Thursday, April 25, 2013

Pantun Raya Raya Raya...


Sulam kuntum sulam diatur,
Tenun bersembat pusaka terulung,
Assalamu'alaikum salam ku hulur,
Pantun berlipat ku buka gulung.

Tenun bersembat pusaka terulung,
Irama tari gaya Malaya;
Pantun berlipat ku buka gulung,
Tema bersari RAYA RAYA RAYA.


Belum lagii..... :)

Selamat Mengundi...


Raya, raya, raya.....amboi..dah raya ka........assalam'alaikum  buat teman-teman@pemantun budiman yang Ummi hormati..semoga kalian semua sentiasa di dalam kasih sayang Allah SWT dan sentiasa ceria, penuh tekad dan azam dalam menjalankan tugas-tugas seharian........kini Ummi kembali dengan secebis lembaran pantun bertemakan RAYA RAYA RAYA.  Kita dah tahu....raya bermacam-macam raya yang ada, Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji bagi umat Islam, Hari Krismas bagi penganut Ugama Kristian, Hari Deepavali untuk kaum India, Tahun Baru Cina bagi orang-orang Tionghua...dan seumpamanya banyak lagi yang Ummi tak dapat nak sebutkan di sini yang menjadikan orang kita dengan perayaan mereka masing-masing.........:)

Baiklah semua......jom kita berpantun dengan bertemakan RAYA...ya :D

Pak Kassim bergaya disebut-sebut,
Berlagak teruna menjeling Mak Gayah;
Musim raya kita menyambut,
Agak yang mana paling meriah.

Bayu seberang berpuput goyah,
Telah menghala menyongsong ke sana;
Selalu orang menyambut meriah,
Adalah pula langsung sederhana.

Seri kebaya bertekad-tekad,
Dipakai puteri kecil di paha,
Kemas sekali santun pesona;
Hari raya berperingkat-peringkat,
Hari Gawai Aidil Fitri dan Aidil Adha,
Krismas Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Lesot peria kerana lama,
Peria dan papaya merata paya;
Maksud raya berguna semua,
Balairaya jalanraya dan kotaraya.

Kiambang bidara di dalam paya,
Batu dibubuh nyaris melekat;
Lambang negara si bunga raya,
Bersatu teguh harmonis masyarakat.

Berguna jala menahan buaya,
Celah kerikil buaya menjaga;
Bagaimana pula pilihanraya,
Adakah dipanggil hari raya juga.

Celahan paya plastik seguni,
Tempua berehat di tepi batu,
Menunggu angin di alur sisi,
Mematuk padi secangkir beras;
Pilihanraya topik terkini,
Semua rakyat jadi penentu,
Menentu pemimpin berdemokrasi,
Harus mengundi berfikir waras.

Dahan peria di pinggir palang,
Baba dan nyonya duduk di batu;
Pilihanraya hampir menjelang,
Tiba masanya untuk menentu.

Ada kedidi di pinggir rimba,
Dihempap guri basah berhelai;
Kuasa mengundi dah hampir tiba,
Tanggungjawab sendiri usah diabai.

Suami kita pandai memasak;
Ikan berlada dicucuk dipanggang;
Ummi bercerita selesai setepak,
Harapkan anda masuk gelanggang.

Hendak bergambar santun pesona,
Indah si sunti memakai skaf;
Tidak ku sedar pantun tak kena,
Serendah hati ku rangkai maaf.


Baiklah tuan puan sekelian@pemantun-pemantun yang budiman lagi Ummi hormati...setakat ini dahulu Ummi mengapur sirih sehelai bersisip pinang sekacip...andai ada yang terguris di hati Ummi pohon jutaan kemaafan selebat curahan hujan tadi malam...... segala-segalanya yang terbaik dan terindah adalah dari Allah SWT jua....InsyaAllah bertemu lagi dengan tema atau topik yang lain...harapkan sudi apalah kiranya berpantun bersama-sama dengan Ummi ya....terimakasih sekalung berlian secangkir madu buat sahabat-sahabat pemantun yang telah sudi datang berkali-kali ke blog Ummi sambil berpantun yang indah-indah........mempelam manis pahit hempedu, salam manis sedikit rindu buat kalian semua. =D


p/s  Selamat mengundi semua  =D


Kalam berpena....

UmmiAin

28 comments:

  1. Beli keropok di Kuala Kedah;
    Singgah pula di Pekan Yan;
    Musim PRU memang meriah;
    Penuh bendera keliling jalan..

    Hehe... selamat mengundi Ummi... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ais krim susu dibubuh buah,
      Bahan selera diulang percuma;
      Musim PRU sungguh bertuah,
      Perayaan negara berselang lima.

      Selamat mengundi buat Maria dan suami juga ye...terimakasih datang singgah =D

      Delete
  2. Salam Ummi,
    Berkunjung kesini mahu berpantun :)

    Celik mentari pergi kePuduraya
    Sakan berkereta lalu Lebuhraya
    Balik mengundi hari Pilihanraya
    Bukan gembira mahu Berhariraya

    Salam permulaan, esok datang lagi....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam ya tuan..

      Jambangan cemara kering seminggu,
      Kunjungan mesra sering ku tunggu.

      Sungguh-sungguh hendak bergaya,
      Gaya turban paling dinanti;
      Aduh-aduh banyaknya raya,
      Raya Korban paling bererti.

      Terimakasih datang singgah... =D

      Delete
  3. Pinjam mancis malam terang
    Salam manis salam sayang =)

    menjenguk ummi berpantun raya, sayang knah xsehat, lain kali knah cuba ya..





