Monday, April 15, 2013

Pantun Orang Kita....


Salam ku hulur di waktu nan sunyi,
Jari berani cuma bercerita;
Kalam diatur jiwaku bernyanyi,
Entri terkini bertema ORANG KITA.

Sejat selasih perlahan-lahan,
Selasih lebat direndam sepetang;
Berhajat kasih tertahan-tahan,
Kasih sahabat ilham pun datang.

Salam manis di tengah malam, entri ku karang kalam berilham.....doa Ummi semoga kalian semua tak rindu dalam dendam......Ummi kembali dengan bahasa yang penuh bersulam....bukan geram....
Kali in pantun Ummi sedikit patriotik dan berayat penyata, haha.....iaitu mengenai rumpun bangsa yang terdiri dari bermacam kaum dan bangsa...bermacam bahasa....Buat pengetahuan anda semua, sejak berblog ni, Ummi sudah pun mempunyai sahabat-sahabat yang datang dari berbagai negeri termasuk Sabahan dan Sarawakian......seperti saudara Donny Ien pria mesra dari Sabah, dan En Hanafi Abdullah pria Melanau si orang Sarawak.....yang budiman.serta sahabat-sahabat Ummi yang berasal dari Kelantan kalau tak silap Ummi, guru rujukan otai lama yang Ummi hormati, Cikgu TehRamuan...,serta ramai lagi sahabat pemantun....yang Ummi tak dapat nak sebutkan di sini...maaf jua ya.=D



Va..va..va....Punjabi menari bangra...


Pasangan orang India...

Pakaian Sari..berseri-seri
Orang India memakai Kurta..

Orang Bajau...


Orang Kadazan..


Orang Murut...

Dara Iban

Satu Malaysia...cantik dan anggun..
Jom kita berpantun......pantun serumpun Ummi menyusun, bukan orang Dusun...tapi Melayu nan anggun.... jangan marah gurau-gurau pantun.... :D

Garang banyak suara garang,
Sampai terasa dalam berbisa;
Orang banyak perkara orang,
Berbagai bangsa bermacam bahasa.

Kera merebut cemara remuk,
Capai kedangsa kelat dan masam;
Negara disebut negara majmuk,
Berampai bangsa beradat resam.

Kari bilis rampai ditambah,
Rempah biasa dijerang sekata;
Dari Perlis sampailah ke Sabah,
Melimpah bangsa si orang kita.

Terang danau si kayu cendana,
Kayu jati teramat berat;
Orang Melanau Melayu dan Cina,
Bersatu hati muafakat erat.

Kalau di dahan bayan bersarang,
Sarang sehasta dicari lebah;
Bajau Sabahan Kedayan Maragang,
Orang kita di negeri Sabah.

Mengarang benang berlampu cimni,
Sadungnya rencong separuh silang;
Oranglah Penang mamu dan mami,
Hidungnya mancung bak paruh helang.

Padat bersulam berkain satin,
Sulam cemara berbunga garang;
Beradat resam orang kelmarin,
Resam dipelihara hingga sekarang.

Terang pelita pelitanya antik,
Pangkin di dapur tegak berbayang;
Orang kita rupanya cantik,
Berkahwin campur segak dan sayang.

Arang terkena sampai jelaga,
Kopi dan teh di dalam cawan,
Orang Cina pandai berniaga,
Jadi taukeh bermacam usahawan.

Baru bertunang bersampin senget,
Terang bermimpi Puteri Sahara;
Melayu inang zapin dan joget,
Orang Punjabi menari bangra.

Mencari gayung di air karat,
Sayang terselit di guri rotan;
Tari makyong dan dikir barat,
Wayang kulit di negeri Kelantan.

Tumbuh peria di bumi lanar,
Merekah halia di air tenang;
Sungguh boria Ummi penggemar,
Bukankah ia dari Pulau Pinang.

Seri permata nian berangkai,
Bertenun rangkai di karang si dia;
Sari dan kurta pakaian dipakai,
Anggun dipakai dek orang India.

