Saturday, August 31, 2013

Pantun 31 Ogos......Sejarah Kita.

Assalamu'alaikum...
Salam kemerdekaan jiwa hamba....dari Ummi sekeluarga buat rakyat Malaysia semua... ^,^



Tetap terserlah si askar platun,
Mara menghala barisan hadapan,
Ucap Bismillah selembar pantun,
Bicara bermula titisan ucapan.


Di sangkar merbah bertelur helang,
Punai terlepas di hutan tarah;
Berkibar megah Jalur Gemilang,
Bagai mengibas lipatan sejarah.

Jentik penutup persetua lara,
Waktu meletus musuh dah tamat;
Detik berdegup jiwa dan suara,
31 Ogos 1957 sejarah keramat.

Kenangan lara akan terbuku,
Pusaka bangsa suka dan duka;
Laungan suara pekikkan Tunku,
Merdeka Merdeka Merdeka Merdeka..!!

Langkah jaya tentera membidek,
Senjata diampu berhadapan musuh;
Alangkah Malaya gembira bertempek,
Berita Tunku kejayaan seluruh...

Terjah penjajah menggelegak mara,
Menghentam angin peluru bergema;
Wajah-wajah tonggak negara,
Enam pemimpin satu jenama.


Kini tibalah hari yang ditunggu-tunggu, hari untuk menyambut kemerdekaan negara yang ke 56 tahun......bermulanya tarikh keramat 31 Ogos 1957 sampailah sekarang....Kemerdekaan yang membawa sejuta erti.....NEGARAKU BERDAULAT TANAH TUMPAHNYA DARAHKU....Subhanallah ! Alhamdulillah !


Jom kita teruskan berpantun buatmu ibu pertiwi...


Dalam kerelaan majumu dewi,
Pantang rebah bangun berdiri;
Salam kemerdekaan buat ibu pertiwi.
Bertatang sembah pantun penyeri.

Jasamu diingat di tinta pusara,
Kenangan duka tidak disesali;
Perkasamu semangat cinta negara,
Laungan MERDEKA berkali-kali.

Hiris lada terhiris mentimun,
Sambal merah sedikit kari;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Tinggal sejarah di karpet memori.

Perintis persada menangkis lanun,
Wajah tak gentar seampuh laksamana;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Penjajah tegar musuh durjana.

Komunis melanda sadis bertahun,
Jerih bernafas peristiwa Kepong;
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Masih berbekas nyawa terapung.

31 Ogos membilang hari,
Rawan lara di zaman komunis;
Waktu berarus menggalang memori,
Pahlawan negara berteman puitis.

Waktu berarus minit berlari ,
Jangan suka berangan bermenung;
31 Ogos menggamit memori,
Kenangan merdeka kenangan dijunjung.

Persetua lara menghiris perasaan,
Waktu berarus ledakan saat;
Jiwa bersuara puitis kemerdekaan,
31 Ogos pekikan semangat.

Rahsia bersolat segera berZohor,
Sunnah dikerjakan menyembah Yang Satu;
Malaysia berdaulat negara yang makmur,
Tanah kelahiran tumpah darahku.

Kasih dijulang merafak mahkota,
Beban peristiwa bersemi pusara;
Berputih tulang tidak di mata,
Berkorban nyawa demi negara.

Membawa riwayat terpahat di batu,
Adrenalin amarah suka dan duka;
Peristiwa menyayat di Lahad Datu,
Cermin sejarah luka terluka.

Perjudi nyawa merempuh habis;
Membuka suara berbalah sangka,
Trajidi peristiwa yang sungguh sadis,
Ketika negara telah merdeka.

Bersimpul iman berapa amalan,
Sehangat pasrah membilang angan;
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan,
Keringat sejarah menjulang tangan.

Sanggul pasak kembung sekerat,
Mengapa jambangan bubuh di sisi;
Tun Abdul Razak menyambung hasrat,
Bapa Pembangunan penuh dedikasi.

Fesyen sedondon cantik dilihat,
Jumpa Cik Puan di Jalan Teberau;
Tun Hussein Onn membelek rakyat,
Bapa Perpaduan panggilan beliau.

Pohon banir menapis unggas,
Betapa dahan ada sepaha;
Tun Dr Mahathir berinovatif dan tegas,
Bapa Permodenan sentiasa berusaha.

