Tuesday, June 18, 2013

Pantun Memori Kasih Ayah...


Malam kenangan anikaragam,
Malam berlagu ada berdoa;
Di dalam tangan ku buka genggam,
Salam merindu kepada semua.

Tepi perahu mencekau berudu,
Berudu melantun melata-lata;
Hati dah tahu dikau merindu,
Rindu berpantun jauh di mata.

Parutlah kelapa madu tualang,
Keropok dijamu ada perasa;
Disebutlah apa rindu berulang,
Untuk bertemu tiada terasa.



Inilah jiwaku...arwah Ayahanda yang sentiasa ku rindu.....



Assalamu'alaikum duhai sahabat yang Ummi hormati....pasti ada yang tengah merindui untuk berpantun-pantun dan seterusnya menanti apakah entri Ummi seterusnya...Sepohon kemaafan dari Ummi kerana banyak perkara yang Ummi harus selesaikan...maklumlah ye, suri rumah tangga sepenuh masa, komitmen terhadap keluarga dan tugas serta tanggungjawab terhadap ibu nan seorang di kampung...kini...ya, daku sudah kembali....diharap rakan-rakan pemantun tidak melupai akan janji.....dan Ummi berdoa semoga semuanya sentiasa di dalam kasih sayang Allah SWT....amin...

Sebelum Ummi meneruskan lagi, marilah kita siramkan sepohon doa dan Al Fatihah buat Arwah Ayahanda Ummi, Haji Baharom bin Haji Mad Hassan dan semua ayah-ayah yang telah tiada, semoga roh beliau dan mereka-mereka sentiasa dirahmati dan diberkati serta digolongkan bersama para Mukminin.....amin.....Yaa Rabbal'Alamin... Terimakasih.

Jom kita berpantun mengenai tema ayah, bapa, abah, abi, walid dan sebagainya......inilah individu yang paling kita sanjungi dan hurmati serta sayangi.......

Kelapa dan ubi sudah bercambah,
Bidara delima berdahan besar;
Papa, abi, ayah dan abah,
Semesra nama belahan kembar.

Burung merpati terbang tilayah,
Hinggap gumbira di pohon sena;
Murung di hati terkenang Ayah,
Mengadap pusara ku mohon doa.

Sayang merbah terbiar mati,
Berbulu basah lurut menitis;
Terbayang Abah segar di hati,
Rindu Ayah bersalut tangis.

Dahan mencupu retak di hujung,
Batang terkopak layu membawa;
Beban di bahu hendak di junjung,
Memandang anak selalu ketawa.

Selasih goyah kerana angin,
Di pagar duri mencari peria;
Kasih Ayah pesona lilin,
Membakar diri memberi cahaya.

Isteri berjubah sungguh bergaya,
Putih kuning menggenggam daun;
Memori Ayah penyuluh cahaya,
Kasih meranting bertahun-tahun.

Dada bersirat mulai bernyawa,
Takkan sempat tenggiri mati;
Ayahanda ibarat pelerai jiwa,
Manakan dapat dicari ganti.

Tumbuhlah liar petai di muara,
Masih adakah sebeban pegaga;
Sungguhlah benar pandai bicara,
Kasih Ayah berkorban tenaga.

Pagi cerah berbaju ketat,
Senyum berhias puteri seroja;
Pergi Ayah terlalu cepat,
Belum puas diri bermanja.

Tumbuh peria sama berpayah,
Jerih menunggu harinya terang;
Sungguh dia bernama Ayah,
Kasih beribu dirinya seorang.

Mempelas mati patah berasap,
Beringin menyukat bumi di paya;
Ikhlas dihati Ayah mengharap,
Ingin melihat kami berjaya.

Kelam pekat cuaca berangin,
Langkah lentuk payah digoyang;
Malam Jumaat membaca Yassin,
Sedekah untuk Ayah tersayang.

Jari terluka dibiar sakitan,
Tertujah darah bisa dicakar;
Memori terbuka sesegar ingatan,
Wajah Ayah sentiasa berlegar.

Hujan basah lebat mencurah,
Melodi titisan irama air;
Pesan Ayah terpahat merah,
Menjadi insan nama terukir.

Tersangat manis serlah Mak Gayah,
Memakai kebaya sungguh melawa;
Keringat setitis lelahnya Ayah,
Membelai saya sepenuh jiwa.

Kedut sutera benang bersilau,
Kasa sehelai mari dilipat;
Lembut bicara senang bergurau,
Sentiasa membelai memberi nasihat.

Sirih bertanda sudah diserta,
Lepat dibancuh hendak diniaga;
Kasih ayahanda bernoktah tiada,
Tempat berteduh tonggak keluarga.

Hampas kelodak dikaut bersih,
Kelapa payah di belah rata;
Nafas si anak bertaut benih,
Tanpa Ayah tiadalah kita.

Sepatu besar dara Mak Gayah,
Bersanggul dua tinggi di kepala;
Rindu benar bicara ayah,
Ku simpul doa selagi berhela.

Bisakah lama keli melekat,
Paku berkarat di kolam mati;
Ayah umpama wali keramat,
Kasih bertumpah di dalam hati.

Sudah bersolat diri dijaga,
Harum merafak mekar si sufi;
Ayah ibarat kasturi syurga,
Harum semerbak sukar dinafi.

Tumbuh di pinggir paya berpasir,
Butiran menimbun berkelodak batu;
Bahan mendap muatan banyak;
Berenang si angsa mencari ikan;
Disuruh ukir saya mengukir,
Ukiran pantun tidak ku tentu,
Entahkan sesedap santan berlemak,
Terkurang perasa sudi maafkan.