Kayu cendana di tepi paya,
Di belah lima kapak berhulu;
Melayu Cina Punjabi India,
Telah bersama sejak dahulu.

Udang di jala disambar buaya,
Nelayan berhujan di pantai benua;
Terkadangkala bertukar gaya,
Pakaian kebangsaan dipakai semua.

Bersiang plata dan ikan bilis;
Mengelar selangat pelaling dan betutu;
Orang kita berintikan harmonis,
Mekar sejagat saling membantu.

Terkena bara semakin melecur,
Berbirat tangan mesti dijaga; 
Teruna dara berkahwin campur,
Erat hubungan multi keluarga.

Beras dibasuh di bendang pula,
Setangkai mangga kasar diterjah,
Jerang santan arang sebata;
Pantas sungguh di padang bola,
Pandai berniaga di Pasar Khatijah,
Orang Kelantan si orang kita.

Kalau mengayuh sampan nelayan,
Kena mengepit berturut-turut,
Terang pelita mencarilah biawak,
Melanau Bidayuh Iban Kedayan,
Cina Kelabit Melayu dan Murut,
Orang kita di negerilah Sarawak.

Serban dilurut berwarna hijau,
Pergi ke surau mengayuh berani;
Menyusun sejadah melagunya azan,
Tanda waktu solat dah sampai;
Iban Murut dan juga Bajau,
Punjabi Melanau Bidayuh Serani.
Dusun Kedah Melayu dan Kadazan,
Persada suku tak sempat ku rungkai.

Jerami basah diriba Pak Tani,
Lencun kayu di dusun kedangsa,
Isteri di dusun memakai skaf;
Ummi sudah cuba-cuba berani,
Berpantun Melayu menyusun bangsa,
Jari bersusun merangkai maaf.

Kalau kebaya mutiara putih,
Berselendang ungu pesona labuci;
Kalau saya bicara terlebih,
Dipandang jemu kerana benci.

Andai jerami beralas seludang,
Berasap-asaplah padi di kepuk;
Andai Ummi terlepas pandang,
Harap-haraplah disudikan masuk.


Hahaa...itulah dia pantun Ummi kali ini, pantun yang bertemakan rumpun bangsa ORANG KITA... sebenarnya banyak lagi suku kaum dan bangsa di negara Malaysia tercinta ini yang Ummi tak sempat dan tak dapat merungkai kesemuanya....Harap sudi maafkan Ummi.....Ummi pasti para pemantun@pembaca tahu dan akan buat rujukan tentang multi racial di negara kita ini....kalau Ummi ada tertinggal dan tersilap bicara...harap sudi kiranya tuan puan maafkan Ummi ya....Ummi hanya sekadar mencuba dalam air pantun mengikut stail Ummi tersendiri.....dan Ummi selitkan cebisan rangkapan pantun lapan dan enam kerat.....ok tak cikgu..... :D


Berbau harum sibunga teratai,
Disimbah-simbah air di tepinya;
Kalau belum ada tersenarai,
Tambah-tambahkanlah informasinya.


Yang buruk dan hina itu dari Ummi dan yang terbaik adalah dari Allah Subhanahuwwata'ala.....semoga orang kita dan kita sendiri hidup sentiasa berharmonis dalam keikhlasan......amin...... cukup sampai di sini ya, insyaAllah Ummi pasti kembali lagi....usah dibimbang... salam manis sibuah kepayang dari Ummi buat para sahabat yang  ku hormati sekelian..... :D


Kalam berpena....

UmmiAin


28 comments:

  1. Replies
    1. Anggun Cik Mimi bersuara ayu,
      Terhendap-hendap teruna Bangla;
      Pantun Ummi bicara Melayu,
      Dibaca tak sedap tak kena pula. =D

      Delete
  2. Assalamualaikum ummi..
    sungguh sedap pantun ummi
    Tersusun kemas cantik bicara =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Kak Nah ku sayang.. :D

      Cenderawasih hinggap di dahan,
      Turun ke bumi hendak menyapa;
      Terimakasih sebab pujian,
      Pantun Ummi tidak seberapa. =D

      Delete
  3. terer betul ummi berpantun...

