Saturday, May 11, 2013

Pantun Terindah Buat Ibu, Mama, Ummi, Emak...



Ya Allah..ampunilah bagiku segala dosaku dan juga
dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka
keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku
di masa kecil.....amin..

Kilauan terimakasih buatmu yang ku sayang..

Bertanam kobis kobisnya Cina,
Turun ke bendang menahan bubu;
Salam secebis cebisnya pesona,
Pantun ku dendang pilihan ibu.

Selasih segelas belum berkembar,
Delima Acheh di tepi semak;
Kasih mu jelas seharum mawar,
Terimakasih IBU, MAMA, UMMI dan EMAK.

Assalamu'alaikum buat anda teman berpantun@sahabat yang Ummi sangat hormati....
Entri baru kini sudah membuka gelanggang....ayuh, jom kita berpantun, pantun yang menyentuh hati sanubari buat ibu, mama, ummi dan emak kita yang tercinta lagi dirindui selagi hayat masih ada....doa berpohon semoga mereka-mereka ini sentiasa di dalam kasih sayang Allah swt, dan Ummi juga, aminn.....
Khusus buat ibu, mama, ummi, emak, mummy, dan segala sebutan panggilan buat semua ibu-ibu di dunia, terutamanya pantun khusus buat bonda Ummi Hajjah Che Nen bt Osman yang jauh di mata namun tetap bercahaya namamu di hati anakmu ini......pantun sejambak Ummi rangkaikan.....


Rendam lenga bersama selasih,
Timun dimayang kerabu pauh;
Ku siram bunga bernama kasih,
Berdaun sayang buat ibu yang jauh.

Tumbuh pauh nampak kelicap,
Pelam sepeti di sebelah perahu,
Sungguh jauh tidak terucap,
Di dalam hati Allah Yang Tahu.

Mencari kerabu mencari kicap,
Kicap Tamin sedaplah tentu;
Hari Ibu setiap hari diucap,
Diucap diamin setiaplah waktu.

Beri diambil kapak yang ringan,
Semak pegaga di longkang bata;
Dari sekecil telapak tangan,
Emak menjaga bersengkang mata.

Cenderawasih kepak berasap,
Kuasa kayangan sebutan alam;
Terimakasih tidak terucap,
Jasamu rentangan lautan dalam.

Ruasnya tebu di tepi semak,
Patah dibawa meniti kebun;
Ikhlasnya ibu mama ummi dan emak,
Betahlah jiwa pasti terampun.

Selasih segenggam ditabur-tabur,
Selasih dibancuh rasalah hangat;
Kasih bersulam luhur dan subur,
Kasih sungguh berlelah keringat;

Masih kelabu sekerat pelangi,
Harapnya apa tinggi kejora;
Kasih ibu ibarat setanggi,
Berasapnya dupa wangi membara.

Irama tempua sedihnya cuma,
Buah ketapang dicari makan;
Sama jua kasihnya mama,
Tangan berdepang memberi pelukan .

Kelam iklim paginya merah,
Tepi jerami mayang berasap;
Dalam rahim berkongsinya darah,
Lelahnya ummi tiada terungkap.

Sampai kecut sibuah mencupu,
Batang kembang berlaga kedangsa;
Andai dituntut lelah si ibu,
Ditatang ditimang hingga dewasa.

Selisih peniti terlebih buka,
Kainnya chiffon belahan segi;
Kasih sejati kasih mereka,
Sedingin embun titisan pagi.

Sireh ditempek daun terenak,
Gambir sebuku pahit lempoyang;
Masih lembek bubun si anak,
Berzikir si ibu mengulit sayang.

Memukat gelama berselang tongsan,
Belida mati naik kelisa;
Nasihat mama berbilang pesan,
Nanda pasti baik bahasa.

Pedihnya dada dihentak kapak,
Retak selangka tulang terasa;
Kasihnya bonda masih tak nampak,
Anak durhaka bergalang dosa.

Besar muara selisih selangat,
Kerikil cetek karang selonggok;
Kasar suara kasih tak ingat,
Kecil menetek sekarang mengamuk.

Sagu rumbia berkelapa pandan,
Masaknya semua tunggu seorang;
Lagu nostalgia dilupa jangan,
Ibaratnya tua ibu di seberang.