Mengaji bersolah berkabut pusara,
Terkapa ketakutan sejengkal nisan;
Datuk Seri Abdullah lembut bicara,
Bapa Pembangunan Modal Insan.

Ketuk sudip bermata selisih,
Mengapa nasi berbau halia;
Datuk Seri Najib yang kita kasih,
Bapa Transformasi Satu Malaysia.

Tentera berani menggenggam pusaka,
Melangkah mati nyawa diberi;
Negara kini 56 tahun merdeka,
Merdekakah hati jiwa sanubari.

Sungguh bersabar keringat dirasa,
Di ambang merdeka rakyat menanti,
Penuh debar semangat perkasa,
Lambang Merdeka memahat erti.

Kenangan duka sama merahsia,
Kering dan tua dimakan umur;
Laungan Merdeka bergema seMalaysia,
Seiring doa Malaysiakan makmur.

31 Ogos 24nya Syawal,
Merdekaraya dirai bersama.;
Bersatu bagus rapatnya kental;
Nescaya berjaya harmoninya lama.

Melilau muara menjejak hujan,
Turun di lembah merata-rata;
Kalau bicara tidak sepadan,
Mohon ditambah info dan fakta.

Pohon berdahan kelam keadaan,
Celahan pangkal selisih paya;
Mohon kemaafan salam kemerdekaan,
Cerahan Syawalkan masih bercahaya... ^,^


Sampai jumpa lagi di entri akan datang.....salam kemaafan dan SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA YANG KE 56.....semoga negara Malaysia sentiasa aman makmur dan damai serumpun berjiran tetangga dan di dalam limpahan rahmat dan cahaya kasih sayang ALLAh SWT.....aminnnn, Yaa Rabbal 'Alamin.


Telan syumi mengkelan rasa,
Saya menangis sedikit sedu;
Nukilan Ummi nukilan biasa,
Peria yang manis sepahit madu.... ^^,

Panggang tilan menunggu waktu,
Tangan siapa terik berlada;
Terang Bulan lagu Negaraku,
Jangan lupa lirik dan nada.


p/s Kalau nak dengar lagu, buatlah pilihan sendiri dengan meng'click' kat sebelah playlist SCM tu ye...macam-macam lagu boleh dengar....selera merdeka selera nostalgia.... =)


Kalam berpena.....

UmmiAin

Friday, August 23, 2013

Pantun Terkenang Semasa Dulu....




Sedap gula di dalam halkum,
Gula bergenang rasa tak lalu,
Ucap ku mula assalamu'alaikum,
Mula TERKENANG SEMASA DULU.

Ular berlingkar mati dipalu,
Sisik bersusun terendam basah;
Selembar ku hampar seperti selalu,
Ku kelek pantun bersulam kisah.


Bersama ayahanda tercinta, tok, abang, adik dan sepupu...


Yang paling kecil dan comel....yang mana satu ya...


Salam manis semanis merdu....terkenang semasa dulu....pastinya memori menggamit rindu...hari ini genaplah entri pantun Ummi yang ke 100, alhamdulillahirrabbil'alamin, tudiaa, sedar tak sedar dah meratuih (bukan marah na...)....haha, kepada sahabat Ummi PakNgah Al Lavendri yang Ummi hormati.....maaf na, Ummi nak berpantun tajuk yang kebetulan sama dengan PakNgah di muka buku Terkenang Semasa Dulu....apakata kita 'like'kan page beliau......ya.  Entah kenapa Ummi teringat di masa lalu.... pastinya rakan-rakan dan sahabat Ummi di luar sana memiliki kenangan silam nostalgia di masa muda dan masa kekocik dulu....

Jom kita berpantun..... ^^,


Pinang basah tiada bersabut,
Basah rumbia berhari tenggelam ; 
Terkenang kisah bonda menyebut,
Kisah nostalgia memori silam.

Berenang buaya di muara ulu,
Tiada belida merempuh pagi;
Terkenang saya semasa dulu,
Pada ayahanda yang jauh ber'pergi'.

Tiada bergigi makan bersudu,
Menyudu durian makan berselera;
Ayahanda 'pergi' meninggalkan rindu,
Rindu belaian pelukan mesra.

