Friday, August 23, 2013

Pantun Terkenang Semasa Dulu....




Sedap gula di dalam halkum,
Gula bergenang rasa tak lalu,
Ucap ku mula assalamu'alaikum,
Mula TERKENANG SEMASA DULU.

Ular berlingkar mati dipalu,
Sisik bersusun terendam basah;
Selembar ku hampar seperti selalu,
Ku kelek pantun bersulam kisah.


Bersama ayahanda tercinta, tok, abang, adik dan sepupu...


Yang paling kecil dan comel....yang mana satu ya...


Salam manis semanis merdu....terkenang semasa dulu....pastinya memori menggamit rindu...hari ini genaplah entri pantun Ummi yang ke 100, alhamdulillahirrabbil'alamin, tudiaa, sedar tak sedar dah meratuih (bukan marah na...)....haha, kepada sahabat Ummi PakNgah Al Lavendri yang Ummi hormati.....maaf na, Ummi nak berpantun tajuk yang kebetulan sama dengan PakNgah di muka buku Terkenang Semasa Dulu....apakata kita 'like'kan page beliau......ya.  Entah kenapa Ummi teringat di masa lalu.... pastinya rakan-rakan dan sahabat Ummi di luar sana memiliki kenangan silam nostalgia di masa muda dan masa kekocik dulu....

Jom kita berpantun..... ^^,


Pinang basah tiada bersabut,
Basah rumbia berhari tenggelam ; 
Terkenang kisah bonda menyebut,
Kisah nostalgia memori silam.

Berenang buaya di muara ulu,
Tiada belida merempuh pagi;
Terkenang saya semasa dulu,
Pada ayahanda yang jauh ber'pergi'.

Tiada bergigi makan bersudu,
Menyudu durian makan berselera;
Ayahanda 'pergi' meninggalkan rindu,
Rindu belaian pelukan mesra.

Batu tiada parang diasah,
Letih mengandar keting dah tua;
Waktu muda jarang berpisah,
Kasih pudar seiring usia.

Kalau berselisih kain pelikat,
Jangan dililit basah keringat;
Kalau kasih semakin pekat,
Kenangan mengulit kisah diingat.

Sedang memaut sibuah kepayang,
Tangan memetik pucuk mengkudu;
Terpandang raut wajah tersayang,
Kenangan berdetik untuk merindu.

Disengat betutu temoleh dibelah,
 Rumpai menjerat senangin dan tilan;
Teringat waktu masih bersekolah,
Ramai peminat ingin berkenalan..

Basah pangkal sibunga daffodil,
Tangkai mentimun bersulam peria;
Kisah Syawal ketika kecil,
Pakai sedondon macam boria.

Pusara goyah bertiang kenanga,
Dara terkedu saban mengaji;
Suara ayah terngiang di telinga,
Suara merdu marhaban berzanji.

Jala direndam dekat muara,
Muara berarah ke perdu panggu,
Hujan berkaca syahdunya jatuh;
Di kala malam seingat suara,
Suara Ayah merdu melagu,
Quran dibaca merdunya sungguh.

Renang betutu toman menerjah,
Berdarah siakap mati disesah;
Terkenang sewaktu di zaman penjajah,
Sejarah diungkap meniti kisah.

Temoleh gelama bersiang lima,
Pesona selera dipanggang arang;
Kasih yang lama di ruang sukma,
Teruna dan dara renggang seorang.

Arang bahulu mula membara,
Bahulu ditimbuk beradun-adunan;
Orang dahulu pabila bicara,
Selalu meneguk pantun-pantunan.

Indah berembun basah delima,
Teratak lusuh bertambun tulang;
Sudah bertahun berpisah lama,
Anak yang jauh belum pun pulang.

Jebak kenari dekat perahu,
Ternampak puteri tersenyum lawa;
Semerbak kasturi melekat bau,
Semerbak memori harum dijiwa.

Kelisa menanti tilan berembun,
Jangan dicari siikan kurisi;
Masa berganti bulan dan tahun,
Kenangan memori tidakkan basi.

Urap-urapan timun dan kuini,
Letaklah sambal menambah selera;
Harap-harapkan pantun ku ini,
Tidaklah janggal rendah bicara.