Kejung sawa tanda menanti,
Hala ke reban mencekau itik;
Di hujung nyawa tiada berhenti,
Rela berkorban walau sedetik.

Makanlah kari plata dan kerabu,
Sedapnya kari bersudip besi;
Bukanlah sehari Harinya Ibu,
Setiapnya hari wajib diingati.

Kuah petis dikata lemak,
Pelam dimakan udang diusyar,
Tumpah setitis airmata emak,
Sedalam lautan di Padang Mahsyar.

Kolah telaga nampak tepinya,
Se ela dekat arah ke titi;
Adalah Syurga di telapak kakinya,
Rela dan taat pasrah berbakti.

Kering manis buah pulasan,
Tinggi redup rambutan seribu;
Sering menangis luah perasaan,
Hati sayup teringatkan ibu.

Bersih semak cucuhnya lalang,
Pekat hapak berlama-lama; 
Kasih emak basuh tak hilang,
Lekat di anak selama-lama.

Pilih jerami hendakkan antah,
Halau merbah helang dah sedia;
Kasih ummi tidak bernokhtah,
Walau sudah hilang di dunia.

Mula hujan membawa mega,
Tinggi gayat bermendung awan;
Rela berkorban nyawa tenaga,
Selagi hayat dikandung badan.

Kaup abu terbungkang bata,
Tangga retak galah dibawa;
Sanggup ibu bersengkang mata,
Menjaga anak lelah bernyawa.

Pantai Dalam indah pesona,
Minum madu bersulam kudapan;
Andai terbungkam gundah gulana,
Senyum ibu dalam tangisan.

Seekor undan disesah sawa,
Di gua Sibu merata lipan;
Hancur badan berpisah nyawa,
Doa ibu pelita kehidupan.

Sayang serindit disengat pari,
Letih mendayu terbiar mati;
Wang ringgit dapat dicari,
Kasih ibu sukar diganti.

Tumbuh tegak mangganya amboi,
Bercabang seribu letih si tupai;
Sepuluh anak dijaganya dodoi,
Seorang ibu masih dipertikai.

Hilanglah pucuk kecut delima,
Merah sebelah retak dialih;
Alangkah sejuk perut si MAMA,
Anugerah Allah anak yang soleh.

Putih lawa harum menyerlah,
Melati ditanam segar cuaca;
Letih membawa senyum di wajah,
Hati di dalam sukar dibaca.

Andai memilih cereka lama,
Hargailah erti lagenda warisan;
Andai kasih mereka percuma.
Jagailah hati bonda berpesan.

Indah padi nampak belaka,
Tumbuh sayup di bendang desa;
Usah jadi sianak durhaka,
Lumpuh hidup bersandang dosa.

Makan kerabu bersama ulaman,
Papaya disaji peria kelat;
Pesan ibu menjadi pedoman,
Bahagia diri dunia akhirat.

Tumbuh peria di celah pintu,
Tangga retak sinki berdebu;
Sungguh DIA telah menentu,
Syurga ditelapak kaki ibu.

Santun Melayu tak lapuk hawa,
Sopan indah maraklah bicara;
Pantun Ibu menusuk jiwa,
Beban lelah tidaklah terkira.

Ambil camca diambil tepung,
Tepung ubi kelatlah rasa,
Sambil membaca sambil merenung,
Merenung diri berbuatkah jasa.

Pantai terdekat muara tempias,
Di Subuh hari bangun bersolat;
Andai terdapat bicara lepas,
Sepuluh jari ku susun rapat.

Buat mu ibu, mama, ummi, emak dan segala apa panggilan sekali pun, jasamu bagai air sungai yang mengalir tanpa henti.....ingatlah duhai insan yang bernama anak, kenanglah ibu kita....termasuk Ummi, walau kita berjauhan badan di mata tak nampak.....doa merimbun buatmu......amin....

Sampai di sini dulu dari Ummi, sebenarnya banyak lagi yang hendak Ummi rangkaikan namun cukuplah setakat berasam garam berair dalam, yang terbaik adalah dariNYA dan yang terkurang dari hamba yang serba kurang.......terimalah sejambak mawar putih untuk Mak....


