Monday, September 30, 2013

Pantun Cermin Ilahi 2...



Bersulam kuntum kembangan lentur,
Bumi bercahaya dimalam pesona;
Cahaya pagi hujan membelahi;
Assalamu'alaikum tangan berhulur,
Berkarya lagi kalam berpena,
Karya berlampu Cerminan Ilahi..



Air melompat dibaling batu,
Tenang laut menyula bulan;
Diakhir hayat berpaling waktu,
Dikenang disebut segala amalan.

Teratak usang langit bermata,
Menanti awan menghala arah;
Tidak memandang sedikit harta,
Sejati kawan rela berpayah.

Mentari melihat di celah mega,
Itu petanda dunia tersenyum;
Hari meningkat bagailah tangga;
Waktu tiada usia bercantum.

Sasa ombak memakan arus,
Tunduk berdiri menempias selat;
Dosa sejambak akan terhapus,
Tawaduk diri obses solat.

Urat kilat menerjah alam,
Membelah bara kota setempat;
Berat solat berwajah kelam,
Baiklah segera kita bertaubat.

Kemilau mentari tegak tilayah,
Hingga bersangkar angkasa terbuka;
Kalau mencari jejak hidayah;
Syurga berpagar dosa dan neraka,

Arus lautan menjadi sahabat,
Berani terapung kerana papan;
Arus kehidupan kemudi kuat,
Nurani ditampung pesona iman.

Cahaya tapisan berwarna warni,
Terindah alam tirai berlabuh;
Supaya ehsan pesona nurani,
'Ibadah disulam bersungguh-sungguh.

Tasik berkeliaran berdaik selisih,
Cahaya mentari membungkus air;
Cetek pemikiran dibaikpulih,
Supaya diri bagus dan mahir.

Helang terbang mencari suria,
Suria merajuk semarhalah terang;
Pulang abang si isteri ceria,
Ceria dipujuk abanglah seorang.

Pulau teduh nyiur berdiri,
Manis pesona laut membiru;
Kalau sungguh tadabbur dicari,
Menangis kerana takut selalu.

Kalau malam hujan merintik,
Takkan purnama masih bercumbu;
Kalau dalam Lautan Pasifik,
Manakan sama kasih si ibu.

Mengapa percikan memukul muara,
Cahaya sejengkal meredah pengkalan;
Betapa kecantikan muncul sementara,
Hanya yang kekal 'ibadah dan amalan.

Ombak mengcengkam menyiat El Nina,
Menyimpul lautan mencangkuk pantai;
Terjebak di dalam maksiat yang hina,
Memikul beban tawaduk tak sampai.

Dolfin melompat terantuk mega,
Ketawa suria di pinggir kukup;
Rajin bersolat tawaduk berjaga,
Bawa bahagia di akhir hidup.

Terlena seketika menadah bijana,
Bermain puteri muda rupawan;
Pesona mata terindah buana,
Cermin Illahi tiada terlawan;


Cukup sampai di sini dulu ya buat kali ini...dari Ummi khusus buat sahabat-sahabat budiman dan rupawan.....sehingga bertemu pandang di lain episode....kesimbungan 3 pasti akan menjelma, insyaAllah.....tunggu ya...

Salam sayang seribu selasih semoga kita lebih menghargai alam anugerah ciptaan Illahi.....tiada yang dapat terlawan....Subhanallah...




Kalam berpena...
UmmiAin

18 comments:

  1. Sungguh bermakna pantun2 ummi... :)
    teruskan berkarya... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih Maria Firdz......datang lagi ya ^^,

      Delete
  2. Alhamdulillah..Ada orang yang masih sudi nak sambung legasi pantun ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pohon kayu embun titisan,
      Titisan gugur tiada berderai;
      Pantun Melayu pantun warisan,
      Warisan termasyhur tiada ternilai.

      Terimakasih mmetlenggeng... :)

      Delete
  3. terbaiklah pantun ummi..semoga terus dapat ilham dan konsisten berkarya

    ps: jangan lupa singgah untuk baca entri terkini saya di SINI



    ReplyDelete
  4. indah kata2 pantun tu kak
    pandai akak mengarangnya
    pic pun cantik...sunset gitu

    Jemput join & menangi hadiah bernilai RM550
    Giveaway Butik Comel Collection

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih banyak atas compliment Yumida....terimakasih juga datang singgah ke blog kak Ummi ya... ^^

      Dan terimakasih atas jemputan Yumida..insyaAllah jika berkesempatan, kak Ummi join ya... ^^

      Delete
  5. salam sayang cahaya datang..harap kak ku sihat sejahtera...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sayang buat Suri juga, alhamdulillah cahayaku datang ziarah....tq Suri... :)

      Delete
  6. kak ummi bijak mengarang...saya jer tumpul parang nak mengarang pantun..

    kak blog sy dh ok jomlah masuk...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasihlaaa puji kak Ummi yang tak berapa pandai ni...usahkan parang tumpul kalau diasah lama akan tajam jugak jadinya....pokok pangkalnya kita kena berusaha dan tawakkal, blog Suri dah ok ye sayang, bolehla kak Ummi letakkan link Suri di blog kak Ummi ni ya... ^^

      Delete
  7. Cik puan pandai mengarang,
    Madahnya indah menawan hati;
    Syukur kita diberikan peluang,
    Merasa nikmat ciptaan Illahi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di perigi tersungkup dekat halaman,
      Melecur teramat merah di dahi;
      Selagi hidup bertongkat iman,
      Syukur nikmat anugerah Illahi.

      Terimakasih Cikgu yang selalu Ummi tunggu... ^^

      Delete
  8. Salam manis di malam hari...
    Sungguh indah pantun ummi dengan gambar cerminan alam yang menawan hati....

    Lantun rendah rasa bersalah,
    Redah lautan bukan rintangan,
    Pantun indah bahasa bermadah,
    Memuji ciptaan tiada bandingan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam sahabat budiman,
      Terimakasih atas pujian yang sungguh syahdu... ^^

      Bertimbun semak di hutan persada,
      Keranji subur celahan dahan;
      Pantun berlemak santan tiada,
      Memuji syukur ciptaan TUHAN.

      Terimakasih BM.. ^^

      Delete
  9. sungguh cantik keindahkan yang Allah berikan pada kita

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kolam rendah mati petunia,
      Tekukur duduk mengharap putik;
      Alam terindah menjadi kurnia,
      Syukur tawadduk setiap detik.

      Delete
  10. Subhanallah..
    Syukur Alhamdulillah
    Indah dipandang selami rahsiaNya
    Nikmati Anugerah pemberianNya

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^