Friday, July 12, 2013

Pantun Bertarawih...



Bergema azan menusuk renungan,
Bercahaya Jumaat penyeri pagi;
Irama tiupan bertepuk tangan,
Berjaya bersolat sehari lagi.

Alhamdulillah.....








"Rasulullah s.a.w. menyemarakkan ibadah pada malam hari bulan Ramadhan dengan tidak mewajbkan kepada umatnya. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah (s.w.t.) dan mengarapkan pahala daripada-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Imam Muslim)



Assalamu'alaikum......alhamdulillah sudah tiga hari kita berpuasa, kini Ummi kembali dengan doa semoga Jumaat dan semua hari menjadi hari yang terbaik buat kita semua dengan izin Allah SWT.....amin.....jom berpantun bersama Ummi...^^


Malam Ramadhan malam tarawih,
Mengatur 'ibadat mengabdi diri;
Salam tuan puan salam kekasih,
Syukur dan nikmat sehari lagi.

Bintang Marikh bintang kejauhan,
Dilihat kelam ditelan angkasa;
Datang TARAWIH datang Ramadhan,
Solat malam sebulan puasa.

Bulat tasbih siap digenggam,
Serban kepala sampai sehasta;
Fadhilat tarawih setiap malam,
Pengisian pahala perisai mata.

Ralat dan letih malasnya tidak,
Alhamdulillah tersenyum berzikir;
Bersolat tarawih selepasnya Isyak,
Ditunailah ia sebelum berwitir.

Dada bernafas lelah Pak Saad,
Berkuat badan menggapai Subuh;
Tiada terbatas jumlah rakaat,
Dibuat lapan sampai dua puluh.

Kelat sireh dibuat ubat,
Tenat dan penat disengat kelulut;
Solat tarawih solat yang sunat,
Sunat muaakad sangat dituntut.

Bergema azan dilaungkan aulia,
Ruang jejari dibasahi wudhuk;
Cuma kedapatan di bulan yang mulia,
Peluang diberi pasti tawadduk.

Tadarus Quran di dalam pekan,
Dibaca Pak Saad baru nak faham;
Khusus hidupkan malam Ramadhan,
Dilaksana dua rakaat satu salam.

Sireh dijamah bersulam pinang,
Kelat gambir sebutir dimakan;
Tarawih berjamaah dimalam tenang,
Bersolat witir diakhir kemudian.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)


Sampai musollah tiada muslimat,
Siap berazan Zohor dah masuk;
Andai tersalah pada maklumat,
Haraplah tuan tegur seteguk.

Neraca Allah menimbang semua,
Neraca ditunggu berat dan ringan;
Dibaca Bismillah bergalang doa,
Dibaca berlagu buat renungan.



Salam manis buat pembaca budiman, insyaAllah kita bertemu lagi...^^
Selamat menunaikan puasa hari-hari buat semua, jangan lupa bersolat tarawikh ya... ^^


Kalam berpena....

UmmiAin

20 comments:

  1. Selamat berpuasa dan berterawikh ummi... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih maria dear, selamat berpuasa buat Maria dan keluarga tersayang dan selamat bertarawikh juga ya.... ^^

      Delete
  2. Salam diremang senja...

    Cantik suasa berwarna putih,
    Hitam berjelaga disapu bersih,
    Siang berpuasa badan letih,
    Malam bertenaga sunat terawih...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam di ufuk pagi...

      Kasa putih bertekad indah,
      Putih bersisir rautan bonda;
      Berpuasa letih menongkat ibadah,
      Tarawikh dan witir sihatkan minda.

      Delete
  3. Salam rindu dipagi 4 ramadhan =)

    semoga ramadhan kali ini lebih baik dari tahun2 sebelumnya =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam rindu teramat manis dari Ummi buat Kaknah :)

      Pandan melintang berselang-selang,
      Bertaut petola akar pegaga;
      Ramadhan datang berulang-ulang,
      Berpaut pahala di pagar Syurga.

      Terimakasih Kaknah :)

      Delete
  4. Saya datang lagi...

    Hari selasa hujan lebat lalu basah,
    Bila teladan tidak diendah lalu padah,
    Hari biasa solat sunat pun susah,
    Bila Ramadhan 23 rakaat pun mudah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam diberi lewatnya malam,
      Datang lagi menyambung gurindam :)

      Setandan pisang dibuat juadah,
      Sakit berguling terimalah padah,
      Ramadhan datang kuatkan ibadah,
      Masa blogging terhadlah sudah...

      Delete
    2. Sulam labuci kasa dan sentung,
      Wassalam pagi Selasa yang mendung.. :)

      Tari salsa nada kecepatan,
      Ditatang badan takut meruang;
      Hari biasa tiada kesempatan,
      Datang Ramadhan merebut peluang.

      Delete
    3. Sejak pagi si angsa di situ,
      Masih menghala ada yang disudu;
      Bijak membahagi masa dan waktu,
      Lebih aula kepada yang fardhu.

      terimakasih BM :)

      Delete
  5. selamat menyambut Ramadhan kak! :)

    Merpati undan tepian pengkalan,
    Tempat pemuda pergi menjala,
    Hayati Ramadan dengan amalan,
    Melipat ganda cari pahala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di kala Mazda susuri Melaka,
      Saga dan Audi sampainya lusa;
      Pahala berganda dipagari Neraka,
      Syurga menjadi perisai dosa.

      Delete
  6. Merpati undan tepian pengkalan,
    Tempat pemuda pergi menjala,
    Hayati Ramadan dengan amalan,
    Melipat ganda cari pahala.

    Selamat menyambut bulan Ramadhan kak! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ramadhan buat Cikgu Fikri..:)

      Wahhh...cantiknya pantun tuu..kalah kak Ummu ni...

      Rastali setandan jatuh ke tanah,
      Disambut keluang timbun digali;
      Kembali Ramadhan
      seampuh sunnah,
      Rebut peluang setahun sekali.

      Terimakasih dan selamat menyambut bulan Ramadhan to adik akak.. :D

      Delete
  7. Salam ramadhan dan selamat menunaikan tarawikh
    :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. terimakasih sama-sama EL....semoga hari mu di bulan puasa mendapat baraqah dalam beribadah...amin.. :)

      Delete
  8. Pasang niat memasang hajat,
    Kuih wajik hidangan berbuka;
    Tarawikh sunat berebut dapat,
    Perkara wajib jangan dilupa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Letih penat penat mengangkat,
      Kuat mengusung menongkah Maghrib;
      Tarawikh sunat sunat muakkad,
      Buat menampung ibadah yang wajib.

      Terimakasih cikgu, selamat berpuasa.. :D

      Delete
  9. hai Ummi.. selamat berpuasa.. apa kbr? lama tak jenguk awak.. semoga sihat selalu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Donny, lamanya baru singgah blog Ummi, tq dear, i'm fine....harap Donny sihat juga ya... ^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^