Bertenun kain diukur sendiri,
Kain kasa beli di Changlun;
Mohon izin mengundur diri,
Di lain masa kembali berpantun.

Kalau tiada daun bergoncang,
Pohon di rimba berakar tampan;
Kalau ada pantun yang pincang,
Mohon hamba selembar kemaafan.



p/s     Nikmatilah lagu-lagu nostalgia terkenang semasa dulu-dulu.....dengar lagu jangan sampai lupa solat ye... ^^,



Kalam berpena.....

UmmiAin

19 comments:

  1. Ummi seorang yang berbakat dalam berpantun. Kenapa tidak dikumpulkan dan dibuat buku? Atau hantar ke media penerbitan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalam Cikgu Tetamu Istimewa yang budiman..

      Terimakasih secangkir madu kerana pujian yang diberi ke atas pantun-pantun Ummi, sebenarnya Ummi memang berhasrat untuk mengumpul pantun-pantun Ummi untuk dijadikan buku dan menghantar ke media penerbitan, tapi Ummi tak tahu hendak bermula dari mana.. :)

      Delete
    2. Idea yg bagus... Tetamu Istimewa pasti dapat membantu.

      Delete
    3. Termakasih kerana sokongan BM....:)

      Delete
    4. sy pun sokong cadangan tu...pantun ummi sesuai dibukukan... :)

      Delete
  2. Salam manis di hujung minggu...

    Badai kuat pengukur kuasa,
    Angin membuli terasa dipalu,
    Andai dapat kuundur masa,
    Ingin kembali kemasa dulu...

    Berangan habis merasa bahulu,
    Bukan hendak menunjuk selera,
    Kenangan manis dimasa dulu,
    Zaman kanak2 paling gembira...

    Berangan habis merasa bahulu,
    Dalam alahan tetap bersuka-ria,
    Kenangan manis dimasa dulu,
    Alam persekolahan paling ceria...

    Berangan habis merasa bahulu,
    Dimata terpancar enaknya rasa,
    Kenangan manis dimasa dulu,
    Bercinta mengajar menjadi dewasa...

    Berangan habis merasa bahulu,
    Deri kedah sehingga kelantan,
    Kenangan manis dimasa dulu,
    Memori indah kekal diingatan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam seikhlas senyum... :)

      Betik tumbuh di cerun basah,
      Sehari menunggu nangka setangkai;
      Cantik sungguh pantun berkisah,
      Memori dahulu membuka ttirai.

      Delete
    2. Terimakasih BM, kerana setiamu di sini... :)

      Delete
  3. alamak.. teringin nak komen secara berpantun.. tapi x reti lea pulak.. hu3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq Tenku kerana singgah ke blog Kak Ummi, takpa...pantun dua kerat pun ok ja.... :D

      Delete
  4. cantik gmbar tu umi =) htam putih..mmg mgimbau kenagan lama..he3, sy xpndai berpantun..xpe ke ummi??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih SKA, memang nostalgia gambar-gambar tu semua....kak Ummi nak juga pantun SKA...hehe

      Delete
  5. perghh.. entri yg ke 100..
    setiap entri, berpuluh2 pantung..
    mau ribuan pantun ummi dah karang tu..
    mmg hebat.. dah boleh buat buku nie.. heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah Hairul... :)

      Memang ada niat kak Ummi nak jadikan manuskript tapi belum berkesempatan....
      Terimakasih kerana singgah ya... :)

      Delete
  6. Terkenang pula masa dahulu,
    Di dalam hutan bumi Sarawak;
    Ada ketika terasa pilu,
    Ada kalanya mahu tergelak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Palu rebana indahnya nada,
      Terselak pintu sedang menyanyi;
      Pilu kerana ayah dah tiada,
      Tergelak sewaktu dipinang suami...hehe

      Delete
  7. Salam rindu =)

    knah sokong n mendoakan muga suatu hari nanti pantun2 Ummi berjaya dibukukan =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam rindu buat kaknah tersayang... :)

      Terimaksih banyak kerana menyokong Ummi, semoga dgn doa kaknah dan semua akan termaqbul juga hasrat Ummi...amin

      Delete
  8. barangan lama biar disitu
    buat perhiasan ditepi laman
    kenangan lama mengusik kalbu
    buat ingatan sepanjang zaman

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^