Saturday, June 22, 2013

Pantun Patut Ke Tak Patut..



Malam berjurai titisan embun;
Bersalut kelopak kuntum berlima;
Salam setangkai hiasan pantun,
Patut Ke tidak serangkum tema.

Pungguk merindu menangis belum,
Cahaya indah purnama kejora,
Kejora kelam putaran Saturn;
Seteguk rindu secebis senyum,
Supaya meriah sama bersuara,
Suara disulam lembaran pantun.

Assalamu'alaikummm....dah makan ke belum, sekali lagi dalam merempuh hari yang panjang berulang-berulang, dengan sepohon doa agar semua sentiasa senyum dan ceria, bagi yang selalu datang ke blog Ummi untuk berpantun, terimakasih yang tiada terhingga....

Ummi kembali menemui sahabat-sahabat sekelian bersama tajuk atau tema yang baru iaitu 
Patut Ke Tidak, dalam sebuah kehidupan kita yang akan sampai ke penghujung sudah tentunya, bermacam-macam perkara yang harus difikirkan, samada baik ataupun sebaliknya....Ummi rungkaikan dalam bentuk pantun dengan cara dan olahan Ummi sendiri...ilham sendiri yang datang spontan, susah oo....haha

Cian saya....tak patut betul....

Tak patut tau ambil gambar saya macam ni....hehe

Tak patutla paksa saya....grrr

Patut dak saya posing lagu ni.... :D

Patutkah saya...memang tak patut sungguh....

Memang tak patut......isk..

Baiklah, jom kita berpantun.....ya.. :D


Kelapa bantut di titi pinang,
Di mana titi pangkal ditanya;
Mengapa patut bakti dikenang,
Kerana bakti mahal harganya.

Kerang dan kerabu bergaullah petai,
Herba jintannya penyeri kari;
Seorang ibu patutkah dibelai,
Cuba ditanya ke diri sendiri.

Tumbuh sekentut direjam-rejam,
Cendawan dibawa nyonya seberang;
Sungguh tak patut bersifat kejam,
Haiwan bernyawa sepertinya orang.

Malam bertirai dibayang senja,
Cerah sebu berguruh-guruhan;
Dalam dibelai disayang dimanja,
Patutkah ibu disuruh-suruhan.

Lutut retak sapuan diurut,
Sapuan dingin sibunga cemara;
Patut ke tidak kawan diturut,
Kawan seangin hanya sementara.

Kalam membawa selekar pulut,
Pulut berinti sekepal durian;
Dalau ketawa biar berpatut,
Takut nanti bebal kemudian.

Lemang pulut dibakar sendeng,
Buluh dijaga dipusing selalu;
Memang patut sandar sedinding,
Sungguh keluarga saling memerlu.

Berpinar mata cik abang merungut,
Pinang sekendi nampak dah habis;
Benar kata sememamg patut,
Mengenang budi tidak secebis.

Kecut cempedak lebat si asam,
Buah mangga terlebih biji;
Patutkah tidak Jebat ditikam,
Si Tuah juga beroleh puji.

Takutkah pulak si arus jeram,
Lekat kemudi lalu bersilang;
Patutkah tidak ku terus berilham,
Minat menjadi batu penghalang.

Kalau merpati bersarang angsa,
Sayap merbah mula tumbuhnya;
Kalau inti kurang perasa,
Harap ditambah pula bancuhnya....ya ^^


Sekalung ucapan terimakasih dari Ummi buat sahabat-sahabat yang setia berpantun di blog Ummi, cukup sampai di sini dulu kita bertemu ya, insyaAllah di lain lembaran dengan entri baru kita pasti berpantun lagi....
Salam manis secawan teh dan sesudu serbat selasih buat anda semua.......^^


Kalam berpena....

UmmiAin

15 comments:

  1. Kalau sudah membeli raga,
    Jangan pula di buang-buang;
    Memang sudah lumrah dunia,
    Patut di kita, tidak di orang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Merah rumia madu secamca,
      Sebut dicari dibungkus kain;
      Lumrah dunia dahulu dibaca,
      Patut sendiri yang harus dicermin.

      Terimakasih Pakngah datang ke blog Ummi sambil berpantun ya... =D

      Delete
  2. Mengapa umbut dicicah budu,
    Elok dimakan dengan sambal;
    Memang patut nasib begitu,
    Kerja segan misai je tebal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bermula senja kelam berhujan,
      Kabutlah hutan melagu kisah;
      Bila kerja malam dan segan,
      Patutlah badan selalu resah.

      Terimakasih cikgu.. :)

      Delete
  3. alaa. kite tak pandai nak pantun2 nie. hihi. btw,comel sgt aksi2 kucing tu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Annyss, walau tak pandai berpantun namun kedatanganmu ke blog Kak Ummi amat dialu-alukan...kucing adalah pujaan hatiku...=D

      Delete
  4. Senyum manis dihujung bibir,
    air mata mula berkaca,
    patutkah kita menyalah takdir,
    tersungkur bak dari secalit usaha,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pak Kadir membelah durian sebelah,
      Ternyata kecut dijamah kenari;
      Takdir adalah ujian Allah,
      Kita patut istiqomah diri.

      Delete
  5. Salam manis dilewat malam...

    Taruhan berdebu andai kalah,
    Badan tergamam hendak rebah,
    Patutkah jerebu menjadi salah,
    Sebulan demam tidak kebah?

    Esok saya mai lagi ye...boleh?

    ReplyDelete
  6. Wassalam sahabat Ummi yang setia berkunjung.. :D

    Asah bilah di waktu petang,
    Mengaut buah bijian sebelah,
    Usah disalah jerebu yang datang,
    Patut muhasabah ujian Allah.

    Kedatanganmu selalu ku nanti...

    ReplyDelete
  7. Salam teraba2 di sebalik jerebu...:)

    Budak untut berjalan kaki,
    Mencari belas juga simpati,
    Tidak patut menolak rezeki,
    Diberi ikhlas sepenuh hati...

    Sudah kentut diam menyepi,
    Muka culas terbayang trauma,
    Adakah patut dibalas kopi,
    Jika segelas teh yang diterima?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam, jerebu dah kurang akibat hujan buatan sebenih awan.. :)

      kaki tangga berpaku satu,
      Salah ukur kalau terjongkit;
      Rezeki hamba Dia menentu,
      Patutlah bersyukur walau sedikit.

      Tepi putih kelima meja,
      Dirautlah belum sebelah ditanda;
      Kopi dan teh kan sama saja,
      Patutlah diminum janganlah mengada.... hehe..

      Pantun BM selalu menghiburkan, buat Ummi tersenyum sorang-sorang...:D, terimakasih Bin.

      Delete
  8. Berkunjung lagi :)

    Makan bersama diam menyepi,
    Sirap merah menjadi minumannya,
    Manakan sama teh dan kopi,
    Gelap dan cerah banyak bezanya...hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan sahabat Ummi.. :D

      Berpipi putih berminyak mukanya,
      Konon disapu bahan bersusuk;
      Kopi dan teh beza warnanya,
      Namun mampu menahan mengantuk....yeke

      Delete
  9. carl singggah di blog kak ummi :) hehe suka suka :)

    *buah cempedak di luar pagar .
    ambil galah tolong jolokkan ,
    saya budak baru belajar .
    kalau salah tolong tunjukkan .

    hehe :)

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^