Pekan Cina berjual lemuju,
Belilah lada agaknya sekati;
Asalkan warna tertinggal di baju,
Janganlah ada kepada hati.

Turun hampir ke dahan mengkudu,
Mengkudu hutan tanam seminggu;
Pantun berair basahan madu,
Madu dimakan berulam lagu.


p/s Jom Kita Berpantun...sila..oo..sila... =D


Kalam berpena.....

UmmiAin

27 comments:

  1. Hendak memikat si burung Tempua,
    sayangya rebah jatuh ke tanah,
    Tarafnya bonda amatlah mulia,
    peneman masa senang dan susah.

    (tak berapa mahir pantun memantun ni.. hehe)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Skafnya ada tersematlah rafia,
      Merah berkilau punya terserlah;
      Tarafnya bonda amatlah mulia,
      Marah beliau murkanya Allah.

      Lama-lama nanti mahir la cikgu...terimakasih sebab datang kemari berpantun di blog kak Ummi.... harap sudi datanglah lagi.... :D

      Delete
  2. Baju merah berkain biru,
    Tudung pula hijau warna;
    Syurga di bawah kaki ibu,
    Taatlah ia sepanjang masa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kembarnya tiga di tepi kelambu,
      Takut kunang datang bertalu;
      Benarnya Syurga di telapak kaki ibu,
      Disebut dikenang sayangnya selalu.

      Terimakasih, pantun cikgu paling Ummi nantikan...:D

      Delete
  3. Bunga cempaka di dalam kolam,
    Sena selasih tumbuh berkudup;
    Laksana kartika di malam kelam,
    Cahaya kasih menyuluh hidup.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam kolam tepinya runtuh,
      Tangkai delima tegang di muara;
      Kelam malam jadinya penyuluh,
      Bagai purnama memegang kejora.

      Delete
  4. tanjung tuan tempat bertemu
    redup hari kilat menyambar
    ada dirimu di ruang tamu
    carilah katamu di mimbar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau kari disaji tetamu,
      Kari ketumbar kuat ulaman;
      Kalau diri sudi bertamu,
      Ku cari mimbar buat peneman.

      terimakasih Mimbar.. :)

      Delete
  5. Salam rindu terus kemari
    Berpantun syahdu buat Ummi...

    Hidang madu peria dijamu,
    Tetamu tiada sedih membeku,
    Hilang rindu ceria bertamu,
    Bertemu bonda kekasih hatiku...

    Lewat kemari kerana pulang ke desa di hujung minggu...Singggah di sini sebentar sahaja, Esok pula bertandang kembali... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pelam madu disebut-sebut,
      Salam syahdu Ummi dah sambut..

      Berlaga perdu jangan dicerita,
      Lembu mengeluh membawa pinang;
      Hamba rindu bayangan mata,
      Ibu jauh jiwa terkenang.

      Busuk-busuk ditatang diuli,
      Esok-esok datanglah kembali ya...terimakasih ya tuan..=)

      Delete
  6. Dari kecil ibu suapkannya
    Bila besar ibu tengokkannya
    Kasih ibu tiada Akhirnya
    Akan kubalas sepanjang hidupnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. masih sebu dada dan jantung,
      Pasrah menanti sama bersolat;
      kasih ibu tiada penghujung,
      Ku curah bakti selama hayat.

      Terimakasih nantu pilihan :D :D

      Delete

  7. Rendam lenga bersama selasih,
    Ti/mun di/ma/yang ke/ra/bu pa/uh;
    Ku siram bunga bernama kasih,
    Ber/da/un sa/yang bu/at i/bu yang ja/uh.

    Dari segi rima, pembayang dan maksud, sangat bagus. cuma dari segi bilangan suku kata, agak tidak seimbang.

    saya ambil contoh pantun di atas ..

    pada rangkap ke 2 ada 10 suku kata, tapi pada rangkap akhir, ada 12 suku kata.

    itu saja komen dari saya, pemantun yang juga tak reti. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ummi sangat-sangat berterimakasih kepada Pakngah kerana sudi berkongsi ilmu dengan Ummi..

      Jumpa siakap di tengah titi,
      Tengah menurun bertemu pari;
      Siapa cakap Pakngah tak reti,
      Pakngah berpantun ilmu diberi.

