Tuesday, July 16, 2013

Pantun Dalam Berpuasa...


Assalamu'alaikum.....


Sulam bertongkah kebaya Kelantan,
Bersulam kasa bersama baldu,
Baldu berwarna merahnya saga;
Salam baraqah cahaya Ramadhan,
Dalam berpuasa purnama merindu,
Merindu pesona indahnya Syurga.



Salam Ramadhan dalam cahaya yang masih berkelip, salam hormat buat pembaca@pemantun budiman semoga anda semua berpuasa dalam kesihatan yang cantik dan sentiasa meimmarah peluang dalam menggapai maghfirah Allah SWT.....amin.  Selagi masih ada hari-hari dalam bulan Ramadhan, terimalah pantun Ummi dengan tema DALAM BERPUASA pula ya....insyaAllah sama-sama kita membaca dan berpantun..



Berselam angsa mencari ikan,
Tempuh rakit jangan terjerat;
Dalam berpuasa diri tahankan,
Sembuh penyakit ringan dan berat.

Lenguh rasa lelah dan penat,
Telon dan param dipupuk juga;
Sungguh berpuasa adalah ibadat,
Rukun Islam duduk yang ketiga.

Rekah dahan belum dikerat,
Hidup kelulut mencari tempat;
Tahan makan minum dan maksiat,
Menutup mulut dari mengumpat.

Dosa banyak kerana dosa,
Dosa menipu maksiat dan noda;
Musuh pahala sudahlah tentu;
Puasa banyak makna berpuasa,
Puasa fardhu sunat dan qadha',
Sungguh yang aula adalah yang fardhu.

Solat Zohor tak pernah pergi,
Liat mengaji malasnya dia;
Sunat bersahur Sunnahnya Nabi,
Berniat di hati lafaznya doa..

Di tempat biasa menjala terubuk,
Ikan talapia menelan berudu;
Umat berpuasa rela dan tawadduk,
Bukan fantasia berbulan madu.

Menghala laluan pingitan desa,
Kelam Selasa biasa berlampu;
Mula pengisian pertaubatan dosa,
Dalam berpuasa perkasa yang fardhu.

Malam Selasa mengejar bebiri,
Terlepas bebiri tertinggal susu;
Dalam berpuasa mengajar diri,
Ikhlas memberi mengawal nafsu.

Keluar bercelana ke kota seberang,
Pagi bonda bertandang ke musollah;
Biar sederhana di mata orang,
Tinggi pada pandangan Allah.

Pandai menari tersenyumlah cantik,
Cantik disebut seorang puteri;
Seandai diri belumlah baik,
Baiklah direbut peluang diberi.

Asah parang di batu kelikir,
Seraya duduk mengambil rebung;
Susah orang tentu berfikir,
Percaya dan tawadduk sambil merenung.

Insaf hatta berubah sendiri,
Di dalam rasa sedia bersedekah,
Sedekah jariah semahu-mahu;
I'tikaf serta muhasabah diri,
Dalam berpuasa rahsia menongkah;
Rahsia Allah siapa yang tahu.

Kalau lebat papaya bidara,
Mengapa delima dikata merimbun;
Kalau dapat saya bersuara,
Jumpa bersama kita berpantun.

Di dalam rukun ada berpuasa,
Tersingkap Ramadhan di Subuh hari,
Sampai Maghrib perkasa solat;
Bersulam pantun bernada rasa,
Mengharap kemaafan sepuluh jari,
Seandai tersisip bahasa kelat.


Oleh kerana kita di dalam bulan mengimmarah diri bulan Ramadhan, maka pantun Ummi adalah kesinambungan pantun yang lalu.....harap sahabat sekelian suka membaca pantun Ummi yang tiada seberapa ini sambil merangkap pantun....Sampai di sini dahulu ya Ummi mengundurkan diri dengan harapan seandainya ada kesilapan bahasa maaf jua Ummi harapkan....sampai kembali lagi salam manis salam Ramadhan paling ikhlas semoga kita diberikan rahmat dan barakah dibulan yang mulia bulan 'ibadah..... ^^

p/s Sudi-sudikan berpantun, berpantun berpantun juga solat fardhu jangan lupa ya ^^

Kalam berpena....