Batu tiada parang diasah,
Letih mengandar keting dah tua;
Waktu muda jarang berpisah,
Kasih pudar seiring usia.

Kalau berselisih kain pelikat,
Jangan dililit basah keringat;
Kalau kasih semakin pekat,
Kenangan mengulit kisah diingat.

Sedang memaut sibuah kepayang,
Tangan memetik pucuk mengkudu;
Terpandang raut wajah tersayang,
Kenangan berdetik untuk merindu.

Disengat betutu temoleh dibelah,
 Rumpai menjerat senangin dan tilan;
Teringat waktu masih bersekolah,
Ramai peminat ingin berkenalan..

Basah pangkal sibunga daffodil,
Tangkai mentimun bersulam peria;
Kisah Syawal ketika kecil,
Pakai sedondon macam boria.

Pusara goyah bertiang kenanga,
Dara terkedu saban mengaji;
Suara ayah terngiang di telinga,
Suara merdu marhaban berzanji.

Jala direndam dekat muara,
Muara berarah ke perdu panggu,
Hujan berkaca syahdunya jatuh;
Di kala malam seingat suara,
Suara Ayah merdu melagu,
Quran dibaca merdunya sungguh.

Renang betutu toman menerjah,
Berdarah siakap mati disesah;
Terkenang sewaktu di zaman penjajah,
Sejarah diungkap meniti kisah.

Temoleh gelama bersiang lima,
Pesona selera dipanggang arang;
Kasih yang lama di ruang sukma,
Teruna dan dara renggang seorang.

Arang bahulu mula membara,
Bahulu ditimbuk beradun-adunan;
Orang dahulu pabila bicara,
Selalu meneguk pantun-pantunan.

Indah berembun basah delima,
Teratak lusuh bertambun tulang;
Sudah bertahun berpisah lama,
Anak yang jauh belum pun pulang.

Jebak kenari dekat perahu,
Ternampak puteri tersenyum lawa;
Semerbak kasturi melekat bau,
Semerbak memori harum dijiwa.

Kelisa menanti tilan berembun,
Jangan dicari siikan kurisi;
Masa berganti bulan dan tahun,
Kenangan memori tidakkan basi.

Urap-urapan timun dan kuini,
Letaklah sambal menambah selera;
Harap-harapkan pantun ku ini,
Tidaklah janggal rendah bicara.

Bertenun kain diukur sendiri,
Kain kasa beli di Changlun;
Mohon izin mengundur diri,
Di lain masa kembali berpantun.

Kalau tiada daun bergoncang,
Pohon di rimba berakar tampan;
Kalau ada pantun yang pincang,
Mohon hamba selembar kemaafan.



p/s     Nikmatilah lagu-lagu nostalgia terkenang semasa dulu-dulu.....dengar lagu jangan sampai lupa solat ye... ^^,



Kalam berpena.....

UmmiAin

Thursday, August 22, 2013

Segmen Gempak Mieza Jhaa K....Pantun Dari Ummi.... ^^,


Salam manis di hari Khamis buat Cik Mieza si cantik manis,  hati terpanggil untuk sama-sama meriahkan segmen ini, tapi Ummi dahulukan dengan pantun boleh, kerana pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan dariku untukmu...... ^^,

Diharilah raya indahnya fesyen,
Sampin berkelopak nampaknya ok;
Marilah menceria meriahkan segmen,
Segmen Gempak From Mieza Jhaa K.

Ambil cermin ambilkan talkum,
Talkum ditabur sudah secawan;
Sambil bersegmen sambil tersenyum,
Senyum menghibur menambah kawan.



Assalamualaikum bloggers.. Akhirnya segmen yang dijanjikan dan ditunggu-tunggu tiba jua. Ini adalah segmen pertama saya yang diharapkan agar segempak tajuknya. Bermula hari ini pukul 1:00 tgh hari dan berakhir pukul 1:00 tgh hari esok. Anda semua dijemput join.

Syarat-syarat penyertaan :
1. Add to circle Google+ Mieza Jhaa K dan like Fanpage Mieza Jhaa K
2. Buat entry bertajuk "Segmen Gempak Mieza Jhaa K"
3. Copy coding yang telah disediakan dan pastekan ke dalam ruangan HTML dan publish entri.
4. Tinggalkan URL entri di kotak komen.

