Tuesday, July 16, 2013

Pantun Dalam Berpuasa...


Assalamu'alaikum.....


Sulam bertongkah kebaya Kelantan,
Bersulam kasa bersama baldu,
Baldu berwarna merahnya saga;
Salam baraqah cahaya Ramadhan,
Dalam berpuasa purnama merindu,
Merindu pesona indahnya Syurga.



Salam Ramadhan dalam cahaya yang masih berkelip, salam hormat buat pembaca@pemantun budiman semoga anda semua berpuasa dalam kesihatan yang cantik dan sentiasa meimmarah peluang dalam menggapai maghfirah Allah SWT.....amin.  Selagi masih ada hari-hari dalam bulan Ramadhan, terimalah pantun Ummi dengan tema DALAM BERPUASA pula ya....insyaAllah sama-sama kita membaca dan berpantun..



Berselam angsa mencari ikan,
Tempuh rakit jangan terjerat;
Dalam berpuasa diri tahankan,
Sembuh penyakit ringan dan berat.

Lenguh rasa lelah dan penat,
Telon dan param dipupuk juga;
Sungguh berpuasa adalah ibadat,
Rukun Islam duduk yang ketiga.

Rekah dahan belum dikerat,
Hidup kelulut mencari tempat;
Tahan makan minum dan maksiat,
Menutup mulut dari mengumpat.

Dosa banyak kerana dosa,
Dosa menipu maksiat dan noda;
Musuh pahala sudahlah tentu;
Puasa banyak makna berpuasa,
Puasa fardhu sunat dan qadha',
Sungguh yang aula adalah yang fardhu.

Solat Zohor tak pernah pergi,
Liat mengaji malasnya dia;
Sunat bersahur Sunnahnya Nabi,
Berniat di hati lafaznya doa..

Di tempat biasa menjala terubuk,
Ikan talapia menelan berudu;
Umat berpuasa rela dan tawadduk,
Bukan fantasia berbulan madu.

Menghala laluan pingitan desa,
Kelam Selasa biasa berlampu;
Mula pengisian pertaubatan dosa,
Dalam berpuasa perkasa yang fardhu.

Malam Selasa mengejar bebiri,
Terlepas bebiri tertinggal susu;
Dalam berpuasa mengajar diri,
Ikhlas memberi mengawal nafsu.

Keluar bercelana ke kota seberang,
Pagi bonda bertandang ke musollah;
Biar sederhana di mata orang,
Tinggi pada pandangan Allah.

Pandai menari tersenyumlah cantik,
Cantik disebut seorang puteri;
Seandai diri belumlah baik,
Baiklah direbut peluang diberi.

Asah parang di batu kelikir,
Seraya duduk mengambil rebung;
Susah orang tentu berfikir,
Percaya dan tawadduk sambil merenung.

Insaf hatta berubah sendiri,
Di dalam rasa sedia bersedekah,
Sedekah jariah semahu-mahu;
I'tikaf serta muhasabah diri,
Dalam berpuasa rahsia menongkah;
Rahsia Allah siapa yang tahu.

Kalau lebat papaya bidara,
Mengapa delima dikata merimbun;
Kalau dapat saya bersuara,
Jumpa bersama kita berpantun.

Di dalam rukun ada berpuasa,
Tersingkap Ramadhan di Subuh hari,
Sampai Maghrib perkasa solat;
Bersulam pantun bernada rasa,
Mengharap kemaafan sepuluh jari,
Seandai tersisip bahasa kelat.


Oleh kerana kita di dalam bulan mengimmarah diri bulan Ramadhan, maka pantun Ummi adalah kesinambungan pantun yang lalu.....harap sahabat sekelian suka membaca pantun Ummi yang tiada seberapa ini sambil merangkap pantun....Sampai di sini dahulu ya Ummi mengundurkan diri dengan harapan seandainya ada kesilapan bahasa maaf jua Ummi harapkan....sampai kembali lagi salam manis salam Ramadhan paling ikhlas semoga kita diberikan rahmat dan barakah dibulan yang mulia bulan 'ibadah..... ^^

p/s Sudi-sudikan berpantun, berpantun berpantun juga solat fardhu jangan lupa ya ^^

Kalam berpena....

UmmiAin

11 comments:

  1. Replies
    1. Selamat berpuasa untuk Nurfaezah, terimaksih datang singgah ke blog Kak Ummi :)

      Delete
  2. salam kasih ramadhan ummi = )

    Dalam Ramadhan pahala berganda
    Tingkatkan amalan fardhu dan sunat =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam KakNah sahabat yang Ummi sayang :)

      Bertanam pandan menghala sawah,
      Angkat senggalan tentukan penat;
      Dalam Ramadhan pahala berbuah,
      Tingkat amalan fardhu dan sunat.

      p/s Umi buat pembayangnya ya KakNah.. :)

      Delete
  3. Assalamualaikum Ummi

    Pergi ke paya mengail keli
    Berhati2 binatang buas
    Ramadhan datang setahun sekali,
    Pintu neraka ditutup, pintu syurga terbuka luas

    Teluk belanga bersamping pelikat
    Menanti takbir di Syawal sunyi
    Syaitan dan Iblis habis terikat
    Tapi nafsu diri syaitan tersembunyi

    ReplyDelete
  4. Wah Sy Tak Pandai Pntun..

    selamat berpuasa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jongkit pohon indah kemboja,
      Tua berbirat liat menghala;
      Sedikit pantun mudah sahaja,
      Dua kerat buat bermula

      Selamat berpuasa dan tq ya :)

      Delete
  5. Salam di tengah malam...

    Cari teman pasangan suapan,
    Juadah perisa menjadi hidangan,
    Rukun iman ketiga kewajipan,
    Ibadah puasa dibulan Ramadhan.

    Kenanga rendah dihujung dahan,
    Petik perlahan buat perhiasan,
    Semoga ibadah diterima tuhan,
    Buat bekalan dihari pembalasan...

    ReplyDelete
  6. Bulan ramadhan kita berpuasa,
    Menahan diri lapar dan dahaga.

    Bulan ramadhan untuk berjihad,
    Buat yang baik buang yang jahat.

    Bulan ramadhan bulan mulia,
    Bersama kita mengumpul pahala.

    ReplyDelete
  7. Salam Ummi..

    Bunga Tanjung banyak berkuntum
    Wanginya putih cantik murni
    Maklong datang dari Bunga Dan Pantun
    Pecahan dari Kerdipanrohani

    Bunga cina layunya petang
    Madu dihisap dek rama-rama
    Terluang masa jemputlah datang
    Pantun dan Bunga dijalin bersama

    http://pantunbunga.blogspot.com/

    ReplyDelete
  8. As Salam Ummi

    InshaAllah. Sama-sama mengawal diri daripada melakukan perkara yang sia-sia di bulan ramadan ini. Semoga Allah Redha.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^