Wednesday, June 5, 2013

Pantun Berkorban Apa Saja....



Berkorban susu ibu.....biar pun lesu

Korban sembelihan....

Berkorban jiwa raga untuk ibu pertiwi...


Hendak menonton mari bersimpuh,
Tapi bukan di tikar mengkuang;
Hendak pantun ku beri sepuluh,
Demi rakan ku hampar di ruang.


Assalamu'alaikum buat sahabat sekelian dan para pemantun yang selalu menjadi belahan jiwa Ummi....
Jom kita berpantun sambil mendengar lagu-lagu nostalgia bang Ramlee...yang menusuk jiwa... =D


Buah mangga tangkai bertompok,
Mempelam jua diberi dahulu;
Ukhwah dijaga dibelai dipupuk,
Salam ku sua di hari Rabu.

Tutup reban mengapa di senja,
Ayam selasih hampirnya mati;
Sanggup BERKORBAN APA SAJA,
Bertanam kasih di pinggir hati.

Dahan selasih dahan kepayang,
Mengapa menghala ke titi buluh;
Berkorban kasih berkorban sayang,
Mengapa rela hati bersungguh.

Rapuh onak berdarah juga,
Dahan menyula goyah semambu;
Sepuluh anak pasrah dijaga,
Inikan pula ayah dan ibu.

Kereta Hyundai terjongkit-jongkit,
Menggegar hari bawa berlalu;
Harta seandai timbunan bukit,
Biarlah diberi pada memerlu.

Beban dibawa pelepahnya kelapa,
Beban terasa semakin berat;
Berkorban nyawa taruhannya apa,
Berkorban masa berpangkin hasrat.

Mempelai berdua berhias-hiasan,
Berserban biasa berhias melati;
Sebagai manusia berbelas ihsan,
Berkorban jasa ikhlas berbakti.

Sampan dihala mengapa ke senja,
Selisih titi terlekat rumbia;
Berkorban rela apa sahaja,
Kasih sejati amat mulia.

Makan lada bijian selasih,
Selasih dikira seribu seribu;
Itukan petanda ujian kasih,
Kasih mesra saudara sekuku.

Turban si dara merah dan kuning,
Purnama seri delima jambangan;
Berkorban saudara darah sedaging,
Umpama jari berlima di tangan.

Pagar papan ara sepemeluk,
Pangkal pasak kedidi dan angsa;
Biar berkorban perkara yang elok,
Asal tidak menjadi mangsa.

Kalau berlada siikan memparang,
Basah alu disimbah perapnya;
Kalau ada terkurang-kurang,
Usah malu ditambah rangkapnya.

Andai haruan dibalun jerung,
Siakap dipantul berarus tilannya;
Andai laluan pantun ku serong,
Harap perbetul lurus jalannya.

Markisa lembek di dahan tumbang,
Dipagut hamis gagak yang turun;
Bahasa berlapik belahan kiambang,
Disebut manis segak bersantun.


Larut malam sudah menjelang....jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi....terasa mata Ummi seperti di ombak mimpi....menunggu suami belum pulang lagi.......


Naiklah mayang naiklah dahan,
Kendur timba tali perigi,
Jari menggosok pedih di dada;
Baiklah sayang baiklah rakan,
Berundur hamba sekali pergi,
Hari esok masihkan ada....insyaAllah...




Kalam berpena....

UmmiAin

32 comments:

  1. Anak muda memasang bubu
    Pergi memasang berbekal tebu
    Salam bersambut dipagi rabu
    Berbalas pantun meruntun kalbu

    Mudik perahu ke pulau jawa
    Untuk bertemu buah hatinya
    Berkorban harta berkorban nyawa
    Ke jalan akhirat apa salahnya

    Ikan keli si ikan sengat
    Semua terjerat di dalam jala
    Anak remaja harus beringat
    Jangan kerana cinta korban segala

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kolam berlumut bercampur rumpai,
      Jangan berendam sekerat-sekerat;
      Salam disambut gugur berhelai,
      Tangan ku genggam seerat-erat.