UmmiAin

Friday, July 12, 2013

Pantun Bertarawih...



Bergema azan menusuk renungan,
Bercahaya Jumaat penyeri pagi;
Irama tiupan bertepuk tangan,
Berjaya bersolat sehari lagi.

Alhamdulillah.....








"Rasulullah s.a.w. menyemarakkan ibadah pada malam hari bulan Ramadhan dengan tidak mewajbkan kepada umatnya. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah (s.w.t.) dan mengarapkan pahala daripada-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Imam Muslim)



Assalamu'alaikum......alhamdulillah sudah tiga hari kita berpuasa, kini Ummi kembali dengan doa semoga Jumaat dan semua hari menjadi hari yang terbaik buat kita semua dengan izin Allah SWT.....amin.....jom berpantun bersama Ummi...^^


Malam Ramadhan malam tarawih,
Mengatur 'ibadat mengabdi diri;
Salam tuan puan salam kekasih,
Syukur dan nikmat sehari lagi.

Bintang Marikh bintang kejauhan,
Dilihat kelam ditelan angkasa;
Datang TARAWIH datang Ramadhan,
Solat malam sebulan puasa.

Bulat tasbih siap digenggam,
Serban kepala sampai sehasta;
Fadhilat tarawih setiap malam,
Pengisian pahala perisai mata.

Ralat dan letih malasnya tidak,
Alhamdulillah tersenyum berzikir;
Bersolat tarawih selepasnya Isyak,
Ditunailah ia sebelum berwitir.

Dada bernafas lelah Pak Saad,
Berkuat badan menggapai Subuh;
Tiada terbatas jumlah rakaat,
Dibuat lapan sampai dua puluh.

Kelat sireh dibuat ubat,
Tenat dan penat disengat kelulut;
Solat tarawih solat yang sunat,
Sunat muaakad sangat dituntut.

Bergema azan dilaungkan aulia,
Ruang jejari dibasahi wudhuk;
Cuma kedapatan di bulan yang mulia,
Peluang diberi pasti tawadduk.

Tadarus Quran di dalam pekan,
Dibaca Pak Saad baru nak faham;
Khusus hidupkan malam Ramadhan,
Dilaksana dua rakaat satu salam.

Sireh dijamah bersulam pinang,
Kelat gambir sebutir dimakan;
Tarawih berjamaah dimalam tenang,
Bersolat witir diakhir kemudian.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT. menganugerahkan kepada kamu solat yang lebih baik daripada bersedekah beberapa ekor unta yang sempurna dan baik iaitu Solat Witir.” (Hadis Riwayat al-Turmudzi dan al-Hakim r.a.)


Sampai musollah tiada muslimat,
Siap berazan Zohor dah masuk;
Andai tersalah pada maklumat,
Haraplah tuan tegur seteguk.

Neraca Allah menimbang semua,
Neraca ditunggu berat dan ringan;
Dibaca Bismillah bergalang doa,
Dibaca berlagu buat renungan.



Salam manis buat pembaca budiman, insyaAllah kita bertemu lagi...^^
Selamat menunaikan puasa hari-hari buat semua, jangan lupa bersolat tarawikh ya... ^^


Kalam berpena....

UmmiAin

Tuesday, July 9, 2013

Pantun Kelip-Kelip Cahaya Ramadhan....











Bersudip-sudip seraya dimakan,
Berulam mengkudu berhiris timun ;
KELIP_KELIP CAHAYA RAMADHAN,
Salam syahdu secebis pantun.


Assalamu'alaikum buat semua teman pembaca@pemantun dan sahabat-sahabat yang Ummi hormati....
Semoga semuanya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal buat menghadapi bulan puasa bulan Ramadhan yang yang akan tiba sekejap lagi......cahaya Ramadhan akan berkelip sebentar lagi, seiring kerlipan pantun Ummi....ya... ^^

Buat teman semua, hayatilah pantun Ummi...jom kita berpantun....

