Thursday, May 30, 2013

Pantun Belahan Jiwa.....



Bagaikan..

Sejoli....

Apa ada dalam jiwa...

Belahan Jiwa....



Talam sagu kerat berempat,
Diluluh sedap bibir menyudu,
Perahan semua bahan sebati;
Salam seminggu hajat ku dapat,
Sepuluh rangkap berair lagu,
BELAHAN JIWA belahan hati.

Ayam selasih bermain mata,
Mata seperti membelah dunia;
Ku siram kasih berlain cinta,
Cinta sejati Allah Yang Punya.

Bertanam padi di bendang kering,
Berasap-asap padi beralas; 
Ku siram budi pandang berpaling, 
Tidak ku harap budi dibalas.

Kisah Tun Lanang Datuk Temenggung,
Mulai disebut mencetus tegang;
Susah senang badan menanggung,
Sehelai rambut harus berpegang.

Basah kebaya lama dan jarang,
Kebaya sulam pesona tua;
Usah percaya purnama terang,
Cahaya pinjam gerhana jua.

Tumbuh kepayang celahan kekwa,
Sorok sedikit setangkai melati;
Sungguh ku sayang Belahan Jiwa,
Buruk dan sakit sampai kemati.

Kuntum raya kembang dipetik,
Tanam melati sebelah perahu;
Senyum saya pandangnya cantik,
Di dalam hati Allah yang tahu.

Sudah ku rendam segenggam selasih,
Mengapa mangkal separuh jalan;
Sudah ku tanam ku siram kasih,
Mengapa ditinggal berbulan-bulan.

Laut Merah lautan mati,
Anak laksamana kemudi kapal;
Ikut amarah bisikan hati;
Kelak merana menjadi bebal.

Kalau dasar hampir ke muara,
Sedikit ikan habisnya semua;
Walau besar getir sengsara,
Pahit akan manisnya jua.

Bertanam rotan tepinya jalan ,
Dimasa Subuh ke dinihari;
Sedalam lautan tingginya bulan,
Bisa disentuh dengan jauhari.

Secalit madu terasa mengkelan,
Tembikai sebelah biar berembun;
Sepahit hempedu bisa ditelan,
Andai itulah penawar racun.

Kalau lautan hambar cuaca,
Terkena tempias kemudi muatan;
Kalau intan bertukar kaca,
Bagaimana emas menjadi rotan.

Kerlip kejora dipagar bintang,
Pesona terang persada deli;
Nasib pusara hambar dan kontang,
Kerana orang tiada peduli.

Andai rapat senduduk berdaun,
Takkan merimbun menelan jalan ;
Andai sempat duduk berpantun,
Akan ku pantun berbulan-bulan.

Dahan serawa mati dicucuh,
Dicucuh api gugur ke taman;
Belahan Jiwa hati berbasuh,
Dibasuh suci bercampur iman.

Selangka empat bersusun rusuk,
Tentu derapnya badan tahankan;
Jika berlipat pantun berabuk,
Debu asapnya harap sapukan.


Sekian sahaja pantun yang tak sepertinya dari Ummi buat tatapan rakan-rakan sekelian para pemantun.....semoga pantun Melayu terus menjadi warisan sezaman selama-lamanya.....usah bosan dan usah jemu, usah berulang bicara bahawa anda tidak tahu....malah lebih baik lagi.....warisan seni Melayu amat-amatlah halus dan lembut.....kalau tak percaya cuba ditanya kepada orang-orang lama......

Sampai di sini dahulu Ummi memohon selangkah berundur diri...semoga kita terus berpantun dan jangan pernah jemu...ya ^^....salam sayang teramat manis dari Ummi....


Kalam berpena...

UmmiAin

22 comments:

  1. Makan pinang bersama sirih
    Sirih dipatuk anak kedidi
    Belahan jiwa bersulam kasih
    Cinta tersemat selamanya abadi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dahan serawa dahan selasih,
      Selasih mati bertukar kelubi;
      Belahan jiwa belahan kasih,
      Kasih sejati berakar umbi.

      Delete
  2. Salam Ummi,
    Sedih benar pantun2nya...
    Tak mampu nak luahkan kata2 apatah lagi berpantun... Kenapa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam sahabat Ummi...

      Didih pati lama berasap,
      Sagu rumbia berlinang pula,
      Bahan sebati di upur di adun,
      Tawar inti ada kelapa;
      Pedih di hati cuma sekejap,
      Menunggu idea bertenang semula,
      Luahan hati bersulam berpantun,
      Sebenar hati tiada mengapa.

      Tiada apa-apa sahabatku....Ummi hanya bersentimental....usah dirisau akan diri hamba, pantun ada penawarnya... :)

      Delete
  3. Bertandang semula...

