Tuesday, July 9, 2013

Pantun Kelip-Kelip Cahaya Ramadhan....











Bersudip-sudip seraya dimakan,
Berulam mengkudu berhiris timun ;
KELIP_KELIP CAHAYA RAMADHAN,
Salam syahdu secebis pantun.


Assalamu'alaikum buat semua teman pembaca@pemantun dan sahabat-sahabat yang Ummi hormati....
Semoga semuanya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal buat menghadapi bulan puasa bulan Ramadhan yang yang akan tiba sekejap lagi......cahaya Ramadhan akan berkelip sebentar lagi, seiring kerlipan pantun Ummi....ya... ^^

Buat teman semua, hayatilah pantun Ummi...jom kita berpantun....

Berjalan si angsa jalan menyudu,
Ke paya berenang sudah se pagi;
Bulan puasa bulan dirindu,
Cahayanya datang menyimbah lagi.

Dahan bersilang berasap unggun,
Tikar dicucuh sudahlah hitam;
Ramadhan berulang setiap tahun,
Sinar penyuluh ibadah malam.

Runtun alam di ufuk mega,
Meredah masa menanti Maghrib;
Rukun Islam duduk ketiga,
Ibadah puasa mesti dan wajib .

Dititip badan terasa-rasa,
Bertanda se ela merekah sudah;
Berkelip Ramadhan bermula puasa,
Berganda pahala baraqah ibadah.

Terasa ditelan merah digigit,
Termakan asam diteran-teran;
Puasa sebulan mengimmarah masjid,
Hidupkan malam bertadarrus Quran.

Berasap lada dibelah-belah,
Beras dimasak pekat dan kembang;
Mengharap redha maghfirah Allah,
Keras telapak menongkat sembahyang.

Azan aulia sungguh terasa,
Melangkah menyisip indah bergema;
Ramadhan mulia meruntuh dosa,
Baraqah menitip ibadah maksima.

Tinggi mempalas terlebih pula,
Dahan sebatang naik di tepi;
Selagi nafas masih berhela,
Ramadhan yang datang baik hargai.

Selat berbuih bahtera berpasir,
Pak Mat meredah menghala lautan;
Solat tarawikh dan juga witir,
Nikmat ibadah pahala kedapatan.

Rimba sunyi seberang Pasai,
Sampai marhalah berkira-kira,
Laluan serumpun si orang Jawa;
Hamba ini terkurang pandai,
Andai salah bicara-bicara,
Ribuan ampun di sarang jiwa.

Dalam setahun cuma sekali,
Manakan setaraf bulan yang lain;
Salam berpantun lama kembali,
Mohonkan maaf kesilapan kelmarin.


Baiklah rakan-rakanku sekelian...sampai di sini dahulu Ummi merangkap pantun, disebabkan kesilapan teknikal, Ummi hampir terpadam komen dari seorang sahabat Ummi yang setia, rajin dan selalu datang menyampaikan pantun beliau yang indah-indah....walau pun ada kesilapan tertentu....Ummi amat berterimakasih kepada beliau kerana beliau merupakan salah seorang orang yang pertama datang berpantun di setiap kotak komen pada entri kali ini...sekalung terimakasih buat beliau....^^

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa buat semua rakan-rakan Ummi yang membaca pantun ini ya....mata pun dah kelat, tengah menonton solat Tarawikh 'live' dari Mekah Al Mukarramah di tv sambil menunggu waktu bersahur......Sampai jumpa lagi......insyaAllah....salam manis dan salam sayang dari Ummi... ^^



Kalam berpena...

UmmiAin

13 comments:

  1. Salam di rembang Ramadhan,

    Ingin kongsi pantun menarik nukilan sahabat, semoga ianya memberi pedoman buat semua...

    Bukan sekadar ingin bermadah,
    Tetapi berpesan walau berkali sudah,
    Ramadhan ini bulan ibadah,
    Ramadhan bukan bulan juadah.