Berjalan si angsa jalan menyudu,
Ke paya berenang sudah se pagi;
Bulan puasa bulan dirindu,
Cahayanya datang menyimbah lagi.

Dahan bersilang berasap unggun,
Tikar dicucuh sudahlah hitam;
Ramadhan berulang setiap tahun,
Sinar penyuluh ibadah malam.

Runtun alam di ufuk mega,
Meredah masa menanti Maghrib;
Rukun Islam duduk ketiga,
Ibadah puasa mesti dan wajib .

Dititip badan terasa-rasa,
Bertanda se ela merekah sudah;
Berkelip Ramadhan bermula puasa,
Berganda pahala baraqah ibadah.

Terasa ditelan merah digigit,
Termakan asam diteran-teran;
Puasa sebulan mengimmarah masjid,
Hidupkan malam bertadarrus Quran.

Berasap lada dibelah-belah,
Beras dimasak pekat dan kembang;
Mengharap redha maghfirah Allah,
Keras telapak menongkat sembahyang.

Azan aulia sungguh terasa,
Melangkah menyisip indah bergema;
Ramadhan mulia meruntuh dosa,
Baraqah menitip ibadah maksima.

Tinggi mempalas terlebih pula,
Dahan sebatang naik di tepi;
Selagi nafas masih berhela,
Ramadhan yang datang baik hargai.

Selat berbuih bahtera berpasir,
Pak Mat meredah menghala lautan;
Solat tarawikh dan juga witir,
Nikmat ibadah pahala kedapatan.

Rimba sunyi seberang Pasai,
Sampai marhalah berkira-kira,
Laluan serumpun si orang Jawa;
Hamba ini terkurang pandai,
Andai salah bicara-bicara,
Ribuan ampun di sarang jiwa.

Dalam setahun cuma sekali,
Manakan setaraf bulan yang lain;
Salam berpantun lama kembali,
Mohonkan maaf kesilapan kelmarin.


Baiklah rakan-rakanku sekelian...sampai di sini dahulu Ummi merangkap pantun, disebabkan kesilapan teknikal, Ummi hampir terpadam komen dari seorang sahabat Ummi yang setia, rajin dan selalu datang menyampaikan pantun beliau yang indah-indah....walau pun ada kesilapan tertentu....Ummi amat berterimakasih kepada beliau kerana beliau merupakan salah seorang orang yang pertama datang berpantun di setiap kotak komen pada entri kali ini...sekalung terimakasih buat beliau....^^

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa buat semua rakan-rakan Ummi yang membaca pantun ini ya....mata pun dah kelat, tengah menonton solat Tarawikh 'live' dari Mekah Al Mukarramah di tv sambil menunggu waktu bersahur......Sampai jumpa lagi......insyaAllah....salam manis dan salam sayang dari Ummi... ^^



Kalam berpena...

UmmiAin

Saturday, July 6, 2013

Pantun Kilauan Terimakasih...


Bismilahirrahmaanirrahim.... ^^


Dimalam Selasa menjamah budu,
Malam gelap gerimis turun,
Turun membasah selebat-lebat,
Bersulam bahasa kalimah syahdu,
Salam diucap semanis pantun,
Pantun berkisah budi sahabat,

Musim bertanam sibunga selasih.
Selasih ditanam di hutan meranti;
Ku kirim salam terimakasih,
Terimakasih sedalam Lautan Mati.

Delima putih tanam di hutan,
Bertanam rapat berpinggir satu;
Terimakasih sedalam lautan,
Ilham sahabat terukir di batu.

Lemau bidara di batang retak,
Imbauan selasih mulus dan lebat;
Walau suara pandang tak nampak,
KILAUAN TERIMAKASIH  khusus buat sahabat.


