ku gemuk digelar Messi,
Wakilkan ibu sebagai pengasuh.

Mentari petang langit melawa,
Mentari merajah bertemu awan;
Memori datang mencuit jiwa,
Memori menerjah hatiku rawan.

Senyum makrifat jejaka berselepang,
Tampil ranggi rambut di dahi,
Jemu bersila rebah di paha;
Belum sempat mata memandang,
 Nabil 'pergi' dijemput Ilahi,
Ibu merela abah meredha.

Mayang kecil masak separuh,
Tingginya buah di pangkal tua;
Sayang Nabil anak ku asuh,
Perginya Arwah tinggal semua.

Sirih pegaga bersusun sepuluh,
Sirih rangup berkedut seribu;
Kasih keluarga walaupun jauh,
Kasih termaktub di sudut qolbu.

Sarang angsa beralas kiambang,
Redah merpati ke pohon rimbun;
Sebarang bahasa berkias sumbang,
Serendah hati ku mohon ampun.

Atas batu itik menggigil,
Todak mati celah-celahan;
Menggalas waktu detik memanggil,
Hendak berhenti tertahan-tahan.




Dalam kehidupan ini, banyak yang Ummi sayang , tak ketinggalan para sahabat yang peramah dan budiman yang sudi hadir di sini berpantun bersama Ummi...terimakasih kalungan bunga ribuan selasih buat anda semua.....marilah kita sedekahkan Al Fatihah kepada Arwah anak asuhan Ummi iaitu Mohd Nabil bin Mohd Azam yang baru sahaja pulang ke Rahmatullah di waktu usia yang muda kerana Allah lebih sayangkan beliau.iaitu pada hari Jumaat yang lepas 25hb Oktober 2013 bersamaan 20 Zulhijjah 1434....Al Fatihah...



Serkup tupai kuini bergoyang ,
Jatuh debunga setandan pinang;
Tempuh dunia tabah dan tenang.

Suami menanti selasih subur,
Membelah kelapa bulat dan tua;
Demi meniti kasih yang luhur,
Janganlah lupa solat dan doa.

Kukup rendah bumi meruntun,
Cuaca membelah mentari pagi;
Cukup sudah Ummi berpantun,
InsyaAllah ku kembali lagi.





Kalam berpena......

UmmiAin

Wednesday, October 16, 2013

Pantun Bikin Dialog Gambar Minah Ni Kalau Nak Topup RM30.....



....السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Sedang jalan-jalan cari blog, Ummi terjumpa satu segmen dalam blog P.C.L, Ummi teruja juga namun bukan disebabkan topup tersebut tetapi segmen yang dianjurkan Shakira adalah lain dari yang lain....Ummi terus ambil keputusan untuk menyertai segmen ini....boleh la Ummi berpantun selari dengan konsep blog Ummi.....jangan marah na... ^^


pssst...macam gambar tuan punya tanah ja.....yaka...he2

Jom kita petik di SINI tengok apa ada di belakang gambar 'marka' yang seorang ni...... ^^



Ni dialog istimewa dari Kak Ummi khusus buat Shakira..

"Dalam tersenyum memakai pengantin,
Gaya bersimpuh pinggang kerengga;
Assalamu'alaikum wahai hadirin,
Saya dah lenguh memegang bunga.

Mamak Bangla lidah sejengkal,
Baru mencanai tepung dicampur;
Alamak kepala sudah menggatal,
Garu sampai tudung berkelemumur.

Tumbuh kantan di belakang pagar,
Setengah batu guruh berdesing;
Aduh spontan situkang gambar,
Tengah menggaru disuruh posing.

Itik turun berenang-renang,
Berenang sambil berendam selam;
Cek berpantun menunggu tunang,
Tunang terkucil di dalam kolam."


Apa macam....tengah menunggu bakal tunang yang malu dan banyak kerenah....sambil menunggu dalam tudung pula buat hal....ye... ^^


Makan karipap suami yang masak,
Melenting-lenting marah siisteri;
Bukan topup yang Ummi hendak,
Testing testing nindia dah mari....^___^



p/s  Gurauan itu keindahan....jom buat dialog dan meriahkan segmen Shakira yang cantik molek... ^^

Selamat Berhari Raya 'Aidil Adha atau Hari Raya Korban buat sekelian pembaca dalam ertikata pengorbanan yang baik....



