Saturday, August 31, 2013

Pantun 31 Ogos......Sejarah Kita.

Assalamu'alaikum...
Salam kemerdekaan jiwa hamba....dari Ummi sekeluarga buat rakyat Malaysia semua... ^,^



Tetap terserlah si askar platun,
Mara menghala barisan hadapan,
Ucap Bismillah selembar pantun,
Bicara bermula titisan ucapan.


Di sangkar merbah bertelur helang,
Punai terlepas di hutan tarah;
Berkibar megah Jalur Gemilang,
Bagai mengibas lipatan sejarah.

Jentik penutup persetua lara,
Waktu meletus musuh dah tamat;
Detik berdegup jiwa dan suara,
31 Ogos 1957 sejarah keramat.

Kenangan lara akan terbuku,
Pusaka bangsa suka dan duka;
Laungan suara pekikkan Tunku,
Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka..!!

Langkah jaya tentera membidek,
Senjata diampu berhadapan musuh;
Alangkah Malaya gembira bertempek,
Berita Tunku kejayaan seluruh...

Terjah penjajah menggelegak mara,
Menghentam angin peluru bergema;
Wajah-wajah tonggak negara,
Enam pemimpin satu jenama.


Kini tibalah hari yang ditunggu-tunggu, hari untuk menyambut kemerdekaan negara yang ke 56 tahun......bermulanya tarikh keramat 31 Ogos 1957 sampailah sekarang....Kemerdekaan yang membawa sejuta erti.....NEGARAKU BERDAULAT TANAH TUMPAHNYA DARAHKU....Subhanallah ! Alhamdulillah !


Jom kita teruskan berpantun buatmu ibu pertiwi...


Dalam kerelaan majumu dewi,
Pantang rebah bangun berdiri;
Salam kemerdekaan buat ibu pertiwi.
Bertatang sembah pantun penyeri.

Jasamu diingat di tinta pusara,
Kenangan duka tidak disesali;
Perkasamu semangat cinta negara,
Laungan MERDEKA berkali-kali.

Hiris lada terhiris mentimun,
Sambal merah sedikit kari;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Tinggal sejarah di karpet memori.

Perintis persada menangkis lanun,
Wajah tak gentar seampuh laksamana;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Penjajah tegar musuh durjana.

Komunis melanda sadis bertahun,
Jerih bernafas peristiwa Kepong;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Masih berbekas nyawa terapung.

31 Ogos membilang hari,
Rawan lara di zaman komunis;
Waktu berarus menggalang memori,
Pahlawan negara berteman puitis.

Waktu berarus minit berlari ,
Jangan suka berangan bermenung;
31 Ogos menggamit memori,
Kenangan merdeka kenangan dijunjung.

Persetua lara menghiris perasaan,
Waktu berarus ledakan saat;
Jiwa bersuara puitis kemerdekaan,
31 Ogos pekikan semangat.

Rahsia bersolat segera berZohor,
Sunnah dikerjakan menyembah Yang Satu;
Malaysia berdaulat negara yang makmur,
Tanah kelahiran tumpah darahku.

Kasih dijulang merafak mahkota,
Beban peristiwa bersemi pusara;
Berputih tulang tidak di mata,
Berkorban nyawa demi negara.

Membawa riwayat terpahat di batu,
Adrenalin amarah suka dan duka;
Peristiwa menyayat di Lahad Datu,
Cermin sejarah luka terluka.

Perjudi nyawa merempuh habis;
Membuka suara berbalah sangka,
Trajidi peristiwa yang sungguh sadis,
Ketika negara telah merdeka.

Bersimpul iman berapa amalan,
Sehangat pasrah membilang angan;
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan,
Keringat sejarah menjulang tangan.

Sanggul pasak kembung sekerat,
Mengapa jambangan bubuh di sisi;
Tun Abdul Razak menyambung hasrat,
Bapa Pembangunan penuh dedikasi.

Fesyen sedondon cantik dilihat,
Jumpa Cik Puan di Jalan Teberau;
Tun Hussein Onn membelek rakyat,
Bapa Perpaduan panggilan beliau.

Pohon banir menapis unggas,
Betapa dahan ada sepaha;
Tun Dr Mahathir berinovatif dan tegas,
Bapa Permodenan sentiasa berusaha.

Mengaji bersolah berkabut pusara,
Terkapa ketakutan sejengkal nisan;
Datuk Seri Abdullah lembut bicara,
Bapa Pembangunan Modal Insan.