    Assalamualaikum pembuka bicara,
    Ummi Faiqah datang menyapa,
    Singgah di sini mengenal si pena;
    Sambil membaca pusaka lama...

    Haisshh.. lari tone .. kering idea nk cipta pantun... tapi sy juga suka cipta pantun... :)

    Salam kenal dari UMMI Faiqah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih Ummi Faiqah kerana sudi datang ke blog kak Ummi denganpantun yang indah.. Kak Ummi berpantun takla berapa sangat...=D

      Rampai ulam suami menyebut,
      Suami sudah di anjung seri,
      Ulam buah dibeli di pasar;
      Wa'alaikumsalam Kak Ummi menyambut,
      Ummi Faiqah berkunjung kemari,
      Salam ukhuwah bertali mekar.

      * Terimakasih Ummi Faiqah....sudi-sudilah datang kemari sambil berbalas pantun dengan Kak Ummi ya... :D

      Delete
  4. Ikan belut si ikan tilan
    Tidak sama sembilang di tangan
    Berbuapak bersuku di Negeri Sembilan
    Adat Pepatih jadi pegangan

    Berkolek perahu sampan dikayuh
    Mencari puyu di tepi paya
    Melayu India Cina Bidayuh
    Apapun bangsa, kita tetap 1 Malaysia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Budak menunggu mencari senggalan,
      Sejat selasih di ruang tangan ;
      Delima dibungkus berbiji petai;
      Berbuapak bersuku Negeri Sembilan,
      Adat Perpatih dibuang jangan,
      Agama lurus menjadi pakai.

      Kayu cendana harum sepapan,
      Batu muara batu berusia;
      Melayu Cina dan kaum Iban,
      Satu negara satu Malaysia.

      Terimakasih Ibu.. =D

      Delete
  5. Assalam...lama saya tak berpantun ..mrs mama.So ini sebagai permulaan mungkin..

    Hari minggu pergi ke kota,
    Belikan saya tepung seguni;
    1Malaysia jenama kita;
    Pelbagai bangsa hidup harmoni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam En Hanafi, jangan kata permulaan, mulanya selalu di sini ya.. :D

      Kumbang besar di tangkai cerita,
      Bertakat nyamuk rumbia seguni;
      Memang benar bagai dikata,
      Masyarakat majmuk bahagia dan harmoni.

      Delete
  6. Salam rindu diangin beralun,
    Kalam kutuju ingin berpantun...

    Gempa hingar memberi tawa,
    Biasa merayu memangkin ikutan,
    Hamba Banjar isteri Jawa,
    Bahasa Melayu menjalin ikatan.

    Kalau ke Gaza terlupa keAl-Aqsa,
    Suram kelam hatta gundah menyapa,
    Walau berbeza rupa dan bangsa,
    Dalam Islam kita adalah serupa.

    Beduk bergema berbahang terasa,
    Inilah lakun permainan biasa,
    Hidup bersama berbilang bangsa,
    Adakah pantun berlainan bahasa?

    Kaki kebas lama menanti,
    Kini puas rasa dihati.... :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Madu sedulang ditatang-tatang,
      Rindu berulang kenalah datang.. :)

      Ular sawa menyusur tangga,
      Tangga reput bisa di kayu;
      Banjar dan Jawa bercampur keluarga,
      Keluarga bertaut berbahasa Melayu.

      Purnama menyapa di sisa Gaza,
      Alam menyerlah berpaksi Lillah;
      Cuma rupa dan bangsa berbeza,
      Islam adalah di sisi Allah.

      Berkenan suasa suasa Rusia,
      Silau melantun jarang di cari;
      Berlainan bangsa bahasa Malaysia,
      Kalau pantun karang sendiri.

      Kaki kebas di sapu minyak,
      Hati puas berpantun banyak.. ;)

      Delete
  7. Dari bumi terbang ke awan
    Sayap terkehel hampir tercabut
    Ummi memang luas pengetahuan
    Keturunan dan bangsa dah banyak disebut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ruas durian terkena tusukan,
      Mempelam duku mempelam sederet;
      Luas pengetahuan kerana rujukan,
      Dalam buku dan dalam internet.