Kalam berpena...
UmmiAin

Monday, October 14, 2013

Pantun Labbaik Allahumma Labbaik.....



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Labbaik Allahumma Labbaik.....
Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah.

Labbaika la syarika laka labbaik....
Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu.

Inna al hamda wa an ni’mata laka wa al mulka la syarika laka......
Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada bagiMu sekutu.



Papan setimbun dibasuh dicantum,
Diketam sampai membina rumah;
Ucapan nun jauh assalamu'alaikum,
Salam ku lambai Baitullah Al Mukarramah;

Bijian delima ditelan gajah,
Tertelan sudah biji sebeban;
Lambaian bergema bulan Zulhijjah,
Bulan 'ibadah haji dan korban.




 Ulama tasawwuf sedang melangkah,
Bawa Al Quran ke madrasah mengaji;
Sama berwukuf di Padang 'Arafah,
Kemuncak kesempurnaan 'ibadah haji.

Pelepah tumbuh kedondong basah,
Rapat laluan bertanam serawa;
'Arafah sungguh terkandung kisah,
Tempat pertemuan Adam dan Hawa.

Terasa penat mencari kepah,
Busa berarus membelah alun,
Berembun perahu setimbun kupang;
Berpuasa sunat Hari 'Arafah,
Dosa terhapus Allah Pengampun,
Setahun lalu dan setahun mendatang.

Al Quran jua mengadang onar,
Sehingga terbuka pelangi nurani;
Gambaran semua di Padang Mahsyar.
Syurga dan Neraka berbagi penghuni.

Masih di masjid sambil berfikir,
Segera berazan di tepi kolah;
Tasbih tahmid tahlil dan takbir,
Suara laungan memuji Allah.



Sudah bermaaf berusia kehidupan,
Maaf diikat hati tak dendam;
'Ibadah tawaf rahsia tersimpan,
Tawaf malaikat dan Nabi Adam a.s

Skaf dipakai tinggi sebelah,
Tembus pakaian siap ditongkah;
Tawaf 'ibadah mengelilingi Baitullah,
Terhapus keburukan setiap langkah.



Mempelam tua berbiji merah,
Mencari keladi di kebun Pak Shuib;
Dalam kedua haji dan umrah,
Sa'ie menjadi rukun yang wajib 

Diberi tidak dimakan berlebih,
Sedulang betik mengapa di bawah;
Berlari anak tiadakan letih,
Berulang alik Safa dan Marwah.




Sayur umbut disaji sudah,
Masih mencari sebungkus laksa;
Bercukur rambut Haji dan Umrah,
Membersih diri menghapus dosa.



Suara tekukur juga merpati,
Merebut buah tinggi segalah;
Gembira bersyukur lega di hati,
Dijemput Allah pergi Baitullah.


Taiyyub berniat sambil menggenggam,
Kesampaian jua bertemu Baitullah;
Sayup melihat Masjidil Haram,
Lambaian jiwa tetamu Allah..


Kerang dituba sudah sebeban,
Pelata di bubu melenting lepas;
Sekarang tiba 'ibadah korban,
Unta lembu kambing dan kibas.

Kelat bemban rasa tak tahan,
Tapai bahulu jemu dimakan;
Fadhilat korban masa penyembelihan,
Sehelai bulu satu kebaikan.

Rendah reban di tepi mukim,
Paya di hutan bertiti lebar;
'Ibadah korban Nabi Ibrahim,
Supaya ingatan menjadi iktibar.


Dah sedia berbaris dan berkawat untuk berkorban.....

Serendah ucapan seindah pengorbanan.....


Sebenarnya agar sukar juga bagi Ummi untuk mengarang pantun ini namun kerana commitment yang jitu Ummi cuba habiskan masa berhari suntuk untuk mencari fakta dan info sampaikan berlaku kesalahan teknikal, dan Ummi mohon maaf ya, kepada pembaca yang Ummi sayangi, silalah klik url Ummi yang terdahulu,...bertajuk 'IBADAH HAJI LAMBAIAN KA'ABAH... ^^



Untuk sahabat semua....