    ReplyDelete
    Replies
    1. Loyang direndam di malam bila,
      Sayang disulam salam bergula. =)

      Delima putih berderai ke tanah,
      Mangga markisa kelat peria;
      Terimakasih duhai KakNah,
      Semoga sentiasa sihat dan ceria.

      Delete
  4. Pohon kemboja di tepi kali,
    Pohon kenanga di hujung desa;
    Pilihan raya tak lama lagi,
    Usah lupa tanggung jawab kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pakai bergaya bermain lagu,
      Diri bertanjak mengena sampin;
      Pilihanraya dilain minggu,
      Pengundi bijak pesona pemimpin.

      Delete
  5. Salam kembali di dini hari,

    Kala ronda bandar raya,
    Mengemudi kereta dijalanraya,
    Bila tiba pilihanraya,
    Mengundi kita dibalairaya...

    Jaga kerasukan hantu raya,
    Bersepah kelapa dipasar raya,
    Bunga kebangsaan bunga raya,
    Dimahkamah jumpa pendakwa raya...

    Orang Malaysia memang suka Raya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tupai dan balam di segi batu,
      Wa'alaikumsalam dipagi Sabtu.

      Gaya sudah beralir keringat,
      Jerami padi telah berasap;
      Pilihanraya dah hampir sangat,
      Ummi mengundi di sekolah atap.

      Labuh benar pakaian kebaya,
      Pesona gaya bini Zakaria;
      Sungguh besar pengertian raya,
      Sana raya sini pun raya...

      Banyaknya raya di negara Malaysia,
      Setiap tahun kita beraya,
      Pilihanraya cuma lima tahun sekali ya...

      Terimakasih sahabat ya.. :D

      Delete
  6. Assalam dan kembali berpantun,


    jauh perjalanan beribu batu,
    letih berjalan tidak terdaya:
    pilih raya yang mana satu,
    pilhanraya atau hari raya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Makan halia berserbuk bahan,
      Kari peria si ikan cermin;
      Pilihanraya untuk perubahan,
      Hari raya umat muslimin.

      Delete
  7. Ular dikata lidah bercabang
    Manusia bisa berjanji sakan
    Siapa kalah siapa menang
    Jangan lupa janji ditunaikan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kedidi terjerat di dahanlah pinang,
      Sayang pinang dicuri punai;
      Undi rakyat penentu kalah menang,
      Yang menang janji ditunai.

      Delete
  8. Kalau padi katakan padi
    Tidaklah saya berhati hampa
    Salam perkenalan dihulur di sini
    Mudah-mudahan berjawap semula

    ReplyDelete
    Replies

    1. Kelam bulan bercampur kabut,
      Mega titisan sarat berair;
      Salam perkenalan hulur disambut,
      Semoga persahabatan erat dan hampir.

      Delete
  9. Ibu Amirul nak tumpang berpantun

    Anak2 bermain guli
    Guli dibeli tengah pekan
    Raya yang ini pelik sekali
    5 tahun sekali baru kita raikan

    Pahat rumah bersendi sendi
    Rumah Melaka baba dan nyonya
    Mari kita keluar mengundi
    1 Undi banyak maknanya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Datang Ibu Amirul Ummi bentang permaidani baldu..tenkiu :)

      Susu di minum beradun bali,
      Menjadi pekat halwa perahan;
      PRU umum diraikan lima tahun sekali,
      Undi rakyat membawa perubahan .

      Jangan lupa menuang padi,
      Padi disudu di waktu senang;
      Jangan lupa membuang undi,
      Undi individu menentu pemenang.

      Delete
  10. Assalamualaikum Ummi =)

    Cari penjaja lori papaya
    Batang tebu penuh paya
    Hari Pekerja hari raya
    Orang serbu penuh pasaraya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Kak Nah :)



      Kerang bunga mari dijaja,
      Penjaja mesti dekat dan peramah;
      Mari berjaja mangga dan papaya;
      Tak kurang juga Hari Pekerja,
      Pekerja cuti berehat di rumah,
      Hari Pekerja juga hari raya.

      Tenkiu Kak Nah dear..

      Delete
  11. hihihi kak..sy tak reti berpantun la...maaf ya..hihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak ngapa Eryati..nanty pantun dua kerat pun oakay juga...terimakasih ya -D

      Delete
  12. salam mesra kak ummi

    Cik Nyonya bershopping Raya
    En Baba sibuk dgn Pilihan Raya
    PRU13 telah hampir tiba
    Parti mana pilihan kak ummi kita?


    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Hairul nantu pilihan...=}

      PakYa tersenyum membilang sifir,
      Makan papaya buahnya tua;
      Pilihanraya umum menjelang hampir,
      Undi itukan rahsia kita berdua. :D

      Delete
  13. Salam Ummi...
    Gian berpantun, bertandang kemari...

    Huma ditampi bersama dulang,
    Sudah berhabuk sampin hariraya,
    Lama menyepi kemana menghilang,
    Adakah sibuk berkempen pilihanraya? hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Ya Tuan..
      Arena pantun ku beri laluan..

      Bukan sapi dan bukan helang,
      Sama merbuk kenari dan balam;
      Bukan menyepi bukan menghilang,
      Cuma sibuk mencari ilham. =D


      Delete
  14. Datang menyibuk dimalam hari,

    Mencari budi menghilang hiba,
    Melangkah palang perli terasa,
    Hari mengundi menjelang tiba,
    Tidakkah pulang kembali ke desa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat datang sahabat Ummi =D

      Cari keladi di petangnya Selasa,
      Kami mandi dihambat bebiri;
      Hari mengundi datangnya lusa,
      Ummi mengundi di tempat sendiri. ;)

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^