      Boleh dak... :D

      Delete
    2. cantik ..

      tapi usahlah memuji sampai begitu sekali.

      Delete
    3. Petai dimasak ada kelapa,
      Kami menyaji selapis roti;
      Bagai anak kepada bapa,
      Ummi memuji sehabis hati.

      Tenkiu Pakngah.. :D

      Delete
  8. Salam bertandang diredup petang,
    Tanpa diundang hamba datang...

    Rasa sebu hendak mengilai,
    Sebak memulas bentan serata,
    Jasa ibu tidak ternilai,
    Tidak terbalas intan permata...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terlepas ayam berbulu ungu;
      Wassalam selalu menunggu..

      Kembang mekar cemara puan,
      Ada terlentuk jambangan mangga;
      Memang benar bicara tuan,
      Tiada tolok bandingan harga...

      Terimakasih naa.. :)

      Delete
  9. pantun ummi menambat hati
    ibu amirul datang untuk membeli

    berjalan di pantai sianak teruna
    menyanyi bergurindam suaranya lunak
    doa ibu tinggi darjatnya
    penentu bahagia hidup si anak

    makan nasi berulam peria
    bila tergigit amboi pahitnya
    menghayun buaian menggoncang dunia
    didikan ibu tiada taranya

    pakai kebaya keronsang suasa
    suasa ditempah dari desa
    hendak pekan untuk berniaga
    berniaga ikan dan apa saja
    ibu hanya manusia biasa
    pada tuhan di pohon sentiasa
    agar hati dan lidah terjaga
    bimbang takbur mama menjadi raja

    jari sepuluh tersusun rapi
    salah silap harap dimaafi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Delima putih baru disaji.
      Pepaya dirasa tawar dan lama;
      Terimakasih Ibu memuji,
      Karya biasa sekadar cuma.

      Patahlah dua tebu yang masak,
      Peria meletup lekat dedalu;
      Betahlah doa ibu buat anak,
      Bahagia hidup berkat selalu.

      Angan si Lisa berkerosang bonia,
      Bedakkan segar sayangnya buta;
      Tangan perkasa menggoncang dunia,
      Tiadakan sedar dibayang mata.

      Badan sasa lambat berlari,
      Gempak Pak Tua kuat menapak,
      Gegar sendi pengsan berlelah,
      Basah pula keringat bertalu;
      Insan biasa sehebat kasturi,
      Merafak doa buat si anak,
      Agar menjadi insan solehah,
      Usah dilupa ingatlah selalu.

      Tumbuh putik berdaun jarang,
      Sungguh cantik pantun dikarang...
      Terimakasih 'Ain dear... :)

      Delete
  10. Assalamualaikum n Selamat hari ibu buat ummi..=)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam, selamat hari ibu juga buat Kak Nah :D

      Delete
  11. Puteri cendana turun ke taman
    merawat hati yang sedang lara
    kasih ibu sepanjang zaman
    ibu tiada duka nestapa

    (saya budak baru belajar...salam kenalan buat ummi dari SHA)

    ReplyDelete
  12. Selasih seribu nenda meminta,
    Uraplah herba capai sepeti;
    Kasih ibu tiada d mata,
    Anggaplah hamba sebagai pengganti.

    Salam kenalan buat sha jug, tq sudi singgah ya... ^^

    ReplyDelete
  13. kau, peluk ku dengan rasa cinta,
    walau, ku tahu hatimu tidak selalu bahgia,
    aku, seorang anak tidak berguna,
    hanya tahu, erti bergembira.
    -nami-


    pulang kedesa, menyambut lembaran,
    disambut mesra, rakan dan taulan,
    jika tersasul, memohon keampunan,
    jika tersalah, harap dibetulkan.^^

    ReplyDelete
  14. memetik bunga di taman syahdu,
    bunga cendana bunga cina,
    hormatlah anak kepada ibu;
    semoga kita bahagia di sana.

    hihi... baru belajar pantun ni..

    ReplyDelete
  15. anak petani menghalau pipit,
    di tepi sawah duduk menjaga,
    kasihnya ibu tidak sedikit;
    kasihnya ayah sepanjang masa.

    x lupa juga buat ayah... hihi

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^