Friday, May 3, 2013

Pantun Yang Lama Dan Yang Baru....





Malam gerimis syahdu cuaca,
Gema sang puru menghubung awan;
Ilham bertitis madu secamca,
LAMA DAN BARU terkandung pesan.

Kalau sauh hendak berlabuh,
Beralun pantai menutup seberang;
Walau jauh tidak bersuluh,
Pantun berangkai sanggup ku karang.

Salam manis dari Ummi, pantun diberi untuk menghibur hati....Ummi kembali setelah berhari, kerana masa dan kesibukan diri, puas sudah memikirkan entri..., yang terbaru dan terkini.  Maafkan la sebab Ummi sibuk benar dalam beberapa hari ini...atas urusan famili...tak dapat nak 'update'kan entri, namun Ummi berlari-lari jari demi pantun yang sudah sebati.....Ummi bicara bahasa pantun, pantun berseni kurang seri, bukan senang mengarang pantun, kalau tidak berair lagu, tak kerana minat, kena dengan nada dan rima, dibaca pun sedap indah ditatap, ini adalah cara Ummi meluahkan penceritaan dalam bentuk rangkaian pantun.........apapun sabar itu manisnya pasti....

Kita bicara tentang LAMA DAN BARU, orang lama dan orang baru, bahasa lama dan bahasa baru, kerja lama kerja baru, baju lama baju baru, 'attitude' lama dan baru, apa-apa saja yang lama seiiring dengan yang baru....pemimpin lama dan baru...sahabat lama dan baru..anda semua sudah tahu...ye tak....

Baiklah semua...jom, kita berpantun memerah otak.... jangan serik ya.. :D


Terang purnama angan meruang,
Kasihan pungguk tiada yang mahu;
Barang lama jangan dibuang,
Bahan rujuk pada yang tak tahu.

Berkata gelama pada cencaru,
Ada terumbu di seberang laut;
Tiada lama tiada yang baru,
Pada si ibu orang berpaut.

Ada apa dengan purnama,
Purnama dirindu peri sipungguk;
Ada apa dengan yang lama,
Yang lama itu menjadi penunjuk.

Laksa Selama terasa pedas,
Dititik serai ditambah timun;
Bahasa lama dan bahasa kias,
Cantik dipakai indah tersusun.

Tunggu di huma basah mengkuang,
Menanti senangin dapat haruan;
Baju yang lama usah dibuang,
Menjadi kain buat sapuan.

Bersila rapat menjaja tairu,
Duduk di sisi menanti Cik Siti;
Bila mendapat kerja yang baru,
Elok prestasi kualiti dan kuantiti.

Sepat gelama di muara sungai,
Hampir plata diragut kerapu;
Sahabat lama saudara setangkai,
Airmata disambut disapu.

Seberang huma minta bersua,
Ingin bersua anak sinyonya;
Orang lama dikata tua,
Semakin tua banyak tahunya.

Sesat serama di relau terbalik,
Sesah beruang terduduk jatuh;
Tabiat lama kalau yang baik,
Usah dibuang untuk dicontoh.

Takkan purnama terang cahaya,
Kalau tidak disapa mentari;
Takkan nama orang ternama,
Walau segak tanpa jauhari.

Gelang Mama bertangkai biru,
Mama ke pasar membeli peniti;
Hilang yang lama sampai yang baru,
Yang lama sukar dicari ganti.

Kalau seberang namanya redup,
Mesti membawa angin yang kencang;
Kalau orang lamanya hidup,
Pasti jiwa semakin terancang.

Sampin biru halus beremas,
Diberus Pak Mat benang berpisah;
Pemimpin baru telus dan kemas,
Harus hormat senang berkisah.

Kota lama kuat berkubu,
Silau keringat binaan Inggeris;
Cerita lama dibuat buku,
Kalau teringat selakkan selapis.

Halau itik ke sangkar piru,
Sekerat patah dikata angsa,
Tentu terbalik cangkul dah reput;
Kalau asyik tukar yang baru,
Ibarat pepatah kata peribahasa,
Batu bergolek tak kumpul lumut.

Tangkai bidara melentuk mati,
Harap merimbun buahan serawa;
Andai bicara menjolok hati,
Maaf ku pohon BELAHAN JIWA.

Makan sirih disapukan gambir,
Kami bertenun seri warisan;
Bukan melebih bukan menyindir,
Ummi berpantun memberi pesan.

Sampai pinggang berkali lenguh,
Galas sekendi kelapa bali;
Tirai gelanggang tali berlabuh,
Lepas mengundi berjumpa kembali.

Itulah...yang lama berganti baru namun yang lama masih berharga dan yang baru harus membantu....sampai di sini dulu dari Ummi....yang terbaik adalah dariNYA dan yang buruk dan hina adalah dari Ummi sendiri....salam selasih sebiji padi buat anda semua semoga bertemu lagi di lain entri...ya..=D


Naiknya haruan si ikan haruan,
Beluga di batu sibuk berkisah;
Baiknya tuan sayangkan puan,
Hamba menunggu untuk berpisah;


Kalam berpena...