      Menyusun bata menyusun lawa;
      Papan sehala selumbar bersembat;
      Biar pun harta ataupun nyawa,
      Berkorban pula biar bertempat.

      Pahat bijana terketuk meja,
      Tangan bentan mata dah lesu;
      Nasihat berguna untuk remaja,
      Jangan terkorban cinta palsu.

      Delete
  2. Salam Ummi...Nampaknya Ilham sudah menjelma :)
    Berkorban masa dan tenaga ye...

    Makan pasta tiada pelawa,
    Tinggal sisa dibuang segera,
    Korban harta mahupun nyawa,
    Demi bangsa, agama dan negara...

    Bukan seluang rupanya patin,
    Tangkap haruan mahunya gelama,
    Jika berpeluang pergi ke palestin,
    Sanggup berkorban demi agama...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam sahabat yang Ummi nanti,
      Berkorban masa semata kerana minat dan suka...

      Papanlah Jawa papan berharga,
      Membina daik melepas muatan;
      Berkorbanlah jiwa berkorban raga,
      Kerana yang baik dibalas kebaikan.

      Cindai suami bersegi satin,
      Basahan dibawa menutup ampai;
      Seandai Ummi pergi Palestin,
      Taruhan nyawa sanggup bergadai...

      Terimakasih secangkir madu... :)

      Delete
  3. Sayur nangka sayur petola,
    Buat hidangan majlis besar;
    Berkorban harta serta nyawa,
    Biar berkorban di jalan benar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau permata ditonton lawa,
      Biar disimpan bagus dan halus;
      Walau harta sekalipun nyawa,
      Biar berkorban telus dan tulus.

      Terimakasih cikgu... =D

      Delete
  4. Petang petang masuk gelanggang
    menghulur salam meninjau laman =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berdatang-datang busuk pianggang,
      Tanam pulut padinya madu;
      Petang-petang masuk gelanggang,
      Salam bersambut pasti merindu. :)

      Delete
  5. mencari rezeki sebagai penjaja,
    jual barang buah pala;
    berkorbanlah apa sahaja,
    demi agama Allah Taala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Serban berlingkar di kepala Pak Tua,
      Berbasikal lagi ke jalan huma;
      Berkorban biar apa pun jua,
      Asal tinggi landasan agama.

      Delete
  6. hati lara kemana dibawa
    kerana jiwa dilingkar rintih
    betapa nasib menjadi malang
    berkorban harta dan nyawa
    Usah tersalah caturan kasih
    demi kasih saudara dibuang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cantiknya pantun Sang bayu kenangan...


      Kepala berserban ternyata lawa,
      Galas bersama Quran berlembar,
      Selisih pusara bangga madrasah,
      Berkat menyebut bertasbih jari;
      Rela berkorban harta dan nyawa,
      Berlandas agama di jalan benar,
      Kasih saudara keluarga dikisah,
      Berikat jerut masih di hati.

      Delete
  7. Assalamualaikum ummi.

    Bagi anak muda. Bila pasangan apa sahaja tidak mengapa. Asalkan dapat bersama. Untuk keluarga? Abang dan kakak kan ada. Saya tak boleh itu dan ini. Lumrah kehidupan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Prof Hariz..

      Setinggi delima juga cemara,
      Dahan menyula menutup rimbun;
      Selagi bernama keluarga dan saudara,
      Berkorban rela sanggup apapun.

      Delete
  8. errr... fyna tak reti berpantun. takpe ke?
    fyna tertarik dengan blog ini. kaya dengan pantun. sangat bermanfaat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak apa fyna, sudi datang komen di blog kak Ummi sudah mencukupi, dan Kak Ummi sangat gembira....terimakasih dear fyna.. :)

      Delete
  9. Berkorban apa sahaja,
    harta atau pun nyawa,
    Utk yg tersayang semua,
    demi maruah dan keluarga..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Datang Sya'ban berpuasa sunat,
      Puasa berkat membawa pahala;
      Tentang berkorban rasanya berat,
      Dimasa bertempat nyawa segala.