Ketuk sudip bermata selisih,
Mengapa nasi berbau halia;
Datuk Seri Najib yang kita kasih,
Bapa Transformasi Satu Malaysia.

Tentera berani menggenggam pusaka,
Melangkah mati nyawa diberi;
Negara kini 56 tahun merdeka,
Merdekakah hati jiwa sanubari.

Sungguh bersabar keringat dirasa,
Di ambang merdeka rakyat menanti,
Penuh debar semangat perkasa,
Lambang Merdeka memahat erti.

Kenangan duka sama merahsia,
Kering dan tua dimakan umur;
Laungan Merdeka bergema seMalaysia,
Seiring doa Malaysiakan makmur.

31 Ogos 24nya Syawal,
Merdekaraya dirai bersama.;
Bersatu bagus rapatnya kental;
Nescaya berjaya harmoninya lama.

Melilau muara menjejak hujan,
Turun di lembah merata-rata;
Kalau bicara tidak sepadan,
Mohon ditambah info dan fakta.

Pohon berdahan kelam keadaan,
Celahan pangkal selisih paya;
Mohon kemaafan salam kemerdekaan,
Cerahan Syawalkan masih bercahaya... ^,^


Sampai jumpa lagi di entri akan datang.....salam kemaafan dan SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA YANG KE 56.....semoga negara Malaysia sentiasa aman makmur dan damai serumpun berjiran tetangga dan di dalam limpahan rahmat dan cahaya kasih sayang ALLAh SWT.....aminnnn, Yaa Rabbal 'Alamin.


Telan syumi mengkelan rasa,
Saya menangis sedikit sedu;
Nukilan Ummi nukilan biasa,
Peria yang manis sepahit madu.... ^^,

Panggang tilan menunggu waktu,
Tangan siapa terik berlada;
Terang Bulan lagu Negaraku,
Jangan lupa lirik dan nada.


p/s Kalau nak dengar lagu, buatlah pilihan sendiri dengan meng'click' kat sebelah playlist SCM tu ye...macam-macam lagu boleh dengar....selera merdeka selera nostalgia.... =)


Kalam berpena.....

UmmiAin

19 comments:

  1. Alhamdulillah bersujud syukur
    Malaysia 56 tahun kini merdeka
    Ayuh bersama berjanji akur
    Tumpah taat setia demi negara

    Salam Merdeka buat kak ummi sekeluarga =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selasih berkembang direndam-rendam,
      Nanti bersegera serbat disaji;
      Kasih diambang Merdeka lima puluh enam,
      Transformasi negara berikat janji.

      Salam Merdeka buat Hafiz bersama keluarga juga dari Kak Ummi ... =)

      Delete
  2. Salam manis Ummi.

    Saya memang tak pandai berpantun.

    Macam mana dah ada perkembangan. Dah cuba hantar ke media? Boleh cuba ke Pelita Bahasa (pantun tentang bahasa). Dewan Sastera pun boleh cuba.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam cikgu Tetamu Istimewa... :)

      Setakat ini rasanya Ummi belum berkesempatan lagi untuk mencuba, cuma memerlukan masa dan keyakinan bahawa pantun Ummi dapat diterima atau vice versa....Ummi amat-amat menghargai sokongan padu dari cikgu Tetamu Istimewa....sungguh...Ummi memerlukan masa untuk mengumpulkan masterpeace Ummi dari mula...harap cikgu sudi memberi tunjukajar pada Ummi....

      Sekali lagi jutaan terimakasih Ummi buat cikgu kerana sudi datang singgah memberi komen yang constructive....satu lagi, Ummi teringin berbalas pantun dengan cikgu... :D

      Delete
  3. Salam Ummi :)

    Pelik pula, kat bloglist saya update entri tajuk "pantun dia yg kusayang"...tp entri xwujud. Sblm ni entri ini pun sama, berulang kali singgah...tapi entri xwujud, kenapa ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam BM... :)

      Maafkan Ummi kerana hal ini sering terjadi tatkala Ummi tersalah tekan, dan ia akan tetap keluar walaupun Ummi dah save to draft..Ummi kurang arif bagaimana nak meng'delete'kan entri yang tersalah tekan tapi masih lagi keluar yang menyebabkan rakan-rakan tertanya-tanya kenapa ianya tak ujud...tolong bagi panduan kepada Ummi bagaimana nak coop up dengan hal sedemikian, Ummi amat menghargai bantuan dari sahabat Ummi... :) maafkan Ummi sekali lagi...ya

      Delete
    2. Salam Ummi...
      Ooo iti puncanya. Kalau tersalah tekan dan publish, memang xde cara, sebab feeder akan catch setiap posting walaupun di delete atau kembali save to draft. Jangan biasakan klik publish, klik close aje... Dah OK semua barulah klik publish.