UmmiAin

19 comments:

  1. Tudung periuk pandai berdendang,
    Berdendang lagu puteri jelita;
    Kain buruk jangan dibuang,
    Buat mengelap cermin jendela.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Main sorok main bersama,
      Nyenyak lenanya angan meruang;
      Kain buruk kain yang lama,
      Banyak gunanya jangan dibuang.

      terimakasih cikgu.. =)

      Delete
  2. Assalamualaikum ummi =)

    yang baru membina jasa
    yang lama menjadi antik
    makin lama makin tinggi nilainya... =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Kak Nah =D

      Sayang menantu menantu kelima,
      Bahasa pesona bertemu semalam,
      Sama cantik dan tampan juga;
      Yang baru membantu yang lama,
      Jasa dibina ilmu digenggam,
      Yang lama antik dan berharga. =D

      Delete
  3. Assalamualaikum Ummi..
    Baru kini dapat kemari :)

    Siang cuma dilangit mentari,
    Kulit nipis terasa dihangati,
    Yang lama menggamit memori,
    Pahit manis sentiasa diingati,

    Pulang nyiru sudah dicemari,
    Kemudi haluan terasa seni,
    Yang baru indah berseri,
    Menjadi tarikan masa kini.

    Celaru menghuma paling dimalukan,
    Baling ketingkap lebihan karang,
    Baru dan lama saling memerlukan,
    Saling memengkap lebih dan kurang...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pantai Dalam ke Angkasapuri,
      Wa'alaikusalam sudah kemari..

      Seri bintang seri pelangi,
      Langit berbulan gerimis hujan;
      Memori datang memori pergi,
      Pahit ditelan manis disimpan.

      Sepat di bubu gelama di pangkal,
      Tergelak berudu tergelak pari;
      Dapat yang baru lama ditinggal,
      Kelak merindu kelak dicari.

      Pengantin indah menanti bersalam,
      Biru sama bersanding berpasangan;
      Kelmarin sudah menjadi faham,
      Baru dan lama berganding tangan...

      Tq ya tuan.. :D

      Delete
  4. Salam semanis honey...
    Datang berpantun lagi :)

    Nelayan termanggu esok menanti,
    Lenguh laksana koma menyendiri,
    Melayan lagu lama menusuk hati,
    Sungguh terpesona roma berdiri...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malam-malam gerimis mendung,
      Wassalam manis berkunjung..

      Minggu pertama kilauan emas,
      Ulang fesyen suara bermula;
      Lagu lama imbauan lepas,
      Hilang tensen gembira semula.

      Delete
  5. Salam kak Umie, apa khabar? semoga sihat selalu :)

    Bangun pagi wajah berseri,
    Balik tak nampak matahari,
    Walaupun lama tak kemari,
    Blog Ummi tetap di hati :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Baik terimakasih Donny, harap Donny juga :)

      Nyaring-nyaringlah isteri menyanyi,
      Mengalun irama berteman suami;
      Sering-seringlah kemari ke sini,
      Berpantun bersama dengan kak Ummi. :)

      Delete
  6. salam,,
    yang lama baru ttp ada di hati..klu patah carilah pengganti

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam...

      Entah Subuh pulang cik Siti,
      Berasap-asap dupa delima;
      Patah tumbuh hilang berganti,
      Harap-harap serupa yang lama.

      Delete
  7. kak umi bz.sy bz sejak dah bhti keje ni.ada masa tu pun curi2 blog heeee

    ReplyDelete
    Replies

    1. Berhabuk mata terkena agas,
      Terpaksa mencari sendiri-sendiri;
      Sibuk kita kerana tugas,
      Ada masa kemari-kemarilahh..

      Delete
  8. Ibu Amirul datang singgah
    Setelah otak diperah-perah..

    Kurung baru warnanya merah
    Baju melayu warnanya biru
    Yang lama kan jadi sejarah
    buat panduan pada yang baru

    Digigt pijat tergaru-garu
    Hendak dibunuh terasa geli
    Tiada yang lama tiadalah yang baru
    Hukum karma sejak azali

    ReplyDelete
    Replies
    1. Butang berceragah bersusun tadah,
      Datang singgah pantun terindah.

      Merah delima berbiji ribuan,
      Ribuan berderai tiada bercelaru;
      Sejarah lama jadi laluan,
      Laluan dipakai pada yang baru.

      Pinang rendah entahkan padat,
      Cik Salma menunggu berangan sepiring;
      Memang sudah bernokhtahkan adat,
      Lama dan baru bergandingan iring.

      Delete
  9. Adik Manis Mengadap Facebook
    Sampai Lupa Kuali Di dapur
    Sehari suntuk mengadap facebook
    kita makan luar jeee lerrrr

    ReplyDelete
    Replies
    1. Halau itik tertangkap merbuk,
      Pak mat mencari si katak kurus;
      Kalau asyik mengadap fesbuk,
      Alamat diri tidak terurus. =D

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^