Saturday, September 7, 2013

Pantun Cermin Ilahi 1....


Pelam harum sudah berbuah,
Datang ketitir turun melagu;
Turun mengumpil dahan yang tepi;
Assalamu'alaikum seindah ukhwah,
Ku tatang secangkir pantun seminggu,
Pantun bernukil CERMINAN ILAHI.


Cahaya mentari di dalam air,
Air beralun takkan berkocak;
Saya kemari menyulam syair,
Secangkir pantun bersantan kotak..
   
Melayang serindit di ruang angkasa,
Senja bertasbih secebis cahaya;
Sayang ringgit wang berlaksa,
Belanja berlebih menangislah ia.

Betapa ngeri amarah mega,
Andang kilat cetusan petir;
Mengapa diri pasrahnya Syurga,
Sedang solat hiasan zahir.

Menanti kukup di telan arus,
Tersungkup sudah siikan haruan;
Meniti hidup ke jalan lurus,
Sanggup meredah percikan ujian.

Kemilau mentari menikam awan,
Menyelak dunia di waktu pagi;
Kalau diri berdiam rawan,
Kelak merana tentukan rugi.

Cahayanya terang di balik bukit,
Menyuluh lembah hangat berlabuh;
Berjayanya orang berdikit-dikit,
Peluh menyimbah keringat jatuh.

Surianya terang di kaki senja,
Basah canyon hujan curahan;
Kayanya orang rezeki dibelanja,
Usah pertikaikan kurniaan Tuhan.

Di tengah selat persada pulau,
Pohon kelapanya tegak berdiri;
Berlengah solat tiada berkalau,
Menimbun dosanya tidak sedari.

Bentan dahi terasa kebas,
Berdarah sudah tertusuk peniti;
Cerminan Ilahi angkasa lepas,
Alangkah indah menusuk hati.


Sekian dari Ummi sampai jumpa lagi di episod kesinambungan, salam kemesraan semanis senyum sedikit manis....insyaAllah.....tunggu yaa.. ^^,


Kalam berpena.....

UmmiAin

18 comments:

  1. Assalamualaikum dan selamat pagi...
    Lama betul tak singgah di sini..
    Sebab sibuk dgn tgjwb yg diberi..
    Moga Allah terus memberkati ummi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam di pagi minggu,
      Cenderawasih hampir bersyahdu;
      Bangga Maria tega berkunjung,
      Sampai bermalam Ummi menunggu,
      Terimakasih secangkir madu,
      Semoga bahagia hingga penghujung.

      Delete
  2. Salam manis dipetang Sabtu...

    Gelanggang tengah ditepi balapan,
    Melantun rendah dalam bulatan,
    Pemandangan indah jadi santapan,
    Pantun terindah bersama ingatan...

    Bukan sekali keluh gundah,
    Takutkan suami paling tadah,
    Ciptaan Ilahi sungguh indah,
    Nukilan Ummi penuh bermadah... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam senyum bertambah manis BM datang... :)

      Pemandangan terindah bukaan bumi,
      Tontonmu sudah ku lihat paksi;
      Jambangan madah kesukaan Ummi,
      Pantunmu indah ku buat koleksi.

      terimakasih BM.. :)

      Delete
  3. Pulau teduh nampak berbalam,
    Tenang lautan di muka kuala;
    Cantik sungguh hiasan alam,
    Ciptaan Tuhan Yang Maha Esa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kembang putik pulasan mempelam,
      Di merah dahan ada setangkai;
      Memang cantik hiasan alam,
      Anugerah Tuhan tiada ternilai.

      Terimakasih Cikgu... :)

      Delete
  4. asyiknya baca bait2 pantun akak :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih laaa dear xila....sebab datang singgah ke blog akak ni.... :)

      Delete
  5. Syahdunya pantun-pantun di blog Ummi....mencari yang tersirat dalam yang tersurat itu tidak mudah.
    Menikam walau dalam lembut lenggok berpantun.
    Terbaik Ummi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sambar tilan plata yang mati,
      Bermata kuyu gaya kelisa;
      Selembar nukilan penyata hati,
      Pelita Melayu cahaya bahasa.

      Pantun Ummi hanyalah tak seberapa....terimakasihla pujian Lynn, Ummi hargai dengan rasa kecintaan di hati.

      Delete
  6. bangun subuh mencari rezeki,
    juga besiap anak ke sekolah,
    kak ummi. .diana singgah sini,
    menjalin ukhuwah yg tidak bernoktah.

    ASSALAMUALAIKUM wbt.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam
      warahmatullahi wabarakaatuh...

      Cenderawasih di pinggir kenopi,
      Di bawah mempalas mungkin terjatuh;
      Terimakasih secangkir kopi,
      Ukhwah bertunas semakin tumbuh.

      Pesona santun puteri nan ayu ,
      Mengalun gurindam memetik gambus;
      Diana berpantun seri melayu,
      Pantun segenggam cantik dan bagus.

      Delete
  7. dari tehramuan singgah ke sini,
    membaca pantun indah sekali

    hehe

    ReplyDelete
  8. salam kak ummi..

    ija ni tak pandai nak berpantun..
    pantun kak umi sungguh indah bila dibaca.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^