Ganjaran Segmen : 
1. 10 blog bertuah yag dipilih sendiri oleh saya akan direview salah 1 dari entri terbaik mereka. Kepada yang terpilih nanti, sila tinggalkan URL entri terbaik anda.

2. 25 blog yang bertuah berpandukan RANDOM.ORG akan diletakkan di dalam bloglist khas bermula 23 Ogos hingga 23 September 2013. Dan kepada yang bertuah nanti diminta agar meletakkan blog Mieza Jhaa K ke dalam bloglist anda juga.

Jom kita meriahkan segmen ini.


Petiklah petola jaja di kota,
Terang andang apinya rawan;
Cantiklah pula Cik Mieza kita,
Orang memandang pasti tertawan.

Kalau tersenyum puteri kayangan,
 Menanti teruna mengikat janji;
Walau belum diri ku bayangkan,
Pasti kerana dekat di hati.



Salam Syawal buat sekelian, selamat bersegmen dan mudah-mudahan sukses semua ya... ^^,

Kalam berpena dari Ummi....

UmmiAin

Sunday, August 18, 2013

Pantun Sedangkan Lidah Lagi Tergigit...


Pelam harum tanam berbuah,
Herba sekarung bercampur selasih;
Assalamu'alaikum salam ukhuwah,
Hamba menjunjung sekapur sireh...

Ubi temeli bertimbun-timbun,
 Diangkut ditatang dibawa ke pasar;
Ummi kembali pantun berembun,
Disebut datang menyua khabar.

Apa jelan lidah tuu.....huhu

Haa...ni rupanya kuih lidah kucing... ^^,

Tergigit lidah kee.....

Pandang rendah tinggi selangit,
Takkan purnama nantikan terang;
Sedang lidah lagikan tergigit,
Inikan cuma hatinya orang.

Kami mencari berus yang lebar,
Terkena rumpai penjaja laluan ;
Suami isteri harus bersabar,
Pesona mahligai Raja bertuan.

Rumbia dan rotan kami mencari,
Terbelah dua pangkal rumpunan;
Bahagia impian suami dan isteri,
Itulah doa awal perkahwinan.

Makan kerdas jering ditatang,
Hanya sepinggan jamah berhari;
Harapkan panas seiring ke petang,
Rupanya hujan di tengahari.

Masam-masam dijamah juga,
Suap berdua nasi beriyani;
Asam garam berumahtangga,
Bersiap sedia emosi dan rohani.

Harilah mula bekal dibawa,
Kasutlah jatuh di seberang ulu;
Carilah formula kekal bahagia,
Ikutlah contoh orang dahulu.

Kalau muara berarus tiada,
Takut mati tergigit ikan;
Kalau bicara harus waspada,
Takut nanti sakit perasaan.

Kembang sudah kelopak belulang,
Pesona indah lawa dan rendah;
Memang lidah tidak bertulang,
Kerana lidah membawa padah.

Pangkal tembuni sebelah pusara,
Papan dipaku atur berpangkah;
Syawal kini seolah bicara,
Izinkan daku mengundur langkah.



Rasulullah SAW bersabda : “Sejahat-jahat manusia pada Hari Kiamat nanti ialah orang yang bermuka dua.  Barangsiapa bermuka dua di dunia maka di hari kiamat kelak akan mempunyai dua lidah dari lidah api neraka jahanam.”

Sabda Rasulullah SAW lagi :”Tidak masuk syurga orang yang suka membesar-besarkan cerita.” Apabila di tanya apa hikmahnya.  Baginda SAW menjawab ; ”Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan semua makhluk itu mempunyai lidah, sama ada yang boleh berkata-kata ataupun tidak boleh berkata-kata.”



Redah masuk ke muara daik,
Keli menyengit petanda lemah;
Lidah untuk bicara yang baik,
Berkali tergigit ada berhikmah.

Indah hari elok terserlah,
Seloka PakTua menjeruk rasa,
Seloka gurindam dari Segamat;
Lidah diberi di makhluk Allah,
Bermuka dua buruk nya dosa,
Neraka jahanam di Hari Kiamat.