      Delete
    3. Wassalam BM....
      Itulah sebabnya kadangkala Ummi nak cepat mengejarkan masa kadangkala tertekan jari ni..besaaa tuu...hehe, apapun, terimakasih banyak buat BM kerana singgah memberi komen yang contructive buat Ummi, Ummi pun masih baru dalam blogging ni...terimakasih curahan hujan dari Ummi... ^^,

      Delete
  4. Salam manis dari kampung,
    Intenet slow tetap berkunjung... :)

    Sudah bangun dari terleka,
    Samapai bekulat hidup menyendiri,
    56 tahun Malaysia merdeka,
    Negara berdaulat bebas berdikari.

    Jika dimakan burung kelicap,
    Selasih setalam habis dinikmati,
    Merdeka bukan sekadar diucap,
    Maksud mendalam perlu dimengerti.

    Menyapa lembut takut terluka,
    Kepada bakal teman dihati,
    Selamat menyambut hari merdeka,
    Semoga kekal aman dirahmati...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam teramat syahdu diulit rindu buat sahabat pemantun teristimewa BM... :D

      Pekasam keli sedulang timbun,
      Merah nangka di kulit tepi;
      56 kali berulang tahun,
      Sejarah merdeka diulit mimpi..

      Buka genggam tangan melekat,
      Tangan terkena karan yang mati;
      Merdeka di dalam laungan rakyat,
      Laungan bermakna debaran menanti.

      Gelama merebut rangka talapia,
      Kering takua dicucuh api;
      Bersama menyambut Merdeka Malaysia,
      Seiring doa musuh ketepi.

      Terimakasih Bin... :)

      Delete
  5. Mmg dasat la pantun nie. Saya belum mahir sangat berpantun nie. Apapun syukur alhamdulillah negara kita aman dan selamat.

    ReplyDelete
  6. salam ummi..boleh x tlg buat pantun 4 kerat pasal bidang keusahawanan dan warisan sejarah??

    ReplyDelete
  7. salam ummi..boleh x tlg buat pantun 4 kerat pasal bidang keusahawanan dan warisan sejarah??

    ReplyDelete
  8. Hang Tuah bersama sahabat berlima,
    Menentang musuh tanpa putus asa,
    Tanggal 31 detik bersejarah,
    Kita merdeka 56 tahunnya..

    ReplyDelete
  9. salam ummi bagus la sbb buat pantun kemerdekaan

    ReplyDelete
  10. salam umi macam mna nk buat pantun terima kasih

    ReplyDelete
  11. Dalam bahtera bergaya sampan
    Lubuk diselami lautan berembun
    Salam sejahtera saya ucapkan
    Untuk ummi teman berpantun

    Saya sangat berminat dengan pantun ummi yg hebat ini. Saya juga minat berpantun dan ada membuka grup (mari berbalas pantun) di whatsapp, saya ingin belajar berpantun dengan ummie pada setiap hari bila ada masa terluang. Boleh pm saya jika anda minat untuk sertai grup mbp di whatsapp di no 01129930430.

    Penantian cinta hanya ukiran
    Jangan disimpan delima kekasih
    Sekian kata saya ungkapkan
    Dengan ucapan terima kasih.

    Dari saya ace (MBP) (grup mari berbalas pantun) whatsapp.

    ReplyDelete
  12. Dalam bahtera bergaya sampan
    Lubuk diselami lautan berembun
    Salam sejahtera saya ucapkan
    Untuk ummi teman berpantun

    Saya sangat berminat dengan pantun ummi yg hebat ini. Saya juga minat berpantun dan ada membuka grup (mari berbalas pantun) di whatsapp, saya ingin belajar berpantun dengan ummie pada setiap hari bila ada masa terluang. Boleh pm saya jika anda minat untuk sertai grup mbp di whatsapp di no 01129930430.

    Penantian cinta hanya ukiran
    Jangan disimpan delima kekasih
    Sekian kata saya ungkapkan
    Dengan ucapan terima kasih.

    Dari saya ace (MBP) (grup mari berbalas pantun) whatsapp.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^