      Delete
  10. Sedihnya apabila lihat ada yang sanggup berkorban untuk orang lain tapi tidak untuk ibu dan ayah.
    Ps: Maaf ye Ummi tak berkesempatan mengarang pantun.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang benar seperti kata Salmi...ramai yang mengabaikan orang tersayang tapi melebihkan orang lain...apapun, terimaksih Ummi ucapkan pada Salmi kerana sudi datang singgah...Ummi gembira sangat..:)

      Delete
  11. Salam rindu membawa kesini =)

    Cicah puyuh kelisa dijaja
    Papan jati indahkan perabut
    Usah digaduh biasa sahaja
    Berkorban cuti bolehkan sebut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam merindu jua buat KakNah dari Ummi... :D

      Suluh kelapa mencari peti,
      Di reban angsa di tepi tangga;
      Digaduh apa hari bercuti,
      Korban masa demi keluarga.

      Tq kak Nah dear...

      Delete
  12. Assalamu'alaikum, ummi kami. Ini salam mohon izin singgah, setelah ditemui rumah. Belum mampu mereaksi paparan.

    Teman sematkan si raga emas,
    Dikata berlaba hasil jualan,
    Taburlah rampai di laman kami;
    Zaman meninggalkan si warga emas,
    Teraba-raba mencari jalan,
    Syukurlah sampai di laman ummi.

    Sambil itu Pak Temuk ingin menyebut, Pak Temuk jangka amat ummi sedari, dalam membeli pantun ummi di laman Pak Temuk sendiri, ada juga pembayang pantun jualan ummi yang Pak Temuk ulang-pinjam atau ubahsuai. Mohon izin, ya. Tapi pasti hanya untuk komunikasi langsung kita sahaja, sebagai penjual-pembeli, di situ. Pastilah bukan untuk kegunaan di laman lain. Ikhlas Pak Temuk akui pembayang tertentu yang anggun, sukar ditukar ganti, malah wajar diulang bagi pantun yang sifatnya agak berupa pantun berkait. Apatah lagi dalam komunikasi langsung di mana masing-masing yang terlibat amat menyedari ulang-pinjamannya. Terima kasih jualah dari Pak Temuk.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Pak Temuk yang Ummi hurmati...memang ditunggu memang dinanti.. :D

      Raga beralas raganya sagi,
      Berisi makan ditaruh jambu;
      Pelam berbelah delima putih;
      Warga emas harganya tinggi,
      Mencari jalan menyuluh ilmu,
      Alhamdulillah terimakasih.

      Alhamdulillah sampai jua Pak Temuk ke teratak Ummi yang tak sepertinya ini....ilmu orang lama sememangnya menjadi penyuluh buat orang baru seperti Ummi, terimakasih tak terhingga buat Pak Temuk, semoga sentiasa dilimpahi kasih sayang Allah swt....amin.. =)

      Delete
  13. uish x terdaya saya nak melawan pantun yg sangat panjang ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha, Wan cubalah buat pantun walaupun serangkap... :)

      Delete
  14. As salam kak ummi

    Bestnye, pantun berkorban dan lagu Berkorban apa saja...mmg kena sangat2 =)

    Berkorban apa saja
    Tanda kita setia
    Pada yang ESA
    Kita korban segala

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam...Hafiz.. :)

      Korban tanda kasih mesra,
      Itulah yang diredhai olehNYA...

      Delete
  15. yg wajib, kita perlu buat. tapi utk yg tak perlu, jangan memandai bekorban, kang diri sendiri yg merana :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu EL.....Kak Ummi sokong... :)

      Delete
  16. Salam Ummi...tumpang berpantun :)

    Paras indah berjalan santun,
    Dicelah kerikil bersinar nilam
    Lama sudah tidak berpantun,
    Berkarat skill bersama ilham...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam sahabat Ummi, :)

      Di mana purnama hendak ku tonton,
      Menanti syahdu kepada kejora;
      Kerana lama tidak ku pantun ,
      Hati merindu tiada terkira.

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^