Baiklah sahabat Ummi sekelian yang ada....sampai di sini dahulu ya Ummi mohon berundur diri buat sementara waktu....hingga bertemu di lain entri, sireh penyeri sireh berlipat, kasih berhari kasih sahabat...
Sudah hangit ikan berjaja, lidah tergigit bukan sengaja......Bisa kelah terkena tuba, manusia bukanlah sesempurna hamba...tengkolok bersimpul serlah gemerlap, elok perbetul salah dan silap....akhirkata, salam kemaafan dari Ummi dan selamat hari raya dibulan Syawal yang masih ada....... senyum-senyum selalu ya.... ^^,


Kalam berpena....

UmmiAin

Wednesday, August 7, 2013

Pantun Lambaian Ramadhan Gemerlap Syawal.....




Assalamu'alaikum, terimalah selembar pantun dari Ummi istimewa yang sekadarnya buat pembaca sekelian....^^

Malam berdentum tiada berbintang
Kabur kelam pandangan sayup;
Assalamu'alaikum hamba dah datang,
Menghulur salam tangan berkucup.

Setelah sedar setelah fajar,
Langsir dicuci hari kelima,
Allahuakhbar Allahuakhbar,
Takbir suci kini bergema.

Perap bawal beracar rampai,
Diperap nanti jangan dijamah;
Gemerlap Syawal membuka tirai,
Gemerlap hati kemenangan ummah.

Rampai pandan beringin pauh,
Berasap pangkal belumlah mati;
Melambai Ramadhan semakin jauh,
Gemerlap Syawal tersenyum menanti.

Makan terasa bahan bersusu,
Diperap awal mari dimakan;
Sebulan berpuasa menahan nafsu,
Gemerlap Syawal hari kenenagan.

Pelam harum sejengkal kecil,
Pandang lebat busuk seminggu;
Dalam tersenyum Syawal memanggil,,
Rendang dan ketupat esok menunggu..

Singkap daun deraian embun,,
Embun menitik dipagi hari;
Gemerlap proton pakaian sedondon,
Sedondon cantik lagi berseri..

Kami saudara membakar mercun,
Seawal Maghrib memandu kereta;
Ummi bicara semekar pantun,
Syawal berkelip syahdu di mata..

Sungguh lawa bunga delima,
Jambangan pula semakin terukir;
Riuh ketawa keluarga bersama,
Jangan dilupa simiskin dan fakir.

Basah pinang seraga pauh,
Empunya dusun lebat mengkudu;
Usah dikenang keluarga yang jauh,
Hanya telefon pengubat rindu.

Belida haruan bertindan tilan,
Muara batu bertenggek helang;
Kepada tuan puan dan taulan,
Suara merindu merengek pulang.

Sesah perdu sebelahan perigi,
Titi yang tua berselang tali;
Usah merindu Ramadhan yang pergi,
Pasti ia berulang kembali,

Mencari buaya membaling papan,
Setelah bertemu basah keringat;
Di hari lebaran saling bermaafan,
Salah dirimu usah diingat.

Gemerlap Syawal kita terangkan,
Cahaya Ramadhan melambai pergi;
Seolah Ramadhan disetiap bulan,
Diberkati Allah sampai ber'pergi'.

Kalau menyalai siikan temoleh,
Keringat badan membungkus arang;
Walau melambai tetapkan kasih,
Semangat Ramadhan terus benderang..


Kepada sahabat-sahabat yang Ummi sayangi, dengan ucapan selamat menyambut Hari Raya 'Aidil Fitri dan semoga bergembira bersama keluarga tercinta di kampung.....kepada yang tidak dapat pulang beraya, gunakanlah telefon atau yang sewaktu denganya...agar hubunga erat terjalin dan dapat mengubat kerinduan pada ayah dan ibu....Untuk yang telah 'pergi' dhulu, sepohon doa dan harapan dari anak-anak dan sanak saudara semoga roh dicucuri rahmat oleh Allah SWT....begitu juga dengan Ummi, kerinduan pasti akan terubat pada hari raya keempat......jangan sedih-sedih...dalam gembira usah dilupa pada yang tiada dan orang-orang yang susah.....sama-samalah kita bersedekah.......

Sampai di sini dulu insyaAllah kita bertemu lagi.....Ummi dah nak sibukkan diri kat dapur.... :)



Salam kasih mesra,
Minnal 'Aidil Wal Faizin....

UmmiAin

Friday, August 2, 2013

Pantun Ujian Bulan Ramadhan Buat Ummi...