Ketuk bata martun bergigi,
Takkan cuba memberi paku;
Esok kita berpantun lagi,
Nantikan hamba dientri baru.

Cukuplah sampai di sini duhai teman-teman, seandainya pantun Ummi tiada sesedap bahasa, ku pohonkan sejuta kemaafan...salam sayang sedikit-sedikit, lama-lama nanti jadi bukit.....ye tak.... sampai jumpa lagi ya...


Cenderawasih turun membilang,
Turun rendah tepi jambangan;
Terimakasih pantun berulang,
Pantun terindah jadi kenangan.



 Selamat Hari Bapa kepada bapa-bapa sekelian semoga terus menjadi bapa yang mithali dan penyayang.....aminnn :D



Kalam berpena...

UmmiAin

25 comments:

  1. kain pelikat biru warnanya
    dipakai dengan teluk belanga
    kasih ayah tiada tandingnya
    memimpin jalan hingga ke syurga

    berhenti rehat di genting sempah
    makan nasi dengan air tahu
    air mata ayah tiada tertumpah
    tapi hatinye menangis tiada yang tahu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selasih ditadah belum berderai,
      Rampai timun belahan dua;
      Kasih ayah harum setangkai,
      Bagai sepohon teduhan jiwa.

      Cantik ditempah hiasan baju,
      Bersulam melati berbunga kaca;
      Setitik tumpah tangisan darimu,
      Di dalam hati tiada yang baca.

      Delete
  2. hehe suka baca pantun tapi tak reti nak berpantun

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you Siti.....pantun aje...mesti cantik.... :)

      Delete
  3. nie kali ketiga ke artikel kak ummi nie.. tapi susah betul nak dapat idea berpantun.. hu.hu..

    Ibu dan Bapa permulaan kita..
    memandu kita hingga dewasa...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Artikel kak Ummi yang satu ini adalah kesinambungan dan tokok tambah dari entri kak Ummi yang terdahulu masa mula-mula kak Ummi berblog dulu....

      Tangguh sepah gelama di bubu,
      Tilan beluga ada di jala;
      Sungguh ayah bersama ibu,
      Jalan ke syurga redha pahala.

      Delete
    2. Teringat arwah ayah maka pantun ku karang dan tokok tambah.... :)

      Delete
  4. Salam semanis madu... :)

    Dalam guni penuh lada,
    Buat kerabu sangat teruja,
    Ayah kini sudah tiada,
    Hanya ibu tempat bermanja.

    Susah payah hendak melihat,
    Sudah jumpa terasa terubat,
    Kasih ayah tidak terlihat,
    Sudah tiada rindu menghambat.

    Sudah tua mahu aiskrim,
    Terkena saman sedih teramat,
    Hanya doa mampu kukirim,
    Semoga aman dicucuri rahmat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam sahabat Ummi :)

      Buah kuini si buah lada,
      Bunga pula selisih setawar;
      Ayah kini sudah tiada,
      Hanya doa seputih mawar.

      Masih goyah pauh seludang,
      Perdu tua bertemu gua;
      Kasih ayah jauh di pandang,
      Rindu dan doa buatmu jua.

      Berdua siangsa berendam-rendaman,
      Melekat basah di celah perigi;
      Doa sentiasa dalam genggaman,
      Buat ayah yang telah pergi....

      Delete
  5. Indah betul pantun2 ni...terima kasih kak ummi utk pantun2 seindah ini

    tak mampu utk berpantun sbb rindukan arwah abah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih Hafiz kerana selalu memuji pantun kak Ummi yang tak seberapa ini...

      Begitu jualah rindu Kak Ummi pada arwah ayahanda....sama-sama kita panjatkan doa buat mereka ya...

      Delete
  6. al-fatihah..


    tertarik dengan pantun-pantun kat sini. sangat indah dan berpuitis..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih kepada Fyna....kerana pujian ke atas pantun kak Ummi yang tak seberapa ini.... :)

      Delete

  7. timba perigi tidak bertali,
    isi tempayan di waktu senja;
    yang sudah pergi tidak kembali,
    semoga aman ayahanda di sana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berasap setanggi tidakkan sekali,
      Berderai dua dupa merekah;
      Setiap yang pergi takkan kembali,
      Serangkai doa tak lupa buat ayah.

      Terimakasih Pak Ngah Lavendari.. =)

      Delete
    2. umi join k-pap atas nama apa ya ?

      Delete
    3. Ummi 'Ain....ok Pkngah... ;)

      Delete
  8. rindu pantun datang sini.sis sihat?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah sihat...Suri sihat juga ye....

      Kalau merdu siburung kenari,
      Kenari buta malas nak turun;
      Kalau rindu berkunjung kemari,
      Mari kita berbalas pantun.

      Delete
  9. Replies
    1. Terimakasih Boni sudi datang singgah di blog Ummi...:)

      Delete
  10. Salam rindu salam sayang =)

    Al-Fatihah buat semua ayah2 yang telah dijemput Ilahi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam kakNahku sayang...

      Terimakasih dan sama-samalah kita bersedekah AlFaatehah buat semua ayah-ayah yg telah pergi mengadap Ilahi...

      Delete
  11. mari bersedekah alfatihah ingat ayah awak bulan lalu yang telah pergi ke alam berbeda. semoga abi kita dalam keadaan tenang dan bahagia di alam sana. salam kenal from indonesia

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^