Sekali lagi kita bertemu di gelanggang pantun...sedar atau tidak sudah seminggu lamanya Ummi tak berpantun, kini Ummi kembali dengan perasaan terharu dan teruja kerana membawa suatu tema yang bukan intan terpilih...tapi kini Ummi memberanikan diri untuk memilih pemantun yang paling rajin, yang paling mesra dan paling banyak berpantun serta pemantun terdahulu dan memeriahkan warni warni pantun di blog Ummi yang tidak seberapa ini.....pemantun yang selalu datang memberi semangat kepada Ummi untuk meneruskan konsep blog Ummi ini...berpantun tanpa jemu-jemu dan bosan, yang Ummi kira mereka-mereka ini adalah peminat pantun nombor one....walaupun tema pantun Ummi ini adakalanya susah dan terpaksa memerah otak dan masa.....memang Ummi tabik dan hormat kepada mereka kerana sudi melayan pantun-pantun Ummi...sempena kedatangan bulan baru dan cahaya Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi....

Jom kita berpantun mengenai mereka ini...sambil meng'click'kan nama-nama mereka ini ya...^^



Cikgu Teh Ramuan
Kalau galah mengapai pohon;
Pohon tumbuh disesah pahat;
Beliau adalah otai berpantun,
Pantun penuh kisah nasihat.

Embun berkilau jatuh di kekwa;
Embun berlima tempias di pasu;
Pantun beliau sungguh istimewa,
Pantun pertama menghias blogku.

Parang baru bertangkai hebat,
Dibelah rumbia sagu berkoyan ;
Seorang guru ramai sahabat,
Itulah dia Cikgu Teh Ramuan.


En Hafiz Mohd

Sekarang Ummi menyapa bayang,
Empunya diri membuka laluan;
Seorang suami dan bapa penyayang,
Punya isteri dan cahayamata perempuan.

Mencari limau mencari kuini,
Dimakan tidak busuk dah lama;
Entri beliau entri terkini,
Sukan bolasepak tajuk utama.

Nipis bertekad berwarna ungu,
Tekap diukur sekaki-sekaki;
En Hafiz Mohd warga Terengganu,
Menetap di Selangor mencari rezeki.


En Bin Mohammad
Barang besar mari dibawa,
Mungkin ke Jerlun menyusur Penanti;
Orang Banjar siisteri jawa,
Rajin berpantun menghibur hati.

Mencari limau di dahan lama,
Buluh berpaksi sampai ke paya;
Entri beliau menawan sukma,
Sungguh berinformasi pelbagai idea.

Berhemah sentiasa makin ku dekat,
Namunnya kerap aduh berbudi;
Peramah berbahasa En Bin Mohammad,
Pantunnya berangkap sungguh menjadi.


Kak Nah Backyard
Muara berselut berpaku cuaca,
Kering tanjung menangguk betutu;
Bicara lembut dapat ku baca,
Sering berkunjung menjenguk blogku.

Ibu yang ayu miliki cucu,
Rajin menyapa ke teratak saya;
Entri Melayu mengisi kalbu,
Ingin berjumpa tidak di maya.

Belum ku dekat bertemu tak pernah,
Seolah imbauan sahabat lamaku;
Senyum memikat tetamuku Kak Nah,
Wajah keibuan dekat sukmaku.



En Hanafi Abdullah

Sangka limau pauh di sarang,
Semerah anggor dipetik direndam;
Jejaka Melanau nun jauh seberang,
Hijrah ke Selangor mengelek azam.

Irama deli kalau dinyanyi,
Ada kenangan genap setahun;
Pertama kali beliau ke sini,
Menyapa dengan serangkap pantun.

Kain nipis berbungkus kasa,
Cuba dirautkan tepi sebelah;
Rajin menulis tak putus asa,
Hamba maksudkan En Hanafi Abdullah


PakNgah Al-Lavendari
Bijak mengolah pembayang dulu,
Bertemu isteri orang utara;
Sajak menyerlah sayangkan cucu,
Berilmu tinggi seorang pesara.

Santan kelapa jangan disimpan,
Ditengah hari lemang dibakar;
Sebutan bapa di kalangan rakan,
PakNgah Al-Lavendri memang popular.

Pertama menyapa mendapat ilmu,
Santun menjengah memberi pandangan;
Umpama bapa sahabat dan sifu,
Pantun PakNgah menjadi kenangan.


Ibu Amirul
Seorang ibu tiga cahaya,
Amat bersantun rajin mengolah;
Jarang bertemu hanya di maya,
Minat berpantun kelmarin di sekolah.

