Sunday, April 7, 2013

Pantun Hiasan Dunia.....


Rendam ketum dibuat ubat, 
Daun berhelai berwarna ungu; 
Assalamu’alaikum duhai sahabat, 
Pantun ku rangkai tema seminggu. 




Salam kembali sekali lagi...buat teman-teman berpantun yang sungguh ku hormat dan bangga...curahan doa Ummi siramkan agar semuanya beroleh kesejahteraan dan rehat yang cukup di hari minggu bersantai ini....sambil itu kita berpantun-pantun....bertemakan yang baru, HIASAN DUNIA....apakah yang dimaksudkan HIASAN DUNIA, adakah ia bermaksud wanita.......apakata kita berpantun di bawah tema ini..... 


Jom kita berpantun ya.....sila....o...silaa....


Petik kekwa bidara dan seroja, 
Lukisan bunga takkannya sama; 
Cantik lawa sementara sahaja, 
Hiasan dunia bukannya lama. 

Bata sejengkal mari dilanyak, 
Bata bertingkat sayang terjatuh; 
Harta tak kekal dicari banyak, 
Harta akhirat itu yang utuh. 

Perasan teruna bertengkolok segi, 
Gajah Duduk diberinya nama; 
Hiasan dunia makhluk Illahi, 
Wajah menusuk sepertinya purnama. 

Tangkai padi dicabut Pak Mahat, 
Padang berlopak dibaling batu; 
Ku sampai budi disebut jahat, 
Dipandang tidak dijeling tak mahu. 

Nisan tua terbelah empat, 
Pasirnya serap dimakan mengkarung; 
Hiasan dunia apalah sangat, 
Akhirnya tetap akan ke hujung. 

Ada pesona nasi berhalia, 
Serai dipatah dimakan secangkir; 
Fatamorgana menghiasi dunia, 
Sampai bilakah akan berakhir. 

Lukisan warna serlah pesona, 
Pandai menutup kelam bertanda; 
Hiasan dunia apalah guna, 
Andai hidup dicengkam noda.

Bertapa kenari di dahan rumbia, 
Sudah kuyup basah berhujan; 
Terlupa diri dek hiasan dunia, 
Berpadah hidup gelisah badan. 

Meratah ikan di pinggan romia, 
Meratah itik belahan kerutup; 
Adakah dinamakan hiasan dunia, 
Berwajah cantik dan kemewahan hidup. 

Tanak pulut tidak menjadi, 
Pesan nenda senduk di belanga; 
Retak mulut hendak berbudi, 
Hiasan dunia yang elok dibangga. 

Bermata celik di hari redup, 
Kejang sendi disudu angsa, 
Wanita cantik penyeri hidup, 
Sekajang budi semerdu bahasa. 

Cebisan gardenia di rata planta, 
Planta dijamah sudah kehabisan;
Hiasan dunia adalah wanita, 
Wanita muslimah seindah hiasan.

Plata terjerat mulut ternganga,
Kurau belum terjebak lagi;
Wanita ibarat kuntuman bunga,
Berbau harum semerbak setanggi.

Bertenun songket santun puteri,
Songket ditenun benangnya intan;
Berpantun sedikit menyusun jari,
Sedikit pantun mencanang peringatan.

Badai muara tiada yang besar,
Basah sampan tenggelam titi;
Andai bicara ada yang terkasar,
Usah disimpan di dalam hati.


Sampai di sini dulu dari Ummi buat anda sekelian....mohon ampun dan jutaan maaf sekiranya bicara pantun Ummi bercacat cela.....yang buruk dan hina dari Ummi dan yang terbaik  adalah dari Allah swt...sama-samalah kita meniti kehidupan berlandaskan iman....insyaAllah sampai kembali lagi......salam hormat dan salam manis dari Ummi...

* Sudi-sudikanlah berpantun..... =D


Kalam berpena...

UmmiAin


19 comments:

  1. Cantik bait2 pantun tersusun. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih Kakcik.....kakcik pun apa kurangnya....harap-harap sudilah datang lagi ya =D

      Delete
    2. Terimakasih kakcik dear sebab sudi singgah ke blog Ummi....harap datang lagi naa.. =D

      Delete
  2. Replies
    1. Thank you Normi sebab pujianmu...datang lagi dengan harapan membawa pantun yaa... =D

      Delete
  3. Ayam didik mematuk kelapa,
    Bawah bangsal besi berkarat;
    Sekali cantik hiasan dunia,
    Biarlah kekal hingga akhirat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kemeli batik mengalas bunga,
      Diatur tinggi tingkatnya pangkal;
      Sekali cantik menghias dunia,
      Syukur berbagi akhiratnya kekal.