    Bulan lain bukannya mudah,
    Perut kenyang mengganggu ibadah,
    Kini ringan menitip zikir dilidah,
    Jagalah puasa agar betul berfaedah,

    Berbuka puasa ala kadar sudah,
    Jangan sibuk pasar Ramadhan digeledah,
    Nafsu lapar cuba buat tak endah,
    Turut nafsu itu mengundang padah.

    Ampun dipohon dengan suara rendah,
    Mengenang dosa banyak diredah,
    Pahala ditabur jangan tak tadah,
    Buat bekalan ke syurga nan indah.

    Selamat berpuasa Ummi dan semua pengunjung blog ini...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam di Subuh Ramadhan...

      Akar pandan menyadung lahad,
      Rumpun diredah berbalan batu;
      Iftar Ramadhan terkandung nasihat,
      Pantun terindah nukilan dibuku.

      Terimakasih BM..selamat menjalani 'ibadah puasa buat mu juga dan semua pembaca blog Ummi.. ^^

      Delete

  2. bulan mulia menjelang tiba,
    tamatkan sengketa bermaafan kita;
    berpuasalah kita menurut adabnya,
    tidaklah hanya berlapar dahaga.

    dari mana hendak ke mana,
    tinggilah rumput si dari padi;
    bersyukur kita pada Yang Kuasa,
    ditemukan puasa sekali lagi.

    anak gelama dalam lautan,
    mari dibawa di dalam raga;
    moga berpuasa genap sebulan,
    hikmahnya pula jangan dilupa.

    * pantun kitar semula dari blog puisi saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih sekalung berlian buat PakNgah kerana menitipkan pantun yang indah di teratak Ummi....semoga PakNgah sekeluarga sentiasa di dalam kasih sayang Allah....amin..

      Selamat berpuasa ^^

      Delete
  3. Salam ramadan ummi. Semoga ramadan kali ini dapat mendekatkan diri kepada Allah lebih-lebih banyak ya. Dan semoga senantiasa dibawah rahmat dan pelindungan Allah.

    Allah. Allah. Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ramadhan buat Hariz juga, terimakasih kerana singgah di blog Ummi...mudah-mudahan ibadah kita dapat dimaksimakan di bulan yang mulia ini yang hanya muncul sekali dalam setahun. terimakasih juga atas doa mu ..... ^^

      Delete
  4. Bulan Ramadhan bulan berkat
    Nafsu dikawal syaitan diikat
    Perhambahkan diri kepada Yang Zat
    Agar diri beroleh manfaat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jalan kehidupan bersungguh mencari,
      Bersimpuh lemah bersujud malam;
      Bulan Ramadhan penyuluh diri,
      Penuh berhikmah maksud yang dalam.

      Tq Acik dear.. ^^

      Delete
  5. Berterawih bersungguh memaksa diri
    Bertadarus al-Quran penyuluh hati
    Ramadhan bulan pencuci diri
    Mendidik nafsu membersih hati

    Selamat berpuasa, berterawih dan berRamadhan utk kak ummi sefamili =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cantik renungan dalam pantun Hafiz, pandai adik kak Ummi...^^ terimakasih ya

      Mercun sudah terkena tangan,
      Berpada badan menelan ubat;
      Pantun indah pesona renungan,
      Seindah Ramadhan bulan terhebat.

      Delete
  6. Salam ramadhan ummi

    semoga ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ramadhan buat Daddy juga.. ^^

      Mudah-mudahan, bersama kita mengimmarahkan ibadah untuk mendapatkan maghfirahNYA...insyaAllah... ^^

      Delete
    2. Salam Ramadhan buat Daddy juga.....^^
      Terimakasih...

      Mudah-mudahan, bersama-sama kita mengimmarah dan memaksimakan 'ibadah untuk mendapatkan maghfirahNYA... insyaAlah ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^