    Senyuman tawa darimu kunanti,
    Dahaga bakal hingga kerongga,
    Belahan jiwa cintamu dihati,
    Semoga kekal hingga kesyurga...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Andai hendak membina laluan,
      Pasti tinggi diletak tanda;
      Andai tidak kerana tuan,
      Mesti ku pergi ke Relaks Minda.

      Celahan kekwa setangkai mangga,
      Mati tegang lima purnama;
      Belahan Jiwa sampai ke Syurga,
      Pasti berpegang selama-lama....

      Terimakasih sahabat Ummi... :D

      Delete
    2. Salam...singgah lagi :)

      Buahan halwa bukan halia,
      Semai pinang tumbuh kurma,
      Belahan jiwa peneman setia,
      Susah senang ditempuh bersama.

      Delete
    3. Salam ku hulur secangkir kurma...

      Perahan halwa telah disua,
      Kuini berbuah cukup sekali;
      Belahan jiwa berbelah dua,
      Kini sudah bertangkup kembali.

      Delete
  4. Salam manis semanis ummi..menjengah kesini menghayati pantun2 ummi..=)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masam di mulut tersenyum manis,
      Sayur ulaman berendam kulat;
      Salam ku sambut seharum manggis,
      Gugur ke tangan ku genggam lipat.

      Delete
    2. Sayur ulaman berendam kulat,
      Dicampur dengan buah petola;
      Gugur ke tangan kugenggam erat,
      Seperti bulan jatuh ke riba.

      Delete
    3. Pelam subur subur kesemua,
      Batang meranti laluan rimba;
      Salam dihulur hulur istimewa,
      Sedang ku nanti tuan dah tiba.

      Terimakasih cikgu... =D

      Delete
    4. Batang meranti laluan rimba,
      Pohon kelapa di tengah belukar;
      Sedang ku nanti tuan dah tiba,
      Dapat kiranya bertanya khabar.

      Delete
    5. Laluan mega mega Tenggara,
      Kembar daik kelam sebelah;
      Tuan tiba hamba gembira,
      Khabar ku baik alhamdillah.

      Cenderawasih mati di titi,
      Terimasih berpeti-peti...=)

      Delete
  5. Dalam sekolah pantang mencuri,
    Terima hukuman hendak tangisi
    Ilham mencurah tandang kemari,
    Mencari teman untuk berkongsi....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tinggi lebat selasih menguntum,
      Takkan bertanam hampir ke cerun;
      Selagi sahabat masih mengharum.
      Akan ku siram air berpantun.

      Delete
  6. Rekahan jua berkaram serimbun
    Akar Kiambang bertunjang diTaman
    Belahan jiwa disiram embun
    Mekar berkembang sepanjang zaman..

    Membara sakan sering ke petang
    Bukan berlalu nangis dek dikejan
    Pusara takkan kering Kontang
    Kan selalu direnjis dek hujan..

    Melantun galah biasan berbisa
    Haluan hulunya menari di Laman
    Pantun adalah warisan bangsa
    Kilauan Debunya warnai seni berzaman..



    ReplyDelete
    Replies
    1. Daun kiambang terapung di paya,
      Akar celahan tak jejak bumi;
      Pantun berkembang bersambung gaya,
      Kembar belahan kakak nya Ummi,

      Butang mutiara pakaian sarjan,
      Diberus suram hiasan dua;
      Kontang pusara bukan dek hujan,
      Harus disiram titisan doa.

      Selasa meruntun tempiasan mega,
      Cuaca bayu lembab di sampan;
      Bahasa berpantun warisan dibangga,
      Dibaca Melayu beradab sopan.

      Delete
  7. Cindai sudah di bahu lekatnya
    Sarjan mengetap dahi membara
    Kedua terfikirlah sering mengelat
    Andai dah tahu hakikatnya
    Hujan tetap membasahi pusara
    Doa berzikirlah beriring solat....

    nah ambik enam kerat
    nak pikiak dah tak larat
    mulut pula menguap2
    tutup la esok ngantuk nanti loghat.....

    hehehe.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bajak menggali lelah di bahu,
      Naiklah rata huma yang tua,
      Tua tak lupus tidak terlebih,
      Selebar tapak di dalam tanah;
      Sejak azali telah ku tahu,
      Baiklah kita sama berdoa,
      Doa kudus sianak yang soleh,
      Selembar merafak bersulam Jannah.

      Rendam berkarat rapatnya papan,
      Retak di tingkap palam pun mereng,
      Lama pula tempek di pangkal,
      Termasuk rasuk di bumbung segi;
      Enam kerat dapatnya lapan,
      Hendak merangkap ilham dah kering,
      Umpama kepala dilapik bantal,
      Esok-esok disambung lagi....kan..kan =)

      Delete
  8. Assalamualaikum Ummi.

    Terasa sampai kejiwa. huhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam ProfHariz....

      Baca pantun sambil mendengar lagu Bang Ramlee....memang menusuk kalbu...tenkiu. :)

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^