Selalu bermimpi mencari suara,
Sarang kenari di pangkal buloh;
Bertemu Ummi dari Utara,
Orang Nogori tinggal di Temerloh.

Lama menyapa tiada suara,
Tak tentu muncul sekali-sekali;
Nama serupa bukan saudara,
Ibu Amirul dan Ummi Kami



Manis peramah empunya badan,
Hatinya melekap sentiasa terbuka;
Bloggerwanis peramah punya perwatakan,
Entrinya baru setiap masa dan ketika.

Mencari bubu di laluan paya,
Menyuluh ular di rumpai banat;
Seorang isteri ibu dan graduan berjaya,
Sungguh popular ramai peminat.

Tembuni ditanam di tanah mangkal,
Terkena-kena tempat yang mampat;
Kini ku faham dan sudah kenal,
Mia Liana sahabat yang hebat.



En Hairul Hissam
Sepatu siapa di muka bangku,
Empunya barang diambil tidak;
Waktu menyapa ku sangka cikgu,
Rupanya seorang ahlil memasak.

Dalam tak tinggal semuanya kena,
Kemari muncul menyuntik pantun;
Bersulam artikel petua berguna,
Entri menonjol cantik tersusun.

Mula menonton video terbaru,
Muncul bermacam berbagai resepi;
Pakar memasak di Johor Bahru,
En Hairul Hissam sampai di sini.



Cik Suri
Jemu menyanyi si Arip bermain ,
Mencari galah memetik rambutan;
Ummu'Ainni mirip Ummi 'Ain,
Suri adalah secantik sebutan.

Silau muslimah bertudung labuh,
Kain kerudung dibuat tempahan;
Beliau peramah tak sombong tak angkuh,
Rajin mengunjung melawat rakan .

Seputih ukhuwah berampai kenangan,
Bangga memberi sungguh bergaya;
Taukeh sebuah kedai kraftangan,
Semoga Cik Suri menempuh jaya.


Terimakasih duhai sahabat-sahabat pemantun sekelian yang sudi  datang berpantun di teratak Ummi yang tak seberapa ini....pantun anda akan Ummi simpan di dalam buku hati.....

Sebenarnya ramai lagi yang datang ke sini dan Ummi tak sempat merangkapkan pantun-pantun buat anda....
Harap sudi maafkan ya....insyaAllah di lain masa dan suatu ketika....pantun buat anda akan menjelma...


Selisih muara angsa berenang,
Berebut-rebut pauh terapung;
Semayang lebat delima manggis,
Tatkala lampu berangkai pelita;
Kasih saudara di masa senang,
 Disebut-sebut jauh di kampung,
Sayang sahabat sama menangis.
Rela menyapu si airmata.

Hangat pengat selera menambat,
Segar buah di pasar tambun;
Ingat-mengingat antara sahabat,
Agar ukhuwah sesegar embun.

Lama masih di tepi bendang,
Mencari seekor kelicap lencun;
Terimakasih sudi bertandang,
Mari berhibur merangkap pantun.

Patah cangkul patahkan bajak,
Parang disemat parang berlipat;
Sambung papan martun diberi,
Entah betul entahkan tidak,
Terkurang maklumat dan kurang tepat,
Sekalung kemaafan bersusun jari,


Terimakasih duhai sahabat-sahabat pemantun sekelian yang sudi  datang berpantun di teratak Ummi yang tak seberapa ini....pantun anda akan Ummi simpan di dalam buku hati.....

Sebenarnya ramai lagi yang datang ke sini dan kepada rakan-rakan yang berpantun di sini Ummi tak sempat merangkapkan pantun-pantun buat anda, harap sudi maafkan Ummi ya....insyaAllah di lain masa dan suatu ketika....pantun buat anda akan menjelma...^^,



p/s Puas Ummi memerah otak dan mencari info untuk mengolah pantun-pantun di atas, harap maafkan Ummi ya seandainya tidak tepat atau kurang informasi....yang penting, jangan lupa berpantun.....^^,



Kalam berpena...

UmmiAin