Sayang keranji berwarna merah,
Tua dan tawar kecut merekah,
Sayang Haji dan juga Umrah,
Doa agar dijemput ke Mekah,

Kalau lada dimayang sebelah,
Urap mentimun si ulam nangka;
Kalau ada info yang salah,
Harap terampun genggam dibuka.

Andai termampu kerjakan segera,
Rebutlah peluang dosa terampun.
Sampai berlalu nukilan bicara,
Serautlah ruang masa berpantun.




Sampai jumpa lagi ya, insyaAllah, ucapan Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidil Adha kepada sahabta-sahabat sekelian dan kepada bakal-bakal Haji, selamat menunaikan 'ibadah Haji dan Umrah.semoga anda sentiasa di dalam limpahan cahaya kasih sayang Allah SWT......aminn....

p/s  Jom kita berpantun ya... ^^


Kalam berpena....

UmmiAin

Saturday, October 12, 2013

Pantun Sampai Bila......



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ




Selamat bertemu kembali selagi jari jemari Ummi menari....pasti pantun ku rangkapkan buat tatapan semua yang cintakan warisan zaman berzaman......

Dengan tema Sampai Bila.....banyak perkara yang kehidupan kita bergantung kepada sampai bilakah.....

Jom kita berpantun....


Bertanam jagung seluas kebun,
Bertanam bidara lebat sedahan;
Salam ku apung beralas pantun,
Salam sejahtera sahabat dan rakan.

Menjala tenggiri di hari hujan,
Datang menyambar si jerung putih;
Tatkala jari jemari menekan,
Terbentang lembar segulung kasih.

Rambai pula berpaut delima,
Delima batu berdahan mati;
Sampai bila meraut tema,
Tema terbaru ungkapan hati.

Ampai jala sisik pun gugur,
Redup bagan menanti perahu;
Sampai bila asyik menganggur,
Hidup segan mati tak mahu.

Kuntum kekwa berputik kecil,
Dirembat bebiri kuntum yang lebat;
Sebelum nyawa ditarik Izra'il,
Bertaubatlah diri sebelum terlambat.

Cabai benggala kelat dan tengit,
Mungkin terlekat di batu lesung;
Sampai bila menongkat langit,
Semakin dekat waktu diusung.

Pakai tenggala bendang tak sudah,
Menjemur padi diterang pagi;
Sampai bila dipandang indah,
Umur ketepi kurang energi.

Terbarai gula lalu berderai,
Pandan tumbuh dirempuh kerbau;
Sampai bila baju dipakai,
Badan berpeluh tubuh berbau..

Tangkai petola berdaun bawah,
Keluarnya pucuk nanti berbunga;
Sampai bila pohon berbuah,
Akarnya lapuk matilah ia.

Intai jendela cahaya berwarna,
Sipi berangin menuju barat;
Sampai bila kaya di dunia,
Tetapi miskin ilmu akhirat.

Kirai tuala diberus disabun,
Kalau penat direndam dahulu;
Sampai bila harus berpantun,
Kalau minat mendalam selalu.

Tupai berdekah balam pun riang, ,
Murai terlekat di celah batu;
Sampai bilakah malam dan siang,
Sampai Qiamat Allah Penentu.



Begitulah olahan dan nukilan pantun bertemakan Sampai Bila....banyak perkara yang sampai bilanya....
fikir-fikirkanlah......insyaAllah di episod yang lain kita pasti bertemu.....mata tak memandang hati tak lepas, jiwa mendekat namun tetap di hati selama mana kalam berpena.......salam sayang kembangan selasih dari Ummi buat anda semua ya...... ^^



Pohon nyiur setandan kelapa,
Menonton beruk memulas tangkai;
Mohon berundur pasti kan jumpa,
Pantun yang buruk kelas tak pandai.



Kalam berpena...

UmmiAin

Tuesday, October 8, 2013

Pantun Tudung Oh Tudung....



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Berpaut mempelam di ranting cantum,
Dahan mempelas keluar kepompong;
Seraut salam berganding senyum,
Akan ku lepas biar terapung.

Nasi beriyani masak belengas,
Air terlebih lembeklah ia;
Entri terkini letak di kertas,
Secangkir pantun sudah berjaya.

Kain cindai benang berpisah,
Gantung cimni berapi telunjuk;
Ingin ku rungkai kenang berkisah,
Tudung kini menjadi tajuk.