Assalamu'alaikum. apa khabar semua sahabat-sahabat Ummi yang budiman lagi dirindui......





Jamu serbat di pasar lambak,
Pasar sepagi belum melilau,
Makan sedulang ulam dinanti;
Namamu sahabat mekar sejambak,
Mekar mewangi harumnya bau,
Takkan hilang di dalam hati..


Bergambar belum sukar berposing,
Berbatik Kedah siputeri jelita,
Berdendang asli bercampur irama,
Terserlah putih intan baiduri;
Kembar kuntum mekar seiring,
Simbolik indah penyeri mata,
Kembang sekali gugur bersama,
Itulah kasih suami dan isteri.

Tanam pandan rumpun merimbun,
Bumi digali perenggan basah;
Salam Ramadhan pantun berembun,
Ummi kembali enggan berpisah.

Mengkelan badan tertelan bijian,
Basahan kuntum celahan pasu,
Bulan Ramadhan bulan ujian;
Makan dan minum bertahan nafsu.

Seharian mencari cempedak dan mangga,,
Tangan berurat membelah batu;
Ujian diberi tidak terduga;
Ringan dan berat Allah Penentu.

Asah belati di atas lesung,
Batu bersendi batu jadian;
Resah hati diberkas rundung,
Suatu trajidi suatu ujian.

Sedapnya sajian ditelan rasa,
Jamah betik sajian puteri;
Setiap ujian dibulan puasa,
Hikmah di sebalik ujian diberi.

Subuh marhalah kumandang takbir,
Dian sebatang merafak zikir;
Sungguh Allah Perancang Takdir,
Ujian mendatang tidak terfikir.

Bintang tersemat perkasa sungguh,
Panglima terhebat demi negara;
Di petang Jumaat puasa kesepuluh,
Terima hakikat suami tercedera.

Pandangan kabur sungguh ngeri,
Kelam tumpuan malang bersambung;
Kemalangan motor jatuh sendiri,
Dalam perjalanan pulang ke kampung

Masa fajar pesona hari,
Semakin keringat sudah memekat,
Setin baja dekat pembajak;
Sentiasa berkejar ke sana kemari,
Mungkin tersangat lelah dan penat,
Rajin bekerja rehatnya tidak.

Cimni malau api sedikit,
Tok Azmi mula berselawat syifa;
Kini beliau bercuti sakit,
Ummi pula merawat luka.

Subuh berlalu terang menanti,
Memahat bumi celahan bukit,
Aduh pilu bersarang di hati,
Melihat suami menahan sakit,

Teriak sigajah membelah halkum,
Membaham titi menggoyang tebu;
Riak di wajah seolah tersenyum,
Dalam hatinya Allah Yang Tahu.

Kainlah sutera seputih melati,
Cadar bertekap pesona rumia;
Bukanlah suara menagih simpati,
Sekadar mengharap doa semua.

Lukisan bunga sipucuk delima,
Dijaga walau bersilih basuh;
Titisan doa penyejuk kesuma,
Semoga beliau pulih dan sembuh.

Sumi merah durian kelapa,
Asam ada gula dicampur;
Ummi pasrah kejadian menimpa,
Dalam redha rela bersyukur.

Cindai usang sutera Cina,
Terserlah gemerlap dengan labuci;
Andai songsang bicara tak kena,
Salah dan silap jangan dibenci.

Mentua gelabah tersenyum hairan,
Sedondon pakaian lukisan daun;
Doa mahabbah seharum raihan,
Mohon jutaan titisan ampun.

Ada madu dimakan secamca,
Keranji sedap habis kesemua;
Kepada sahabatku rakan pembaca,
Ummi mengharap secebis doa.

Mangga dijamu berselera sungguh,
Sepiring papaya masih bertahan;
Semoga suamiku segera sembuh,
Seiring cahaya kasih Ramadhan.



Sampai di sini dulu hanba mohon diri, diharap sahabat semua berpuas hati dengan pantun Ummi, sampai jumpa lagi jika masih berkesempatan Ummi berpantun selagi masih ada kerdipan cahaya Ramadhan yang sebentar lagi akan bertukar Syawal.....till next time, salam rindu selasih dan halwa maskat..... dari Ummi... :)


Kalam berpena...

UmmiAin