      Terimakasih Kak Ani...kerana sudi datang kemari dengan pantun yang berseri....harap datang lagi ya... :D

      Delete
  8. Teringin berpantung di petang hari...

    Carilah gelama tiada harapan,
    Gagah perkasa kembara berzaman,
    Marilah bersama kita terapkan,
    Bersatu bangsa negara aman....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Beringin rimbun malam dah berlabuh,
      Teringin pantun salam ku bubuh.. :D

      Gelama betutu plata digulai,
      Pasti terasa sedap-sedapan;
      Bersama bersatu kita bermeterai,
      Multi bangsa beradab sopan.

      Delete
    2. Malam sudah beransur,
      Salam indah ku hulur...

      Ketua berjasa membantu melawan,
      Keampuhan kemaraan askar dikibarkan,
      Semua bangsa bersatu harapan,
      Kesopanan dan kesusilaan ikrar dilafazkan.

      Delete
    3. Semalam purnama merindu pungguk,
      Salam delima sesudu sesenduk.. :D

      Angsa tua berehat di batu,
      Turun ke muara mandi seekor;
      Bangsa Malaysia sihat bersatu,
      Rukun Negara menjadi atur.

      Delete
  9. lari laju hariamu kejar
    dibaling batu lari ke hutan
    salam kenal salam dihulur
    tanda permulaan jalinan persahabatan

    pergi kepasar mencari kantan
    jangan lupa membeli santan
    kreatif sungguh Ummi berpantun
    pantun pelbagai banyak pilihan

    sorry Ummi..tak pandai berpantun bah..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Galah dikait hendak kelapa,
      Huma lama di tepi daik;
      Salah sedikit tidak mengapa,
      Lama-lama menjadi baik.

      Lencun berminyak sampai basahan,
      Ditepuk di ubat badan yang penat;
      Berpantun banyak sebagai latihan,
      Untuk meningkat keyakinan dan minat.

      Terimakasih Mama kerana datang ke blog Ummi sambil membawa pantun...datang lagi ya =D

      Delete
  10. salam manis..wah kias sungguh rasa hati dlm zaman silam mmg pandai umi berpantun

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam kembali Suri dear.. :)

      Laksa pedas baru dibeli,
      Timun secamca hampir ditunggu;
      Bahasa berkias Melayu Deli,
      Pantun dibaca berair lagu.

      Delete
  11. banyak bahasa banyak budaya
    rasa diri bertuah skli
    sapa yang tak sayang bangsa sendiri
    mmglah dia akan rugi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kembang sepikul bidara dipetik;
      Selasih direndam selama sehari
      Memang betul bicara cik adik,
      Kasih disulam sesama sendiri. =D

      Delete
  12. Assalamualaikum Ummi :)
    Lantang tinggi gema melantun,
    Datang lagi bersama pantun...

    Jarang kereta masa berbatu,
    Tiba lebuhraya menuju keTampin,
    Orang kita bangsa bersatu,
    Tiba pilihanraya penentu pemimpin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam tuan hamba =)
      Tatang guri turun ke kebun,
      Datang kemari berpantun-pantun...

      Terang pelita bermandi kelkatu,
      Lampin tebal basahan serangga;
      Orang kita pengundi penentu,
      Pemimpin berakal pilihan bangga.

      Delete
    2. Assalamualaikum Ummi sayang =)

      Pulau tiga penghuni hantu
      Malas mandi basah tangan
      Walau kita pengundi penentu
      Lepas mengundi berpisah jangan

      Kemudi bajak cerpin sisipan
      Warga berusia bukan tentera
      Pengundi bijak pemimpin pilihan
      Semoga Malaysia aman sejahtera

      Delete
    3. Salam kembali dimalam hari

      Kemudi satu kearah syria,
      Perlahan lajak jangan mengata,
      Mengundi itu adalah rahsia,
      Pilihan bijak ditangan kita...

      Jom kita mengundi :)

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^