Bandung sejuk selasih melekat,
Berderai seribu lepas ke tepi;
Tudung periuk bersih berkilat,
Dipakai ibu mengipas api.



Usung keranji padi tertangkup;
Dipatuk helang terbang ke bagan;
Tudung saji menjadi penutup,
Lauk sedulang lemang sepinggan.



Senja bermendung biasnya merah,
Terkapar di paya buayanya putih;
Meja bertudung alasnya saprah,
Dihampar supaya jadinya bersih.



Seri kecubung kuntum bertingkat,
Bunga berdaun di serata bumi;
Bidadari bertudung senyum memikat,
Gaya anggun Heliza Helmi.

Seranting nona kedondong sebiji,
Akar menyusup busuk berkulat;
Penting diguna hai tudung saji,
Sangkar menutup habuk dan lalat.

Berbondong gonggok sibuah delima,
Basah dahan stem melentuk;
Tudung Periuk lagulah tema,
Kisah tauladan filem Si Bongkok.

Makan kedondong jangan dikendong,
Dikendong beruk sampai berlari;
Bukan tudung sembarangan tudung,
Tudung periuk pun pandai menari.

Redup mendung persada lautan,
Berarus kuat muara meratip;
Tutup dan tudung tiada berlainan,
Harus dibuat perkara yang wajib.

Mendung mega serata mendung,
Mengapa berangin bukit seberang;
Tudung juga dikata tudung,
Mengapa kain sedikit jarang.

Bandung berbatik kainnya sari,
Bersulam kebaya tampilnya singkat;
Tudung yang cantik fesyennya lari,
Bermacam gaya stailnya diikat.

Gelap mega berkabut mendung,
Mendung menitik hujan membayu;
Hijab juga disebut kerudung,
Kerudung cantik sopan dan ayu.

Suara mendung senja meliuk,
Mendung pula menyekat purnama;
Antara tudung saji meja dan periuk,
Tudung kepala menongkat agama.

Tedung sela telangkup selaput,
Telangkup di padang tepi kereta;
Tudung kepala menutup rambut,
Perintah Allah bagi wanita.

Mendung berarak samudera mendung,
Mendung bersimbah gerimis hujan;
Tudung bercorak perkara tudung,
Tudung muslimah manis dan sopan.

Berat mangga disimbah basah,
Kedondong ditutup rendang berbuah;
'Aurat dijaga muslimah solehah,
Bertudung litup memandang ke bawah.

Rebah kayu tersadung kukup,
Berat kukup tumbang ke tanah;
Berjubah ayu bertudung litup,
'Aurat ditutup berpegang Sunnah.

Banyak kudung anggota kudung,
Kudunglah jari pandang tak lawa;
Banyak tudung dikata tudung,
Tudunglah diri selendang taqwa.

Tersadung bendul jatuh tersungkup,
Terpaksalah duduk menahan dahi;
Mendung muncul lumpuhlah hidup,
Sentiasalah tawaduk doakan dijauhi.

Tersadung kaki mengah dan kabur,
Mata lemah digosok jangan;
Bertudung miliki hikmah tersohor,
Wanita muslimah tunduk pandangan.

Pelangi cantik indah di kutub,
Remang mendung hanya basahan;
Segi saintifik sudah termaktub,
Memang bertudung punya kelebihan.

Pohon berdahan lenjan disimbah,
Capai parang  membelah mumbang;
Mohon kemaafan hujan mencurah,
Andai terkurang, salah dan sumbang.



Ya...mungkin ada pembaca yang tertunggu-tunggu ke manalah pantun Tudung Ummi ni, memang tak lari dari kelemahan teknikal, ribuan kemaafan Ummi pohonkan.....sebenarnya nak memperkatakan tentang tudung, banyak perkara tudungnya.....sahabat-sahabat sekelian pasti tahu apa itu tudung...kalau sebut tentang tudung, pasti yang pertama  sekali terbit di fikiran adalah tudung menutup 'aurat, betul takkk.....namun Ummi dengan sedaya upaya berpantun mengenai tudung yang telah terbengkalai beberapa hari....sekarang dah berjaya dan entri terkini sudah menghampar tikar....silalah berpantun dengan air hati sambil menikmati lagu-lagu nostalgia pilihan Ummi ya.....