      Terimakasih cikgu...

      Delete
  4. Salam di hulur semanis madu,
    Lama tidak berpantun terasa rindu...

    Gitar dipetik perasaan ceria,
    Hendak bersama sidia melara,
    Wanita cantik hiasan dunia,
    Tidak lama hanya sementara.

    Dalam gundah meramas halia,
    Kelat santapan kenangan didada,
    Alam indah menghias dunia,
    Buat tatapan ketenangan minda.

    Kekelatan memakan cebisan peria,
    Janggal terasa bila hayalan ditawa,
    Kekayaan kemewahan hiasan dunia,
    Ditinggal semua hanya amalan dibawa.

    Jom Kita Berpantun, hiasan indah didunia blogger :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alam berpuput hujan dah turun,
      Salam bersambut kerinduan berpantun...

      Titik mata beralas kornea,
      Berbirat saga di luar kabur;
      Cantik wanita hiasan dunia,
      Akhirat juga agarnya subur.

      Tangan ke dada nafas ke mana,
      Sempat merafak mengharap doa;
      Ketenangan minda menghias pesona,
      Tak dapat tidak ku tatap jua.

      Gardenia mengalas buah dan sekaya,
      Nyonya menelan hingga tersedak;
      Dunia dihias mewah dan kaya,
      Hanya amalan dibawa kelak.

      Jom Relaks dan Berpantun Minda berkongsi ilmu....hiasan dunia blogger bertandang tak jemu.... =D

      Terimakasih kerana berpantun dengan begitu konsentrasinya di blog Ummi....pantun-pantunmu menghibur hati...

      Delete
    2. Salam ditengahari,
      Kembali kesini berpantun lagi...

      Kiasan madah pengupas peri,
      Manisan halwa kak limah saji,
      Hiasan indah penghias diri,
      Hiasan jiwa kalimah suci....

      Delete
    3. Wassalam dijawab sudah,
      Malam berkuap mencurah-curah.

      Pesan puteri laksana bapa,
      Pesan dibawa dengan bersungguh;
      Hiasan diri pesona rupa,
      Hiasan jiwa iman yang teguh.

      Delete
  5. salam ummi yang manis...hajat nak berpantun..ilham tak sampai =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam kak Nah dear =D

      Cerpa delima di dalam timba,
      Hampir punah di tepi nesan;
      Betapa lama ilham tak tiba,
      Hadir Kak Nah menjadi hiasan.

      * Tq Kak Nah :D

      Delete
  6. Mudik ke hulu hingga ke muara
    Jalan di air berteman-teman
    Dunia yang fana hanya sementara
    Sedar lah semua itu pinjaman

    Tuah bersaudara beradik lima
    Sembah patuh hanya pada raja
    Salam bersambut khabar diterima
    Diri yang ada baik2 sahaja

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tumbuhlah segar bidara dan tebu,
      Halia ditanam dekat pusara;
      Sungguhlah benar bicara Ibu,
      Dunia dipinjam buat sementara.

      Pegaga tumbuh di luar kota,
      Lebat bergaya naik dedalu;
      Lega sungguh mendengar berita,
      Sahabat saya baik-baik selalu.

      Cenderawasih kemari turun,
      Turun melagu di tepi nesan;;
      Terimakasih sudi berpantun,
      Pantun Ibu menjadi hiasan... =D

      Delete
  7. assalam..


    mahal menawan hadiah dikurnia
    hasil berharga dari sulaman
    wanita itu hiasan dunia,
    ujian iman lelaki budiman

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kereta antik beralas bonia,
      Tersagat retak berjalan jauh;
      Wanita cantik penghias dunis,
      Tergugat tidak beriman teguh.

      Termakasih En Hanafi..:))

      Delete
  8. Anak itik berdandan ceria
    Rotan anyaman berbelah jimat
    Segak cantik hiasan dunia
    Teguhkan iman insya Allah selamat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tegak tumbuh pulasan tua,
      Lebah menari di bunga taman;
      Segak sungguh hiasan dunia,
      Bertambah berseri cantiknya iman.

      Terimakasih KakNah dear :D

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^