Friday, August 2, 2013

Pantun Ujian Bulan Ramadhan Buat Ummi...


Assalamu'alaikum. apa khabar semua sahabat-sahabat Ummi yang budiman lagi dirindui......





Jamu serbat di pasar lambak,
Pasar sepagi belum melilau,
Makan sedulang ulam dinanti;
Namamu sahabat mekar sejambak,
Mekar mewangi harumnya bau,
Takkan hilang di dalam hati..


Bergambar belum sukar berposing,
Berbatik Kedah siputeri jelita,
Berdendang asli bercampur irama,
Terserlah putih intan baiduri;
Kembar kuntum mekar seiring,
Simbolik indah penyeri mata,
Kembang sekali gugur bersama,
Itulah kasih suami dan isteri.

Tanam pandan rumpun merimbun,
Bumi digali perenggan basah;
Salam Ramadhan pantun berembun,
Ummi kembali enggan berpisah.

Mengkelan badan tertelan bijian,
Basahan kuntum celahan pasu,
Bulan Ramadhan bulan ujian;
Makan dan minum bertahan nafsu.

Seharian mencari cempedak dan mangga,,
Tangan berurat membelah batu;
Ujian diberi tidak terduga;
Ringan dan berat Allah Penentu.

Asah belati di atas lesung,
Batu bersendi batu jadian;
Resah hati diberkas rundung,
Suatu trajidi suatu ujian.

Sedapnya sajian ditelan rasa,
Jamah betik sajian puteri;
Setiap ujian dibulan puasa,
Hikmah di sebalik ujian diberi.

Subuh marhalah kumandang takbir,
Dian sebatang merafak zikir;
Sungguh Allah Perancang Takdir,
Ujian mendatang tidak terfikir.

Bintang tersemat perkasa sungguh,
Panglima terhebat demi negara;
Di petang Jumaat puasa kesepuluh,
Terima hakikat suami tercedera.

Pandangan kabur sungguh ngeri,
Kelam tumpuan malang bersambung;
Kemalangan motor jatuh sendiri,
Dalam perjalanan pulang ke kampung

Masa fajar pesona hari,
Semakin keringat sudah memekat,
Setin baja dekat pembajak;
Sentiasa berkejar ke sana kemari,
Mungkin tersangat lelah dan penat,
Rajin bekerja rehatnya tidak.

Cimni malau api sedikit,
Tok Azmi mula berselawat syifa;
Kini beliau bercuti sakit,
Ummi pula merawat luka.

Subuh berlalu terang menanti,
Memahat bumi celahan bukit,
Aduh pilu bersarang di hati,
Melihat suami menahan sakit,

Teriak sigajah membelah halkum,
Membaham titi menggoyang tebu;
Riak di wajah seolah tersenyum,
Dalam hatinya Allah Yang Tahu.

Kainlah sutera seputih melati,
Cadar bertekap pesona rumia;
Bukanlah suara menagih simpati,
Sekadar mengharap doa semua.

Lukisan bunga sipucuk delima,
Dijaga walau bersilih basuh;
Titisan doa penyejuk kesuma,
Semoga beliau pulih dan sembuh.

Sumi merah durian kelapa,
Asam ada gula dicampur;
Ummi pasrah kejadian menimpa,
Dalam redha rela bersyukur.

Cindai usang sutera Cina,
Terserlah gemerlap dengan labuci;
Andai songsang bicara tak kena,
Salah dan silap jangan dibenci.

Mentua gelabah tersenyum hairan,
Sedondon pakaian lukisan daun;
Doa mahabbah seharum raihan,
Mohon jutaan titisan ampun.

Ada madu dimakan secamca,
Keranji sedap habis kesemua;
Kepada sahabatku rakan pembaca,
Ummi mengharap secebis doa.

Mangga dijamu berselera sungguh,
Sepiring papaya masih bertahan;
Semoga suamiku segera sembuh,
Seiring cahaya kasih Ramadhan.



Sampai di sini dulu hanba mohon diri, diharap sahabat semua berpuas hati dengan pantun Ummi, sampai jumpa lagi jika masih berkesempatan Ummi berpantun selagi masih ada kerdipan cahaya Ramadhan yang sebentar lagi akan bertukar Syawal.....till next time, salam rindu selasih dan halwa maskat..... dari Ummi... :)


Kalam berpena...

UmmiAin


6 comments:

  1. Salam 24 Ramadhan ummi.doa knah muga suami ummi segera sembuh. Ujian Allah datang bersama RedhaNya buat penghapus dosa bagi hamba2nya yang bersabar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam 25 Ramadhan buat kaknah...terimakasih kaknah atas doa yang terindah semoga kebaikan sentiasa bersama kita semua....amin... :)

      Delete
  2. Salam Ummi,
    Lamanya menyepi, ingatkan sibuk beramal ibadat ...rupanya ujian besar melanda. Sabar ye, Ibadah menjaga suami itu lebih besar ganjarannya..
    Xperasan ada entri baru...sebelum ni singgah, entri ni xwujud...

    Rindu berpantun kini terhenti,
    Ganjaran Ramadhan lebih bererti,
    Syahdu mendengar kisah Ummi,
    Tabahkan diri kuatkan hati...

    Doa kami buat suami,
    Agar segera pulih kembali,
    Doa kami buat Ummi,
    Sebalik ujian hikmah menanti...

    Salam Ramadhan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam BM sahabat Ummi... :)

      Terharunya Ummi kerana ada yang masih mengingati Ummi...dan sudi berkunjung ka teratak Ummi ni...alhamdulillah...

      Teratak berlampu gelap di rimba,
      Purnama masih memekat awan ;
      Tak mampu diucap kata dicuba,
      Terimakasih selebat curahan hujan.

      Salam Ramadhan selagi kesampaian....

      Delete
    2. Terimakasih tak terhingga atas doa terindahmu ya sahabat Ummi....

      Delete
  3. Assalamualaikum Ummi....
    Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga ceria disamping keluarga tercinta dan tabah menghadapi ujian dariNya. Maaf zahir & batin =)

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^