Sampai jumpa lagi dalam masa yag terdekat insyaAllah, semoga sahabat pembaca sekelian sentiasa dilimpahi kasih sayang Allah SWT.....amin, salam sayang ribuan selasih dari Ummi........


Sudah lama menanam timun,
Baru bertunas tangkai dah tumbang;
Sudah lama menyulam pantun,
Baru ku lepas sampai berkembang.



p/s Sudi-sudikanlah berpantun...ya ^^,

Kalam berpena....
UmmiAin

Tuesday, October 1, 2013

Pantun Apa Guna Berjanji....


Ni namanya janji kelingking....
Janji nak bagi tidor dalam tapi....

Renungan berjanji...


Pelam bercantum kecut sebatang,
Pohonnya kecil mati seminggu,
Minggu kelima imbauan lepas,
Assalamu'alaikum jemputlah datang,
Berpantun sambil nikmati lagu,
Lagu lama kilauan emas.

Kalau terapung siitik jawa,
Terapung sayap berbulu biru;
Kalau menyambung titik peristiwa,
Ku sambung rangkap dulu dan baru.

Apa guna mengaji di seberang,
Pandai mengaji tidak sampaikan;
Apa Guna Berjanji sembarang,
Andai berjanji tidak tunaikan.

Asam keranji bertaut debunga,
Keranji segar tangkainya basah;
Bermacam janji berpaut telinga,
Janji yang benar tunainya susah.

Gergaji melekap di pintu papan,
Pandai si dara mengumpil paku;
Janji merangkap satu pengharapan,
Tunai segera sambil mengaku.

Mengapa dibina jeriji suasa,
Pandang muara ikan tak lalu;
Apa guna berjanji sentiasa,
Sedang bicara bagaikan penghulu.

Jangan gergaji lapis yang lama,
Lapis serabut matanya karat;
Jangan berjanji semanis delima,
Manis disebut bijinya bersirat.

Kalau rendah purnama DIA,
Naiklah pungguk mencapai sendiri;
Kalau sudah bernama manusia,
Baik dan buruk perangai sendiri.

Keranji sarat kecut sepetang,
Keranji secangkir direbut-rebut;
Janji ibarat menuntut hutang.
Janji dimungkir munafik disebut.

Beras disaji beras segantang,
Berat bubuk malukut di tanah;
Lunas janji lunaslah hutang,
Syarat ditengok mengikut Sunnah.

Berjumpa teruna menanti sidia,
Memandang merpati merenung alam;
Sedang hati rencung di dalam.

Menyapa nona malu berzanji,
Sajak dan lawa seorang berlagu;
Apa guna selalu berjanji,
Kelak kecewa orang menunggu.

Saji petai rasa berari,
Sedulang peria ada diminta;
Berjanji pandai sentiasa mungkiri,
Hilang percaya kerana berdusta.

Kolam laluan jeriji pantai,
Kutip ampai di muara daik;
Dalam perjanjian sudah termeterai,
Wajib ditunai perkara yang baik.

Belah halia masak di kuali,
Tadah keranji sebentar nanti;
Itulah manusia sejak azali,
Mudah berjanji sukar tepati.




Islam membenarkan berjanji berkaitan perkara-perkara yang baik sahaja. Islam melarang umatnya memungkiri janji. Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim, kita mesti menunaikan janji yang dibuat sama ada dengan orang Islam ataupun bukan Islam....hatta dengan kanak-kanak sekali pun....

Janji Ummi untuk berpantun tertunailah sudah namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.....
Baiklah, sememangnya konsep blog Ummi adalah konsep berpantun kerana dengan cara inilah sahaja dapat memertabatkan dan memperkasakan warisan nenek moyang kita yang kian suram....Ummi harap sudilah sahabat-sahabat terus berpantun di blog Ummi yang tak seberapa ini..ya....

Sampai di sini dulu insyaAllah di lain masa kita bertemu di ruang udara......salam sayang deraian selasih berbiji kopi secangkir gula semanis madu buat semua......terimakasih dan assalamu'alaikum.. ^^



Ulu suasa tangkai gemerlap,
Hujung berbisa parang diasah,
Belah haruan perut disimpan;
Malu terasa ada tersilap,
Terkejung bahasa sebarang kisah,
Sudilah tuan seraut kemaafan.




Kalam berpena...

UmmiAin